Tuesday, June 17, 2008

Keluhan Seorang Bekas Saudara Baru

Saya terjumpa petikan artikel/surat pembaca dalam akhbar Metro 10/5/08 ketika melayari internet... sekadar ingin berkongsi maklumat tentang cabaran pendakwah hari ini.

TERLEBIH dulu saya ingin memohon maaf andai apa yang saya luahkan menyinggung perasaan pihak tertentu. Saya berusia 30 tahun dan dulu seorang mualaf. Kehidupan saya terseksa sejak memeluk Islam. Selepas memeluk Islam, saya tinggalkan keluarga saya untuk merantau dan mencari ilmu agama. Apa yang saya lalui menjadi sejarah hitam di dalam hidup. Ada insan yang menolong saya dan ada juga sebaliknya.

Kepada yang menolong, terima kasih saya ucapkan dan hanya Tuhan yang akan membalasnya. Kepada yang mencaci dan menghina saya, biar Tuhan juga yang membalasnya.Tuan/Puan, kini saya bukan lagi seorang Muslim. Saya keluar daripada Islam kerana tidak tahan dihina dan dicaci. Sebenarnya, saya memeluk Islam bukan untuk suka-suka, berkahwin atau mengharapkan bantuan mana-mana pihak.

Ketika beragama Islam, saya dihina oleh orang kampung yang berkata: “Awak ni pernah makan babi pun ada hati nak masuk Islam?” Jika di tempat saya, apa perasaanTuan/Puan?

Berdasarkan pengalaman saya, ramai saudara baru mengalami masalah serupa. Kami tidak pernah menerima bantuan sepatutnya daripada jabatan agama dan sebagainya. Itu kami tidak kisah, tapi yang menyedihkan ialah layanan buruk yang kami terima.

Pernah ketika saya ke jabatan agama untuk mendapatkan bantuan kerana sudah terdesak, saya dimarah dan dihina. “Kamu saudara baru ni tak ada kerja lain ke? Hanya nak minta bantuan saja?” Apa perasaan Tuan/Puan jika dihina begitu?

Sebenarnya, ada keluarga bukan Islam boleh menerima anggota keluarga memeluk Islam dan ada juga sebaliknya. Seandainya keluarga membenci dan membuang kami, ke mana kami hendak pergi? Akhir kata, kepada jabatan agama Islam, bantulah saudara baru Islam kerana mereka memerlukan bimbingan. Jangan anda hina mereka sebagaimana anda menghina dan menyisihkan saya.

Seandainya saya meninggal dunia, kepada jabatan agama, jangan uruskan mayat saya mengikut cara Islam kerana kini saya bukan lagi seorang Islam.

INSAN DERITA
Johor

----

Saya tidak pasti sama ada artikel ini benar-benar ditulis oleh bekas saudara baru, atau oleh seseorang yang sengaja ini memberi gambaran buruk tentang agama Islam, khususnya kepada mereka yang hendak memeluk Islam.

Kendati pun begitu, apakah yang akan saudara lakukan sekirannya berhadapan dengan seorang saudara baru yang menghadapi situasi demikian?

Wallahu'alam

2 comments:

Azree Hanifiah said...

Ramai orang menganggap orang Cina adalah bangsa yang kuat, rajin dan suka bekerja. Sebenarnya mereka kuat dan rajin kerana mereka ada support di belakang mereka. Sama ada daripada keluarga mahu pun masyarakat.

Sekiranya mereka kehilangan support(sokongan) tersebut, mereka mungkin boleh jadi hilang keyakinan dan mungkin jadi lebih teruk daripada orang lain.

Ini merupakan kesimpulan seorang rakan yang menjaga bahagian dakwah JIM. Dia menceritakan kisah beberapa orang mualaf yang dibuang keluarga, disisih bangsa sendiri dan sebagainya. Sudahlah disisihkan bangsa sendiri, orang Islam pun tak mahu ambil berat tentang mereka.

Tapi mungkin juga pihak jabatan agama sudah letih melayan beberapa mualaf yang memang sudah tak reti cari makan sendiri. Asyik minta bantuan derma sahaja. Mungkin kehilangan keyakinan diri sampai tidak tahu mencari pendapatan sendiri.

Cuma bukan semua daripada mereka yang suka mengambil kesempatan.

Abu Marwan said...

Saya setuju. Seorang saudara baru yang bertugas di PERKIM pernah memberitahu tentang bagaimana sebilangan saudara baru yang masuk Islam, mereka hilang punca pendapatan. Malah ada yang kemudiannya mengemis. Namun, saya juga pernah bertemu dengan saudara baru yang tambah berjaya dalam kehidupan barunya. Wallahu'alam