Saturday, June 16, 2007

Gadis Koran

"Ris, apa yang menarik di Pesta Buku Jakarta?"

"Judul buku disana terlalu banyak, berbanding dengan di Malaysia"

"Bidang apa yang banyak itu?"

"Semua bidang. Pengurusan, pertanian, pendidikan, IT, bisnes, agama dan macam-macam lagi."

"Banyak karya asli atau terjemahan?"

"Saya kurang pasti mana yang lebih banyak. Tetapi bedasarkan pemerhatian saya terhadap buku-buku agama, secara kasarnya saya lihat bagi pernerbit baru, 60%-70% adalah buku terjemahan. Manakala penerbit yang sudah beroperasi lebih 10 tahun, pecahannya 50-50."

"Penerbit buku agama itu semuanya dapat lesen sah dari penerbit asal kah?"

"Setakat yang saya tanya, dari 5 penerbit, hanya 1 atau dua yang mendapat lesen sah. Ramainya menggunakan alasan 'tidak perlu' kerana pak arab menulis bagi tujuan dakwah."

"Hemm.. menarik sungguh alasan mereka."

"Bukan itu sahaja. Ada lagi yang menarik di Pesta Buku Jakarta yang tidak ada di Malaysia."

"Huh?"

"Di Pesta Buku Jakarta ada jual Koran."

"Kenapa pula menarik? Di Pesta Buku Kuala Lumpur pun banyak gerai jual Koran."

"Yang menariknya adalah di Jakarta, yang menjual Koran adalah gadis manis."

"Di Malaysia pun ada gadis yang jual. Pun manis juga!"

"Heh... di Jakarta, gadis yang menjualnya pakai skirt paras lutut dan tidak pakai tudung!"

"Hah!! Sungguh kurang sopan gadis itu! Mereka tidak hormat koran. Tidak ada orang tegur kah?"

"Kenapa pula hendak tegur? Itu perkara biasa sahaja di Indonesia. Semua orang di sana baca koran pun belum tentu pakai tudung!"

"Ah, kacau sungguh! Kenapa jadi macam itu?"

"He, he, he... rileks bung, jangan ribut! Di Indonesia, koran itu sebenarnya ialah suratkhabar, bukan kitab suci al-Qur'an!"

"Heh.. ni lawak dari Jakarta yer?..."

(Di atas adalah transkrip perbualan saya dan seorang rakan di sebuah kedai kopi, bukan sesi interogasi di Bukit Aman)

No comments: