Saturday, May 3, 2008

Ramalan

Hari ini saya berjumpa seorang rakan. Chin namanya. Chin berpengalaman lebih 20 tahun sebagai pengamal perubatan tradisional cina. Ketika bersembang Chin bercerita tentang sesuatu yang menarik.

"You tahukah? tahun ini KL akan banjir besar"

"Huh?"

"Auntie saya pakar Feng Sui. Dia ramal tahun ini akan jadi banjir besar"

"Awak percayakah?"

"Saya percaya. Sebabnya, sebelum ini ramalan dia betul-betul menjadi."

"Apa dia?"

"Pertama dulu dia kata pada saya 'Chin you jangan banyak keluar, tahun ini ramai orang akan mati sebab kuman."

"Apa maksud dia?"

"Lama selepas dia cakap macam itu, terjadi peristiwa serangan kuman SARS, yang banyak mengorbankan nyawa."

"Ok. Lagi?"

"Kemudian dia pernah kata kepada saya 'Chin, tahun ini you jangan pergi mandi dekat laut. Tahun ini nanti akan jadi ombak besar, dan ramai orang akan mati."

"Apa maksud dia?"

"Mulanya saya tidak faham apa yang dia maksudkan. Tetapi, lama kemudian terjadinya peristiwa tsunami yang membunuh banyak nyawa."

"Apa lagi ramalan dia?"

"Dia juga pernah kata kepada saya 'Tahun ini akan jadi banjir besar di negara kita"

"Itu peristiwa apa pula?"

"Itu peristiwa banjir besar yang melanda negeri Johor, Perak dan sebagainya."

"Jadi, tahun ini pula apa kata dia?"

"Kata auntie saya itu, tahun ini adalah tahun tikus. Tahun banyak hujan. Mengikut Feng Sui dia, hujan yang banyak ini menyebabkan air di empangan penuh. Kebetulan pula di sekitar Bukit Tinggi tahun ini kerap berlaku gegaran (gempa bumi kecil). Gegaran ini menyebabkan struktur empangan di Klang Gate yang berdekatan dengan Bukit Tinggi menjadi tidak stabil. Lama kelamaan, empangan ini boleh pecah. Akibatnya KL banjir besar. Lebih besar daripada peristiwa banjir yang hampir menenggelamkan KL sekitar tahun 70an. Kata auntie lagi, 'Tanah yang banyak merekah juga menandakan akan berlaku banjir besar."

"Kalau empangan pecah, KL akan tenggelam."

"Betul. Rumah awak di Taman Permata kan? Dekat dengan empangan kan?.... Hemm, semoga Tuhan melindungi kita."

Saya hanya mendiamkan diri. Tidak membantah atau menokok tambah. Saya juga tidak mahu komen tentang Feng Sui makcik Chin. Kisah ramalan tamat di situ, apabila kami menukar topik perbualan.

Kata-kata makcik Chin itu mengingatkan saya kepada beberapa hadis nabi yang melarang mempercayai tukang tilik (saya kira Feng Sui ini lebih kurang macam tukang tilik kerana dia boleh meramalkan masa hadapan) :

“Beberapa orang sahabat bertanya kepada Rasulullah tentang tukang tilik.”

Rasulullah berkata: “Perkataan mereka itu tidak benar.”

Mereka berkata lagi: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya para tukang tilik itu kadangkala bercerita kepada kami tentang sesuatu, lalu perkara itu benar (menjadi kenyataan).”

Mendengar kata-kata sahabat itu, Rasulullah menjawab: “Itu adalah kalimat kebenaran yang mereka sambar dari jin, lalu dibisikkan kepada ke telinga pembantunya, kemudian mereka mencampurkan kalimah yang benar itu dengan seratus pembohongan.” (Hadis dilaporkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)


Juga sepotong ayat Quran, yang terakhir daripada surah Luqman:

"Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dialah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada bala kemurkaannya.
Allah itu juga yang maha mengetahui...

2 comments:

Puan Ainon Mohd. said...

Saya pun boleh buat ramalan...

Tahun ini lebih banyak buku PTS akan terjual dalam kedai-kedai buku MPH, Kinokuniya, Popular dan Badan Cemerlang!

Kita tengok nanti....

Rislah said...

Insya'Allah puan, ramalan menjadi kenyataan...