Tuesday, January 29, 2008

Malu

Pada suatu hari Imam Shubah bin al Hajaj sedang dalam perjalan pulang ke rumah dari kota. Ketika dalam perjalanan pulang, beliau telah disapa oleh seorang lelaki yagn bernama Abdullah. Abdullah terkenal sebagai seorang yang suka mengganggu orang, berbuat jahat dan bangga dengan sikapnya itu.

Abdullah berkata kepada al-Hajaj: "Wahai sarjana hadis termasyhur? Ceritakanlah saya sepotong hadis."

Al-Hajaj yang terkenal dengang gelaran amirul mukminin fi hadis (penghulu orang beriman dalam ilmu hadis) cuba mengelak. Dia enggan melayan karenah Abdullah. Namun, Abdullah yang berdiri dihadapan al-Hajaj enggan membenarkan sarjana hadis itu lalu.

Dengan nada yang tegas al-Hajaj berkata kepada Abdullah: "Ini bukan caranya hendak mempelajari ilmu hadis!"

Abdullah hanya tersenyum sinis. Dengan suara menguggut, dia berkata: "Adakah tuan tidak mahu menceritakan kepada saya sepotong hadis?"

Al-Hajaj khuatir dia akan dicederakan oleh Abdullah. Oleh itu, al-Hajaj menuruti kehendak Abdullah. Dia memetik sebuah hadis dengan terlebih dahulu membaca pelapor-pelapor hadis tersebut (sanad) bermula daripada Nabi Muhammad. Al-Hajaj kemudian berkata kepada Abdullah: "Nabi Muhammad berkata: "Sekiranya kamu tidak ada perasaan malu, maka buatlah apa sahaja."

Abdullah tersentak mendengar hadis yang dibacakan itu. Dengan suara yang terketar-ketar dia berkata: "Tuan yang mulia, saya sebenarnya hanya ingin menganggu tuan. Hadis yang tuan sebutkan itu membuatkan saya terasa seperti ditujukan kepada saya. Saya terasa seperti nabi Muhammad berkata kepada saya. Maafkan saya tuan, saya berjanji tidak lagi mengganggu tuan dan sesiapa sahaja. Bahkan saya memohon ampun kepada Allah."

Hadis yang dibaca oleh al Hajaj itu telah serta merta menyedakan Abdullah. Abdullah bukan sahaja bertaubat kepada Allah, malah dia menjadi murid al-Hajaj yang setia. Selepas Imam Shu'bah al Hajaj meninggal sekitar tahun 100 hijrah, Abdullah mengambil tempatnya mengajar ilmu hadis. Beliau menjadi sarjana ilmu Hadis dan dikenali sebagai Sheikh Abdullah bin Musalamah Qa'nawi.

-----

"Malu adalah sebahagian daripada Iman" (hadis direkodkan oleh Imam Muslim).

Perasaan malu mampu menghalang diri sesorang daripada melakukan perkara yang dilarang Allah. Perasaan malu menyebabkan seseorang yang melanggar hukum agama dan norma masyarakat berasa bersalah dan resah.

Wallahu'alam.

Monday, January 28, 2008

Mengantuk

Tengahari ini, waktu rehat makan tengahari, saya masih tekun di meja. Membelek manuskrip-manuskrip mentah yang diterima. Manuskrip yang perlu dinilai daripada pelbagai sudut dan perspektif sebelum diputuskan untuk diterima atau tidak.

Tengahari ini, ketika teman-teman sedang menikmati nasi campur di bawah pokok atau tapau untuk dibawa pulang ke pejabat, saya masih di meja kerja.

Rasanya sejak tadi sudah beberapa kali tangan ini menutup mulut yang menguap. Walaupun tidak sehebat badak air, namun ia sudah cukup untuk menjadi perangkap maut sang lalat atau apa-apa sahaja serangga yang terbang berhampiran.

Ketika ini, terasa seperti mahu melenakan mata sebentar. Tetapi, dengan keadaan ngantuk yang sebegini, saya tidak yakin akan terlena sebentar. Takut lenanya nanti meleret ke sejam atau lebih...

Oleh itu, biarlah sang ngantuk menggoda-goda mata ini dengan pelbagai ilusi indah. Namun, untuk melenakan mata barang sebentar, belum lagi terfikir.

Banyak yang perlu dibereskan dalam masa yang terasa cukup pantas bergerak ini. Sang ngantuk boleh menungg, tetapi masa tidak sekali-kali. Biarlah segelas kopi O kurang gula dan bergelas-gelas air suam gagal menewaskan sang ngantuk, saya tidak mengalah... atau sekurang-kurannya hingga saat ini. Harapnya juga sehingga jam tiga nanti....

Kenapa jam tiga? Kerana jam tiga nanti, ada wartawan dari Berita Harian akan datang ke pejabat untuk menemuramah saya. Kalau saya tewas di tangan sang ngantuk, otak saya akan membeku, sejuk dan tawar. Dan kalau gambar saya diambil nanti, pasti seluruh pelusuk tanah air nanti tertawa akan melihat wajah yang ibarat sang kucing Garfield kesiangan.

Kenapa wartawan hendak menemuramah saya?... entahlah, saya pun tidak tahu dan masih tertanya-tanya. Soalan itu perlu dijawab oleh Puan Azharisyam, PR kami yang mengaturkan pertemuannya...

wallahu'alam.

Penapis Bicara

Di kota Bahgdad, ketika zaman kegemilangan empayar Islam Abasiyah, ada cendiakawan tersohor. Pada suatu hari, seorang lelaki datang berjumpanya dengannya.

Lelaki itu berkata: "Tuan, tahukah apa yang saya dengar tentang sahabat tuan... si polan?"

Cediakawan itu tidak menjawab soalan tersebut. Sebaliknya dia bertanya: "Wahai saudaraku yang budiman, sebelum saudara menyampaikan berita tentang sahabat saya itu, saudara perlu melalui penapis bicara tiga serangkai terlebih dahulu."

Lelaki itu yang agak kehairanan bertanya kembali: "Wahai tuan yang bijaksana, apakah yang tuan maksudkan dengan penapis bicara ini?"

Jawab cendiakawan sambil tersenyum: "Wahai saudaraku, sebelum saudara menyampaikan sesuatu berita, mari kita merenung sejenak, menilai kandungan bicara saudara terlebih dahulu. Supaya kita kelak kita sentiasa dalam rahmat Allah. Soalan saya yang pertama adalah, adakah apa yang saudara ingin katakan ini sesuatu yang benar?"

"Saya tidak pasti tentang kesahihan berita tersebut. Saya dengar dari seseorang dan saya fikir hendak menyampaikannya kepada tuan" Jawab lelaki itu serba salah.

Cendiakawan itu bertanya lagi: "Baiklah, saya ingin bertanya soalan kedua pula. Adakah kandungan berita ini sesuatu yang baik atau tidak?"

Lelaki itu semakin berasa serba salah, namun dia terus menjawab: "Tidak, ia bukanlah berita baik sebenarnya."

Cendiakawan itu terus berkata: "Baiklah, saudara tidak pasti tentang kesahihan berita tersebut dan kandungan berita tersebut bukanlah sesuatu yang baik. Namun, saudara masih ada peluang untuk lulus ujian penapis bicara ini. Soalan saya yang terakhir, adakah berita yang saudara hendak sampaikan ini bermanfaat kepada saya?"

Lelaki tersebut mengalah dengan soalan yang ketiga itu. Dengan wajah tertunduk malu, dia menjawab: "Sebenarnya, saya tidak pasti sama ada ia bermanfaat atau tidak, cuma..." Lidahnya kelu. Tidak mampu menuruskan bicaranya.

Dengan suara yang tegas, cendiakawan itu berkata: "Sekiranya berita tersebut tidak benar, bukan berita baik dan tidak bermanfaat kepada saya, maka kenapakah saudara masih ingin menyampaikannya kepada saya?"

Dia menyambung lagi: "Ingatlah amaran Allah dalam Quran, surah al Hujurat (ayat 12): 'Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengata sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang."

----

Cerita diatas diolah semula daripada cerita yang diforwardkan kepada saya oleh seorang teman subuh tadi. Peringatan buat saya untuk dikongsi bersama teman-teman. Wallahu'alam.

Monday, January 21, 2008

Ayat yang pening dibaca

Berkut adalah contoh ayat-ayat dalam manuskrip yang diterima Islamika. Bolehkah saudara memahaminya?... Cuba cadangkan kepada saya contoh ayat yang lebih mesra, mudah difahami dan tidak mengah apabila dibaca dengan satu nafas.

1. Sayid Qutb ketika menghuraikan ayat ini memberi penjelasan, adalah satu kemestian kepada segolongan umat Islam untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan semestinya mereka mempunyai kekuasaan untuk menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran.

2. Untuk menyempurnakan dan mengukuhkan pengajian dalam ilmu aqidah perlu diketahui juga berkenaan dengan firqah-firqah atau golongan-golongan yang lahir dalam masyarakat umat Islam kerana berlaku di dalamnya perbincangan-perbincangan hangat berkenaan aqidah dan menyentuh perkara yang berhubung dengannya, perkara ini berlaku oleh gangguan-gangguan yang lahir dari dalam, di samping berlakunya gangguan luar yang menggugat iman yang sebenarnya, berhubung dengan gangguan yang lahir dari dalam disebut dalam hadis Rasulullah SAW Ertinya...

3. Apabila orang-orang yang bernama Islam dan mengaku Islam memandang ringan terhadap Islam, sehingga mereka tidak bersungguh-sungguh berpegang dan menyelesaikan masalah dengan Islam, lalu mereka mudah terpengaruh dengan fahaman-fahaman yang dicipta dari dalam oleh kejahilan atau mempunyai niat-niat jahat terhadap Islam oleh musuh yang berpura-puraa dan juga di ambil dari luar, ke semua fahaman itu mempunyai pengikut dan dipertahankan dengan bersungguh dan mengorbankan apa sahaja.

Sunday, January 20, 2008

Buku yang nikmat dibaca

Menurut teori Abraham Maslow, antara keperluan manusia dalam kehidupan adalah estim diri. Tanpa estim diri, manusia boleh mati. Walau pun tidak sepenting makan dan minum, estim diri boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Sama ada individu itu membunuh diri, dibunuh atau membunuh orang lain dan sebagainya.

Dalam bahasa mudah, estim diri adalah perasaan seronok kepada diri sendiri. Sebagai contoh, sekiranya pada hari ini kita berasa seronok, bermakna estim diri kita tinggi. Sekiranya estim tinggi, tingkah laku juga positif. Estim dan tingkahlaku berkolerasi.

Oleh kerana manusia ingin berasa seronok, maka dia akan membuat sesuatu yang dapat memenuhi keperluan dirinya itu. Ini termasuklah dalam hal membaca. Apabila seseorang membaca buku, dia ingin mendapat nikmat keseronokan dari pembacaannya itu. Apabila seronok, dia terus membaca dan kemungkinan besar mengamalkan apa yang dibacanya itu. Atau setidak-tidaknya menghabiskan apa yang dibacanya dengan hati yang lapang dan gembira.

Namun, sekiranya seseorang itu tidak seronok dengan apa yang dibacanya, dia akan berhenti membaca. Dia mungkin meneruskan pembacaannya, tetapi dengan hati yang berat dan resah. Malah, dia mungkin tidak mengamalkan apa yang dibacanya itu sama sekali. Lebih parah, dia mungkin menafikan atau memprotes apa yang dibacanya itu.

Buku yang nikmat dibaca adalah yang dapat memenuhi keperluan estim diri pembaca. Estim diri juga datang dari konsep diri. Konsep diri ialah dialog diri, bahasa diri atau persepsi diri. Setiap individu yang mempunyai estim diri yang tinggi, juga mempunyai konsep diri yang positif terhadap dirinya. Iaitu, dia menganggap dirinya adalah pandai atau sekurang-kurangnya berpelajaran.

Maka, individu yang membaca buku dan ingin meningkatkan potensi diri, biasanya adalah individu yang mempunyai estim diri dan konsep diri yang positif. Individu tersebut mencari buku yang memenuhi atau selari dengan kedua-dua keperluan itu. Sekiranya buku yang dibaca memenuhi kedua-dua keperluannya itu, maka dia lebih mudah bersetuju dengan apa yang dibacanya. Seterusnya, dia juga lebih terpengaruh untuk mengamalkan segala tip-tip, panduan, dorongan dan saranan daripada buku itu.

Oleh yang demikian, penulis yang ingin menulis buku dengan tujuan mendorong perubahan tingkahlaku pembaca perlu memenuhi keperluan estim dan konsep diri pembaca. Ini supaya, buku itu menjadi nikmat apabila dibaca. Dan yang penting ia lebih persuasif atau mempunyai daya pengaruh yang tinggi.

Bagaimana untuk menulis buku yang persuasif dan nikmat dibaca?... datanglah ke bengkel UNIKA.

Saturday, January 19, 2008

Batuk

Sudah hampir tiga minggu batuk ini tidak hilang. Sudah sebotol ubat batuk habis. Bepaket-paket gula-gula ubat batuk dibeli dan bermacam-macam petua di cuba. Namun, masih seperti ini. Setiap kali batuk terasa bagai hendak terkeluar biji mata dan pasti diikuti oleh sakit kepala.

Di rumah, Hidayah, Kak Yong, Abang Chor dan Sameer turut batuk. Sebenarnya Sameer yang mula-mula batuk. Teruknya batuk Sameer lebih kurang macam baba dia. Tetapi dia akan diikuti dengan muntah kahak dan lendir yang banyak.

Masuk semalam sudah dua kali pergi ke Klinik Keluarga untuk Dr Noraini sedut kahak Sameer. Semalam juga Dr Noraini... (atau lebih dikenali dengan Kak Ani) cadangkan untuk pergi buat dianogsis X-ray. Takut banyak kuman di paru-parunya. Kalau banyak kuman, Sameer perlu dirujuk ke hospital. Namun, alhamdulillah keputusan x-ray tidak memerlukan Sameer ke hospital. Cuma perlu diteruskan dengan ubat-ubat seperti biasa.

Err... memberi ubat kepada Sameer memerlukan kesabaran psikologi yang tinggi. Untuk memujuk dia makan tiga jenis ubat sahaja, mamanya perlu memujuk rayu, mengejar dan memberi sedikit demi sedikit selama hampir satu jam lebih. Kalau serahkan kepada baba, alamatnya kaki, tangan Sameer kena dikepit dan mulut dipegang baru boleh disumbatkan ubat. Itu pun hanya kurang 50% yang ditelan, bakinya diluakkan semula. Hemm... kesian. Mamanya tidak akan sanggup tengok. Rasa-rasa saya waktu kecil dahulu tidak seteruk itu kot... agaknya le.

Sepanjang malam tadi batuk Sameer semakin kurang, tetapi, batuk babanya pula semakin teruk. Pagi ini hampir-hampir tidak ada suara. Ini rasa-rasa penangan pengat durian 'Musang King' yang dibawa Sifu ke pejabat semalam.

Pagi ini juga saya terpaksa menyerah kalah. Selama ini saya mengelakkan untuk berjumpa doktor dan mengambil anti-biotik. Namun, penderitaan sepanjang malam tadi membuatkan saya mengangkat bendera putih.

Semoga dengan izin Allah ubat-ubat yang diambil ini mujarab. Esok pagi dan hari Ahad, saya perlu mendapatkan semula suara. Ada kelas di UIA dan UNITAR... Pastinya saya tidak mahu pelajar saya melihat wayang 'Charlie Charplin di kelas mereka... wallahu'alam

Friday, January 18, 2008

Ciplak Karya

Cerita tentang artis yang menciplak karya orang lain, terbitkan dan jual buku tersebut memang menarik. Sungguh berani artis ini.

Teringat kisah lama di PTS. Dua tiga tahun lepas, manuskrip yang sedang diproses telah diciplak dan diterbitkan. Buku karya oleh seorang penulis PTS tentang kisah hidup seorang 'pakar' motivasi (yang tidak terkenal). Si penulis itu menghantar draf akhir manuskrip kepada motivator tersebut untuk disemak. Ia bagi memastikan sama ada fakta dan ceritanya betul. Penulis ini bersangka baik kepada sang motivator dengan menghantar softcopy manuskrip dengan harapan sebarang kesilapan boleh terus diperbetulkan secara online.

Namun, pakar tersebut rupa-rupanya secara diam-diam telah menyalahgunakan kepercayaan penulis. Beliau menyalin fail manuskrip tersebut. Motivator ini kemudiannya meminta berberapa perkara yang tidak munasabah daripada PTS dan penulis. Seperti, mendesak agar royalti penuh dibayar kepada beliau, kerana itu adalah cerita tentang beliau. Walaupun motivator itu tidak menulis walau satu ayat pun. Waktu awal-awal projek penulisan beliau, tidak pula keluar karenah beliau itu.

Oleh kerana tidak sepakat, penulis tersebut kemudiannya secara diam-diam menerbitkan buku itu sendiri, dan meletakkan namanya sebagai penulis. PTS hanya mengetahui tentang perkara tersebut setelah hampir setahun kemudian, ketika buku tersebut sedang dalam proses penyuntingan. Kebetulan buku tersebut dijual oleh konsultannya di pasaraya Giant Hulu Kelang, berdekatan dengan tempat bengkel UNIKA, tempat Pn Ainon mengajar. Jadi ini kira caught in red. Panjang lagi ceritanya ni tetapi, cukup sampai di sini sahaja yang saya kongsi. Sekadar mengenang kisah lalu. Kisah penipu dan perompak yang bertopengkan motivator.

Kes menciplak di PTS ini tidak berakhir disitu. Editorial PTS sehingga hari ini, beberapa kali menerima manuskrip yang mengandungi unsur-unsur plagiarism. Nasib editor perasan, jadi dapatlah reject awal-awal dan memberi amaran kepada pernulis tersebut.

Cabaran buat tim editorial PTS semakin besar, sama besarnya dengan nama PTS itu sendiri. Ramai orang hendak cepat terkenal dan kaya tanpa mempedulikan cara mereka. Tidak kurang ramai juga penulis yang tidak memahami undang-undang harta intelek ini. Akibatnya, sama ada mereka ditipu orang (penerbit dsb) atau mereka pula yang menipu dan menciplak, sedar atau tidak.

Beberapa orang ustaz pernah datang ke PTS bagi menerbitkan karya terjemahan yang tidak diminta izin terjemah dari penulis asal. Maka terpaksalah dengan panjang lebar kami menerangkan kesalahan ustaz tersebut. Selagi beliau tidak mendapatkan izin, selagi itulah PTS tidak menerbitkan karya sedemikian, walau setinggi mana pun demand terhadap buku tersebut.

Kata Sifu PTS, buku agama adalah buku yang paling banyak diciplak. Penulis buku agama adalah kelompok yang paling banyak menciplak dan melanggar undang-undang hakcipta. Kelompok ini jugalah yang paling banyak ditipu oleh penerbit, terutama pernerbit yang hendak cepat kaya. Dan, kelompok ini juga antara yang paling sukar untuk ditangani karenahnya.

Oleh itu bagi penulis dan bakal penulis, pastikan anda faham undang-undang hakcipta dan harta intelek ini sebelum menerbitkan karya. Sama ada karya asli, terjemahan atau adaptasi. Namun, sekiranya memang sengaja niat menciplak dengan tujuan hendak cepat kaya atau glamor, itu tidak dapatlah den hendak menolong. Sendiri jawablah depan Tuhan nanti.

Allah jua yang maha mengetahui.

Natasha Hudson dan Plagiarism

Ini email daripada Mat Jan yang menceritakan perihal Natahsa Hudson menciplak karya orang dan menjualnya. Kalaulah Mat Jan tidak hantar email ini, sehingga pagi semalam, saya tidak akan mengetahui siapalah hamba Allah ini. Muka mungkin pernah lihat kot... err.. tak kot... err.. dimana ye?



(gambar diambil daripada thestar.com.my)

---- from Mat Jan

Saya rasa isu ini menarik, jadi saya nak kongsi dengan kawan-kawan.

Kepada yang tak kenal Natasha Hudson, dia adalah model dan pelakon. Antara filem yang dia berlakon: Chermin dan Sumolah. Dia juga terkenal kerana kes perceraian dengan Mohd. Faiz Mohd. Raih, selepas hanya empat bulan berkahwin. Lepas tu dia berkahwin dengan Datuk Shahrin Zahari, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Ranhill. Macam-macamlah gossip tentang kes cerai dan kahwin dia, tapi saya nak cakap pasal isu lain.

Pertengahan tahun lepas, buku dia launch, buku puisi kanak-kanak, "Puisi Indah Si Pari-Pari". Siap masuk surat khabar. Ini link The Star:

http://thestar.com.my/lifestyle/story.asp?file=/2007/6/18/lifebookshelf/17910692&sec=lifebookshelf

Baru-baru ni, saya masuk blog Saharil Sanin (saharil.com), saharil letak puisi Natasha Hudson dan puisi Roger McGough, dengan frasa "So what do you think, coincidence or plagiarism?"

Lepas tu saya masuk blog Jannah Raffali (ifyoucanfindme.blogspot.com), pun isu yang sama.

Lepas tu saya masuk blog Sharon Bakar ( thebookaholic.blogspot.com), pun isu yang sama.

Ini adalah puisi yang dimaksudkan:

Kek Coklat
oleh Natasha Hudson

Saya mahu satu kehidupan,
Kamu mahu sesuatu yang lain,
Kita tidak dapat makan kek coklat,
Jadi kita makan sesama diri.

Bandingkan dengan:

Cake
oleh Roger McGough

i wanted one life
you wanted another
we couldn't have our cake
so we ate each other.

Kemudian, Natasha Hudson (yang juga seorang blogger) jawab di blog Jannah:

"hi there.. a blogger got me to check out some serious allegations here written in your site n honestly i have never heard of tht mcgough writer or read any of his poems.. maybe it so happen to be wht i wrote is similar to wht he had written."

Natasha claim "coincidently similar" (walaupun sajak melayu dia tak make sense dan tak rhyme). Tetapi, di blog Sharon, ada orang komen, "Kek Coklat" bukan satu-satunya puisi dalam buku "Puisi Indah Si Pari-Pari" yang sama dengan puisi orang putih. Lihat ini:

Si Kura-Kura Kecil
oleh Natasha Hudson

Ada seekor kura-kura kecil
tinggal di dalam kotak
berenang di tepi tasik
memanjat di atas batu

dia cuba menggigit nyamuk
dia cuba mengigit kutu

dia cuba menggigit berudu
dia cuba menggigit aku

dia berjaya menangkap nyamuk
dia berjaya menangkap kutu

dia berjaya menangkap berudu
tetapi dia tidak berjaya menangkap aku

Bandingkan dengan ini:

I Have a Little Turtle
oleh Nicholas Vachel Lindsay

I have a little turtle,
He lives in a box.
He swims in the water
And he climbs on the rocks.

He snapped at a minnow
He snapped at a flea

He snapped at a mosquito
And he snapped at me.

He caught the minnow,
He caught the flea,

He caught the mosquito,
But he didn't catch me!

Juga puisi ini:

Mentega kuning, jelly ungu, jem merah, roti hitam
oleh Natasha Hudson

ratakan tebal
katakan cepat

ratakan tebal
katakan cepat

sekarang ulang
sambil kamu makan

sekarang ulang
sambil kamu makan

janganlah bercakap
bila mulut kamu penuh

Bandingkan dengan ini:

Things We Like to Eat
oleh Mary Ann Hoberman

Yellow butter, purple jelly, red jam, black bread.
Spread it thick,
Say it quick.

Yellow butter, purple jelly, red jam, black bread
Spread it thicker,
Say it quicker.

Yellow butter, purple jelly, red jam, black bread
Now repeat it,
While you eat it.

Yellow butter, purple jelly, red jam, black bread
DonĂ­t talk
With your mouth full!

Natasha kantoi. Selepas isu ini panas, Natasha Hudson tutup blog dia ( natashalianahudson.blogspot.com). Mungkin dia malu. Mungkin dia rasa bersalah. Entah.

Seorang blogger, Vovin (bukan nama sebenar), siap email isu ini pada kawannya wartawan suratkhabar. Bayangkan kalau isu ini masuk media cetak atau elektronik, surely kerjaya penulisan Natasha akan berakhir di sini saja. Sebagai mana skandal seks boleh meruntuhkan masa depan politician, begitulah plagiarism boleh meruntuhkan masa depan penulis.

Nasib baiklah Natasha Hudson cuma "penulis tipu-tipu" (i mean, dia artis, bini Datuk, "menulis" bukan sumber pendapatan dia). Kalau dia penulis betul-betul, memang habislah dia.

Plagiarism adalah isu yang serius.

Pengalaman Fortuna: pernah sekali ada writer hantar proposal novel kat Shikin. Lepas saya baca, saya kata, "Shikin, ni macam cerita 'The Others'...". Saya pun search sinopsis "The Others" kat internet tunjuk kat Shikin. Lepas tu Shikin pun reply kat budak tu, yang kita tak tolerate plagiarism bla bla bla... Lepas tu terus budak tu senyap tak email-email dah.

Bayangkan KALAU, ada cerita yang sebenarnya plagiat, tapi kita tak tahu, dan kita publish. Kemudian, ada pembaca sedar yang buku itu plagiat, dan tulis di blog dia, dan pembaca-pembaca blog dia tulis di blog masing-masing. Jadilah buku itu macam kes Natasha Hudson ini. Fuhhh...

Sekian saja isu kita untuk kali ini. Terima kasih.

Thursday, January 3, 2008

Masa

Abu Hurairah melaporkan: Saya pernah mendengar Rasulullah berkata: "Allah s.w.t berkata: 'Anak Adam selalu mencaci-maki masa, padahal Akulah masa. Siang dan malam berada di tanganKu'.

Memohon Ampun

Ali ibn Isma‘il ibn Abi Bishr Ishaq ibn Salim, lebih dikenali sebagai Abu al-Hasan al-Ash‘ari al-Yamani al-Basri al-Baghdadi (260-324). Beliau adalah seorang cendiakawan besar Iraq yang hidup pada zaman tabiin (zaman selepas sahabat nabi).

Pada suatu hari, ketika beliau sedang mengajar anak muridnya, beliau didatangi oleh beberapa orang penduduk kampung. Mereka datang untuk mengadu masalah. Setiap daripada mereka mengadu tentang:

i. Kemarau panjang yang melanda kampungnya dan mengakibatkan kebun mereka menjadi tandus.
ii. Hidup mereka yang miskin dan tidak berharta
iii. Mohon supaya Allah mengurniakan anak

Untuk setiap masalah yang diajukan kepadanya, Abu Musa hanya meminta supaya mereka pulang ke rumah dan memohon ampun daripada Allah (beristighfar).

Apabila penduduk kampung itu pulang, murid-murinya bertanya: "Wahai tuan guru, kenapa tuan menyuruh mereka pulang dan memohon ampun kepada Allah. Bukankah mereka mengadu masalah dan meminta tuan agar mendoakan mereka."

Abu Musa tidak terus menjawab soalah anak-anak muridnya itu. Sebaliknya dia membacakan ayat Quran 10-12, surah Nuh yang bermaksud: " Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai."

Beliau kemudian menyambung lagi dengan ayat 30 surah al-shura yang bermaksud: "Dan apa musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu)."

Wallahu'alam.

Wednesday, January 2, 2008

Istighfar

Kata Rasulullah :

"Sesungguhnya hati saya sering berasa gelisah, dan sesungguhnya saya memohon ampun kepada Allah (beristighfar) sebanyak seratus kali sehari."