Ramai pembaca, penulis dan individu yang menyambut baik hasrat mengeluarkan novel yang 'shariah compliant' seperti itu. Namun, tidak kurang juga yang menentang dan tidak bersetuju dengan polisi tersebut. Macam-macam alasan yang diberikan. Antara alasan yang paling banyak adalah, PTS tidak mengikut realiti masyarakat, tidak mengikut trend semasa dan macam-macam lagi.
Sehingga, hari ini PTS telah menghasilkan tidak kurang seratus novel yang dikatakan 'tidak mengikut realiti dan trend' itu. Alhamdulillah, semuanya diulang cetak kurang daripada setahun, malah ada yang kurang sebulan sudah diulang cetak.
PTS tidak mengikut trend. PTS mengikut Islam. Sedaya upayanya.
Islam tidak pernah mengikut trend dan realiti masyarakat. Malah, trend dan realiti lah yang mengikut Islam.
Ketika arak mula diharamkan, ia melanggar trend masyarakat arab yang menjadikan arak sebagai minuman harian dan budaya kebanggaan mereka. Islam mengharamkan pelacuran, perjudian, riba yang sudah menjadi darah daging masyarakat ketika itu. Ajaran Islam dianggap asing. Orang Muslim asing. Sesiapa yang mengamalkan ajaran Islam adalah asing. Menyebah tuhan yang satu juga teramat asing.
Itu dulu. Ketika cahaya Islam mula hendak bersinar di bumi Mekah dan semenanjung Arab.
Kini, selepas lebih seribu tahun Islam menyinari dunia, masyarakat kembali kepada zaman lampau. Zaman dimana ajaran Islam semakin hari semakin jauh daripada kehidupan orang Islam.
Mereka yang mengamalkan Islam kembali menjadi orang asing. Ajaran Islam semakin dipinggirkan dan dianggap asing daripada realiti dan trend masyarakat semasa. Ajaran Islam dituduh ketinggalan zaman.
Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah pernah berpesan : “Islam datang dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali menjadi asing sebagaimana kedatangannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu.” (HR. Muslim)
dan...
Rasulullah juga berpesan seperti yang dilaporkan oleh Abdullah bin Mas’ud : “Beruntunglah orang-orang yang asing.”
Kemudian para sahabat bertanya: “Siapakah yang dimaksud orang-orang yang asing itu wahai Rasulullah?”
Maka beliau menjawab, “Yaitu orang-orang yang tetap baik [agamanya] tatkala orang-orang lain menjadi rusak.” (Silsilah al-Ahadits as-Shahihah oleh Imam al Bani)
Semoga kita sentiasa termasuk dalam golongan asing yang beruntung itu. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment