Friday, June 27, 2008

Starbucks vs Buku

Adakah pelajar Malaysia lebih gemar bersantai di Kopitiam atau Starbucks berbanding di perpustakaan, sehinggakan perlu dibuka kedai kopi mewah itu di IPTA?

Mungkinkah tempat tersebut lebih selesa dan tenteram untuk menelaah pelajaran sambil melayari WiFi berbanding di perpustakaan yang tidak menyediakan sebarang kudapan kecuali yang dibawa sendiri sorok-sorok...

Mungkin juga sesetengah pelajar kita berpendapat, lebihan duit pinjaman PTPTN, biasiswa dan sebagainya itu harus dilaburkan di kedai-kedai kopi demi kecemerlangan masa depan mereka berbanding di kedai-kedai buku.

Jika benarlah demikian itu, maka tidak hairan statistik tabiat membeli bahan bacaan pelajar kita di IPTA secara purata sepanjang 6 semester pembelajaran adalah seperti berikut...

NEGARA - BUKU - JURNAL - MAJALAH - JUMLAH

Brunei - 26 - 9 - 11 - 46

Indonesia - 94 - 21 - 30 - 145

Thailand - 56 - 14 - 27 - 97

India - 13 - 23 - 41 - 196

Austria - 180 - 56 - 23 - 259

Estonia - 88 - 42 - 18 - 148

Latvia - 61 - 27 - 17 - 105

MALAYSIA - 12 - 3 - 3 - 18


(Statistik ini dipetik daripada nota Professor Emiritus Dr Abdullah Hassan dalam satu bengkel Bahasa Melayu Tinggi di Kuala Lumpur. Statistik berdasarkan kajian seorang pensyarah kanan, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya)

Wallahu'alam

P/S : mohon maaf kepada pembaca. Statistik di atas tidak keluar dalam bentuk jadual yang sepatutnya, walaupun sudah dicuba beberapa kali... dan masih lagi mencuba..

Thursday, June 26, 2008

Starbucks beroperasi di IPTA?

Satu lagi kemudahan untuk pelajar universiti. Klik sini

Starbucks di IPTA. Lupakan soal kaitan antara kedai kopi itu dengan gerakan Zionis. Lupakan juga harga secawan kopinya yang mampu membeli 6-7 cawan kopi Hang Tuah pekat atau Dark Moccha Frapucinonya yang jauh mahal daripada Ice Blended kapucino di pasar malam.. walaupun rasanya hampir sama (atau sama sahaja). Sandwich Tuna dengan salad yang segar dan mayonaise yang lazat? Sama sahaja yang dijual di kantin.

Lupakan itu semua, yang penting pelajar Malaysia semakin bergaya. Inilah cara hidup kosmopolitan. Jika ingi jadi maju seperti barat, lifestyle ini mesti diserapkan ke dalam budaya hidup pelajar barulah pelajar kita up to date (atau mudah dapat kerja??)

Minum di kedai mamak, kantin dan gerai tidak lagi sesuai untuk pelajar IPT.

Duit PTPTN adalah untuk memenuhi gaya hidup pelajar kontemporari.

Handphone canggih, minum di Starbuck, fesyen terkini, panggung wayang, kereta (sewa, pinjam, loan FAMA - Father Mother) itu adalah pakaian pelajar era globalisasi ini.

Lepas ini, mungkinkah panggung wayang dibenarkan dalam kampus, bagi mengurangkan stress pelajar?

Teringat zaman dulu (yang tidak terlalu lama pun!)...

Pelajar berebut-rebut menaiki bas, ada yang berpakaian lusuh, minum di gerai (cari yang paling murah), makan nasi bungkus tengahari dan disimpan sedikit untuk bekal waktu malam, bergayut di telefon awam untuk berkomunikasi jarak jauh (hatta untuk urusan dengan Menteri!) atau berutus surat mengeratkan hubungan (dan bercinta).

Susah, perit, tidak berfesyen... namun minda dan jiwa mereka tetap besar.

Pemimpin pelajar (MPP) dahulu sibuk memperjuangkan agenda nasional, ummah, antarabangsa, masyarakat marhaen...

Mereka tidak sibuk menjerit kenapa kuah roti canai di kantin basi, kenapa parkir kereta pelajar jauh daripada dewan kuliah, kenapa lorong kereta untuk pelajar di tutup, tuntut elaun atau kredit untuk pelajar yang membuat kerja kemasyarakatan dan macam-macam lagi yang titik bengit.

Kata orang, kesusahan mendewasakan kita. Pelajar yang dahulunya itu hidup dalam keadaan cukup makan pakai dan belajar, itulah yang mewarnai dunia pemimpin dan usahawan negara hari ini.

Ah! zaman itu sudah berlalu, tinggal sejarah untuk diceritakan kepada anak cucu sambil membaca e-book atau akhbar online di laman rumah melalui wifi...

Cuma... sudah tua sangatkah saya ini?

Wallahu'alam.

Monday, June 23, 2008

Selepas Harga Minyak Naik



Pejabat Editorial PTS terbahagi kepada 3 lot yang disewa.

Arahan daripada Direktor PTS, jimatkan pengunaan elektrik.

Tutup penghawa dingin pada waktu rehat dan selepas jam 5.45pm, kecuali jika ada keperluan tugas lebih masa.

Mana-mana peralatan yang tidak digunakan, tutup suisnya. Ruang yang tidak ada staf, lampunya juga ditutup.

Hadiahnya: mana-mana lot yang dapat menjimatkan elektrik akan mendapat baucer KFC, sumbangan peribadi Tuan Direktor. Jazakallahu khairan kathira.

Setiap lot sekarang ini berebut-rebut untuk mengurangkan penggunaan alat elektrik. Mereka rela berkipas dan bergelap ketika luar waktu pejabat, tanpa keluh kesah.

Apa sangatlah berpanas seketika, jika dibandingkan dengan hadiah belanja dari Tuan Direktor... itu pun sekiranya menang! hehehe.

Beberapa kilometer daripada pejabat editorial ini, pengendali Gimnasium Gemilang membuat tindakan drastik. Kalau ramai pengusaha dan peniaga berebut-rebut menaikkan harga barang supaya selari dengan kenaikan minyak, lain pula ceritanya dengan gym ini.

Yuran bagi sekali masuk untuk bergimnasium yang sebelum ini sebanyak RM5 seorang (yang sudah sedia murah), kini dikurangkan kepada RM3!!

Kata En Saiful, pemilik Gimnasium Gemilang: "Ini adalah strategi kami supaya orang ramai tidak berasa terbeban dengan kenaikan harga barang. Sekurang-kurangnya mengurangkan stres mereka di gym kami."

Terima kasih En Saiful.

Bagi sesiapa yang minat menyihatkan badan, mengeluarkan peluh, menguatkan jantung, membina stamina dan sekali gus mengempiskan perut, boleh mampir ke gym ini.

Ia terletak berhampiran jalan utama, AU3, Keramat, satu . (Antara pengunjung gym ini adalah MR Malaysia - En Sazli.)

Inilah yang dikatakan, dalam kelam ada kilat...

wallahu'alam.

Friday, June 20, 2008

Bersedekah sembunyi-sembunyi

Ada satu hadis yang direkodkan oleh Imam Tirmidzi dan Imam Ahmad yang menceritakan kisah seperti berikut :

Ketika Allah menciptakan bumi, maka bumipun bergetar. Lalu Allah ciptakan gunung di atas bumi dan menjadikannya kuat. Bumi kemudian berhenti bergetar.

Para malaikat berasa hairan melihat bagaimana gunung diciptakan. Kemudian mereka bertanya "Wahai Allah, adakah sesuatu dalam apa yang tuan ciptakan yang lebih kuat daripada gunung?"

Allah menjawab, "Ada, iaitu besi"

Para malaikat bertanya lagi " Wahai Allah, adakah sesuatu dalam apa yang tuan ciptakan yang lebih kuat daripada besi ?"

Allah menjawab, "Ada, iaitu api"

Para malaikat kembali bertanya "Ya Rabbi, Wahai Allah, adakah sesuatu dalam apa yang tuan ciptakan yang lebih kuat daripada api?"

Allah menjawab, "Ada, iaitu air"

Para malaikatpun bertanya kembali " Wahai Allah, adakah sesuatu dalam apa yang tuan ciptakan yang lebih kuat daripada air?"

Allah menjawab, "Ada, iaitu angin"

Akhirnya para malaikatpun bertanya lagi " Wahai Allah, adakah sesuatu dalam apa yang tuan ciptakan yang lebih kuat daripada itu semua ?"

Allah menjawab, "Ada, iaitu amal anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya tidak mengetahuinya".

(Hadis di atas saya tulis semula daripada artikel yang diemel kepada saya)

Pesan Allah dalam Quran supaya bersedekah sembunyi-sembunyi:

Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebagian kesalahan-kesalahanmu (dosa); dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (al-Baqarah:271)

Allah juga mengingatkan tentang orang yang ikhlas bersedekah tidak mengharapkan sebarang balasan:

"Sesungguhnya Kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keridaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.” (al-Insan: 9)


Wallahu'alam.

Thursday, June 19, 2008

Taat

Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah." Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.

(Surah Ali-Imran: 79)‏
Ayat di atas diturunkan antara sebabnya adalah dalam suatu peristiwa apabila seorang lelaki berkata kepada nabi Muhammad: "Wahai utusan Allah, kami selalu memberi salam kepada tuan (sebagai menghormati), tidakkah boleh kami terus sujud sahaja kepada tuan?"

Jawab Rasulullah: "Jangan. Tetapi hormatilah nabi saudara dan keluarganya. Tidak boleh seseorang sujud kepada selain daripada Allah."

Kemudian, ayat di atas diwahyukan kepada nabi Muhammad.

Ayat ini juga memberi peringatan kepada para pemimpin. Tugas pemimpin adalah mengajak pengikutnya agar sentiasa taat kepada Allah dan Rasul.

Sekiranya pemimpin itu mendapati pengikutnya terlampau mengagungkannya, dia perlu menegur dan menghentikan perbuatan pengikutnya. Supaya pengikutnya tidak berlebih-lebihan apabila mentaatinya. Juga kerana yang perlu diagungkan dan ditaati secara mutlak adalah Allah dan Rasul.

Pemimpin boleh ditaati selama mana dia taat kepada Allah dan Rasul dan mengajak pengikutnya untuk turut sama taat.

Beberapa ajaran yang difatwakan sesat oleh JAKIM seperti ajaran Naqshabandiah Qadirun Yahya, ajaran Ilmu Hakikat Hassan bin Jonit, ajaran guru Kahar, ajaran al-Arqam dan lain-lain lagi bermula dengan ajaran pengajian agama yang asas dan tidak menyeleweng.

Namun apabila pemimpinnya semakin berpengaruh dan ditambah oleh pendidikan ilmu agama yang cetek, ajaran ini mula menyeleweng.

Pengikut yang semakin ramai dan setia beralih daripada taat kepada ajaran Islam, menjadi taat mutlak kepada pemimpin. Mereka terlalu yakin bahawa guru merekalah satu-satunya yang benar.

Ada juga yang percaya gurunya dekat dengan Allah dan penyelamat dunia, kalau pun bukan nabi. Ada yang yakin bahawa gurunya mampu berkomunikasi secara langsung dengan Allah. Mereka juga sanggup mengorbankan harta, jiwa dan raga (serta maruah diri) semata-mata mendapatkan keredhaan gurunya.

Dalam senario lain, ayat di atas turut menegur sikap pemimpin yang membiarkan pengikutnya menjadi taat melampaui batas sehingga menganggap apa sahaja daripada pemimpinnya itu adalah benar secara mutlak. Mereka melahirkan pengikut yang taksub dan menolak sebarang ajaran yang tidak secocok dengan ajaranya.

Pengikutnya hanya perlu taklid kepada ajaran dan fatwanya manakala ajaran lain dikatakan tidak tepat dan benar.

Senario ini banyak terjadi dalam masyarakat sekarang sama ada dalam oraganisasi kecil seperti jemaah masjid mahupun persatuan atau pertubuhan politik. Tidak terkecuali dalam gerakan dakwah Islam.

Walaupun tidak sehingga membawa kepada ajaran sesat, namun ia menyebabkan timbul suasana yang tidak sihat dalam masyarakat Islam.

Pengikut yang terlalu mengagungkan pemimpinnya mudah mempertikaikan guru aliran lain. Fahaman aliran lain itu belum tentu salah, cuma tidak cocok dengan pemahamannya.

Pengikut yang sedemikian gemar mengkritik dan mengatakan aliran lain salah serta perlu diperbetulkan. Namun, mereka mudah melenting apabila aliran mereka dipertikaikan.

Kritikan mereka pula biasanya lebih didasari ilmu yang terbatas kepada sumber aliran mereka sahaja dan bukannya kajian yang meluas.

Dalam satu tinjauan rambang seorang pensyarah kanan di fakulti Islam di sebuah IPTA terhadap buku-buku rujukan sillabus pelajar fakulti itu mendapati, ada sebilangan pensyarah cuba mengawal minda pelajarnya.

Pensyarah-pensyarah ini hanya menyuruh pelajarnya membaca buku tulisan sarjana tertentu daripada aliran pemikiran mereka sahaja dan tidak menggalakkan pelajarnya mengkaji aliran lain secara terbuka dan objektif.

Akibatnya, ilmu pelajar itu terbatas kepada aliran pemikiran mereka sahaja. Budaya ilmu dan mengkaji para pelajar juga menjadi sempit dan terhad. Dalam keadaan yang lebih ekstrim, mereka menafsir agama berdasarkan pemahaman mereka sahaja dan menolak apa-apa yang bercanggah.

Pelajar yang lebih ekstrim juga biasanya mudah mengkritik dan menyerang aliran lain yang tidak secocok dengan mereka. Alasannya: menegakkan kebenaran atau dakwah.

Perkara yang didebatkan pula banyaknya tidak melibatkan akidah Islam secara total atau memberi faedah kepada umum kecuali untuk mereka yang 'pandai Islam'. Ia lebih melibatkan isu-isu cabang yang tentunya banyak pemahaman dan tafsiran sarjana Islam.

Bagi kelompok hidup yang jauh daripada ajaran Islam dan golongan bukan Islam, senario ini hanya menyebabkan kehidupan mereka lebih jauh daripada Islam. Mereka semakin tidak faham tentang Islam. Malah menuduh Islam ini agama yang penuh dengan ketaksuban, kekeliruan dan sukar difahami.

Mungkin ini antara apa yang dimaksudkan oleh seorang sarjana Islam (Sheikh Muhammad Abduh) : "Islam itu terhijab (terlindung) oleh orang-orang Islam."

Wallahu'alam

Tuesday, June 17, 2008

Berjimat

Hidayah bercerita, pagi tadi ketika memandu ke sekolah, dia berselisih dengan sekeluarga yang menaiki motosikal.

Sepasang suami isteri di atas motosikal. Anak kecil dalam lingkungan 2-3 tahun duduk di bakul hadapan. Seorang anak dalam lingkungan 4-5 tahun duduk terselit di antara emak dan ayahnya. Manakala, emaknya memangku seorang lagi anak yang kelihatan usianya kurang daripada setahun.

Di hadapan, si Ayah memandu motosikal sambil tangannya memegang beg-beg pakaian kanak-kanak dan beg bayi. Emak dan ayah kemungkinan dalam perjalanan ke tempat jagaan kanak-kanak (nurseri) sebelum ke pejabat.

Cuba saudara bayangkan, betapa saratnya motosikal kecil itu. Sayang sekali Hidayah tidak ada kamera untuk merakamnya.

Di rumah, kami bersembang-sembang. Bercerita tentang situasi tersebut. Alangkah bahayanya seisi keluarga itu. Malang tidak berbau, pelbagai bahaya boleh terjadi.

Namun, di kala ramai yang terfikir untuk membeli kereta (menukar kereta baru atau yang lebih jimat minyak), pasangan tersebut sekadar bersyukur dengan motosikal buruk yang menjadi kenderaan mereka.

Kebelakangan ini, para pemimpin negara melalui media arus perdana mencanangkan agar rakyat menukar cara hidup. Banyakkan berjimat.

Kami tertanya-tanya, adilkah untuk menyuruh rakyat yang sekadar hidup cukup makan dan pakai dipaksa untuk lebih berjimat dan mengikat perut sedangkan para pemimpin hidup dalam kekenyangan.

(Potongan 10% daripada gaji mereka yang dianggarkan RM1 billion hanyalah sekelumit di hujung kuku jika dibandingkan dengan kehidupan purata rakyat Malaysia)

Suatu masa dulu, Khalifah Umar al-Khattab, ketika menghadapi zaman kemelesetan ekonomi di kota Madinah, pernah mengikat perutnya daripada memakan daging dan susu yang diperuntukkan untuk khalifah. Beliau rela berlapar kerana khuatir makanan rakyatnya tidak mencukupi.

Bagi menampung perutnya, Khalifah Umar hanya makan sedikit roti dengan minyak zaitun. Apabila perutnya berbunyi kelaparan, beliau memegang perutnya sambil berkata: "Berkerongconglah sesukamu. Engkau akan tetap mendapat minyak (zaitun), sehinggalah rakyatku berasa kenyang dan hidup dengan sempurna."

Suatu ketika, pegawai Umar minta untuk membantu Umar mengangkat gandum yang beliau hendak berikan kepada rakyatnya yang kelaparan, Umar dengan tegas berkata: "Wahai Aslam, jangan saudara jerumuskan saya ke dalam neraka. Adakah saudara hendak menggantikan saya memikul beban ini? Adakah saudara nanti hendak memikul beban di bahu saya ini di hari Akhirat?"

Umar adalah seorang Khalifah yang tegas tetapi disayangi oleh rakyat jelata. Dikalangan musuh Islam, dia amat digeruni termasuk Iblis. Umar termasuk dalam kumpulan 10 sahabat yang rasulullah yang jamin masuk syurga.

Wallahu'alam

Keluhan Seorang Bekas Saudara Baru

Saya terjumpa petikan artikel/surat pembaca dalam akhbar Metro 10/5/08 ketika melayari internet... sekadar ingin berkongsi maklumat tentang cabaran pendakwah hari ini.

TERLEBIH dulu saya ingin memohon maaf andai apa yang saya luahkan menyinggung perasaan pihak tertentu. Saya berusia 30 tahun dan dulu seorang mualaf. Kehidupan saya terseksa sejak memeluk Islam. Selepas memeluk Islam, saya tinggalkan keluarga saya untuk merantau dan mencari ilmu agama. Apa yang saya lalui menjadi sejarah hitam di dalam hidup. Ada insan yang menolong saya dan ada juga sebaliknya.

Kepada yang menolong, terima kasih saya ucapkan dan hanya Tuhan yang akan membalasnya. Kepada yang mencaci dan menghina saya, biar Tuhan juga yang membalasnya.Tuan/Puan, kini saya bukan lagi seorang Muslim. Saya keluar daripada Islam kerana tidak tahan dihina dan dicaci. Sebenarnya, saya memeluk Islam bukan untuk suka-suka, berkahwin atau mengharapkan bantuan mana-mana pihak.

Ketika beragama Islam, saya dihina oleh orang kampung yang berkata: “Awak ni pernah makan babi pun ada hati nak masuk Islam?” Jika di tempat saya, apa perasaanTuan/Puan?

Berdasarkan pengalaman saya, ramai saudara baru mengalami masalah serupa. Kami tidak pernah menerima bantuan sepatutnya daripada jabatan agama dan sebagainya. Itu kami tidak kisah, tapi yang menyedihkan ialah layanan buruk yang kami terima.

Pernah ketika saya ke jabatan agama untuk mendapatkan bantuan kerana sudah terdesak, saya dimarah dan dihina. “Kamu saudara baru ni tak ada kerja lain ke? Hanya nak minta bantuan saja?” Apa perasaan Tuan/Puan jika dihina begitu?

Sebenarnya, ada keluarga bukan Islam boleh menerima anggota keluarga memeluk Islam dan ada juga sebaliknya. Seandainya keluarga membenci dan membuang kami, ke mana kami hendak pergi? Akhir kata, kepada jabatan agama Islam, bantulah saudara baru Islam kerana mereka memerlukan bimbingan. Jangan anda hina mereka sebagaimana anda menghina dan menyisihkan saya.

Seandainya saya meninggal dunia, kepada jabatan agama, jangan uruskan mayat saya mengikut cara Islam kerana kini saya bukan lagi seorang Islam.

INSAN DERITA
Johor

----

Saya tidak pasti sama ada artikel ini benar-benar ditulis oleh bekas saudara baru, atau oleh seseorang yang sengaja ini memberi gambaran buruk tentang agama Islam, khususnya kepada mereka yang hendak memeluk Islam.

Kendati pun begitu, apakah yang akan saudara lakukan sekirannya berhadapan dengan seorang saudara baru yang menghadapi situasi demikian?

Wallahu'alam

Sunday, June 15, 2008

Selamat Hari Bapa

Tadi, tengahari, Hidayah ajak kami semua makan diluar.

Ketika makan dihidangkan, dengan tersenyum manis dia berkata: "Hari ini Dayah belanja sempena Hari Bapa sedunia. Selamat Hari Bapa."

Kak Yong, Abang Chor.... serentak mengucapkan: "Selamat Hari Bapa untuk Baba...!"

Sameer hanya senyum meleret sambil cuba mencapai makanan.

Oh!!... saya tidak tahu pun hari ni hari bapa. Tidak pernah ingat pun bila tarikhnya... mungkin sebab tidak pernah meraikannya atau mungkin juga sebab rasa macam bujang lagi kot...opsss ! hehehe.

Macamana pun, selamat Hari Bapa untuk semua bapa-bapa di dunia ini... terutama untuk ayahanda.. Haji Hasbullah bin Haji Ali bin Haji Abdullah Faqih bin Haji Majidi.

Saturday, June 14, 2008

Rahsia

Rahsia.

S: Buku apa yang terlaris ketika pesta buku?
J: Rahsia Islam di China

S: Buku yang pernah dirampas KDN?
J: Rahsia Al-Arqam

S: Buku bisnes terlaris?
J: Rahsia Bisnes Orang Cina

S: Undang-undang Kerahsiaan?
J: Akta Rahsia Rasmi

S: Sumpah seorang penjawat awam?
J: Menyimpan rahsia kerajaan

S: Kak Yong sedang tulis apa itu?
J: Rahsia.....!

S: Apakah pekerjaan anda sekarang?
J: Rahsia

S: Apakah tugas Cawangan Khas?
J: Rahsia

S: Adakah anda seorang yang perahsia?
J: Err... Rahsia

S: Apakah maksud entri ini?
J: Rahsia...

S: Apa akan terjadi sekiranya rahsia dibongkar?
J: Tiada Rahsia

.......

nota:.... sedang stres sebab PC meragam ditengah malam.. !!

wallahu'alam

Friday, June 13, 2008

Jimat Duit

Semakin banyak duit yang terpaksa dikeluarkan untuk membeli minyak yang semakin mahal. Jadi perlu kurangkan perbelanjaan yang lain.

1. Untuk perjalan dekat dan ketika cuaca redup, tidak panas... matikan penghawa dingin
2. Menyiram pokok... gunakan air hujan yang ditadah dari curahan bumbung rumah
3. Kurangkan membawa anak jalan-jalan makan angin.. sebaliknya berjalan kaki dengan anak-anak sambil makan angin
4. Kurangkan makan diluar...
5. Kurangkan bajet baju dan kuih raya...
6. Kurangkan pokok bunga dalam pasu... gantikan dengan pokok bayam, kangkung, serai, cili, tomato... kalau boleh tanam padi lagi bagus
7. Kurangkan kuantiti lauk dalam hidangan... satu lauk sahaja daripada 2-3 lauk.
8. Matikan enjin kereta apabila tunggu isteri di sekolah... kalau dalam kesesakan trafik boleh matikan enjin pun ok juga.
9. Kurangkan balik kampung... "Mak, Tok... cucu emak cuti kali ini guna video 'conferencing sahaja', tidak jadi balik kampung."
10. Kalau nak balik juga, balik lah pada waktu malam, supaya tidak sangkut kesesakan, tidak perlu singgah makan di R&R (bawa bekal) dan tidak perlu gunakan penghawa dingin.
11. Ish.. banyak lagi yang nak ditulis ni... cukup dulu.

Kepada pak-pak menteri.. harap tuan-tuan juga boleh praktikan kempen berjimat cermat. Setakat pergi kerja berkongsi kereta dengan pemandu dan pengawal peribadi.. itu tidak masuk rekod!!

wallahu'alam

Tuesday, June 10, 2008

Email Untuk Perokok



Ini adalah kiriman email yang saya terima dalam milis (mailing list) alumni Maahad Hamidiah... antara tempat saya menuntut ilmu suatu masa dahulu.

Email dari kakak kepada seorang senior saya, Ahmad Qais Ismail, yang kembali menemui Allah pada malam selepas azan isyak 30.5.08.

Bagi mereka yang merokok... mungkin boleh difikir-fikirkan keluhan dibawah ini. Wallahu'alam

Assalamu'alaikum wbth .

Selepas beberapa hari yg sibuk dan menyedihkan kerana mengurus adik yang sakit sehingga beliau menghembuskan nafas akhirnya, hari ini saya berpeluang semula untuk menyemak blog ini.

Terima kasih atas ucapan takziah.
Sebagai makluman, Allahyarham Ahmad Qais meninggalkan kita semua ekoran lemah jantung di Hospital Kajang pada jam 9 malam. Sebenarnya beliau dari batch SRP 88. Yang dari batch SRP 87 ialah seorang lagi adik saya, iaitu Adeebah.

Semasa hayatnya, beliau memang tidak berapa sihat dan kerap kali dirujuk ke HKL bagi menerima rawatan. Tabiatnya yang kuat merokok lebih memburukkan tahap kesihatannya. Saya maklum, semasa zaman persekolahan beliau seorang yang amat nakal. Mohon beliau dimaafkan jika terkasar bahasa dan perlakuan.

Jika terhutang wang ringgit, boleh minta dari saya at
au Adeebah. Nombor untuk dihubungi = 019-3177383 (Laila) & 016-3113050 (Adeebah).

Bukan untuk menunjuk pandai mahupun berniat untuk mengecilkan hati sesiapa, tapi saya memang terlalu emosional jika berhadapan dengan seorang perokok. Amat sedih bila orang yang kita sayangi tidak menyayangi diri mereka sendiri.

Kalau boleh, bagi rakan-rakan yang merokok, hentikanlah tabiat yang langsung tidak berfaedah ini. Saya masih percaya kepada suratan taqdir, qadha' dan qadar.

Saya redha dengan apa jua taqdir yang menimpa kami sekeluarga. Tapi
saya kehilangan dua ahli keluarga (arwah babah pada 1/9/2004 & arwah Qais pada 30/5/2008) akibat tabiat mereka yang kuat merokok.

Saya tidak nampak satu pun faedah yang dihasilkan dari aktiviti merokok ini melainkan tahap kesihatan mereka yang semakin merosot.


Oleh itu saya merayu kepada semua, hentikanlah merokok. Jika anda masih 'percaya' bahawa merokok tidak memudaratkan kesihatan anda, fikirkanlah pula kesihatan ahli keluarga yang lain, terutama anak-anak yang masih kecil.


Cik La



P/s : Gambar hiasan disalin daripada www.photomalaysia.com/forums

Sunday, June 8, 2008

Meletup

Setelah beberapa hari memendam rasa, hari ini penamatnya. Bom jangka yang berdetik sejak beberapa minggu lalu sudah meletup.

Dua tiga minggu lepas, harga beras naik. Ketika kali pertama naik, saya melilau sekitar Hulu Kelang, Ampang, mencari beras. Semua kedai yang saya singgah, sudah kehabisan stok beras. Kalau ada pun yang tinggal hanya beras Siam super special yang amat mahal (bagi saya).

Saya kemudiannya dapat membeli beras di kiosk Petronas. Jika dulu beras 10kg berhargaRM18.00, pada hari tersebut harganya naik RM28.00. Dua minggu lepas beras yang sama beharga RM38.00!!.

Saya hendak meletup, tetapi dipendamkan sahaja.

Dua minggu lepas, ketika berada di Singapura, saya mendengar berita Pulau Batu Putih jatuh ke tangan Singapura. Ini adalah gara-gara kecuaian, kelemahan, kebobrokan etika dan nilai (dan macam-macam lagi) pemimpin negara ini sejak dahulu kala.

Kata Hang Tuah "Takkan Melayu hilang di dunia". Saya tambah: "Tetapi, bumi melayu yang akan hilang di dunia" (kalau saki baki pemimpin spesis tersebut terus wujud).

Kita tunggu dan lihat, apakah nasib Pulau Pisang di Pontian, Johor suatu hari nanti yang kini rumah apinya dikendalikan oleh Singapura.

Mungkin juga Wilayah Iskandar di Johor akan mengalami nasih yang sama.. setidak-tidaknya mungkinkah anak Malaysia akan merempat di WPI itu. Kita tunggu dan lihat bagaimana 'belanda minta tanah...'.

Saya hendak meletup lagi, tetapi saya cuba sedaya upaya untuk memendam, walaupun hati ini bagaikan dihiris-hiris apabila melihat kampung kita tergadai dek menang sorak yang tidak seberapa.

Minggu lepas harga minyak naik mendadak. Pemimpin negara menyuruh rakyat berjimat cermat, bersabar dan memberi jaminan kenaikan tidak membebankan rakyat.

Saya tidak pasti sama ada mereka itu bercakap atau menyanyi. Mereka yang berkata itu tidak merasa susah. Hidup, makan, minum, minyak dan setiap saat nyawa dan nafas mereka dibiayai oleh jerit perih rakyat jelata. Mereka mudah untuk memerah keringat rakyat kerana mereka hidup senang dan makan kenyang, tetapi adilkah apabila rakyat yang kemudiannya disuruhnya berjimat cermat.. dipaksa menderita?

Saya hendak meletup.. tetapi saya cuba untuk bersabar. Saya masih belum lagi mengisi minyak kereta. Saya juga belum makan besar di luar. Belum lihat kesannya lagi depan mata.

Saya cuba untuk tunggu dan lihat.

Namun, tahap kesabaran saya rupanya amat nipis.... senipis kulit bawang. Hari ini saya gagal menahan diri ini dari meletup.

Akhirnya... saya MELETUP juga... di Taman Permata ini.

Puncanya... lihatlah resit dibawah ini. Pembelian minyak petrol (isian penuh tangki) untuk Iswara 1.5 saya.

Biasanya setiap kali isi minyak penuh, saya akan hulurkan sekeping not RM50. Tetapi, semalam dua keping not RM50 dan tidak ada baki!!

Selepas ini perbelanjaan minyak dari sebulan RM400 akan meningkat kepada RM600 atau mungkin lebih. Itu belum lagi nilai yang akan bertambah apabila membeli barang dapur. Sehingga hari ini, stok dapur masih boleh bertahan hingga esok. Entah berapa pula duit yang akan melayang esok.

Bagi saya yang suami isteri kerja lebih 7-9 tahun dengan gaji graduan pun berasa kekeringan untuk hidup di bandar KL, apatah lagi orang lain. Mereka yang hidup dengan gaji isi rumah kurang 2ribu atau 1 ribu seperti kerani, pemandu, pak guard, posmen, buruh dan sebagainya. Tambah lagi dengan anak ramai dan semakin membesar. Bertambah peritlah kehidupan mereka.

Alhamdulillah, kami masih boleh menyusun semula perbelanjaan. Namun bagi orang lain yang lebih susah bagaimanakah kehidupan mereka selepas ini. Kalau pemimpin negara masih boleh bercuti, bersantai, membeli belas dan makan kenyang, adakah mereka akan berjimat cermat seperit yang mereka warwarkan?

Tunggu dan lihat, kesannya kepada rakyat jelata. Negara ini kaya dengan hasil minyak, namun kemana perginya keuntungan minyak itu? Rakyat tidak selamanya boleh dibohongi, diperbodohkan.

Inilah jasa kerajaan selepas PRU ke 12. Terima kasih Pak Lah dan kerjaan BN.

Allah jua yang mengetahui.