Malam tadi saya ke Ikim.fm. Dalam konti, bersama DJ popular, Zamri Zainal Abidin. Dua orang tetamu undangan untuk segmen Duniaku Buku, iaitu Ustaz Alias Othman dan Ustazah (Prof Madya) Dr Aishah Ab Ghani. Bicara buku: Islam Yang Mudah, Memahami agama daripada pandangan pelbagai mazhab fikah.
Saya dalam konti tidak bersuara. Saya memohon untuk tidak dilibatkan dalam bicara buku. Saya lebih selesa untuk duduk sahaja. Tersenyum, tersengih dan sesekali memberi isyarat senyap kepada dua staff Islamika yang turut bersama dalam konti... Firdaus dan Asyuura. Mereka ketawa apabila ada perbincangan yang melucukan.. walaupun perlahan, saya pasti dapat ditangkap oleh mikrofon yang super sensitif.
Raja Ila duduk senyap membatu di sebelah saya. Imran hanya tersenyum-senyum memerhati dari luar konti.. menjenguk melalui tingkap tebal. Terasa macam kami duduk dalam pameran... kurang sedikit macam ikan dalam aquarium. Dan.. Imran diluar adalah ibarat pelawat, yang datang melihat pameran.. macam melawat Aquaria KLCC atau Zoo Negara.
Konti ramai dengan penonton tidak diundang.. Seluruh tim Islamika dan Cik Puan Wan Roslili, penyelidik Ikim.
Perbincangan DJ ustaz Zamri dan tetamu @ penulis PTS lebih banyak berkisar kepada isu, bukan tentang buku secara langsung. Bukan kempen membeli buku atau promosi murahan. Tetapi lebih kepada membicangkan isu yang tersirat di sebalik kandungan buku.
Isu yang hangat, tentang kepelbagaian mazhab dalam menangani sesutu keperluan hukum, tentang adab bermazhab, tentang memahami Islam dalam konteks yang lebih luas. Termasuk juga bolehkah kita tidak bermazhab.
Respon pendengar yang bertanya juga menarik. Antaranya adakah apabila mengerjakan haji kita perlu menukar mazhab agar dapat memudahkan kita beribadah. Ada juga yang mempertikaikan amalan ibadah sesetengah Muslim yang pelbagai ragam dan berbeda dengan amalan tradisi. Ada yang mempertikaikan kitab kuning (klasik) melayu sebagai tidak otoritatif dan sebagainya.
Sesi yang cukup bermanfaat. Kesimpulan dari perbincangan di atas adalah tentang pentinya ilmu dan menghormati pandangan mazhab lain.
Kata Ustaz Alias: "Kita boleh untuk tidak bermazhab sekiranya kita benar-benar berilmu dan mencukupi syarat-syarat seorang mujtahid."
"Kita juga jangan taksub dengan sesuatu aliran pemikiran dan mazhab. Kita boleh mengikut mana-mana fahaman dan aliran yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi jangan kritik orang lain yang tidak secocok dengan kita."
Sepanjang program, ustaz Alias lebih mendominasi perbincangan. Ustazah Anisah, hanya tenang mendengar. Sesekali sahaja beliau mencelah dan menjawab soalan pendengar apabila diminta oleh Ustaz Alias.
Kata ustazah: "Oleh kerana kami menulis bersama buku ini, maka idea kami juga selari. Apa yang ustaz katakan, sama dengan apa dengan apa yang saya hendak cakap." fikirkan."
Selesai program, sebaik hendak beredar, ada panggilan masuk ke konti. Ustaz Zamri tetap melayan panggilan walaupun tugas beliau sudah tamat. Panggilan daripada seorang pembantu rumah (orang seberang) yang bekerja di Puchong. Dia adalah antara pendengar setia program Duniaku Buku.
Wanita tersebut bertanyakan tentang buku-buku yang diulas dalam program yang lepas-lepas. Beliau ingin membeli secara pos. Ini kerana agak sukar untuk beliau keluar dari rumah majikannya. Beliau juga tidak mempunyai akses internet untuk membeli dalam talian.
Ustaz Zamri dan saya tidak pasti bagaimana dapat membantu beliau. Saya memberikan nombor talifon bahagian khidmat pelanggan PTS, harapnya dapat membantu wanita tersebut.
Hemm... pembantu rumah yang minat membaca... buku-buku agama. Saya ibarat meneguk di air yang keruh... mempromosi buku-buku PTS.
Diluar konti, di bilik tetamu, kami berjamuan ringan... KFC dan teh krisantamum, idea Imran. Membasahkan tekak dan meminyakkan tangan... sedikit rezeki, sebelum pulang.
No comments:
Post a Comment