Hari ini masuk hari ke 14 puasa. Maknanya sudah melepasi 1/3 bulan Ramadan. Sekarang ini fasa ke 2 dalam bulan Ramadan. Fasa yang menjanjikan keampunan dari Allah.
Malam tadi di surau, seperti malam-malam sebelumnya, solat tarawikh 8 rakaat disusuli dengan tazkirah. Surau Taman Permata ini memang 'tidak makan saman'. Pihak berkuasa agama mengeluarkan 'fatwa' yang mewajibkan solat tarawikh 20 rakaat dan 'haram' mengadakan tazkirah. Namun 'fatwa' tersebut tidak sedikit pun menggugat jadual surau. Memang pun tidak perlu dilayan fatwa tersebut.
Walaupun para jemaah tidak dapat menikmati solat 20 rakaat seperti yang dikehendaki oleh pihak berkuasa agama, namun mereka lebih berselera dengan hidangan tazkirah yang penuh ilmu setiap malam. Sekurang-kurangnya dapat juga menambah ilmu saya yang cetek ini. Bak kata Imam Ghazali dalam bukunya Ihya ’ Ulumuddin: "Abu Darda melaporkan daripada Rasulullah: 'Hendaklah kamu menjadi orang berilmu. Jika tidak, jadilah orang yang mempelajari ilmu. Jika tidak, jadilah orang yang mendengar ilmu. Jangan kamu jadi golongan keempat (yang tidak termasuk dalam golongan itu). Hendaklah kamu tinggalkan perbuatan golongan keempat itu.”
Malam tadi ustaz jemputan, bercerita tentang amalan bulan puasa, bagaimana hendak menambah nilai mata ganjaran bulan puasa. Bulan yang setiapa amalan mendapat ganjaran berlipat kali ganda, nilai mata ganjaran bonus. Bulan yang penuh rahmat dan maghrifah Allah.
Salah satu cara untuk menambah nilai mata ganjaran ini adalah melalui amalan bersedekah. Sekiranya bulan-bulan lain kita bersedekah, bulan puasa ini perlu dilipat gandakan lagi. Sekiranya bersedekah makanan untuk orang berbuka puasa, kita juga mendapat ganjaran kebaikan sebanyak mana orang makan makanan tersebut, malah berlipat ganda.
Seperti kata Rasulullah dalam satu hadis yang direkodkan oleh Imam Ahmad dan Tirmizi: “Sesiapa yang memberi buka orang yang berpuasa akan mendapat ganjaran seperti ganjaran orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun.”
Satu idea yang menarik dari ustaz ini tentang bagaimana kita boleh menggalakkan amalan bersedekah dalam keluarga adalah dengan mewujudkan 'tabung sedekah' dalam rumah. Setiap ahli keluarga menyumbang dalam tabung ini setiap hari. Jumlah sumbangan tidak kisah banyak mana, asalkan setiap hari ada sumbangan. Mungkin RM0.10, munkin RM1.00, yang penting ikhlas dan disiplin.
Setiap hujung minggu ataupun apabila tabung sudah agak penuh, bolehlah sedekahkan ke masjid dan sebagainya. Dengan cara ini setiap ahli keluarga boleh turut serta bersedekah dan menikmati mata ganjaran bonus. Bukan hanya ahli keluarga yang ke masjid sahaja. Ini macam pelan mata ganjaran bonus keluarga.
Hemm.. menarik idea ustaz ni.. boleh dipraktikkan. wallahu'alam.
1 comment:
Ada fatwa mewajibkan solat tarawih 20 rakaat? maknanya terawih 8 atau 10 rakaat tak dibolehkan?. Nasib baik di n9 tak ada fatwa macam tu.
Di masjid tempat ada selepas tarawih ada juga tazkirah tetapi cuma menceritakan kelebihan solat tarawih malam ini yang ke 16.
Mengadakan tabung sedekah di rumah itu memang idea yang baik. Cara ini pernah dilakukan oleh penduduk Mesir sehingga mereka mampu menampung perbelanjaan pelajar di Universiti al Azhar. Khabarnya penyokong Hisbullah di LUbnan juga melakukan perkara yang sama sehingga mereka mampu mendirikan hospital, sekolah dan pelbagai kebajikan.
Post a Comment