Monday, August 6, 2007

Meeting

Hari ini adalah hari meeting sedunia. Bukan satu dunia di alam fana ini bermesyuarat. Tetapi, dunia saya hari ini adalah penuh dengan mesyuarat. Seharian suntuk.

Jam 10 pagi hingga hampir 2 petang ada mesyuarat pengurusan. Itu kira cepat juga habis. Biasanya dekat jam 3 baru mesyuarat ditangguhkan. Maklumlah.. pengurus-pengurus PTS ni banyak sangat isu antarabangsa yang hendak di bincangkan. Isu-isu 'kawasan parlimen' masing-masing, isu 'kebangsaan' dan sebagainya. Itu tidak termasuk main tarik tali, tawar menawar dan tolak menolak dengan barisan kabinet lain tentang produk siapa yang nak kena tangguh penerbitannya. Cita-cita tinggi, tetapi bajet bulanan tidak mengizinkan untuk merealisasi semuanya. Siapa-siapa yang produk kena pangkah tu, senyum sahajalah... no hard feeling.. honest!

Selesai mesyuarat di HQ Batu Caves, terus pecut ke Wangsa Melawati. Perut sudah tidak tahan keroncong. Sarapan dua set roti bakar, tidak mampu menjana tenaga yang mencukupi untuk otak yang terperah sepanjang parlimen bersidang tadi.

Saya tidak terus ke Melawati, sebaliknya singgah sebentar ke Taman Permata. Dalam mesyuarat tadi mama Kak Yong sudah sms: "Kalau hendak balik makan, lauk semua ada bawah tudung saji..." Hemm... sempat juga mama siapkan makanan sebelum ke sekolah sambil 'bersilat' dengan tiga permata hati di rumah itu.

Tidak sampai tiga suapan nasi, selera saya terbantut apabila Sdr Ikram 'Din' PTSM menghantar sms: "Mesyuarat di Darussalam, Setiawangsa jam 2.30pm." Waktu itu jam 2.15pm. Tanpa berlengah saya segera menyudahkan sisa-sisa nasi dengan penuh 'tertib'. Tiga suapan dan sekali telan... kemahiran yang saya pelajari ketika dalam askar dulu. Bukan gelojoh atau express rakyat, tetapi survival!

Lepas solat zuhur, dengan pantas saya memecut ke Setiawangsa. Berapakah kelajuan kereta yang saya pandu?... Bukan membangga diri, tetapi cukuplah buat saya beristighfar panjang. Perjalanan yang biasanya mengambil masa 15 minit, menjadi 5 minit sahaja!! Saya tiba lewat 2-3 minit dari masa yang dijanjikan. Sesuatu yang saya cukup tidak gemar, lewat ke mesyuarat. Ikram dan Fauzul telah sedia menunggu. Sebenarnya saya tersilap key-in masa mesyuarat. Dalam PDA saya tercatat 3.30pm. Nasib Ikram Din ingatkan.

Mesyuarat di Darussalam tamat jam 4.45pm... lebih kurang. Jam 5.05pm kembali ke pejabat. Belum sempat duduk hendak merehatkan urat-urat otak... saya dipanggil mesyuarat tidak rasmi secara online dengan rakan melalui YM.. - projek bawah tanah - bukan gali kubur ye!.

Kemudian bermesyuarat tidak rasmi lagi dengan teman-teman setugas dan editor Islamika, Fir yang masih belum balik... atau mungkin hendak balik tetapi saya yang buat-buat tidak faham.

Saya bertanya Fir: "Kenapa ramai orang hendak balik ni.. rasanya macam awal lagi."

Jawab Fir: "Sekarang ini sudah hampir 6.30pm... bukan awal lagi dah ni!"

Alamak! baru teringat, saya perlu segera ambil Isteri yang habis sekolah jam 6.30pm.

Lewat petang itu, setelah mengambil isteri, saya singgah ke rumah emak untuk mengambil anak-anak. Mereka ke rumah emak dari nursery kerana mengikut sepupu mereka. Di rumah, emak mengajak bermesyuarat sebentar tentang beberapa perancangan untuk Sekolah al-Ikhlas.

Lepas Maghrib pulang ke rumah. Malam tadi pergi ke Gym. Bunkan hendak menguruskan badan saya yang tidak gemuk ini, tetapi sekadar mengeluarkan peluh-peluh malas yang membeku dek sejuk aircond.. Sebelum pulang, mesyuarat tidak rasmi lagi di depan Gym. Agenda... perancangan beberapa aktiviti almuni (tidak rasmi) es SRKTM - penilaian darjah enam 1987.

Tiba di rumah, semua sudah lena kecuali... Sameer. Sameer yang masih segar bugar sedang asyik bermain seorang diri. Selepas solat isyak bermakmumkan Sameer yang sibuk menggulung sejadah dan menarik kain babanya... (sehingga hampir terlondeh), maka sekali lagi saya bermesyuarat!

Bermesyuarat dengan Sameer. Agendanya, kenapa Sameer masih belum tidur? Respon Sameer, adalah gelak tawa yang terkekeh-kekeh dan terlompat-lompat atas riba. Itu sudah cukup sebagai terapi mengendurkan otot-otot mudulla obloganta saya yang tegang sepanjang hari ini...

Selamat hari mesyuarat sedunia untuk saya dan mereka yang sewaktu dengannya.

No comments: