Wednesday, July 25, 2007

Syukur... lagi

Suatu hari yang lepas, saya menaiki teksi yang dipandu seorang lelaki cina tua (apek).

Perjalan yang agak jauh di waktu tengahari memang meletihkan. Bagi memecahkan suasana yang sunyi sepi dan dalam teksi itu, saya cuba untuk bersembang. "Uncle, panas juga cuaca hari ini."

Apek itu hanya diam membisu. Munkin dia tidak mendengar atau leka melihat jalan di hadapan. Saya masih tidak berputus asa. Kononnya hendak membuka cerita tentang isu alam sekitar dan cuaca yang menggila akibat pemanasan global. Saya cuba memecahkan ketulan-ketulan ais. Sekurang-kurangnya tidaklah terasa sangat bosannya perjalanan itu:

"Sekarang ini cuaca tidak menentu. Kalau panas, panas sungguh..."

Belum sempat saya menghabiskan kata-kata terdengar apek itu mengeluh.

"Huhhh..."

Kata-kata dia yang seterusnya membuatkan saya terus terdiam.

"Inilah manusia. Kalau hujan dia mengeluh. Kalau panas, dia mengeluh. Semua tidak betul. Semua tuhan buat salah. Tidak ada terima kasih pada tuhan 'ala'..."

"Aduh! bisanya..." Bisik hati saya.

Ketulan ais yang cuba saya pecahkan tadi, semakin membesar dan seolah-olah membaluti seluruh teksi ini. Akhirnya, saya membisu tanpa sebarang bicara. Hanya deruman enjin Iswara merah putih itu sahaja yang menjadi penghibur perjalanan. Kadang-kadang ia kedengaran seperti berkata kepada saya:

"Itulah, siapa suruh pandai-pandai hendak mengomel. Tengah hari terik ini, orang tidak ada 'mood' hendak bersembang. Duduk diam-diam sudahlah."

Otak saya menerawang jauh entah kemana. Saya tidak marah pada apek itu. Terfikir juga tentang kata-kata saya tadi. Betullah manusia ini mudah melatah dan kurang bersyukur. Semuanya tidak kena, semua hendak selesa. Seolah-olah hendak supaya tuhan ikut kemahuan kita.

Cuaca panas ini mungkin menyiksakan saya atau sesetengah orang. Tetapi, bagi orang lain contohnya, petani yang menanam tembakau atau jagung, cuaca panas satu rahmat.

Sambil melihat di tepi jalan, pokok-pokok bunga kertas berbunga indah. Cuaca panas betul-betul membantu melebatkan bunga.

Saya teringat kata-kata Imam Ghazali : "Apabila seseorang itu ditanya tentang sesuatu situasi dan dia memberi respon antara bersyukur atau mengeluh. Apabila dia bersyukur, dia sebenarnya mentaati Allah. Manakala, apabila mengeluh, dia sebenarnya derhaka kepada Allah."

Seorang sahabat besar nabi Muhammad, Umar pernah berdoa: "Ya Allah, masukkan saya dalam golongan yang sedikit."

Apabila sahabat-sahabat lain yang mendengar doanya bertanya, apakah maksud doa itu. Umar tidak terus menjawab, sebaliknya, dia membacakan sepotong ayat Quran yang bermaksud:

“Sedikit saja dari hamba-hambaku yang bersyukur.” (Saba’: 13).

Astaghfirullah, baru tersedar, banyaknya saya mengeluh, dan sedikitnya saya bersyukur. Hari ini saya ditegur oleh seorang apek tua. Tazkirah ringkas tetapi signifikan*. Hikmah Allah boleh datang daripada sesiapa sahaja, walau dari apek tua yang saya tidak pasti muslim atau tidak. Kata-katanya itu lebih muslim dari sesetengah muslim.

Agaknya kalau apek tua itu melayan bicara saya, pasti semakin panjang keluhan saya dan semakin sedikit syukur saya, na'uzubillah (moga dijauhkan Allah). Macamana pun, terima kasih apek... xie xie nie... !

Wallahu'alam.


* saya memetik kata-kata Prof Muhd Kamil Ibrahim

1 comment:

Kassim Selamat said...

Assalamualaikum Tuan,
Senyum saya membaca entri ini.
Boleh tahan juga apek tu bagi tazkirah...hehehe

'Ringkas tapi signfikan'...saya suka kata2 ini oleh Prof. Muhd Kamil.