Friday, February 5, 2010

Victory

"Victory has 100 fathers and defeat is an orphan..."

Kata-kata di atas diucapkan oleh Presiden Amerika, J.F. Kennedy pada 21 April 1961.

Ini realiti yang berlaku di dunia kini. Apabila seseorang itu berjaya, ramai orang akan cuba untuk mengasiosasikan diri mereka dengan idividu yang berjaya itu. Ramai orang yang tumpang berbangga, malah mengaku dia mempunyai sumbangan terhadap kejayaan itu. Ramai yang memuji dan tidak kurang yang menumpang kredit.

Sebagai contoh, jika ada seorang anak kampung yang berjaya, ramailah yang mengaku saudara.

Namun sebaliknya, orang ramai menjauhkan diri daripada orang yang gagal. Lebih pedih apabila kegagalan itu diungkit-ungkit, ditokok tambah malah orang gagal itu segera dihukum dengan pelbagai tuduhan atau cercaan. Walaupun sebelum itu, mungkin si gagal itu seorang yang berjaya.

Lebih menarik apabila orang lain yang tidak tahu hujung pangkal atau tidak ada usul periksa tentang situasi sebenar terus 'tumpang sekaki' untuk turut menghukum si gagal.

Ini lumrah manusia, walau hakikatnya dalam Islam mementingkan usaha daripada hasil.

Contohnya, apabila seseorang berjihad di jalan Allah, dia beroleh pahala. Apabila terkorban, dia turut mendapat ganjaran walaupun belum memenangi pertempuran.

Ramai para sahabat Rasulullullah yang syahid sebelum kemenangan Islam di tanah Arab. Ramai Ulama Islam syahid dalam usaha dakwahnya. Mereka tidak dikatakan gagal. Malah mereka tidak dicerca.
Allah mengingatkan kita dalam alQuran:

Katakanlah wahai Muhammad, hendaklah kalian berusaha, nescaya Allah Subhanahu Wata’ala, RasulNya dan orang-orang beriman akan melihat usaha kalian, kelak kalian akan dikembalikan ke alam ghaib dan syahadah lalu Allah Subhahahu Wata’ala menjelaskan kepada kalian apa sebenarnya yang telah kalian usahakan.” (Surah Al-Taubah: Ayat 105)
Kata Rasulullah:

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan kamu, tidak juga kepada rupa kamu tetapi ia melihat kepada hati dan amalan kamu”. ( Hadis direkodkan oleh Muslim)
Dalam teori pemikiran barat, aliran Pemikiran Lateral (Edward de Bono) meletakkan adanya 'margin of error' dalam setiap idea baru. Membuat silap tidak bermakna kita gagal, tetapi ia sebenarnya mendekatkan kita dengan kejayaan.

Bak kata Thomas A. Edison apabila ditanya tentang lebih 1000 ujian yang gagal dalam usaha beliau menghasilkan mentol elektrik, beliau berkata : "Setiap kali saya gagal, saya sedar, sebenarnya saya menghampiri kejayaan."

Wallahualam.

No comments: