Friday, August 31, 2007

Merdeka

(entri siaran tertunda, gara-gara situasi teknikal streamyx...)

Merdeka... merdeka...

Hari ini genap 50 tahun Malaysia merdeka dari penjajah zahiriah... iaitu British. Zahirnya tanah Melayu ini tidak lagi dijajah. British menamatkan pemerintahan kolonialnya di tanah Melayu ini 50 tahun dahulu.

Namun, warisan British masih kental dan subur di tanah Melayu. Warisan yang mekar dan semakin menebal. British sebenarnya berjaya menjadikan sesetengah jiwa di tanah Melayu ini hamba mereka. Hamba yang mengekalkan legasi mereka, malah lebih kuah dari sudu.

Hamba yang mengagungkan mereka. Hamba yang sentiasa patuh dan taat kepada budaya, cara hidup dan undang-undang mereka. Biar pun melampaui batas-batas dan parameter syariah. Bak kata seorang pemimpin negara suatu masa dahulu berhubung tuntutan perlaksanaan undang-undang syariah di Malaysia:

"Undang-undang Hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana ia bertentangan dengan undang-undang yang digubal oleh Lord Reid (Suruhanjaya Reid, 1956)."

Dalam ertikata lain, Tuhan perlu tunduk kepada makhluk yang bernama James Scott Reid itu. Masya-Allah...

Kalau kita lihat iklan Petronas sempena hari merdeka yang lepas, salah satunya tentang iklan kasut buatan Gombak... Taglinenya kalau saya tidak silap adalah berkaitan dengan yakin kepada diri sendiri (produk Malaysia).

Sebenarnya kata-kata itu tidak lebih daripada retorik sahaja. Buktinya, orang besar kita tidak meyakini 'produk' utama Malaysia iaitu Bahasa Melayu mampu menjadi medium untuk meningkatkan keilmuan dalam bidang sains dan teknologi. Yang terkini, Bahasa Melayu sudah hilang di bumi Melayu sendiri. Dikuburkan oleh orang besar kita yang kononnya memperjuangkan hak orang Melayu... demi orang lain. Demi menjaga hati dan sensitiviti semua orang kecuali anak watan tanah Melayu.

Biarlah gadaikan kampung halaman seinci demi seinci asalkan sentiasa menang sorak...!

Hemm... itu hanya sedikit daripada banyak perkara yang terpendam. Apabila tiba hari kemerdekaan ini, jauh disudut hati saya berasa sedih. Sedih dengan masa depan anak-anak tanah Melayu ini. Anak-anak cucu saya nanti, adakah mereka masih mampu menjadi tuan di tanah yang dipugar oleh datuk nenek mereka ini. Apakah nanti masih ada ruang di bumi tanah Melayu ini yang tidak digadaikan? Atau masih banggakah mereka memegang gelaran anak bumi Melayu, bangsa bumi Melayu?

Malam tadi sahaja di Dataran Merdeka, ratusan ribuan manusia berpesta. Lihat sahaja di akhbar-akhbar dan dari khabar-khabar mereka yang berada di sana malam tadi. Kata arwah atuk, dulu-dulu anak-anak Melayu khususnya anak-anak dara cukup menjaga maruah mereka dan yang berkaitan dengannya. Anak muda keluar lewat malam dengan pakaian menjolok mata, tidak pernah tergambar di fikiran zaman itu. Apabila mereka menjaga maruah, mereka juga sebenarnya menjaga tatatertib, adat resam, pergaulan dan yang paling penting, agama mereka.

Mungkin sebab itu lah apabila sesorang manusia itu hilang maruah atau perasaan malunya, maka hilanglah juga agama mereka. Seperti kata Rasulullah: "Wahai anak adam, apabila hilang perasaan malu, kamu akan buat apa sahaja..."

Kata seorang teman terperangkap dalam banjir besar manusia: "Suasana di Dataran Merdeka, lebih sesak daripada suasana padang Arafah ketika musim haji."

Katanya lagi: "Ramai juga anak Melayu yang sudah tidak segan silu berpelukan dikhalayak ramai, hatta bercumbuan dalam kesesakan manusia"

Hemm... itulah agaknya yang dikatakan merdeka. Berpesta sakan. Janji kita laungkan merdeka dan kibarkan bendera, maka kita sudah merdeka, dan kita adalah manusia yang patriotik. Walaupun budaya, cara hidup dan pemikiran melebihi ajaran penjajah, kita tetap merdeka. Walaupun tanpa ilmu dan agama kita akan tetap dan terus merdeka...

Maka, mungkinkah saya yang tidak ke pesta merdeka dan tidak mengibarkan bendera Malaysia ini, tidak dikira patriotik dan mungkin juga tidak merdeka?

Kalau itulah ukuranya seperti yang diwarwarkan oleh orang-orang besar kita, biarlah saya kibarkan bendera Malaysia di dalam rumah ini sahaja. Kerana, yang patriotik dan merdeka adalah dalam jiwa saya.

Sunday, August 26, 2007

Demam

Sudah masuk hari ke tiga saya masih berselubung. Demam. Suhu 38C++. Kalau turun pun hanya seketika. Lepas itu naik semula. Bila sudah tidak tahan panas, saya akan mandi dengan air sejuk. Redalah sedikit.

Ubat, doktor suruh telan empat biji parecetamol 550mg, setiap 6 jam. Tekak pun sudah naik pahit. Badan sejuk menggigil. Kata doktor itu tandanya suhu akan naik lagi. Sekiranya hari keempat (esok) masih tidak turun panas badan ini, darah saya perlu diambil. Takut ada penyakit lain. Na'uzubillah.

Tengahari semalam, saya cuba-cuba berkebun. Kononnya hendak mengeluarkan peluh, supaya panas badan ini turut keluar. Berjaya juga. Peluh keluar dan badan terasa ringan sedikit. Tapi hanya seketika juga. Empat lima jam selepas itu kembali panas.

Hemmm... lama juga saya tidak merasa demam panas macam ini. Kali terakhir rasanya 3-4 tahun lepas. Seminggu tidak bangun. Saya jarang demam, tetapi sesekali demam, boleh tahan juga penangannya.

Hari ini rasanya macam kurang sedikit panas badan ini. Walaupun begitu, sambil menaip ini mata terasa panas dan berair. Munkin saya perlu cari penawar lain, atau terus berkebun... saya tidak boleh terus mengalah pada demam ini. Esok (Isnin) saya perlu ke pejabat setelah bercuti panjang.

Lawan tetap lawan....

Tuesday, August 21, 2007

al-Fatihah

(entri ini sepatutnya upload beberapa hari lepas tetapi terlewat akibat situasi teknikal)

Pagi Rabu 15 Ogos 2007, kira-kira jam 4 pagi saya mendapat panggilan talifon dari kampung. Atuk meninggal dunia. Saya kelu tidak terkata. Terduduk di sisi talifon. Mak, pakcik Mat, Makcik Jah, dan anak-anak mereka berada di sisi datuk. Di tepi katil, di wad lelaki Hospital Daerah Pontian, Johor.

Atuk sebenarnya sudah lebih setahun uzur sangat, akibat serangan strok kedua. Serangan strok pertama kira-kira empat tahun lepas membuatkan atuk lumpuh. Tetapi masih boleh bercakap dan berbual, walapun suaranya kadang-kadang agar kurang jelas, tambah lagi dengan 'slanga' jawanya yang pekat.

Beberapa minggu lepas mak pulang ke kampung kerana atuk dimasukkan ke wad lagi, walaupun sebelum in sudah hampir sebulan di sana. Kata pakcik Mat yang menjaga atuk, atuk tidak boleh mengunyah makanan dan sudah tidak boleh bercakap. Hari Ahad baru-baru ini atuk masuk wad lagi selepas seminggu keluar wad. Kata pakcik Mat, atuk tidak sedar diri, dan makanan tidak boleh masuk mulut. Badan atuk menolak sebarang jenis makanan dan ubat.

Mak pulang ke kampung segera, kerana terlalu risau dan tidak sedap hati dengan situasi datuk. Saya fikir hujung minggu ini saya akan pulang ke kampung untuk menjengah atuk. Kali terakhir saya melihat atuk dua bulan lepas.

Namun, perancangan hanya tinggal perancangan sahaja. Atuk terlebih dahulu meninggalkan kami. Mengadap Tuhan sekalian alam, dalam keadaan bersih dan suci setelah lebih empat tahun sabar dengan ujian Allah. Tidak sekalipun atuk mengeluh dengan sakitnya. Pakcik Mat dan keluarga yang setia menjaga atuk dengan kasih sayang juga tidak pernah mengeluh.

Pakcik Mat dan keluarganya sebelum ini menetap di Kuala Lumpur. Apabila atuk diserang strok, mereka berpindah ke kampung. Pengorbanan yang cukup besar buat mereka sekeluarga. Meninggalkan kehidupan yang selesa dan stabil untuk memulakan hidup baru. Anak-anak mereka yang seramai lapan orang itu juga faham dengan keputusan yang diambil.

Selama atuk lumpuh dan koma, sama ada di rumah atau di hospital, anak-anak pakcik Mat dan pakcik Yahya yang awal 20an itulah yang menjaganya. Dari menyuapkan makanan, menukar baju, mandi, mengetip kuku, menyikat rambut hinggalah menukarkan lampin atuk semua di uruskan oleh anak-anak muda itu. Sepanjang di hospital Ayip, Hapiz, Solihin, Zizul, Naim bergilir-gilir menguruskan atuk. Para jururawat dan pekerja hospital yang lain berasa cukup takjub melihat mereka. Anak-anak muda yang setia menjada atuk. Tidak hairanlah ramai yang berkenan hendak mengambil mereka menjadi menantu...!

Sepanjang perjalanan dari rumah ke kampung bersama ayah, Nawal dan anak pakcik mat yang belajar di UIA dan UM, kami banyak mendiamkan diri. Kami lebih melayan fikiran masing-masing. Semua kenangan manis bersama atuk bermain difikiran. Terlalu banyak hendak di kongsi disini.

Atuk disemandikan dalam hujan gerimis, berhampiran pusara arwah nenek, makcik Chom (isteri Pakcik Yahya), makcik Idah (isteri pak su Daud) dan along (anak pak su Daud). Saya tiba ketika jenazah dibawa ke masjid untuk disembahyangkan. Selepas solat yang diimamkan ayah, saya minta izin dibukakan kain kapan sedikit. Menatap wajah bersih atuk yang seperti sedang tidur membuatkan hati ini terasa sangat sebak.

Pekan parit sikom terasa sunyi, sebahagian penghuni Pontian juga terasa sunyi. Kami sekeluarga lebih terasa sunyi. Sehingga hari ini, kami masih sukar menyebut 'arwah' atuk. Emakyang merupakan anak yang cukup rapat dengan atuk masih lagi lemah dan bersedih.

Atuk, terima kasih atas ilmu, nasihat dan kasih sayang yang dicurahkan kepada kami semua. Semoga Allah merahmati ruh atuk dan sentiasa bergemerlapan bersama ruh para kekasih Allah.

Buat keluarga Pakcik Mat dan sepupu-sepupu yang lain yang tidak pernah jemu menjaga atuk, semoga Allah memberi setinggi-tinggi balasan buat kalian.

al-Fatihah...

Saturday, August 11, 2007

Gembala Kambing

Baru-baru ini ketika bertugas di IIF, PWTC saya bertemu dengan seorang kawan lama. Sudah lebih lima tahun kami tidak berjumpa. Seronok berjumpa kawan se'U' ni. Walaupun hampir 10 tahun berlalu rasa seperti baru semalam sahaja meninggalkan dunia U ini. Kami bercerita tentang kisah-kisah lama, di mana kawan-kawan kami yang lain berada dan sebagainya. Juga cerita tentang bekas kekasih rakan saya ini yang baru berkahwin dengan seorang warga England yang berkerja di Malaysia dan sudah lebih tiga tahun memeluk Islam.

Seronok juga buka kisah-kisah lama dan mungkin juga mengopek kembali luka-luka lama..hehehe. Kawan saya ini tidak menunjukkan tanda-tanda luka lama berdarah kembali. Apatah lagi dia kini sudah menjadi ayah kepada tiga orang cahaya mata yang comel. "Alaa.. bunga bukan sekuntum. Orang tak nak, kita cari lah lain..." Komen dia. (Tetapi, tak tahulah dalam hati dia macamana.)

Suasana tapak IIF yang lengang itu menggalakkan kami berceloteh panjang. Antara pekara menarik yang kami bualkan adalah tentang kerjaya masing-masing. Ramai di antara rakan-rakan yang menjadi usahawan yang sama sekali keluar dari bidang pengajian. Antaranya ada rakan-rakan kami yang lulusan undang-undang tetapi membuka firma IT, Engineering menjadi tukang masak (buka restoran), Ilmu Wahyu menjadi pegawai risik tentera dan sebagainya. Tidak kurang juga yang terjun ke dunia pertanian... menjadi petani moden dan gembala kambing atau lembu. Termasuk rakan saya ini.

Beberapa tahun dahulu jawatan terakhirnya adalah Head of Marketing Dept di sebuah firma korperat. Sekarang dia adalah pengarah untuk syarikatnya sendiri yang mengusahakan ternakan kambing import baka Jamnapuri sebanyak 1000 ekor!

Saya tanya rakan saya ini: "Engkau dulu ada pengalaman atau latarbelakang gembala kambing kah?"

"Tidak ada. Aku ini dulunya ahli koperat."

"Macamana boleh minat bela kambing?"

"Entah le, agaknya aku sudah bosan kerja 'jaga' manusia kot..."

"Kau tak rasa stress ker tukar profession ni? Elok-elok duduk dalam bilik aircond terus duduk dalam kandang ini?"

"Tidak. Aku rasa bahagia sangat. Rasa tenang bila tengok kambing-kambing ni. Terutama bila melihat mereka beranak pinak..."

"Senang ker bela kambing?"

"Tidak lah kata senang sangat, cuma tidak banyak karenah. Selagi kita jaga makan minum dia dengan baik, ubat ikut jadual, jaga kebersihan kandang, kambing-kambing kita tidak akan menyusahkan kita. Dia tidak ada hendak piket minta naik gaji dan sebagainya. Lagipun pulangannya lumayan juga.."

Hemmm... itu lah antara dialog-dialog terakhir sebelum rakan saya itu meminta diri. Sempat juga saya ber-crash course dengan rakan saya itu, tentang akitiviti gembala kambing. Dia memang tidak kedekut ilmu dan maklumat. Terima kasih M.

Di rumah, saya bercerita dengan mama Kak Yong tentang rakan saya itu. Mulalah saya berangan-angan, menjadi gembala kambing. Maklumlah angan-angan bukan kena bayar pun.

Saya kata dengan mama Kak Yong: "Kalau saya jadi gembala, saya nak pasang wifi dalam kandang saya itu..."

"Abang nak buat apa pasang wifi?"

"Yelah, senang nak monitor akaun dan jadual melalui Google Spreadsheet. Kalau penat sembang dengan kambing, boleh menulis buku, update blog atau YM dengan kawan-kawan: Razib, Jid, Pak Melvi, etc. Kalau mama nak sembang dengan abang pun senang, jimat bil talipon. Ni kira internet marketing juga ler!"

"Hemm... elok lah tu, nanti sibuk berYM, kambing kena makan harimau pun tak perasan..."

Malam itu saya tidur dengan ditemani angan-angan. Angan-angan tidak kena bayar. Beranganlah banyak-banyak, supaya satu hari nanti ada antaranya menjadi realiti. Insya'Allah, kalau diusahakan.

Gembala kambing?... itu 'kan sunnah nabi-nabi? Buat masa ini saya masih berlum terfikir untuk berpindah jauh ke profession lain. Akan datang tu wallahu'alam.

Monday, August 6, 2007

Meeting

Hari ini adalah hari meeting sedunia. Bukan satu dunia di alam fana ini bermesyuarat. Tetapi, dunia saya hari ini adalah penuh dengan mesyuarat. Seharian suntuk.

Jam 10 pagi hingga hampir 2 petang ada mesyuarat pengurusan. Itu kira cepat juga habis. Biasanya dekat jam 3 baru mesyuarat ditangguhkan. Maklumlah.. pengurus-pengurus PTS ni banyak sangat isu antarabangsa yang hendak di bincangkan. Isu-isu 'kawasan parlimen' masing-masing, isu 'kebangsaan' dan sebagainya. Itu tidak termasuk main tarik tali, tawar menawar dan tolak menolak dengan barisan kabinet lain tentang produk siapa yang nak kena tangguh penerbitannya. Cita-cita tinggi, tetapi bajet bulanan tidak mengizinkan untuk merealisasi semuanya. Siapa-siapa yang produk kena pangkah tu, senyum sahajalah... no hard feeling.. honest!

Selesai mesyuarat di HQ Batu Caves, terus pecut ke Wangsa Melawati. Perut sudah tidak tahan keroncong. Sarapan dua set roti bakar, tidak mampu menjana tenaga yang mencukupi untuk otak yang terperah sepanjang parlimen bersidang tadi.

Saya tidak terus ke Melawati, sebaliknya singgah sebentar ke Taman Permata. Dalam mesyuarat tadi mama Kak Yong sudah sms: "Kalau hendak balik makan, lauk semua ada bawah tudung saji..." Hemm... sempat juga mama siapkan makanan sebelum ke sekolah sambil 'bersilat' dengan tiga permata hati di rumah itu.

Tidak sampai tiga suapan nasi, selera saya terbantut apabila Sdr Ikram 'Din' PTSM menghantar sms: "Mesyuarat di Darussalam, Setiawangsa jam 2.30pm." Waktu itu jam 2.15pm. Tanpa berlengah saya segera menyudahkan sisa-sisa nasi dengan penuh 'tertib'. Tiga suapan dan sekali telan... kemahiran yang saya pelajari ketika dalam askar dulu. Bukan gelojoh atau express rakyat, tetapi survival!

Lepas solat zuhur, dengan pantas saya memecut ke Setiawangsa. Berapakah kelajuan kereta yang saya pandu?... Bukan membangga diri, tetapi cukuplah buat saya beristighfar panjang. Perjalanan yang biasanya mengambil masa 15 minit, menjadi 5 minit sahaja!! Saya tiba lewat 2-3 minit dari masa yang dijanjikan. Sesuatu yang saya cukup tidak gemar, lewat ke mesyuarat. Ikram dan Fauzul telah sedia menunggu. Sebenarnya saya tersilap key-in masa mesyuarat. Dalam PDA saya tercatat 3.30pm. Nasib Ikram Din ingatkan.

Mesyuarat di Darussalam tamat jam 4.45pm... lebih kurang. Jam 5.05pm kembali ke pejabat. Belum sempat duduk hendak merehatkan urat-urat otak... saya dipanggil mesyuarat tidak rasmi secara online dengan rakan melalui YM.. - projek bawah tanah - bukan gali kubur ye!.

Kemudian bermesyuarat tidak rasmi lagi dengan teman-teman setugas dan editor Islamika, Fir yang masih belum balik... atau mungkin hendak balik tetapi saya yang buat-buat tidak faham.

Saya bertanya Fir: "Kenapa ramai orang hendak balik ni.. rasanya macam awal lagi."

Jawab Fir: "Sekarang ini sudah hampir 6.30pm... bukan awal lagi dah ni!"

Alamak! baru teringat, saya perlu segera ambil Isteri yang habis sekolah jam 6.30pm.

Lewat petang itu, setelah mengambil isteri, saya singgah ke rumah emak untuk mengambil anak-anak. Mereka ke rumah emak dari nursery kerana mengikut sepupu mereka. Di rumah, emak mengajak bermesyuarat sebentar tentang beberapa perancangan untuk Sekolah al-Ikhlas.

Lepas Maghrib pulang ke rumah. Malam tadi pergi ke Gym. Bunkan hendak menguruskan badan saya yang tidak gemuk ini, tetapi sekadar mengeluarkan peluh-peluh malas yang membeku dek sejuk aircond.. Sebelum pulang, mesyuarat tidak rasmi lagi di depan Gym. Agenda... perancangan beberapa aktiviti almuni (tidak rasmi) es SRKTM - penilaian darjah enam 1987.

Tiba di rumah, semua sudah lena kecuali... Sameer. Sameer yang masih segar bugar sedang asyik bermain seorang diri. Selepas solat isyak bermakmumkan Sameer yang sibuk menggulung sejadah dan menarik kain babanya... (sehingga hampir terlondeh), maka sekali lagi saya bermesyuarat!

Bermesyuarat dengan Sameer. Agendanya, kenapa Sameer masih belum tidur? Respon Sameer, adalah gelak tawa yang terkekeh-kekeh dan terlompat-lompat atas riba. Itu sudah cukup sebagai terapi mengendurkan otot-otot mudulla obloganta saya yang tegang sepanjang hari ini...

Selamat hari mesyuarat sedunia untuk saya dan mereka yang sewaktu dengannya.

Friday, August 3, 2007

Sameer dapat

Permata hati saya yang bongsu ini baru pandai menghesot. Usianya baru hendak masuk 8 bulan. Baru cuba-cuba mengangkat badan untuk merangkak. Berbeda dengan abang dan kakaknya, Sameer agak lewat menguasai kemahiran merangkak. Kendati pun begitu, menghesot bukanlah halangan untuk si Sameer menerokai seluruh penjuru alam dalam rumahnya. Pantang lepas dari pandangan, Sameer pasti hilang, merayap dan menjelajah kemana sahaja yang disukainya. Terutama, apabila Kak Yong dan Abang Chor sudah penat bermain bersama atau leka dengan urusan masing-masing.

Tadi malam saya meletakkan Sameer di atas katil. Cuba untuk memaksanya tidur awal, supaya tidak menganggu abang dan kakaknya menulis. Namun, sebaik di atas katil, Sameer memberontak untuk turun. Saya hanya memerhatikan gelagat Sameer yang berusaha untuk turun dari katil yang agak tinggi itu.

Sameer menghesot ke hujung katil dan menghulur tangannya ke bawah. Mungkin cuba merasakan mana-mana bahagian yang boleh dicapai. Atau pun, cuba mengagak ketinggian katil itu. Dia kemudian berpusing dan mula menghulurkan kakinya turun. Dia seperti kanak-kanak yang sudah pandai berjalan. Langsung tidak mempedulikan Babanya yang berada ditepi. Apatah lagi hendak meminta pertolongan seperti memaut lengan dan sebagainya. Saya hanya memerhati dab berjaga-jaga untuk mencapai Sameer sekiranya dia terjatuh.

Saya fikir Sameer tentu tahu dia tidak pandai berjalan. Namun, dia tetap berusaha untuk turun. Sedikit pun tidak kelihatan seperti berputus asa. Lagaknya tidak seperti kanak-kanak sebayanya. Perlahan-lahan, akhirnya kaki Sameer berjaya menjejak lantai. Dia kemudian melepaskan tangan dan merebahkan badan. Saya terlebih dahulu menyambut Sameer sebelum badannya menyentuh lantai dan kemudian membiarkannya di atas lantai. Dengan pantas Sameer menghesot keluar dari bilik untuk menyertai Abang Chor dan Kak Yong yang sedang leka melukis dan menulis.

Melihat gelagat Sameer, saya teringat kata-kata Jack Canfield dalam bukunya 'The Succes Principles: "Kanak-kanak tidak mempunyai frasa 'saya tidak boleh lakukan' dalam mindanya. Kanak-kanak sentiasa yakin dia boleh buat apa sahaja." Kata Jack lagi: "Untuk menjadi orang berjaya, langkah awal adalah membuang frasa 'saya tidak boleh lakukan' dalam otak kita..."

Hemm... saya yakin Sameer tidak membaca buku Jack Canfield itu, tetapi apa yang dikatakan oleh Jack itu telah dibuktikannya dihadapan saya.

"Apa yang kita ucapkan dalam diri kita menjadi konsep dan bahasa kita. Bahasa kita mempengaruhi tingkah laku. Bahasa diri yang positif mendorong tingkah laku positif... " itu lah kata-kata Pn Ainon yang saya pegang. Dan, kata Pn Ainon lagi: "Perkataan 'boleh' membawa makna 'izin'. Oleh itu kata-kata 'Saya boleh!' adalah tidak tepat... gantikan dengan 'Saya dapat!'.

Malam ini... "Saya dapat!" Munkin itu kata-kata Sameer ketika berusaha untuk turun dari katil dan melepasi halangan 'raksasa' yang cuba memaksanya tidur awal ini!

Wallahu'alam