Seorang sahabat saya pernah berkata: "Selalunya kita 'terlupa' menghargai orang-orang penting dalam hidup kita. Bila mereka sudah tiada, barulah terasa... betapa banyak perkara baik yang belum kita berikan untuk mereka."
Sahabat saya ini kematian suaminya pada malam hari raya aidil adha baru-baru ini, beberapa hari selepas pembedahan merawat kanser perutnya. Arwah suaminya, ustaz Rosdi meninggalkan empat orang anak. Ketika itu sahabat saya ini, Dr Hasanah, sedang sarat mengandung anak yang ke lima. Dr Hasanah juga seorang yatim piatu.
Sekiranya melawat ke blog beliau, http://www.drhasanah.com, ada satu entri yang memetik kata-kata anak beliau yang menyentuh hati: “Emak, kenapa ayah mati cepat sangat?”.
Kata-kata sahabat itu menyedarkan diri ini tentang betapa dalam banyak situasi, saya sering terleka. Saya alpa dengan nikmat yang dikurniakan Tuhan, dan hanya menyedarinya apabila ia hilang. Merindui dan mengenang jasa seseorang apabila dia sudah tiada di alam maya. Merasa nikmat sihat apabila sedang sakit dan menghargai masa apabila ia sudah berlalu.
Apabila nikmat itu berada di hadapan mata, acapkali diri ini terpedaya dan leka. Merasakan seolah-olah seperti 'panas terik mentari akan sampai ke petang'. Diri ini adakalanya terlupa bahawa nikmat yang Allah berikan itu dengan mudah ditarik balik pada bila-bila masa dan yang empunya diri akan dihisab tentangnya di akhirat nanti.
Kata-kata Hasanah itu sebenarnya menyentak saya supaya lebih menghargai nikmat yang ada dihadapan mata, supaya nanti kita tidak menyesal apabila ia telah pergi. Bukan sekadar menghargai insan-insan tersayang yang ada di hadapan kita, malah segala nikmat yang Allah kruniakan. Dari sekecil-kecil nikmat hinggalah yang melimpah ruah. Rezeki, kesihatan, keluarga, bahagia, aman damai, ketenganan dan yang utama... masa.
Nabi Muhammad mengingatkan manusia: “Ada dua kenikmatan yang membuat banyak orang terpedaya, iaitu nikmat sehat dan waktu lapang.” (hadis direkodkan oleh Imam Bukhari)
Abu Sa'id al-Hasan ibn Abi-l-Hasan Yasar al-Basri, seorang cendiakawan besar ilmu akidah berpesan: "Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau adalah kumpulan hari. Ketika hari telah berlalu, maka berlalu pulalah sebahagian daripada dirimu"
Ibnu Al-Jauzi, seorang sarjana besar ilmu Quran dan Hadis pula berkata, “Adakalanya seseorang itu sihat, tetapi tidak mempunyai masa lapang, sebab sibuk bekerja. Juga adakalanya seseorang itu mempunyai masa lapang, tetapi tidak sihat. Jika seseorang yang mempunyai masa lapang dan badannya sihat, tetapi malas melakukan amalan ketaatan kepada Allah, dia adalah orang yang rugi. "
"Dunia adalah ladang akhirat dan di dalamnya terdapat perniagaan yang keuntungannya hanya nampak apabila di akhirat. Sesiapa yang menggunakan kesihatan dan masa lapangnya dengan baik, dia adalah orang yang patut dicontohi. Manakala, sesiapa yang menggunakan keduanya dengan berbuat maksiat kepada Allah, dia adalah orang yang rugi.”
Seorang sahabat nabi Muhammad yang antara terawal memeluk Islam iaitu Abdullah ibn Mas'ud apabila ditanya tentang nikmat yang pergi, beliau berkata:
“Saya tidak menyesal tentang sesuatu perkara yang berlalu melainkan penyesalan apabila matahari tenggelam, saya berasakan amal kebajikan saya tidak kunjung bertambah”.
Semoga kita tidak termasuk orang yang Allah ceritakan dalam Quran ini:
“Hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata, ‘Tuhan, kembalikan saya (ke dunia), agar saya berbuat amal salih terhadap apa yang telah saya tinggalkan’.” (Al-Mukminun: 99).
Wallahu 'alam (Allah jua yang mengetahui).
No comments:
Post a Comment