Friday, August 3, 2007

Sameer dapat

Permata hati saya yang bongsu ini baru pandai menghesot. Usianya baru hendak masuk 8 bulan. Baru cuba-cuba mengangkat badan untuk merangkak. Berbeda dengan abang dan kakaknya, Sameer agak lewat menguasai kemahiran merangkak. Kendati pun begitu, menghesot bukanlah halangan untuk si Sameer menerokai seluruh penjuru alam dalam rumahnya. Pantang lepas dari pandangan, Sameer pasti hilang, merayap dan menjelajah kemana sahaja yang disukainya. Terutama, apabila Kak Yong dan Abang Chor sudah penat bermain bersama atau leka dengan urusan masing-masing.

Tadi malam saya meletakkan Sameer di atas katil. Cuba untuk memaksanya tidur awal, supaya tidak menganggu abang dan kakaknya menulis. Namun, sebaik di atas katil, Sameer memberontak untuk turun. Saya hanya memerhatikan gelagat Sameer yang berusaha untuk turun dari katil yang agak tinggi itu.

Sameer menghesot ke hujung katil dan menghulur tangannya ke bawah. Mungkin cuba merasakan mana-mana bahagian yang boleh dicapai. Atau pun, cuba mengagak ketinggian katil itu. Dia kemudian berpusing dan mula menghulurkan kakinya turun. Dia seperti kanak-kanak yang sudah pandai berjalan. Langsung tidak mempedulikan Babanya yang berada ditepi. Apatah lagi hendak meminta pertolongan seperti memaut lengan dan sebagainya. Saya hanya memerhati dab berjaga-jaga untuk mencapai Sameer sekiranya dia terjatuh.

Saya fikir Sameer tentu tahu dia tidak pandai berjalan. Namun, dia tetap berusaha untuk turun. Sedikit pun tidak kelihatan seperti berputus asa. Lagaknya tidak seperti kanak-kanak sebayanya. Perlahan-lahan, akhirnya kaki Sameer berjaya menjejak lantai. Dia kemudian melepaskan tangan dan merebahkan badan. Saya terlebih dahulu menyambut Sameer sebelum badannya menyentuh lantai dan kemudian membiarkannya di atas lantai. Dengan pantas Sameer menghesot keluar dari bilik untuk menyertai Abang Chor dan Kak Yong yang sedang leka melukis dan menulis.

Melihat gelagat Sameer, saya teringat kata-kata Jack Canfield dalam bukunya 'The Succes Principles: "Kanak-kanak tidak mempunyai frasa 'saya tidak boleh lakukan' dalam mindanya. Kanak-kanak sentiasa yakin dia boleh buat apa sahaja." Kata Jack lagi: "Untuk menjadi orang berjaya, langkah awal adalah membuang frasa 'saya tidak boleh lakukan' dalam otak kita..."

Hemm... saya yakin Sameer tidak membaca buku Jack Canfield itu, tetapi apa yang dikatakan oleh Jack itu telah dibuktikannya dihadapan saya.

"Apa yang kita ucapkan dalam diri kita menjadi konsep dan bahasa kita. Bahasa kita mempengaruhi tingkah laku. Bahasa diri yang positif mendorong tingkah laku positif... " itu lah kata-kata Pn Ainon yang saya pegang. Dan, kata Pn Ainon lagi: "Perkataan 'boleh' membawa makna 'izin'. Oleh itu kata-kata 'Saya boleh!' adalah tidak tepat... gantikan dengan 'Saya dapat!'.

Malam ini... "Saya dapat!" Munkin itu kata-kata Sameer ketika berusaha untuk turun dari katil dan melepasi halangan 'raksasa' yang cuba memaksanya tidur awal ini!

Wallahu'alam

No comments: