Tuesday, June 17, 2008

Berjimat

Hidayah bercerita, pagi tadi ketika memandu ke sekolah, dia berselisih dengan sekeluarga yang menaiki motosikal.

Sepasang suami isteri di atas motosikal. Anak kecil dalam lingkungan 2-3 tahun duduk di bakul hadapan. Seorang anak dalam lingkungan 4-5 tahun duduk terselit di antara emak dan ayahnya. Manakala, emaknya memangku seorang lagi anak yang kelihatan usianya kurang daripada setahun.

Di hadapan, si Ayah memandu motosikal sambil tangannya memegang beg-beg pakaian kanak-kanak dan beg bayi. Emak dan ayah kemungkinan dalam perjalanan ke tempat jagaan kanak-kanak (nurseri) sebelum ke pejabat.

Cuba saudara bayangkan, betapa saratnya motosikal kecil itu. Sayang sekali Hidayah tidak ada kamera untuk merakamnya.

Di rumah, kami bersembang-sembang. Bercerita tentang situasi tersebut. Alangkah bahayanya seisi keluarga itu. Malang tidak berbau, pelbagai bahaya boleh terjadi.

Namun, di kala ramai yang terfikir untuk membeli kereta (menukar kereta baru atau yang lebih jimat minyak), pasangan tersebut sekadar bersyukur dengan motosikal buruk yang menjadi kenderaan mereka.

Kebelakangan ini, para pemimpin negara melalui media arus perdana mencanangkan agar rakyat menukar cara hidup. Banyakkan berjimat.

Kami tertanya-tanya, adilkah untuk menyuruh rakyat yang sekadar hidup cukup makan dan pakai dipaksa untuk lebih berjimat dan mengikat perut sedangkan para pemimpin hidup dalam kekenyangan.

(Potongan 10% daripada gaji mereka yang dianggarkan RM1 billion hanyalah sekelumit di hujung kuku jika dibandingkan dengan kehidupan purata rakyat Malaysia)

Suatu masa dulu, Khalifah Umar al-Khattab, ketika menghadapi zaman kemelesetan ekonomi di kota Madinah, pernah mengikat perutnya daripada memakan daging dan susu yang diperuntukkan untuk khalifah. Beliau rela berlapar kerana khuatir makanan rakyatnya tidak mencukupi.

Bagi menampung perutnya, Khalifah Umar hanya makan sedikit roti dengan minyak zaitun. Apabila perutnya berbunyi kelaparan, beliau memegang perutnya sambil berkata: "Berkerongconglah sesukamu. Engkau akan tetap mendapat minyak (zaitun), sehinggalah rakyatku berasa kenyang dan hidup dengan sempurna."

Suatu ketika, pegawai Umar minta untuk membantu Umar mengangkat gandum yang beliau hendak berikan kepada rakyatnya yang kelaparan, Umar dengan tegas berkata: "Wahai Aslam, jangan saudara jerumuskan saya ke dalam neraka. Adakah saudara hendak menggantikan saya memikul beban ini? Adakah saudara nanti hendak memikul beban di bahu saya ini di hari Akhirat?"

Umar adalah seorang Khalifah yang tegas tetapi disayangi oleh rakyat jelata. Dikalangan musuh Islam, dia amat digeruni termasuk Iblis. Umar termasuk dalam kumpulan 10 sahabat yang rasulullah yang jamin masuk syurga.

Wallahu'alam

No comments: