Thursday, February 18, 2010

Kisah Pemuda dan Solat


Cerita ini saya perolehi daripada rantaian email yang dimajukan kepada saya. Nama penulis asal dan sumber cerita ini tidak dinyatakan oleh pengirim. Semoga penulis asal cerita ini sentiasa beroleh rahmat dan mendapat ganjaran pahala atas usaha beliau ini.

Kisahnya bermula di sebuah tempat di salah sebuah Negara Arab. Ada seorang pemuda yang sangat liat mendirikan solat. Malah dia tidak mendirikan langsung solat lima waktu. Seorang diri pun berat, apatah lagi secara berjamaah. Setiap kali ada ulama yang berkunjung ke tempat mereka, seringkali jugalah penduduk setempat mengadu kepada ulama yang datang bertandang berkenaan sikap pemuda tersebut.

Berkali-kali diberikan nasihat namun sedikitpun tidak memberikan apa-apa kesan kepada anak muda ini. Malah makin menjadi-jadi.

“Awak wajib mendirikan solat lima waktu. Solat merupakan tiang agama kita.” kata salah seorang pendakwah kepada pemuda tersebut.

“Emm.. insyaAllah sekiranya saya rajin saya akan buat." jawab pemuda tersebut secara sinis.

Begitulah seterusnya. Sehinggalah datang seorang Sheikh yang alim yang mengajar di Universiti al-Azhar al-Syarif bertandang ke tempat mereka. Aduan yang sama diberikan. Setelah mendengar dengan teliti aduan para penduduk. Maka orang alim itu berkenan untuk bertemu dengan pemuda ini.

“Syeikh pun hendak tegur saya jugakah? Hendak menyuruh saya dirikan solat lima waktu?” sindir pemuda ini apabila melihat orang alim tersebut datang bertamu ke rumahnya.

Orang alim tersebut sambil tersenyum menjawab:“Saya sekadar ingin berkenalan.Tiada langsung niat saya ingin memaksa saudara seperti yang saudara sebutkan”.

Pertemuan pertama berjalan dengan lancar. Langsung tidak disentuh oleh Sheikh itu berkenaan solat. Perkara yang dilaksanakan hanyalah sekadar merapatkan tali silaturrahim. Bincang tentang pekerjaan, tempat tinggal, sara hidup dan lain-lain.

Pemuda tersebut begitu senang dengan perlakuan Syeikh. Tanpa sedar terselit rasa kagum pada seorang tua berjubah itu. Tidak seperti pendakwah lain yang selalu datang bertemu dengannya. Setiap kali duduk bersama, terus memberikan peringatan dan dalil-dalil tentang haramnya meninggalkan solat.

Akhirnya pemuda ini pula datang berkunjung ke tempat penginapan Syeikh. Maka semakin bertambah mesra pergaulan mereka. Begitulah keadaan seterusnya, Syeikh tetap tidak pernah menyentuh tentang solat. Sehinggalah tiba satu hari, Syeikh memberitahu bahawa beliau akan berangkat pulang ke Mesir. Ini kerana tugas yang diberikan oleh pihak al-Azhar ditempat tersebut telah selesai. Pemuda itu datang bertemu Syeikh. Rasa sedih akan berpisah dengan seorang alim menyentak-nyentak jiwanya.

Sebelum berpisah, Syeikh memeluk Ahmad seraya berkata dengan lembut “ Ahmad, saya ada mendengar suara-suara mengatakan bahawa saudara tidak pernah bersembahyang. Betulkah begitu?” Tersentak Ahmad bila mendengar pertanyaan daripada Syeikh tersebut.

“Memang benar wahai tuan Syeikh. Bukan saya tidak mengetahui bahawa ianya wajib cuma sikap malas yang ada pada saya inilah yang menghalang melakukannya.” jawab Ahmad memberikan alasan.

“Baiklah, jika begitu, bolehkah saudara tunaikan permintaan saya sebelum saya berangkat pulang?"

“Permintaan apa itu wahai tuan?”

“ Saudara pilih solat mana yang paling ringan untuk saudara dirikan. Satu pun sudah memadai, Boleh?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

Terkejut Ahmad mendengar pertanyaan Syeikh. Belum pernah dia mendengar solat boleh dipilih-pilih untuk disempurnakan.

"Bolehkah begitu wahai tuan Syeikh?” Tanya Ahmad penuh keraguan.

“Boleh tapi hanya untuk saudara sahaja” Jawab Syeikh sambil tersenyum.

“Baik, dulu saudara pernah ceritakan kepada saya bahwa saudara berkerja sebagai petani bukan? Dan saudara juga sering bangun awal pagi untuk ke kebun. Bukankah begitu wahai Ahmad?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

“Benar Tuan Syeikh”

"Jika begitu saya cadangkan, alang-alang saudara bangun setiap awal pagi, apa kata jika saudara basahkan sedikit sahaja anggota tubuh saudara dengan wudhuk dan selepas itu terus dirikan solat subuh dua rakaat. Dua rakaat sahaja, rasanya tidak terlalu berat bukan?” Syeikh memberikan cadangan kepada Ahmad.

Ahmad tanpa banyak bicara terus menerima cadangan Tuan Syeikh. Perasaan serba salah menyelinap jiwanya jika dia menolak permintaan syeikh tersebut yang terlalu rapat dengannya.

“Janji denganku Ahmad yang saudara tidak akan meninggalkan sekali-kali solat subuh ini di dalam hidup saudara. InsyaAllah tahun depan saya akan berkunjung lagi ke sini. Saya berharap agar dapat bertemu dengan saudara di Masjid setiap kali solat subuh tahun hadapan. Bolehkah wahai Ahmad? Syeikh memohon jaminan daripadanya.

“Saya berjanji akan menunaikannya”. Maka dengan senang hati Tuan Syeikh memohon diri berangkat pulang ke Mesir. Dalam hatinya, berdoa agar Allah memberikan kekuatan kepada Ahmad untuk melaksanakan janjinya.

Tahun berikutnya, setelah Tuan Syeikh sampai di tempat tersebut, beliau benar-benar gembira bilamana melihat Ahmad benar-benar menunaikan janjinya. Namun menurut penduduk setempat, Ahmad hanya solat subuh sahaja. Solat yang lain tetap tidak didirikan. Tuan Syeikh tersenyum. Gembira dengan perubahan tersebut.

Suatu pagi setelah selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah di Masjid. Syeikh memanggil Ahmad. Seraya bertanya: “ Bagaimana dengan janjimu dahulu Ahmad. Adakah ada terdapat hari yang saudara tertinggal menunaikan solat subuh?”.

Ahmad menjawab dengan yakin : “Berkat doa tuan Syeikh, Alhamdulillah sehari pun saya tidak ketinggalan solat jemaah subuh di masjid ini”

“Alhamdulillah, bagus sekali kamu. Saudara benar-benar menunaikan janjimu.”

“Mudah sahaja rupanya tunaikan solat ini wahai Tuan”

“Perkara yang saudara lakukan tanpa paksaan pasti akan saudara rasakan mudah sekali. Yang penting jangan rasakan ianya suatu paksaan. Tetapi anggap ianya suatu kegemaranmu. Seperti saudara berkebun. Tiada yang memaksa, tetapi disebabkan minatmu yang mendalam terhadap kerja-kerja itu, maka tanpa disuruh saudara melaksanakannya bukan?” Syeikh menerangkan kepada Ahmad.

“Benar apa yang tuan katakan. Perkara yang kita lakukan dengan minat, tanpa dipaksa pun akan kita laksanakan”

“Ahmad, saudara habis bekerja pukul berapa ya?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

“Ketika azan Zohor saya berhenti untuk makan , kemudian saya sambung kembali kerja sehingga hampir Asar”

“Pasti saudara bersihkan sedikit dirimu bukan? Membasuh tangan dan kaki untuk duduk menjamah makanan? Benar Ahmad?” Tanya Syeikh meminta kepastian.

“Ya benar Tuan”

“Jika begitu, apa pendapatmu jika saya mencadangkan agar lebihkan sedikit basuhanmu itu. Terus niatkan ianya sebagai wudhuk. Selesai makan, terus dirikan solat zohor empat rakaat. Sekadar empar rakaat tidak lama rasanya bukan? Tidak akan terjejas tanamanmu agaknya?” Kata Syeikh berseloroh kepada Ahmad.

Ahmad tertawa dengan gurauan Tuan Syeikh. “Betul juga apa yang disebutkan oleh tuan. Baiklah mulai hari ini saya akan cuba laksanakannya”.

Jauh disudut hati Syeikh berasa sangat gembira dengan perubahan yang berlaku kepada Ahmad. Setelah selesai kerja Syeikh di tempat tersebut. Beliau berangkat pulang ke Mesir. Beliau berjanji untuk datang semula pada tahun hadapan.

Begitulah keadaannya Ahmad. Setiap tahun Syeikh bertandang, maka setiap kali itulah semakin bertambah bilangan solat yang dilakukan. Kini masuk tahun ke lima Syeikh bertandang ke tempat tersebut.

Ahmad seperti biasa hanya mendirikan solat empat waktu kecuali Isya’. Selesai menunaikan solat Maghrib, terus beliau berangkat pulang ke rumah.

Suatu hari, semasa Tuan Syeikh melihat Ahmad hendak berangkat pulang selepas menunaikan solat Maghrib berjemaah, beliau memanggil Ahmad.

“Bagaimana dengan kebunmu Ahmad? Bertambah maju?” Syeikh memulakan bicara.

“Alhamdulillah, semakin bertambah hasilnya Tuan”

“Baguslah begitu. Saya sentiasa doakan hasilnya semakin bertambah.” Doa Tuan Syeikh kepada Ahmad.

“ Ahmad, saya ingin bertanya sebelum saudara pulang. Cuba saudara perhatikan dengan baik. Apa lebihnya kami yang berada dalam masjid ini berbanding saudara? Dan apa kurangnya saudara berbanding kami yang berada dalam masjid ini?”

Ahmad tunduk sambil memikirkan jawapan yang patut diberikan.

“ Lebihnya tuan-tuan semua adalah kerana tuan-tuan mendirikan solat Isya’, sedangkan saya tidak menunaikannya”

“Baiklah, adakah saudara ingin menjadi orang yang lebih baik daripada kami semua?” Tanya Tuan Syeikh menguji.

“Sudah tentu wahai Tuan Syeikh.” jawab Ahmad dengan penuh semangat.

“Sekiranya begitu dirikanlah solat Isya’. Maka saudara tidak lagi kurang berbanding kami. Malah saudara akan menjadi lebih baik daripada kami.” Syeikh memberikan jawapan yang cukup berhikmah kepada Ahmad.

Akhirnya, berkat kesabaran Tuan Syeikh mendidik Ahmad.Beliau berjaya menjadikan Ahmad seorang yang tidak lagi meninggalkan solat.

Lima tahun bukanlah masa yang singkat untuk memberikan dakwah sebegini. Kesabaran dan hikmah yang tinggi sangat-sangat diperlukan demi menyampaikan risalah dakwah.

Semoga kisah di atas memberi manfaat kepada kita semua. Wallahu'alam

No comments: