Monday, June 11, 2007

Misi Tercapai

Alhamdulillah misi ke Pesta Buku Jakarta dapat dicapai..

Sepanjang 3 hari 2 malam di Jakarta, kami berjumpa dan menghulurkan salam perkenalan dengan beberapa penerbit besar dan aktif di Indonesia. Antaranya ialah Republika, Gramedia, Pustaka Zahra, Hidayah, Pustaka Serambi dan AgroMedia.

Banyak juga ilmu dan maklumat yang kami perolehi dari mereka, sama ada penerbitan mahupun jualan dan pemasaran. Kami berbincang untuk menjalinkan kejasama penerbitan: PTS menerbitkan karya bestseller mereka dan sebaliknya juga. Antara kesemua penerbit itu, penerbit AgroMedia adalah antara yang termuda yang seusia dengan PTS. Baru enam tahun beroperasi dan mempunyai 6 anak syarikat. Bermula dengan penerbit buku-buku pertanian dengan 5-6 judul sebulan, mereka kini sudah ada lebih 1500 judul dalam pebagai bidang selain dari pertanian seperti agama, bisnis, novel kreatif, sastera, pendidikan, politik dan sebagainya. Jumlah judul baru yang diterbitkan sebulan adalah lebih 100 buah.

Yang menariknya AgroMedia mempunyai editor tetap yang hampir sama banyak dengan PTS iaitu lebih kurang 26 orang (editor PTS 20 orang). Bagi memastikan buku-buku yang mereka terbitkan sentiasa boleh didapati dan berada dipasaran, mereka menggajikan seramai 200 orang jurujual! Tidak hairanlah jika mereka boleh mendakwa dari segi keberadaan buku mereka di pasaran dan jualan buku, mereka kini nombor dua selepas penerbit gergasi Indonesia iaitu PT Gramedia. PT Mizan kini jatuh nombor tiga.

Cuma dari segi falsafah dan perjuangan dakwah Islamiyah dalam penerbitan, Mizan Group masih lagi unggul.

Di pesta buku Jakarta ini saya melihat bagaimana penerbit Indonesia mempunyai judul-judul yang terlalu banyak jika dibandingkan dengan penerbit Malaysia. Sebagai contoh, jika di Malaysia buku tentang poligami agak sukar didapati, dan mungkin buku tulisan Alang Bidara yang bakal diterbitkan oleh PTS ini merupakan yang terkini dan tersohor. Tetapi, di Indonesia, saya temui tidak kurang dari 5 buah buku berkenaan poligami yang diterbitkan oleh sesebuah penerbit. Itu tidak termasuk buku tentang solat, mereka boleh menulis dari pelbagai sudut yang luar dari kebiasaan penulis Malaysia seperti : ‘Terapi Solat Khusyuk’, 'Apa Perlunya Solat’, ‘Sukses Dengan Solat’, ‘Praktikal Solat Sukses’ dan banyak lagi. Semuanya hendak mengajak orang bersolat. Saya teringat satu artikel dalam majalah maya ‘Publishers Weekly’ beberapa tahun lepas yang menyebut, apabila orang ramai di US semakin jauh dengan gereja dan bible, maka ahli agama cuba mendekati orang ramai dengan pelbagai cara, salah satunya adalah mempakej semula buku-buku agama mereka agar lebih mesra, dekat dan diminati.

Sepanjang berada di pesta buku Jakarta juga kami memborong buku-buku yang mana sebahagian besarnya adalah pemberian percuma penerbit-penerbit yang kami temui. Sebagai naskhah rujukan untuk kerjasama seterusnya. Akibatnya, ketika hendak pulang ke Malaysia, kami perlu membayar cukai lebihan muatan 34kg. Satu beg pakaian besar yang beroda terpaksa kami kosongkan dan diisi dengan buku-buku. Tuan punya beg (en Fauzul) terpaksa membeli sebuah lagi beg untuk mengisi pakaiannya. Apabila dicampur dengan beg buku dan pakaian (membeli belah @ berbelanja di bazaar Tanah Abang) rata-rata ahli rombongan membawa pulang 2 beg yang sendat. Saya tidak pasti mana yang lebih sendat: beg buku atau beg hasil dari berbelanja (bak kata orang Jakarta).


Macamana pun bagi saya, selepas penat seharian suntuk berjalan (10 pagi - 10 mlm), memerah otak berbincang dan memikul buku, terasa lega apabila dapat menikmati sekeping Donut dan air milo.. di Dunkin Donut Jakarta.. Bagi teman-teman yang lain mereka lebih teruja untuk menikmati sate kambing dan sup buntut*!!!











* sup buntut = sup ekor..



p/s: Catatan yang hampir detail tentang aktiviti kami di Jakarta boleh dibaca di blog cik Majidah - editor kanan PTS Litera Utama

1 comment:

Azree MH said...

Wah! Cemburunya. Ada buah tangan buku tak untuk kami?