Tuesday, February 9, 2010

Ribut di dalam cawan

Ribut di dalam cawan. Saya terjemahkan daripada peribahasa Inggeris, Storm in a Tea Cup.

Ketika zaman sekolah dahulu, apabila rakan-rakan sekelas berselisih (pendapat, pendirian dan sebagainya) dan menjadi semakin hangat serta tegang, Cikgu akan menyuruh kami supaya jangan memperbesar-besarkan ribut kecil yang bergelora dalam cawan.

Acapkali, apabila berlaku dugaan, ujian, tentangan daripada sekeliling dalam melaksankan tugas yang diamanahkan, hati saya juga akan berbisik "Ah, itu hanya ribut kecil dalam cawan".

Dalam kehidupan seharian, kita tidak akan lepas daripada dilanda 'ribut kecil di dalam cawan' ini. Ia sebenarnya adalah sebahagian daripada ujian kehidupan. Kata rakan-rakan 'haraki' saya dahulu, ia adalah 'mehnah dan tribulasi' untuk seorang pejuang. Hidup ini adalah perjuangan.

Ujian, adalah kayu pengukur untuk ketabahan kita dalam perjuangan. Allah juga mengingatkan kita dalam Surah Al-Ankabut, ayat 2-3:
(Maksudnya): Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan (begitu sahaja setelah mereka) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya (dengan itu) Allah mengetahui orang-orang yang dusta (di kalangan mereka).
Kata Rasulullah S.A.W.:
“Orang Mukmin sentiasa di ambang lima dugaan yang susah; mukmin yang dengki padanya, munafik yang benci padanya, kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya dan nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya”
Kenapa kita di uji?

Banyak sebabnya. Yang paling utama adalah untuk lebih mendekatkan diri kita kepada Allah. Supaya kita tidak hilang pergantungan kepada Allah.

Adakalanya apabila kita tidak diuji, hati kita mudah lalai, mudah lari daripada mengingati Allah. Para alim ulama, aulia, sahabat, rasul dan nabi-nabi lebih hebat dugaannya. Namun ia tidak sekali-kali menjauhkan hati mereka daripada Allah. Malah lebih menguatkan cinta dan kasih mereka kepada Allah.

Jadi, ujian adalah tanda kasih sayang Allah kepada kita. Apabila menerima ujian, kita perlu mengadu dan meminta kepada Allah. Caranya adalah dengan solat. Pesan-Nya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah: 153)
dan...
“Dan sesungguhnya Kami akan berikan cubaan kepada mu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah: 155)
Wallahu'alam.

No comments: