Sunday, April 20, 2008

Tidak boleh sebut namanya

Kelmarin saya bersembang dengan isteri tentang isu yang hangat dan berpanjangan sepanjang minggu. Saya menyebut tentang isu ladang b**i dan segala yang berkaitan dengan b**i.

Kak Yong dan abang Chor yang sedang leka membaca dan melukis itu tiba-tiba menjerit serentak: "Hah! Baba sebut b**i.. tidak elok, berdosa!"

Puas saya dan Hidayah menerangkan kepada mereka, kami bukan mengata atau memanggil orang 'b**i'. Kami sedang berbincang tentang binatang yang bernama b**i. Namun mereka tetap tidak puas hati. Kata Kak Yong: "Mana boleh sebut nama itu.. tidak elok!"

"Habis, baba perlu sebut apa?"

"Baba sebut, binatang 'bab'. Jangan sebut nama dia". Sampuk Abang Chor. Sameer yang masih belum faham hanya tersengih memandang kami. Entah apa yang difikirkan.

Saya mengalah dan bersetuju. Tidak pasti di mana mereka belajar tentang pantang larang menyebut nama binatang itu. Mungkin di sekolah atau dengan kawan-kawan.

Sejak kecil, saya tahu binatang ini memang ada banyak pantang larang... Selain tidak boleh dimakan atau disentuh setiap apa yang terbit darinya, binatang ini juga tidak boleh disebut namanya, terutama di hadapan khalayak ramai. Seolah-olah, namanya haram seperti mana haram memakan dagingnya.

Tetapi, jika di sebut dalam bahasa arab (khinzir) atau bahasa Inggeris (pig), tidak mengapa. Ia dibolehkan pula oleh masyarakat. Sebutlah dalam apa pun, tetapi jangan b**i. Sebab itu suatu masa dahulu, dalam parlimen b**i perlu disebut sebagai khinzir . Tetapi peraturan itu sudah tidak ada lagi.

Seorang rakan saya yang berkhidmat sebagai komando (Grup Gerak Khas) lebih 15 tahun pernah berkata kepada saya: "Hampir semua binatang dalam hutan saya sudah makan. Contohnya, ular, biawak, labi-labi, kera, kelawar, tikus hutan dan sebagainya."

"B**i hutan awak makan?"

"Oh, yang itu sahaja saya tidak pernah makan."

"Kenapa?"

"Haram!"

Hemm... pelik juga. Makanan yang haram dimakan bukan setakat 'kerbau pendek' itu sahaja. Banyak lagi. Binatang yang halal kalau tidak kena caranya pun boleh jadi haram dimakan. Mungkin budaya dan ajaran turun termurun itu lebih ditakuti oleh ajaran Islam yang sebenarnya.

Seorang pencuri, perasuah, pembunuh, perompak tidak akan makan daging b**i, sedangkan makanan hasil usaha mereka itu juga setaraf dengan memakan binatang itu.

Teringat kata Exco Selangor, Teressa Kok: "B**i pun makhluk tuhan juga."

1 comment:

Anonymous said...

Tulisan artikel di blog Anda bagus-bagus. Agar lebih bermanfaat lagi, Anda bisa lebih mempromosikan dan mempopulerkan artikel Anda di infoGue.com ke semua pembaca di seluruh Indonesia. Salam Blogger!
http://www.infogue.com/
http://infogue.com/pengetahuan_umum/tidak_boleh_sebut_namanya/