Ini ada email dari teman sepejabat tentang rayuan daripada Rumah Titian Kasih Titiwangsa... semoga ada yang sudi menghulurkan bantuan walau sedikit..
Assalamualaikum.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya doakan semua dalam keadaan sihat.
Sebagai makluman, kelmarin saya berjumpa dengan pengasas Rumah Titian Kaseh, Mak Pah atau nama penuh beliau Puan Sharifah Adlan. Rumah ini ialah rumah perlindungan anak yatim/piatu, ibu tunggal, OKU dan warga emas yang terletak di Taman Tasik Titiwangsa.
Kunjungan saya ini ekoran tersiarnya berita di akhbar bahawa Rumah Titian Kaseh memerlukan bantuan segera daripada orang ramai. En. Arief yang memberitahu saya mengenai perkara ini dan meminta saya menyiasat perkara sebenar. Jadi kelmarin saya mendapat maklumat sebenar apakah bentuk bantuan yang diperlukan.
Penghuni Rumah Titian Kaseh yang berjumlah lebih daripada 150 orang itu kini ditempatkan di 2 buah rumah lot banglo di kawasan Titiwangsa. Rumah pertama terletak di Jalan Maran dan rumah ini turut menjadi pusat pentadbiran. Di sinilah tempat di mana Ahli Kelab Sukan PTS, Kumpulan Win Win, melakukan aktiviti khidmat masyarakat tahun lepas semasa bulan puasa tahun 2008.
Manakala rumah kedua terletak di Persiaran Titiwangsa. Rumah ini menempatkan 55 orang penghuni. Mereka baru sahaja berpindah ke rumah ini pada bulan April lepas. Sebelum ini 55 penghuni ini tinggal di rumah yang disewa di Keramat. Namun atas faktor kos yang tinggi untuk menyewa bas dan petrol, mereka pindah ke rumah lot banglo ini. Ini kerana, kebanyakan penghuni ini bersekolah sekitar kawasan Titiwangsa. Selain itu, masyarakat setempat tidak suka mereka tinggal di situ.
Menurut Mak Pah, mereka merancang hendak membeli rumah banglo di Persiaran Titiwangsa itu. Harga lot banglo itu ialah RM2.7 juta. Setakat ini Rumah Titian Kaseh sudah membayar sebanyak RM56 ribu kepada pemilik. Mereka diberi masa sehingga Jumaat ini (29 Mei 2009) bagi melunaskan bayaran pendahuluan sebanyak 10% (RM270 ribu). Sekiranya mereka tidak berjaya, kesemua penghuni seramai 55 orang itu perlu keluar. Bayaran pendahuluan pula tidak akan dipulang balik.
Isunya sekarang, Mak Pah sedang berusaha mencari baki RM200 ribu lebih lagi bagi menyelesaikan bayaran pendahuluan itu. Isu keduanya pula, jika mereka tidak berjaya membayar baki wang pendahuluan, ke mana mereka hendak tempatkan penghuni-penghuni itu.
Saya ada bertanya, mengapa mereka memilih hendak membeli rumah di kawasan Titiwangsa yang berharga mahal sedangkan mereka boleh membeli di kawasan luar bandar. Alasan Mak Pah ialah, Rumah Titian Kaseh adalah satu-satunya tempat yang dituju bagi menempatkan anak yatim, anak luar nikah, dan lain-lain khususnya yang beragama Islam di kawasan Kuala Lumpur. Inilah juga tempat pertama yang dicari oleh pihak HKL bagi menempatkan mereka ini.
Sekitar Kuala Lumpur, tidak banyak pusat perlindungan yang diuruskan oleh orang Islam dan menitik beratkan soal agama Islam kepada penghuninya. Mak Pah pernah menyaksikan di mana bayi-bayi Islam yang diserahkan kepada pusat jagaan Kristian dibaptiskan dan dibesarkan dengan tujuan menjadi mubaligh kristian satu hari nanti. Jadi Mak Pah seboleh-bolehnya mahu anak-anak dan bayi yang tidak bernasib baik ini tidak diserahkan kepada pihak lain.
Selain itu, berdasarkan pengalaman selama lebih 11 tahun beroperasi di Titiwangsa, mudah bagi orang ramai menyalurkan bantuan kerana lokasinya di tengah bandar. Sebagai makluman, PTS sendiri ada memberi bantuan bulanan secara tetap kepada rumah ini.
Mak Pah juga berkata, sudah sampai masanya Rumah Titian Kaseh memiliki rumah sendiri dan tidak lagi menyewa. Ini kerana mereka sudah beberapa kali berpindah dari satu tempat ke satu tempat kerana dihalau oleh tuan rumah dan faktor tekanan oleh masyarakat sekeliling.
Oleh itu, Mak Pah amat berharap orang ramai menghulurkan bantuan bagi menyelesaikan baki bayaran pendahuluan bagi membeli rumah itu. Rumah Titian Kaseh memerlukan RM200 ribu lebih lagi. Orang ramai bolehlah menderma ataupun memberi pinjam kepada Rumah Titian Kaseh.
Bagi yang sudi menderma dan ingin mendapat maklumat lanjut, bolehlah hubungi terus Mak Pah di talian 019-6455 769. Bagi yang hendak berjumpa sendiri dan melawat Rumah Titian Kaseh, berikut alamatnya:
Rumah Titian Kaseh
No. 62A-2, Lorong Maran
Off Jalan Kuantan
Tasik Titiwangsa
53200 Kuala Lumpur
Saya mohon rakan-rakan supaya sebarkan emel ini. Mudah-mudahan ada pihak yang sudi membantu dalam kadar segera.
Terima kasih.
NAZRUL SAMSUDIN
Manager
PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
(A Member of PTS Group of Companies)
2 comments:
salam...memohon kebenaran mencopy dan paste dalam facebook saya...
jazakAllah
mohon kebenaran copy and paste dalam facebook saya, syukran....
Post a Comment