Friday, January 18, 2008

Ciplak Karya

Cerita tentang artis yang menciplak karya orang lain, terbitkan dan jual buku tersebut memang menarik. Sungguh berani artis ini.

Teringat kisah lama di PTS. Dua tiga tahun lepas, manuskrip yang sedang diproses telah diciplak dan diterbitkan. Buku karya oleh seorang penulis PTS tentang kisah hidup seorang 'pakar' motivasi (yang tidak terkenal). Si penulis itu menghantar draf akhir manuskrip kepada motivator tersebut untuk disemak. Ia bagi memastikan sama ada fakta dan ceritanya betul. Penulis ini bersangka baik kepada sang motivator dengan menghantar softcopy manuskrip dengan harapan sebarang kesilapan boleh terus diperbetulkan secara online.

Namun, pakar tersebut rupa-rupanya secara diam-diam telah menyalahgunakan kepercayaan penulis. Beliau menyalin fail manuskrip tersebut. Motivator ini kemudiannya meminta berberapa perkara yang tidak munasabah daripada PTS dan penulis. Seperti, mendesak agar royalti penuh dibayar kepada beliau, kerana itu adalah cerita tentang beliau. Walaupun motivator itu tidak menulis walau satu ayat pun. Waktu awal-awal projek penulisan beliau, tidak pula keluar karenah beliau itu.

Oleh kerana tidak sepakat, penulis tersebut kemudiannya secara diam-diam menerbitkan buku itu sendiri, dan meletakkan namanya sebagai penulis. PTS hanya mengetahui tentang perkara tersebut setelah hampir setahun kemudian, ketika buku tersebut sedang dalam proses penyuntingan. Kebetulan buku tersebut dijual oleh konsultannya di pasaraya Giant Hulu Kelang, berdekatan dengan tempat bengkel UNIKA, tempat Pn Ainon mengajar. Jadi ini kira caught in red. Panjang lagi ceritanya ni tetapi, cukup sampai di sini sahaja yang saya kongsi. Sekadar mengenang kisah lalu. Kisah penipu dan perompak yang bertopengkan motivator.

Kes menciplak di PTS ini tidak berakhir disitu. Editorial PTS sehingga hari ini, beberapa kali menerima manuskrip yang mengandungi unsur-unsur plagiarism. Nasib editor perasan, jadi dapatlah reject awal-awal dan memberi amaran kepada pernulis tersebut.

Cabaran buat tim editorial PTS semakin besar, sama besarnya dengan nama PTS itu sendiri. Ramai orang hendak cepat terkenal dan kaya tanpa mempedulikan cara mereka. Tidak kurang ramai juga penulis yang tidak memahami undang-undang harta intelek ini. Akibatnya, sama ada mereka ditipu orang (penerbit dsb) atau mereka pula yang menipu dan menciplak, sedar atau tidak.

Beberapa orang ustaz pernah datang ke PTS bagi menerbitkan karya terjemahan yang tidak diminta izin terjemah dari penulis asal. Maka terpaksalah dengan panjang lebar kami menerangkan kesalahan ustaz tersebut. Selagi beliau tidak mendapatkan izin, selagi itulah PTS tidak menerbitkan karya sedemikian, walau setinggi mana pun demand terhadap buku tersebut.

Kata Sifu PTS, buku agama adalah buku yang paling banyak diciplak. Penulis buku agama adalah kelompok yang paling banyak menciplak dan melanggar undang-undang hakcipta. Kelompok ini jugalah yang paling banyak ditipu oleh penerbit, terutama pernerbit yang hendak cepat kaya. Dan, kelompok ini juga antara yang paling sukar untuk ditangani karenahnya.

Oleh itu bagi penulis dan bakal penulis, pastikan anda faham undang-undang hakcipta dan harta intelek ini sebelum menerbitkan karya. Sama ada karya asli, terjemahan atau adaptasi. Namun, sekiranya memang sengaja niat menciplak dengan tujuan hendak cepat kaya atau glamor, itu tidak dapatlah den hendak menolong. Sendiri jawablah depan Tuhan nanti.

Allah jua yang maha mengetahui.

1 comment:

Zamri Mohamad said...

Oh saya di kursus itu. Apa sudah terjadi dengan motivator itu?

Teringat-ingat banner merah dan meja di depan GIANT itu....