Thursday, February 18, 2010

Kisah Pemuda dan Solat


Cerita ini saya perolehi daripada rantaian email yang dimajukan kepada saya. Nama penulis asal dan sumber cerita ini tidak dinyatakan oleh pengirim. Semoga penulis asal cerita ini sentiasa beroleh rahmat dan mendapat ganjaran pahala atas usaha beliau ini.

Kisahnya bermula di sebuah tempat di salah sebuah Negara Arab. Ada seorang pemuda yang sangat liat mendirikan solat. Malah dia tidak mendirikan langsung solat lima waktu. Seorang diri pun berat, apatah lagi secara berjamaah. Setiap kali ada ulama yang berkunjung ke tempat mereka, seringkali jugalah penduduk setempat mengadu kepada ulama yang datang bertandang berkenaan sikap pemuda tersebut.

Berkali-kali diberikan nasihat namun sedikitpun tidak memberikan apa-apa kesan kepada anak muda ini. Malah makin menjadi-jadi.

“Awak wajib mendirikan solat lima waktu. Solat merupakan tiang agama kita.” kata salah seorang pendakwah kepada pemuda tersebut.

“Emm.. insyaAllah sekiranya saya rajin saya akan buat." jawab pemuda tersebut secara sinis.

Begitulah seterusnya. Sehinggalah datang seorang Sheikh yang alim yang mengajar di Universiti al-Azhar al-Syarif bertandang ke tempat mereka. Aduan yang sama diberikan. Setelah mendengar dengan teliti aduan para penduduk. Maka orang alim itu berkenan untuk bertemu dengan pemuda ini.

“Syeikh pun hendak tegur saya jugakah? Hendak menyuruh saya dirikan solat lima waktu?” sindir pemuda ini apabila melihat orang alim tersebut datang bertamu ke rumahnya.

Orang alim tersebut sambil tersenyum menjawab:“Saya sekadar ingin berkenalan.Tiada langsung niat saya ingin memaksa saudara seperti yang saudara sebutkan”.

Pertemuan pertama berjalan dengan lancar. Langsung tidak disentuh oleh Sheikh itu berkenaan solat. Perkara yang dilaksanakan hanyalah sekadar merapatkan tali silaturrahim. Bincang tentang pekerjaan, tempat tinggal, sara hidup dan lain-lain.

Pemuda tersebut begitu senang dengan perlakuan Syeikh. Tanpa sedar terselit rasa kagum pada seorang tua berjubah itu. Tidak seperti pendakwah lain yang selalu datang bertemu dengannya. Setiap kali duduk bersama, terus memberikan peringatan dan dalil-dalil tentang haramnya meninggalkan solat.

Akhirnya pemuda ini pula datang berkunjung ke tempat penginapan Syeikh. Maka semakin bertambah mesra pergaulan mereka. Begitulah keadaan seterusnya, Syeikh tetap tidak pernah menyentuh tentang solat. Sehinggalah tiba satu hari, Syeikh memberitahu bahawa beliau akan berangkat pulang ke Mesir. Ini kerana tugas yang diberikan oleh pihak al-Azhar ditempat tersebut telah selesai. Pemuda itu datang bertemu Syeikh. Rasa sedih akan berpisah dengan seorang alim menyentak-nyentak jiwanya.

Sebelum berpisah, Syeikh memeluk Ahmad seraya berkata dengan lembut “ Ahmad, saya ada mendengar suara-suara mengatakan bahawa saudara tidak pernah bersembahyang. Betulkah begitu?” Tersentak Ahmad bila mendengar pertanyaan daripada Syeikh tersebut.

“Memang benar wahai tuan Syeikh. Bukan saya tidak mengetahui bahawa ianya wajib cuma sikap malas yang ada pada saya inilah yang menghalang melakukannya.” jawab Ahmad memberikan alasan.

“Baiklah, jika begitu, bolehkah saudara tunaikan permintaan saya sebelum saya berangkat pulang?"

“Permintaan apa itu wahai tuan?”

“ Saudara pilih solat mana yang paling ringan untuk saudara dirikan. Satu pun sudah memadai, Boleh?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

Terkejut Ahmad mendengar pertanyaan Syeikh. Belum pernah dia mendengar solat boleh dipilih-pilih untuk disempurnakan.

"Bolehkah begitu wahai tuan Syeikh?” Tanya Ahmad penuh keraguan.

“Boleh tapi hanya untuk saudara sahaja” Jawab Syeikh sambil tersenyum.

“Baik, dulu saudara pernah ceritakan kepada saya bahwa saudara berkerja sebagai petani bukan? Dan saudara juga sering bangun awal pagi untuk ke kebun. Bukankah begitu wahai Ahmad?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

“Benar Tuan Syeikh”

"Jika begitu saya cadangkan, alang-alang saudara bangun setiap awal pagi, apa kata jika saudara basahkan sedikit sahaja anggota tubuh saudara dengan wudhuk dan selepas itu terus dirikan solat subuh dua rakaat. Dua rakaat sahaja, rasanya tidak terlalu berat bukan?” Syeikh memberikan cadangan kepada Ahmad.

Ahmad tanpa banyak bicara terus menerima cadangan Tuan Syeikh. Perasaan serba salah menyelinap jiwanya jika dia menolak permintaan syeikh tersebut yang terlalu rapat dengannya.

“Janji denganku Ahmad yang saudara tidak akan meninggalkan sekali-kali solat subuh ini di dalam hidup saudara. InsyaAllah tahun depan saya akan berkunjung lagi ke sini. Saya berharap agar dapat bertemu dengan saudara di Masjid setiap kali solat subuh tahun hadapan. Bolehkah wahai Ahmad? Syeikh memohon jaminan daripadanya.

“Saya berjanji akan menunaikannya”. Maka dengan senang hati Tuan Syeikh memohon diri berangkat pulang ke Mesir. Dalam hatinya, berdoa agar Allah memberikan kekuatan kepada Ahmad untuk melaksanakan janjinya.

Tahun berikutnya, setelah Tuan Syeikh sampai di tempat tersebut, beliau benar-benar gembira bilamana melihat Ahmad benar-benar menunaikan janjinya. Namun menurut penduduk setempat, Ahmad hanya solat subuh sahaja. Solat yang lain tetap tidak didirikan. Tuan Syeikh tersenyum. Gembira dengan perubahan tersebut.

Suatu pagi setelah selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah di Masjid. Syeikh memanggil Ahmad. Seraya bertanya: “ Bagaimana dengan janjimu dahulu Ahmad. Adakah ada terdapat hari yang saudara tertinggal menunaikan solat subuh?”.

Ahmad menjawab dengan yakin : “Berkat doa tuan Syeikh, Alhamdulillah sehari pun saya tidak ketinggalan solat jemaah subuh di masjid ini”

“Alhamdulillah, bagus sekali kamu. Saudara benar-benar menunaikan janjimu.”

“Mudah sahaja rupanya tunaikan solat ini wahai Tuan”

“Perkara yang saudara lakukan tanpa paksaan pasti akan saudara rasakan mudah sekali. Yang penting jangan rasakan ianya suatu paksaan. Tetapi anggap ianya suatu kegemaranmu. Seperti saudara berkebun. Tiada yang memaksa, tetapi disebabkan minatmu yang mendalam terhadap kerja-kerja itu, maka tanpa disuruh saudara melaksanakannya bukan?” Syeikh menerangkan kepada Ahmad.

“Benar apa yang tuan katakan. Perkara yang kita lakukan dengan minat, tanpa dipaksa pun akan kita laksanakan”

“Ahmad, saudara habis bekerja pukul berapa ya?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

“Ketika azan Zohor saya berhenti untuk makan , kemudian saya sambung kembali kerja sehingga hampir Asar”

“Pasti saudara bersihkan sedikit dirimu bukan? Membasuh tangan dan kaki untuk duduk menjamah makanan? Benar Ahmad?” Tanya Syeikh meminta kepastian.

“Ya benar Tuan”

“Jika begitu, apa pendapatmu jika saya mencadangkan agar lebihkan sedikit basuhanmu itu. Terus niatkan ianya sebagai wudhuk. Selesai makan, terus dirikan solat zohor empat rakaat. Sekadar empar rakaat tidak lama rasanya bukan? Tidak akan terjejas tanamanmu agaknya?” Kata Syeikh berseloroh kepada Ahmad.

Ahmad tertawa dengan gurauan Tuan Syeikh. “Betul juga apa yang disebutkan oleh tuan. Baiklah mulai hari ini saya akan cuba laksanakannya”.

Jauh disudut hati Syeikh berasa sangat gembira dengan perubahan yang berlaku kepada Ahmad. Setelah selesai kerja Syeikh di tempat tersebut. Beliau berangkat pulang ke Mesir. Beliau berjanji untuk datang semula pada tahun hadapan.

Begitulah keadaannya Ahmad. Setiap tahun Syeikh bertandang, maka setiap kali itulah semakin bertambah bilangan solat yang dilakukan. Kini masuk tahun ke lima Syeikh bertandang ke tempat tersebut.

Ahmad seperti biasa hanya mendirikan solat empat waktu kecuali Isya’. Selesai menunaikan solat Maghrib, terus beliau berangkat pulang ke rumah.

Suatu hari, semasa Tuan Syeikh melihat Ahmad hendak berangkat pulang selepas menunaikan solat Maghrib berjemaah, beliau memanggil Ahmad.

“Bagaimana dengan kebunmu Ahmad? Bertambah maju?” Syeikh memulakan bicara.

“Alhamdulillah, semakin bertambah hasilnya Tuan”

“Baguslah begitu. Saya sentiasa doakan hasilnya semakin bertambah.” Doa Tuan Syeikh kepada Ahmad.

“ Ahmad, saya ingin bertanya sebelum saudara pulang. Cuba saudara perhatikan dengan baik. Apa lebihnya kami yang berada dalam masjid ini berbanding saudara? Dan apa kurangnya saudara berbanding kami yang berada dalam masjid ini?”

Ahmad tunduk sambil memikirkan jawapan yang patut diberikan.

“ Lebihnya tuan-tuan semua adalah kerana tuan-tuan mendirikan solat Isya’, sedangkan saya tidak menunaikannya”

“Baiklah, adakah saudara ingin menjadi orang yang lebih baik daripada kami semua?” Tanya Tuan Syeikh menguji.

“Sudah tentu wahai Tuan Syeikh.” jawab Ahmad dengan penuh semangat.

“Sekiranya begitu dirikanlah solat Isya’. Maka saudara tidak lagi kurang berbanding kami. Malah saudara akan menjadi lebih baik daripada kami.” Syeikh memberikan jawapan yang cukup berhikmah kepada Ahmad.

Akhirnya, berkat kesabaran Tuan Syeikh mendidik Ahmad.Beliau berjaya menjadikan Ahmad seorang yang tidak lagi meninggalkan solat.

Lima tahun bukanlah masa yang singkat untuk memberikan dakwah sebegini. Kesabaran dan hikmah yang tinggi sangat-sangat diperlukan demi menyampaikan risalah dakwah.

Semoga kisah di atas memberi manfaat kepada kita semua. Wallahu'alam

Tuesday, February 9, 2010

Ribut di dalam cawan

Ribut di dalam cawan. Saya terjemahkan daripada peribahasa Inggeris, Storm in a Tea Cup.

Ketika zaman sekolah dahulu, apabila rakan-rakan sekelas berselisih (pendapat, pendirian dan sebagainya) dan menjadi semakin hangat serta tegang, Cikgu akan menyuruh kami supaya jangan memperbesar-besarkan ribut kecil yang bergelora dalam cawan.

Acapkali, apabila berlaku dugaan, ujian, tentangan daripada sekeliling dalam melaksankan tugas yang diamanahkan, hati saya juga akan berbisik "Ah, itu hanya ribut kecil dalam cawan".

Dalam kehidupan seharian, kita tidak akan lepas daripada dilanda 'ribut kecil di dalam cawan' ini. Ia sebenarnya adalah sebahagian daripada ujian kehidupan. Kata rakan-rakan 'haraki' saya dahulu, ia adalah 'mehnah dan tribulasi' untuk seorang pejuang. Hidup ini adalah perjuangan.

Ujian, adalah kayu pengukur untuk ketabahan kita dalam perjuangan. Allah juga mengingatkan kita dalam Surah Al-Ankabut, ayat 2-3:
(Maksudnya): Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan (begitu sahaja setelah mereka) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya (dengan itu) Allah mengetahui orang-orang yang dusta (di kalangan mereka).
Kata Rasulullah S.A.W.:
“Orang Mukmin sentiasa di ambang lima dugaan yang susah; mukmin yang dengki padanya, munafik yang benci padanya, kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya dan nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya”
Kenapa kita di uji?

Banyak sebabnya. Yang paling utama adalah untuk lebih mendekatkan diri kita kepada Allah. Supaya kita tidak hilang pergantungan kepada Allah.

Adakalanya apabila kita tidak diuji, hati kita mudah lalai, mudah lari daripada mengingati Allah. Para alim ulama, aulia, sahabat, rasul dan nabi-nabi lebih hebat dugaannya. Namun ia tidak sekali-kali menjauhkan hati mereka daripada Allah. Malah lebih menguatkan cinta dan kasih mereka kepada Allah.

Jadi, ujian adalah tanda kasih sayang Allah kepada kita. Apabila menerima ujian, kita perlu mengadu dan meminta kepada Allah. Caranya adalah dengan solat. Pesan-Nya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah: 153)
dan...
“Dan sesungguhnya Kami akan berikan cubaan kepada mu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah: 155)
Wallahu'alam.

Sunday, February 7, 2010

Tenat

Seorang rakan Isteri saya, yang juga cikgu Kak Yong dan Abang Chor di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Rampai sedang tenat di Wad ICU, Unit Kebakaran, HKL.

Puncanya, disambar api ketika hendak memasak akibat kebocoran dapur gas di rumah beliau beberapa hari lepas.

Menurut Dr, beliau terpaksa ditidurkan akibat kecederaan serius tersebut. 70% tubuh beliau terbakar.

Cikgu ini yang merupakan saudara baru menerima dugaan demi dugaan. Beliau diceraikan oleh suaminya (yang tidak memeluk Islam) apabila mengetahui perihal keislamannya. Anak-anaknya seramai tiga orang dipisahkan daripada beliau. Beliau juga diusir keluar daripada rumah yang dibeli bersama dengan suaminya dahulu.

Beliau bolehlah diibaratkan sebagai sebatang kara, tanpa bimbingan yang sempurna.

Ketika ini, beliau masih lagi belum sedar. Pelawat juga hanya boleh menziarahi beliau disebalik cermin kaca.

Semoga Allah memberikan beliau kekuatan, memelihara iman dan mengurniakan yang terbaik untuk beliau.

Friday, February 5, 2010

Victory

"Victory has 100 fathers and defeat is an orphan..."

Kata-kata di atas diucapkan oleh Presiden Amerika, J.F. Kennedy pada 21 April 1961.

Ini realiti yang berlaku di dunia kini. Apabila seseorang itu berjaya, ramai orang akan cuba untuk mengasiosasikan diri mereka dengan idividu yang berjaya itu. Ramai orang yang tumpang berbangga, malah mengaku dia mempunyai sumbangan terhadap kejayaan itu. Ramai yang memuji dan tidak kurang yang menumpang kredit.

Sebagai contoh, jika ada seorang anak kampung yang berjaya, ramailah yang mengaku saudara.

Namun sebaliknya, orang ramai menjauhkan diri daripada orang yang gagal. Lebih pedih apabila kegagalan itu diungkit-ungkit, ditokok tambah malah orang gagal itu segera dihukum dengan pelbagai tuduhan atau cercaan. Walaupun sebelum itu, mungkin si gagal itu seorang yang berjaya.

Lebih menarik apabila orang lain yang tidak tahu hujung pangkal atau tidak ada usul periksa tentang situasi sebenar terus 'tumpang sekaki' untuk turut menghukum si gagal.

Ini lumrah manusia, walau hakikatnya dalam Islam mementingkan usaha daripada hasil.

Contohnya, apabila seseorang berjihad di jalan Allah, dia beroleh pahala. Apabila terkorban, dia turut mendapat ganjaran walaupun belum memenangi pertempuran.

Ramai para sahabat Rasulullullah yang syahid sebelum kemenangan Islam di tanah Arab. Ramai Ulama Islam syahid dalam usaha dakwahnya. Mereka tidak dikatakan gagal. Malah mereka tidak dicerca.
Allah mengingatkan kita dalam alQuran:

Katakanlah wahai Muhammad, hendaklah kalian berusaha, nescaya Allah Subhanahu Wata’ala, RasulNya dan orang-orang beriman akan melihat usaha kalian, kelak kalian akan dikembalikan ke alam ghaib dan syahadah lalu Allah Subhahahu Wata’ala menjelaskan kepada kalian apa sebenarnya yang telah kalian usahakan.” (Surah Al-Taubah: Ayat 105)
Kata Rasulullah:

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan kamu, tidak juga kepada rupa kamu tetapi ia melihat kepada hati dan amalan kamu”. ( Hadis direkodkan oleh Muslim)
Dalam teori pemikiran barat, aliran Pemikiran Lateral (Edward de Bono) meletakkan adanya 'margin of error' dalam setiap idea baru. Membuat silap tidak bermakna kita gagal, tetapi ia sebenarnya mendekatkan kita dengan kejayaan.

Bak kata Thomas A. Edison apabila ditanya tentang lebih 1000 ujian yang gagal dalam usaha beliau menghasilkan mentol elektrik, beliau berkata : "Setiap kali saya gagal, saya sedar, sebenarnya saya menghampiri kejayaan."

Wallahualam.

Wednesday, February 3, 2010

Tidak ada duit?

Baru-baru ini isteri saya menghadiri kursus sehari untuk guru agama, anjuran Jabatan Pelajaran. Kursus biasa yang perlu dihadiri mewakili sekolah.

Tidak ada apa yang menarik atau luar biasa pada kursus ini, kecuali hidangan makan tengahari tidak disediakan. Semua peserta kursus perlu membeli sendiri makanan di gerai-gerai makan di luar kawasan pejabat yang agak jauh dari dewan kursus.

Modul untuk guru juga tidak dicetak, sebaliknya guru perlu membawa tumb-drive bagi memuatturun softcopy daripada penganjur.

Seingat saya, sepanjang lebih lima tahun isteri saya mengajar, inilah pengalaman berkursus di jabatan kerajaan yang agak pelik dan terlalu berjimat (kalaulah memang berjimat).

Kata kawan saya, "Baguslah... kerajaan hendak menjimatkan duit mencetak kertas disamping memelihara alam sekitar. Ini kiranya adalah kempen paperless ".

Kalau, tentang kertas itu adalah kempen 'paperless', makan tetang makanan itu apa pula? Galakan berpuasakah?

"Foodless!".. jawab beliau sambil ketawa.

wallahu'alam.

p/s: Siapa kata ekonomi negara semakin baik dan meningkat?

Monday, February 1, 2010

Asing

Suatu masa dulu, ketika PTS mula hendak memperkenalkan produk novel untuk remaja, pihak pengurusan mensyaratkan tidak membenarkan adegan seperti berdua-duaan, berpegangan tangan, bercumbuan, berjudi, maksiat dan sebagainya.

Ramai pembaca, penulis dan individu yang menyambut baik hasrat mengeluarkan novel yang 'shariah compliant' seperti itu. Namun, tidak kurang juga yang menentang dan tidak bersetuju dengan polisi tersebut. Macam-macam alasan yang diberikan. Antara alasan yang paling banyak adalah, PTS tidak mengikut realiti masyarakat, tidak mengikut trend semasa dan macam-macam lagi.

Sehingga, hari ini PTS telah menghasilkan tidak kurang seratus novel yang dikatakan 'tidak mengikut realiti dan trend' itu. Alhamdulillah, semuanya diulang cetak kurang daripada setahun, malah ada yang kurang sebulan sudah diulang cetak.

PTS tidak mengikut trend. PTS mengikut Islam. Sedaya upayanya.

Islam tidak pernah mengikut trend dan realiti masyarakat. Malah, trend dan realiti lah yang mengikut Islam.

Ketika arak mula diharamkan, ia melanggar trend masyarakat arab yang menjadikan arak sebagai minuman harian dan budaya kebanggaan mereka. Islam mengharamkan pelacuran, perjudian, riba yang sudah menjadi darah daging masyarakat ketika itu. Ajaran Islam dianggap asing. Orang Muslim asing. Sesiapa yang mengamalkan ajaran Islam adalah asing. Menyebah tuhan yang satu juga teramat asing.

Itu dulu. Ketika cahaya Islam mula hendak bersinar di bumi Mekah dan semenanjung Arab.

Kini, selepas lebih seribu tahun Islam menyinari dunia, masyarakat kembali kepada zaman lampau. Zaman dimana ajaran Islam semakin hari semakin jauh daripada kehidupan orang Islam.

Mereka yang mengamalkan Islam kembali menjadi orang asing. Ajaran Islam semakin dipinggirkan dan dianggap asing daripada realiti dan trend masyarakat semasa. Ajaran Islam dituduh ketinggalan zaman.

Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah pernah berpesan : “Islam datang dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali menjadi asing sebagaimana kedatangannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu.” (HR. Muslim)

dan...

Rasulullah juga berpesan seperti yang dilaporkan oleh Abdullah bin Mas’ud : “Beruntunglah orang-orang yang asing.”

Kemudian para sahabat bertanya: “Siapakah yang dimaksud orang-orang yang asing itu wahai Rasulullah?”

Maka beliau menjawab, “Yaitu orang-orang yang tetap baik [agamanya] tatkala orang-orang lain menjadi rusak.” (Silsilah al-Ahadits as-Shahihah oleh Imam al Bani)

Semoga kita sentiasa termasuk dalam golongan asing yang beruntung itu. Wallahu'alam.

Friday, January 29, 2010

Kenapa perlu solat?

Kenapa perlu solat?

Seorang rakan yang memandang ringan perintah solat, bertanya soalan seperti itu. Saya hanya memberi jawapan mudah, untuk beliau fikirkan, tanpa dalil qati'e.
"Saya ambil contoh. Katakan saudara bekerja di syarikat saya, PTS. Saudara tidak dipaksa untuk bekerja di sini. Namun, apabila saudara memohon, dan diambil bekerja di PTS sebagai editor, saudara perlu bekerja berdasarkan arahan dan polisi syarikat.

Polisi utama di PTS adalah menerbitkan bahan yang berlandaskan hukum syarak (shariah compliant) dan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Saudara dibayar gaji, benifit dan tempat bekerja yang lengkap dan selesa.

Jadi, bolehkah saudara mengikari arahan dan polisi tersebut? Katakanlah saudara berkeras mahu menerbitkan cerita yang tidak sharie, seperti adegan berpegangan tangan atau bercumbuan antara kekasih atau menggunakan bahasa pasar dan rojak.

Alasannya, ini adalah realiti kehidupan di luar. Atau bolehkah pada masa yang sama di pejabat, saudara juga membuat kerja sampingan untuk syarikat lain tanpa izin majikan?

Saudara mengingkari arahan majikan. Walaupun saudara bekerja keras, tetapi ia tidak mengikut polisi dan peraturan syarikat. Maka layakkah saudara bekerja di syarikat ini?

Sekiranya saudara bekeras 'mengikut kepala' saudara, saudara perlu memohon berhenti kerja. Saudara tidak layak menggelar diri saudara sebagai staf syarikat dan menerima segala benefit syarikat. Saudara juga boleh memilih untuk dibuang kerja kerana melanggar polisi dan peraturan syarikat.

Berbalik kepada isu solat. Solat adalah perintah Allah kepada manusia. Perintah yang pertama perlu dilaksanakan sebaik sahaja 'ditauliahkan' sebagai seorang Muslim atau sebaik sahaja cukup syarat wajib solat.

Sekiranya saudara hendak mengingkari arahan dan perintah Allah itu, saudara juga perlu meletakkan jawatan.

BUKAN meletak jawatan sebagai seorang Islam, tetapi meletakkan jawatan sebagai seorang manusia. Kerana, apabila saudara mengingkari perintah majikan yang paling utama di dunia ini, saudara tidak layak sama sekali untuk menggunakan atau mendapat segala faedah yang ada di dunia ini.

Saudara tidak layak bernafas menggunakan udara ciptaan Allah. Saudara tidak layak berjalan, makan atau minum daripada segala yang ada atas muka buku ini dan macam-macam lagi.

Malah, saudara juga tidak layak memakai pakaian saudara itu. Pakaian yang padanya ada beribu salur darah, daging, tulang, urat saraf dan sebagainya yang dicipta oleh Allah. Degupan jantung saudara juga adalah benifit daripada majikan yang paling utama itu!

Sekiranya saudara mampu berbuat demikian, maka saudara layak mempertikaikan perintah Allah itu... namun, mampukah saudara?"
Hidup ini bukan hanya di dunia. Hidup ini adalah perjalanan menuju dunia yang kekal abadi, iaitu akhirat. Masa di dunia ini adalah tempoh 'percubaan' menuju ke alam yang kekal, sama ada kekal dalam rahmat Allah atau sebaliknya. Manakala solat adalah KPI (Key Performance Index) paling utama yang dinilai sepanjang tempoh percubaan ini.

Peringatan Allah dalam Quran :
“Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solat mereka…. Dan mereka yang memelihara solat-solat mereka.” (Al-Mukminun ayat 1-2 dan 9)
Juga pesan Rasulullah:
"Amalan yang pertama kali dihisab dari seorang hamba ialah solatnya. Apabila solatnya baik, maka baik pula seluruh amalannya. Sebaliknyua, sekiranya solatnya pincang, maka pincang pula seluruh amalannya." (Hadis direkodkan oleh al-Tabarani)

"Solat itu tiang agama sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama."(direkodkan oleh Imam al-Baihaqi)

Wallahu'alam.


nota: illustrasi dipetik di sini dan sini dan sini

Thursday, January 7, 2010

Duta Peribahasa

Malam tadi selepas berita saluran TV3, ada rancangan aduan rakyat. Racangan baru kelolaan Karam Sing Walia yang kata Kak Yong: "Baba pakcik itu pandai buat pantun, Kak Yong suka dengar dia baca pantun". (Sebenarnya peribahasa atau pantun peribahasa)

Seingat saya, Karam Singh lah satu-satunya pengantara atau 'selibriti TV' yang sehingga hari ini konsisten berpantun simpulan bahasa yang menjadi 'trademark' beliau, selain daripada 'mengangkat tangan' (saya difahamkan, rakan-rakan beliau di TV3 sering meneka berapa kali beliau angkat tangan kiri apabila bercakap!).

Rancangan semalam adalah satu penghargaan kepada beliau. (Saya tidak ingat sama ada beliau pernah mempunyai rancangan sendiri sebelum ini) Selepas beberapa tahun keudara sebagai wartawan dalam slot alam sekitar di berita, kali ini beliau mempunyai rancangan sendiri. Tahniah!

Saya tidak mengikuti atau mengingati peribahasa yang beliau sampaikan setiap penghujung liputan, namun saya terfikir: tidak pernah habiskah peribasa Melayu yang beliau baca? Atau sekurang-kurangnya peribahasa yang berkaitan dengan liputan beliau.

Katakanlah beliau keudara selama 5 hari seminggu. Sebulan lebih kurang 4 minggu x 5 hari = 20 hari. Dalam setahun 20 hari x 12 = 240 hari. Beliau telah keudara, tidak kurang daripada 10 tahun. Jadinya, beliau telah membaca sebanyak 2400 peribahasa (240 x 10). Itu kiraan mudah dan kasar saya. Mungkin kurang dan mungkin juga lebih, namun ia mengalahkan penggunaan peribahasa Melayu ini oleh orang Melayu sendiri!

Walau bagaimanapun, sekiranya itulah bilangan peribahasa yang telah En Karam Singh Walia siarkan, beliau selayaknya dinobatkan sebagai tokoh peribahasa Melayu. Atau sekurang-kurangnya Duta Peribahasa.... Wallahu'alam.

P/s: Sebagai tanda penghargaan kepada usaha beliau memartabatkan bahasa kebangsaan, saya (bagi pihak PTS) pernah mengirimkan hadiah buku simpulan bahasa PTS. Beliau membalas (melalui emel): "Semoga Tuhan merahmati tuan"...

(gambar disalin daripada blog: http://cheritaantarakita.blogspot.com/2008/11/ringan-mulutberat-punggung.html)