Sunday, March 23, 2008

Air lagi

Sekiranya, benar-bernar terlaksana manifesto kerjaan baru Selangor bagi memberikan bekalan air percuma sebanyak 20m padu, siapakah yang akan untung banyak?

Hemm... selain daripada rakyat jelata Selangor yang dapat menjimatkan sedikit kos perbelanjaan isi rumah, beberapa bidang keusahawanan yang bersangkutan dengan air juga akan terasa nikmatnya.

Munkin juga ada sesetengah bisnes akan bercambah dan bertambah seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Bisnes yang bersumberkan air secara kecil-kecilan.

Ini barulah DEB...

Antara bisnes tersebut adalah:

1. Khidmat cuci kereta
2. Jual air minuman (di pasar malam, tepi jalan dsb)
3. Dobi
4. Mineral water (kecil-kecilan dirumah... guna filter domestik)
5. Pembekal kuih
6. Pencuci pinggan
5. Bomba persendirian (setiap lori hanya ada bekalan air 20m padu sahaja)
6. Gerai makan
7. Kolam renang (yang airnya tidak melebihi 20m padu)
8. .....

Ada sesiapa boleh tambah... idea sudah kering.

Saturday, March 22, 2008

Air Percuma

Apabila BA mengambil alih kerajaan Selangor, antara manifesto mereka yang dinanti-nantikan oleh sebilangan rakyat Selangor ialah bekalan air paip percuma bagi penggunaan 20m padu.

Saya tidak mengambil kisah tentang air percuma ini. Saya juga tidak pernah faham berapa banyaknya 20m padu itu. Kerana saya tahu bil air saya memang sedikit setiap bulan. Paling banyak pun biasanya tidak lebih RM10. Oleh kerana bil air datang setiap dua bulan, maka paling banyak bil saya akan menjadi RM20. Kecualilah bulan itu musim cirit-birit atau kenduri rumah terbuka. Mungkin bilnya akan lebih sedikit.

Tadi saya membelek-belek bil air, meneliti perincian bil... (saya memang amat jarang membelek bil air ini kecuali bagi melihat jumlah bil). Saya cuba menganalisis, berapakah penggunaan air saya dalam kiraan meter padu.

Bagi setiap bulan, rupanya saya hanya menggunakan lebih kurang 8.60m padu. Darab dengan kadar RM1.03 maka bil saya adalah 8.86. Bulan lepas 10.06. Jadi jumlah untuk dua bulan ini adalah RM18.92.

Sekiranya dikuatkuasakan manifesto baru ini (dijangka bulan depan) maka untuk bulan ini, perbelanjaan isi rumah akan jimat RM18.92.

Hemm... RM 18.++ ini sekiranya digunakan untuk beli Pizza, dapat yang regular size. Atau juga boleh masukkan dalam bajet minyak kereta, atau boleh tambah sedikit peruntukan menabung. Rezeki ni... siapalah yang senang-senang hendak sedekah RM20.00 pada saya setiap dua bulan?

Ini yang dikatakan bonus dan komisen bulanan untuk rakyat selangor. Majoriti sokong BA, seluruh rakyat jelata untung. Sekurang-kurangnya untuk tempoh 4 tahun ini (dan selamanya, insya-Allah). Untuk negeri-negeri yang teringin hendak merasakan bil air percuma, bolehlah congak-congak perancangan lagi empat tahun.

Terima kasih kerajaan Selangor, merasa juga saya minum air daripada empangan Klang Gate yang jaraknya kurang 1km dari Taman Permata ini dengan percuma.

Berbaloi pangkah... opss undi adalah rahsia!

Monday, March 17, 2008

Jual Produk

Hari ini saya menjadi apperentice Sifu. Saya bersama Sifu bertemu dengan pegawai kanan sebuah organisasi awam yang amat berminat menjemput beliau sebagai jurulatih.

Sifu menunjukkan kepada saya kaedah softselling dalam menjual produk. Bagaimana mendorong pelanggan membeli produk kita tanpa dipaksa-paksa.

Sepanjang sesi pertemuan itu saya hanya berdiam diri, menjadi anak murid yang baik. Membisu, mendengar dan memerhati.

Puan Ainon mengingatkan saya sebelum sesi, jangan sekali-kali menyebut tentang bayaran dan jual produk. Sesi ini adalah sesi membina hubungan dengan pelanggan dan mengenalpasti kehendak pelanggan. Ibarat macam sesi mengumpul data atau mencungkil maklumat.

Dari mula pertemuan, Sifu hanya bertanya dengan lebih lanjut tentang kehendak pelanggan, apakah masalah yang mereka hadapi dan apa end result yang mereka mahukan. Selebihnya selama dua jam, sesi tesebut lebih kepada beramah mesra, sambil bercerita tentang organisasi tersebut, gerak kerja dan sebagainya. Juga perbualan luar topik yang sedang hangat ketika ini, iaitu tentang PRU-12.

Pada permulaan sesi, pegawai kanan tersebut dan tiga orang pegawainya agak serius. Namun, di penghujung sesi mereka kelihatan lebih mesra. Mereka juga banyak kali mengucapkan terima kasih atas kesudian Sifu menerima tawaran mereka.

Yang paling menarik adalah, Sifu tidak sekali-kali menjual produknya, apatah lagi menyebut harga produk itu. Apa yang berlaku adalah, pelanggan yang bertanya panjang lebar tentang produk. Apabila mereka bertanya tentang bayaran, jawapan Sifu amat memeranjatkan mereka.

Kata Sifu, bayarannya ketika masih aktif dalam latihan 8-9 tahun dahulu adalah 3 ribu sehari. Namun, sekarang beliau sudah tidak aktif dalam latihan. Beliau datang ini hanya kerana memenuhi hajat pegawai tersebut (yang direkomenkan oleh rakan Sifu di DBP). Beliau menyerahkan bayarannya kepada pegawai itu, berapa yang mereka mampu berdasarkan bajet mereka.

Oleh kerana terlebih seronok, pegawai tersebut berjanji untuk memanggil Sifu sekali lagi dalam satu program lain selepas program yang dipersetujui itu. Program yang terdekat, mereka bayar mengikut kadar bajet mereka, manakala program yang akan datang mereka bayar mengikut kadar professional Sifu.

Hemm.. ini kira jual satu tapi pelanggan beli berkali-kali.

Kata Sifu kepada saya, yang penting pertama sekali kita bina hubungan dengan pelanggan, mudahkan urusan mereka. Buatkan mereka rasa seronok (feel good). Apabila mereka seronok, mereka sendiri akan membeli produk kita tanpa dipaksa-paksa.

Juga bagi seorang trainer, jangan sekali-kali makan dengan pelanggan diluar. Ini boleh menimbulkan impresi, kita ada 'kowtim' dengan pelanggan. Kredibiliti dan nama baik trainer amat penting dalam bisnes training.

Wallahu'alam.

Friday, March 14, 2008

Kawan

Kejayaan saudara Fairus benar-benar mengingatkan kembali nasihat Prof Emeritus Abdullah Hassan 10 tahun lepas kepada saya. Beberapa minggu selepas peperiksaan tahun akhir di UIAM.

Kata Prof yang ketika itu Dekan Pusat Penyelididkan UIAM : "Kawan kita yang sebenar adalah ketika kita belum ada sebarang kepentingan, ketika kita adalah 'nobody'. Apabila kita sudah ada pangkat dan kuasa, kebanyakkan kawan kita bukanlah kawan sebenar. Mereka adalah kawan yang mempunyai kepentingan. Kawan ketika senang."

Lama kemudian, Puan Ainon juga pernah berkata: "Jangan putus hubungan dengan kawan-kawan saudara. Mereka adalah social insurance saudara. Kita tidak tahu, siapakah mereka pada masa hadapan. Kita mungkin memerlukan pertolongan mereka."

Dua tahun lepas, seorang pengurus bank dan kakitangannya yang banyak karenah dan cerewet tidak bertempat, telah menyusahkan urusan saya tanpa sebarang alasan munasabah. Saya memberitahu si pengurus tersebut bahawa saya kecewa dengan layan beliau. Saya juga sudah membuat laporan verbal kepada bahagian undang-undang di Bank Negara dan juga sudah membandingkan prosuder yang menyekat saya itu dengan beberapa bank lain. Hasilnya, pengurus itu membei respon sepantas kilat. Urusan yang tertangguh selama 7 bulan selesai dalam masa 7 hari sahaja!

Saya tidak berbohong kepada pengurus itu. Saya memang telah membuat aduan kepada pegawai kanan di Bank Negara dan beberapa buah bank-bank lain yang berkaitan. Mereka adalah antara rakan yang ketika di sekolah dulu sama-sama makan mee maggi dalam kole atau berenang dalam kolah mandi. Malah peguam yang memberi nasihat perundangan kepada saya adalah teman sekatil saya... Err... katil dua tingkat, saya katil atas dia katil bawah!!

Kes tersebut tidak saya panjangkan. Habis di situ sahaja. Lagipun, saya sudah dapat apa yang saya mahu.

Hemm.. ketika itu baru saya faham apa itu social insurance.

Thursday, March 13, 2008

Terperanjat



Semalam diumumkan senarai pemimpin baru negeri Pulau Pinang.

Saya dan beberapa orang teman terperanjat. Terperanjat melihat antara muka yang mengangkat sumpah itu adalah teman sepermainan ketika di UIA.

Muka yang kini menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu dahulunya rapat dan aktif dalam organisasi pelajar.

Beliau merupakan S/U 2, dalam kelab yang saya terajui, iaitu Guidance & Counselling Club (GCC) UIA-Matric, 1994/95. Kami: Latip ex-Vice President (kini Usahawan Kontraktor), Izah ex-President II (kini Pensyarah), Nik Salida Suhaila ex-S/U 1 (kini penceramah TV dan pensyarah), Najib (kini Peguam), GG (kini Guru), Ayie (kini Kurator Muzium) dan lain-lain lagi.

Pelbagai cerita menarik yang kami bualkan semalam. Masing-masing cuba imbas kembali watak, karenah dan segala kenangan bersama Mohd Fairus Khairudin itu. Hubungan kami dalam GCC memang rapat. Ramai di antara AJK GCC itu yang terus memanjangkan hubungan hingga ke jinjang pelamin.

Selain dari Fairus, antara teman seU kami yang turut menjadi pemimpin di Penang adalah Mohd Yusmadi Mohd Yusof, kini Ahli Parlimen Balik Pulau (P53).

Tahniah buat Fairus dan Yusmadi. Harapan dan maruah sebilangan rakyat Malaysia dibahu kalian. Yang pasti, kalian adalah wakil dan pemimpin orang Melayu Pulau Pinang. Semoga Allah sentiasa bersama kalian, kami doakan yang terbaik...

Wednesday, March 12, 2008

Langit yang cerah

Saya baru pulang dari Selama. Mengundi dan kemudian.. bersengkang mata. Berdoa, menanti dan mengharap kehadiran kelibat bulan purnama yang telah sekian lama diselaputi awan mendung.

Dari bermulanya kegelapan malam sehingga terbitnya fajar sadik, saya adalah penunggu setia sang media. Malam itu saya adalah raja... raja apa?... raja TV, saluran 105, Astro Awani! Menanti detik-detik kelahiran sebuah harapan baru.

Ternyata malam itu, tiupan bayu yang ditunggu tetapi, ribut tsunami yang melanda. Taufan badai yang menyentap jantung setiap penghuni bumi Malaysia...

Malam itu juga saya terlena dengan rasa penuh kegembiraan dan syukur. Puas menyengkang mata. Terima kasih kepada teman-teman yang meng-sms keputusan PRU-12. Lebih pantas daripada Astro Awani... yang pengantara dan tetamunya asyik menggeleng kepala setiap kali keputusan dibacakan.

Esoknya, apabila subuh menyingsing pergi dan cahaya mentari menyinari alam, terasa... indahnya pemandangan.. lebih indah dari selalu. Langit membiru terbentang luas. Bebayang bulan purnama yang selama ini kelam ditutupi mendung kelabu, kini menyinar.... dan terus menyinar. Dirgahayu bumiku... semoga ruh setiap pejuang kebenaran terus membara. Segala pujian bagi Allah.

Sesuatu yang menarik di pagi Ahad itu ialah pertama kali sejak saya mula mengenali bumi Selama 7 tahun lepas, saya perlu beratur panjang (hingga mengganggu lalulintas). Bukan untuk membeli tiket bas, bukan juga untuk membeli roti canai buat sarapan. Tetapi, saya harus beratur panjang bagi membeli suratkhabar, walaupun di kedai itu, tiga kaunter jualan dibuka!

Keadaan tersebut memaksa taukeh kedai untuk menambah (replenish) stok mereka sebanyak tiga kali. Alangkah indahnya jika ini adalah budaya harian rakyat Malaysia... lebih indah jika buku-buku PTS laris sebegini rupa.


Friday, March 7, 2008

Mengundi

Esok pagi saya akan mengundi di Taman Permata. Kemudian bergegas pulang ke Selama, Perak. Isteri saya masih mengundi di kampung halamannya.

Esok juga Sameer genap 1 tahun 3 bulan.

Inilah wajah yang setia menghantar babanya setiap kali hendak ke pejabat, di kala kakak dan abangnya masih lena.


Ini juga wajah yang setia menyambut babanya setiap kali pulang dari pejabat, di kala kakak dan abangnya leka bermain.

Thursday, March 6, 2008

Adil

Esok hari terakhir untuk semua calon-calon PRU-12 berkempen. Macam-macam berita yang menarik, panas dan sesasi, malah yang meloyakan menjadi bualan dan perhatian. Baik di warong kopi, jalanan, rumah, pejabat, internet, milis (mailing list), akhbar, TV, billboards dan sebagainya.

Media arus perdana sudah sedia maklum. Ghairah melaporkan berita dan informasi yang 'seimbang dan saksama' demi 'kepentingan rakyat jelata'. Mereka 'tidak' berat sebelah, malah menyiarkan berita tentang kedua-dua pihak yang bertanding dengan begitu detail.

Satu pihak dikhabarkan dengan seribu satu kebaikan dan satu pihak yang lain dimomokkan dengan berita tentang segala macam keburukan. Dua pihak dengan dua potret yang jelas: Yang baik dan indah satu pihak (the good guys) manakala yang buruk dan cela satu pihak (the bad guys). Kedua-duanya adalah mutlak dan tidak ada unsur yang bercampur. Realiti tidak relevan.

Itulah yang dinamakan adil dan saksama... kedua-dua pihak dilaporkan beritanya!

Dikatakan adil bukan bermakna sama rata. Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jadi pihak media berkenaan melaksanakan apa yang mereka katakan adil. Pembaca tidak perlu persoalkan kreadibilitinya, kerana yang penting mereka adalah adil dan saksama. Dan, kalau mereka tidak adil dan saksama, masakan mereka masih wujud dan relevan sehingga hari ini...

Hemm.. jika itulah perkiraannya, nanti, apabila di mahkamah Akhirat, mungkin boleh diterangkan di hadapan Allah... itupun sekiranya lidah masih lagi mampu berkata-kata.

Sedikit peringatan daripada Allah untuk kita:
Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?”

Kulit-kulit badan mereka menjawab: “Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata - telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).

(Surah Fussilat, Ayat 20-21)

- Terjemahan al-Quran daripada Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

Wallahu'alam

Wednesday, March 5, 2008

Satu Judul Sehari

Ini adalah bapak Ali Muakhir. Beliau adalah penulis dan pengurus (pemilik) Line Production. Sebuah syarikat yang membekalkan idea melalui manuskrip dan illustrasi kepada penerbit-penerbit di Indonesia.

Pak Ali juga merupakan mantan pengurus Dar Mizan, anak syarikat Kumpulan Mizan yang aktif menerbitkan buku-buku untuk remaja dan kanak-kanak. Di bawah Pak Ali, Dar Mizan menjadi syarikat yang pertama memperkenalkan buku-buku agama dan dakwah dalam bentuk novel, santai dan moden untuk remaja serta kanak-kanak di Indonesia. Buku-buku tersebut antaranya menjadi bestseller di Indonesia dan sehingga hari ini ia menjadi trend serta kayu pengukur untuk buku-buku dakwah remaja dan kanak-kanak Muslim moden.

Kini di Line Production, beliau mengetuai sekumpulan penulis dan illustrator muda yang aktif menerbitkan buku-buku dakwah dalam genre yang sama untuk beberapa syarikat penerbitan di Indonesia.

Pak Ali sendiri merupakan salah seorang penulis dan illustrator yang cukup aktif. Beliau menulis satu judul sehari untuk buku kanak-kanak sekitar 20-30 halaman. Kini beliau sudah menulis lebih 30 judul buku. Masa bekerjanya bermula seawal jam 1.00pagi (2.00 pagi waktu Malaysia) dan biasanya beliau akan pulang kerumah sekitar jam 6-7 petang. Beliau baru berumur 22 tahun dan sudah berumah tangga.

PTS Islamika bekerjasama dengan pak Ali, bagi mendapatkan khidmat nasihat, konsultansi dan bekalan manuskrip yang bersesuaian untuk pasaran Malaysia. Selain Islamika, syarikat PTS yang terawal menjalinkan kerjasama dengan beliau (peribadi) ialah PTS One dan PTS Millenia.


Monday, March 3, 2008

Baru Tiba

Sakit kepala dan keletihan sejak tiba dari Jakarta jam 2.00 pagi tadi masih lagi terasa.

Banyak perkara menarik sepanjang berada di Jakarta yang hendak di kongsi di sini.

Tetapi, nantilah. Tunggu reda dulu sakit kepala ini....