Thursday, February 28, 2008

Jakarta Lagi

Esok hingga Ahad ini saya akan menyertai rombongan Kumpulan Syarikat PTS ke Pesta Buku Islam, Jakarta.

Turut serta dalam rombongan ini ialah

Prof Emeritus Abdullah Hassan (penasihat PTS), Puan Ainon Mohd (Pengerusi Lembaga Pengarah & Sifu PTS), En. Arief Rahmad (Presiden PTS), En. Fauzul Ishak (Pengurus PTS Milllenia), , Cik Firdaus (Editor PTS Islamika) dan Cik Nurulhafizah (Editor PTS Millenia).

Beberapa wakil penerbit tempatan yang bernaung di bawah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) juga akan turut serta.

Matlamat delegasi adalah:

1. Memilih judul-judul buku agama terbaru dan popular keluaran penerbit Indonesia untuk dilesen oleh PTS.

2. Mengeratkan hubungan bisnes antara PTS dengan rakan penerbit Indonesia (dan menambah lagi rakan penerbit ini).

3. Mempromosi judul-judul terbaru terbitan PTS (dengan harapan mereka berminat untuk melesen)

4. Mengkaji trend industri buku agama di Indonesia terutama perkembangan terbaru mereka.

Semoga segala urusan di permudahkan Allah. Selamat pergi dan balik... semoga Allah melindungi kami dan keluarga kami.

Sehingga ketemu lagi... ilal liqo'.

Wallahu'alam.

Bising-bising

Semalam. Dapat email. Seorang rakan bising-bising. Marah dan sakit hati tahap maksimum terhadap SPR.

Kenapa? Kerana PRU kali ini isteri beliau perlu mengundi di Kelantan.

PRU ke 10 isteri beliau mengundi di Hulu Selangor. PRU ke 11 beliau berada di luar negara, tidak dapat pulang mengundi.

Pada PRU kali ini macamana pula nama isteri beliau ditukar ke Kubang Kerian, Kelantan?

Yang peliknya, isteri beliau tidak pernah menetap di Kelantan apatah lagi hendak mendaftar di sana. Isteri beliau kelahiran Hulu Bernam, Hulu Selangor.

Entah berapa kali beliau cuba menghubungi nombor SPR untuk memaklumkan pertukaran, namun hampa. Talian sibuk atau pun tidak diangkat.

Rakan saya ini sekarang masih cuba berusaha untuk menukarkan tempat mengundi isterinya. Walaupun kemungkinan berjaya adalah tipis, kerana tempoh untuk buat semakan dan pertukaran adalah 60 hari sebelum pilihanraya.

Pun begitu beliau sedang cuba juga untuk mencari kenalan yang boleh dipercayai yang akan pulang ke Kelantan pada hari mengundi. Tujuannya untuk menumpangkan isteri dan anak yang berusia 3 bulan itu pergi mengundi juga. Sementara beliau pula akan ke Kedah untuk mengundi. Lawan tetap lawan...!

Hemm... menarik cerita ini. Apa agaknya nanti jawapan dari SPR yang mendakwa mereka telus, jujur dan amanah itu.

Masa untuk membuat perubahan.

Wallahu'alam

Tuesday, February 26, 2008

Bahang Pilihanraya

Bermula Ahad lepas hinggalah Sabtu minggu hadapan, bahan utama yang sentiasa menjadi topik berita dan perbincangan adalah tentang pilihanraya. Isu pilihanraya sudah lama dibualkan, tetapi bahangnya kian membara dalam seminggu dua ini.

Dalam tempoh ini setiap mereka yang terlibat dengan pilihanraya ini sama ada secara langsung atau tidak mula berkempen habis-habisan. Dalam tempoh ini juga kita akan dengar pelbagai cerita dan janji yang muluk-muluk dari mereka. Kita juga akan turut mendengar mereka menelanjangkan pihak lawan masing-masing dengan pelbagai kisah buruk, aib, caci, nista dan sebagainya.

Masa ini kita lihat kawan menjadi musuh, saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai bermasam muka. Malah para jemaah sembahyang juga secara psikologinya sudah berpecah belah. Dan, tidak mustahil anak beranak dan adik beradik juga turut bertegang urat. Dalam bahasa lain, bangsa saya berpecah belah setiap empat lima tahun sekali.

Itu tidak termasuk lagi isu penyalahgunaan kuasa, penipuan, penindasan dan sebagainya. Semuanya ketara dalam seminggu dua ini. Segala yang haram dan ditegah oleh Allah seolah-olah menjadi halal sebagai satu rukhsah (diringankan hukumnya) pula. Setiap berita (khususnya berita buruk diterima dengan mudah dan dengan pantas diedarkan ke sekeliling. Mungkin mereka lupa dengan ayat Allah:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. [al-Hujurat 49:6]

Saya tidak bermaksud untuk menyebelahi atau menempelak mana-mana parti. Saya juga bukan hendak tolong mengempen sesiapa. Cuma saya cuba merenung jauh etika berkempen yang diamalkan ini. Bukan sahaja di negara ini, bahkan seantero dunia.

Saya teringat kisah pemilihan khalifah pertama dunia Islam selepas Rasulullah meninggal dunia iaitu selepas waktu Asar, 12 Rabiul Awal 11H (632M). Ia mungkin bukan pilihanraya seperti yang dilakukan pada hari ini, namun ia adalah permulaan kepada sistem pemilihan pemimpin. Apa yang penting ialah bagaimana cara pihak yang terlibat berkempen.

Peristiwa tersebut berlaku sebaik sahaja Rasullullah meninggal. Selepas Abu Bakar mengishtiharkan Rasulullah meninggal dunia, berlaku kekecohan dikalangan sahabat yang tidak dapat menerima berita tersebut. Ia akhirnya reda dengan kata-kata popular Abu Bakar: "Barang siapa yang menyembah Muhammad, maka Muhammad sudah mati. Barang siapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak mati."

Selepas reda peristiwa itu, para sahabat dari golongan Ansar (penduduk asal kota Madinah) berkumpul di tempat bernama Saqifah Bani Sa'adah. Mereka berbincang untuk melantik ketua bagi menguruskan kematian Rasullullah. Ketua ini juga secara tidak langsung dilihat menjadi ketua umat Islam.

Apabila Abu Bakar dan sahabat-sahabat besar yang dari golongan Muhajirin tiba, Saad bin Ubadah sendang memberi ucapan kepada penduduk Madinah. Dia memberi justifikasi kenapa perlu dipiliha pemimpin dari golongan (parti?) Ansar.

Antara kata-katanya adalah : "Wahai kaum Ansar, kamu adalah orang awal yang memeluk Islam. Kamu mempunyai jasa yang tidak ada pada mana-mana suku kaum Arab..."

Abu Bakar dan sahabat-sahabat lain membiarkan Saad berucap, walaupun ada diantara mereka yang berasa marah degan ucapan itu, terutama Umar al Khattab. Apabila tiba giliran Abu Bakar berucap, dia menerangkan dengan panjang lebar kenapa perlu wakil dari golongan (parti?) Muhajirin yang mengetuai mereka.

Peristiwa tersebut berakhir secara aman dimana para penduduk (perwakilan) kota Madinah bersetuju melantik Abu Bakar sebagai ketua menguruskan jenazah Rasulullah dan sekali gus Khalifah Islam pertama.

Dalam proses tersebut, kedua-dua golongan berhujah dan berkempen dengan menceritakan kelebihan dan kebaikan golongan masing-masing. Mereka tidak sedikit pun memburukan antara satu sama lain. Akhirnya mereka dapat memilih pemimpin dalam keadaan penuh harmoni dan bersatu padu.

Mungkin situasi ini tidak boleh disamakan dengan senario pilihanraya pada hari ini. Saya tidak nafikan tentang keperluan menerangkan kepada masyarakat gejala rasuah, penipuan, kemungkaran dan sebagainya yang dilakukan oleh pemimpin yang tidak amanah. Itu satu yang perbincangan lain.

Cuma saya berasa kesal apabila melihat ketika setiap kali pilihanraya, kawan menjadi lawan. Sekiranya sebelum itu mereka boleh bergelak ketawa, duduk semeja, seforum, berbincang dan sebagainya tetapi, apabila menjelang pilihanraya masing-masing berubah sikap. Bermula dengan perbincangan politik dan kempen calon terus membawa kepada memburukkan calon lawan masing-masing. Mula segala bentuk kritik yang adakalanya menggunakan bahasa kasar yang menyinggung hati masing-masing.

Yang bertanding adalah ahli politik, yang berpecah belah dan bertegang leher adalah pengikutnya. Biasanya lebih kuah dari sudu.

Pilihanraya perlu berkempen. Namun adakah itu bermakna dibolehkan melanggar segala macam tatacara, hukum hakam dan etiket yang telah digariskan oleh Islam? Atau hukum syariah dilonggarkan sedikit untuk tempoh dua minggu ini. Kaedah feqah sentiasa menggariskan bahawa 'matlamat tidak menghalalkan cara'.

Bagi yang bertanding, berkempen dan penyokong, ada batas-batas syariah yang perlu dipatuhi. Namun yang penting jangan kerana pilihanraya ini kesannya perpaduan ummah semakin binasa. Yang bersorak gembira nanti adalah musuh-musuh Islam.

Tidak salah kalau kita berkempen ikut cara sahabat. Yang penting apa jua yang kita lakukan, Islam dihadapan. Di akhirat nanti, kita bukan sahaja ditanya tentang pemimpin yang kita pilih, cara kita berkempen juga akan dihisab.

Walau bagaimana pun, saya kepilkan surat pembaca dalam forum sebuah akhbar ini. Kisah yang menarik, mungkin boleh dijadikan iktibar: Contohi keharmonian politik Melayu Kota Sarang Semut

Wallahu'alam

Saturday, February 23, 2008

Perkataan 'Allah' dalam buku Kristian

Ini isu lama (tetapi belum basi) tentang perjuangan pendakwah Kristian di Malaysia bagi membenarkan mereka menggunakan perkataan Allah sebagai ganti kepada Lord atau God mereka. Rujuk :
Kalau saya tidak silap, permintaan mereka telah ditolak oleh mahkamah tinggi. Alhamdulillah.

Saya timbulkan semula isu ini kerana kebelakangan ini saya menerima beberapa email yang menimbulkan semula perbincangan tentang isu ini. Saya tidak mahu memanjangkan lagi perbincangan tersebut, cuma sekadar mengajak rakan-rakan berfikir sejenak...

Tuntutan pihak kristian ini hanya salah satu daripada usaha mereka untuk menerbitkan bahan-bahan Kristian yang dekat dengan psikologi dan emosi pembaca buku bahasa Melayu. Mereka mungkin tidak boleh menerbitkan buku-buku Kristian yang sedemikian di Malaysia, namun mereka masih boleh mengimport buku-buku tersebut dari Indonesia.

Di Indonesia, ada banyak penerbit buku agama Kristian yang aktif menerbitkan bahan-bahan sedemikian. Sebagai contoh judul buku mereka: Bagaimana Meningkatkan Taqwa di Sisi Allah. Khabar-khabar Gembira dari Syurga untuk Kanak-kanak. Jadilah Hamba yang Beriman, Sejarah Nabi Isa alaihisalam dan sebagainya.

Kenapa mereka ingin menggunakan perkataan Iman, Taqwa, Allah, Isa alaihi salam, dsb? Ini kerana bahasa tersebut dekat dengan emosi orang Islam khususnya orang Melayu. Pendakwah Kristian menggunakan pendekatan menulis bahan agama yang dekat dengan emosi, psikologi, budaya dan adat sesuatu masyarakat yang mereka hendak dakwah.

Cara mereka, sekiranya masyarakat tidak mahu membaca buku agama, mereka akan pakejkan buku agama tersebut agar dekat dengan masyarakat (mad'u mereka).

Sebagai contoh, apabila mereka hendak menerbitkan Bible dalam bahasa Kadazan (lebih 10 tahun dahulu), para mubaligh mereka akan tinggal dan hidup bersama orang Kadazan. Mereka mempelajari dan memahami segala bentuk budaya, kepercayaan, adat resam, bahasa, emosi dan psikologi orang Kadazan. Kemudian barulah mereka menulis Bible yang dipakejkan untuk orang Kadazan. Bible yang dapat diterima oleh orang Kadazan dengan mudah dan dekat dengan jiwa mereka.

Itu antara methodologi mereka dan ternyata telah berjaya mendekatkan agama mereka kepada masyarakat atau kumpulan sasar mereka.

Berbeda dengan buku agama Islam dalam bahasa Malayu yang banyak dalam pasaran. Bahan tersebut rata-rata mempunyai jargon atau istilah-istilah yang lebih difahami oleh pembaca yang mempunyai latar belakang pendidikan Islam atau sekolah agama. Itu belum lagi bahan yang menggunakan struktur ayat dan gaya bahasa (uslub) asing (bukan uslub bahasa Melayu) seperti uslub Arab.

Penggunaan istilah dan uslub yang tidak difahami oleh mereka yang jahil bahasa arab membuatkan bahan agama tidak mesra untuk pembaca baru (bukan pembaca buku agama) terutama saudara baru atau non-Muslim.

Akhirnya jadilah kebanyakkan buku agama Islam eksklusif untuk orang yang faham perrkataan bahasa Arab sahaja. Begitu juga dengan artikel agama di akhbar, majalah dsb. Kalau hendak baca juga terpaksalah buat-buat faham. Kalau rajin sedikit, boleh rujuk guru agama atau kamus.

Lebih teruk apabila ada pendakwah Islam yang mengatakan: "(hanya) Orang agama yang membaca buku-buku agama. Jadi perlulah ditulis dengan cara yang memenuhi keperluan orang agama." (Adakah orang bukan bidang agama tidak layak membaca buku agama yang mereka mudah fahami?)

Bagi memburukkan keadaan ini, khabar dari seberang mengatakan penerbit gergasi Indonesia iaitu PT Gramedia sedang berura-ura untuk membuka cawangan rangkaian kedai buku mereka di Malaysia dalam tempoh terdekat. Penerbit ini didukung sepenuhnya oleh gerakan Kristian. Judul-judul seperti yang saya sebutkan diatas adalah sebahagian daripada ribuan judul yang boleh didapati dari kedai mereka.

Tidak mustahil mereka akan menyelitkan judul dakwah Kristian dalam ribuan buku-buku mereka. Pegawai KDN belum tentu mempunyai kesempatan untuk membaca keseluruhan judul-judul buku mereka.

Dalam menghadapi cabaran ini, kita boleh lakukan banyak perkara antaranya:
- kita boleh berdiam diri dan berdoa agar dijauhi oleh perkara tersebut
- desak pihak berkuasa agar menolak permit penerbitan atau tuntutan pendakwah Kristian
- jadi sebahagia daripada 'media watch' dan laporkan dalam akhbar (surat pembaca) atau pihak berkuasa jika terjumpa bahan sedemikian.
- Gerakkan badan-badan dakwah, NGO, bagi membeteras aktiviti sedemikian.

Atau, kita juga boleh menulis bahan-bahan agama (artikel, majalah, kartun, komik, blog, dsb) yang menggunakan pendekatan yang dekat dengan emosi dan psikologi pembaca di Malaysia. Sampaikan mesej dan dakwah Islam dengan lebih mesra dan efektif dalam apa jua bahan penulisan sama ada kreatif, fiksyen, non-fiksyen dan sebagainya. Terangkan tentang Islam dalam apa jua cara dan pendekatan yang mudah dan ringkas, walaupun dengan satu ayat.

Banyak lagi yang boleh kita lakukan sama ada berbentuk reaktif, proaktif, ofensif, defensif, koperatif dan lain-lain lagi... termasuk lah juga 'berpeluk-tubuh-sif' atau 'menunding-jari-tif'.

Kita mungkin tidak boleh melakukan semua perkara itu, tetapi kita jangan tinggalkan semuanya. Sekurang-kurangnya esok-esok nanti di mahkamah akhirat, apabila Allah bertanya, setiap inci tubuh badan kita boleh menjawab bagi pihak lidah yang sudah tidak lagi dapat berkata-kata.

Wallahu'alam.

Saturday, February 16, 2008

Cucuq Rakit

Setiap kali pulang dari sekolah Hidayah, kami akan melalui gerai ini. Entah sejak bila gerai ini terpacak di sini, kami tidak tahu. Cuma kami baru terperasan baru dua tiga minggu lepas. Apa yang menarik? Cuba lihat gambar dibawah - menu yang terakhir itu: Cucur Rakit. Hemm... pelik juga, kuih apa ini.

Maka kami cuba berhenti untuk singgah menyelidik. Namun, setiap kali lalu dihadapan gerai kami hampa. Ini kerana sama ada ia tutup (awal) atau cucur rakit sudah habis. Ada masanya kami tidak terperasan atau teringat hendak singgah.

Namun, kelmarin rezeki kami tiba. Memang langkah kanan kami benar-benar langkah kanan. Kami singgah awal sedikit, dan Cucuq Rakit masih ada di tempat kejadian. Akhirnya kami berjaya juga menyelongkar misteri kuih yang pelik ini.


Lokasi gerai adalah di jalan utama Lembah Keramat, AU5.



Bahan-bahan cucur rakit ini biasa sahaja


Biasanya cucur rakit dimakan di gerai. Kalau bungkus bawa balik, tidaklah dinamakan cucur rakit.





Bagi memperkenalkan apa dia cucur rakit, ia dipersembahkan dahulu kepada kami sebelum dibungkus. Bahan-bahan cucur rakit ini adalah (berdiri dari atas): cucur udang, tauhu goreng, timun dan sengkuang. Atasnya akan dituang dengan kuah kacang sebelum dimakan hidup-hidup (yelah yang memakan tu kan masih hidup?... ).

Menurut penjual, dia menamakan cucuq rakit bukan kerana minat terhadap rakit. Tetapi sekadar gimik. Ia cucuq biasa, cuma cara ia dipersembahkan itu sahaja yang beza. Sebab tu, kalau bungkus bawa balik, tidaklah dinamakan cucuq rakit. Dia jadi 'cucuq bungkuih' (bungkus)!

Kami bawa balik dua bungkus cucuq rakit dan sebungkus air leng cee kang sejuk. Walaupun namapk macam tidak kena - makan cucuq dengan air len cee kang, namun, kalau sudah lapar, semua jadi. Sesiapa yang kebetulan lalu di jalan AU5 ini, boleh cuba rasa.

Posted by Picasa

Wednesday, February 13, 2008

Temuduga

Dalam beberapa hari ini saya agak sibuk menemuramah beberapa calon yang memohon untuk jawatan editor. Majoriti calon yang memohon adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai CGPA 3.30 keatas.

Yang menarik, ramai juga di kalangan mereka yang tidak membuat sedikit kerja rumah tentang syarikat atau jawatan yang mereka pohon. Akibatnya, ramai jugalah yang kelam kabut atau terkedu apabila ditanya pelbagai soalan berkaitan terutama tentang isu semasa.

Saya teringat suatu kisah lama, tentang sesi temuduga rakan saya untuk jawatan jurutera petroleum di sebuah syarikat antarabangsa di Malaysia. Rakan saya ini seorang pelajar yang pandai dan graduan dari luar negara.

Ketika sesi soal jawab (yang berlangsung dalam bahasa Inggeris), soalan pertama yang ditanya kepada beliau adalah: "Selain daripada berlajar, apakah akiviti awak?"

Jawab rakan saya spontan: "Saya aktif dalam teater."

"Baiklah, mari kita bercerita tentang teater." Kata penemuduga itu.

Selama lebih kurang 40 minit mereka bersembang tentang teater. Sedikit tidak ada soalan tentang petroleum atau yang berkaitan dengannya. Beberapa minggu kemudian beliau menerima surat tawaran untuk bekerja di syarikat tersebut sebagai jurutera.

Lama selepas itu, rakan saya berpeluang berjumpa dengan pengurus kanan yang menemuduga beliau. Rakan saya ini bertanya kepada pengurus tersebut kenapa ketika temuduga tidak ada sebarang soalan tentang petroleum dan sebagainya.

Jawab pengurus tersebut: "Awak adalah seorang pelajar yang pandai. Sekiranya saya bertanya tentang petroleum, pasti awak dapat menjawab dengan mudah. Namun, saya mahu lihat adakah awak mempunyai dunia lain daripada belajar. Saya tidak mahu pekerja yang hanya pandai ambil peperiksaan, tetapi tidak pandai berinteraksi dan bekerja dengan orang lain."

Itu adalah sedikit cerita daripada rakan saya. Saya juga pernah bertanya kepada dua orang individu yang biasa menemuduga calon pekerja. Seorang pengurus kanan sumber manusia sebuah syarikat petroleum dan seorang lagi wartawan kanan di sebuah syarikat media utama.

Kata mereka apabila mengulas tentang ramai graduan menganggur: "Pelajar kita bukan tidak ada kelayakan, yang sebenarnya mereka tidak pandai memasarkan diri mereka. Ramai yang hanya pandai dalam peperiksaan, tetapi tidak tahu tentang dunia luar daripada akademik mereka."

Menurut kajian psikologi, mereka yang cukup pandai dalam akademik ini dipanggil 'testwiseness'. Iaitu pandai ambil peperiksaan. Biasanya mereka yang terperangkap dalam gejala ini menunjukkan simptom seperti 'idea yang biasa-biasa' atau 'mengikut buku teks'. Mereka cenderung untuk membina kotak disekeliling mereka dan duduk dengan selesa di dalam kotak itu.

Saya sering berpesan kepada adik-adik saya, kaum kerabat dan pelajar saya di IPTA, belajar rajin-rajin, score dalam exam, tetapi pastikan aktif dalam ko-kurikulum dan kepimpinan pelajar. Ilmu akademik boleh didapati dalam kelas, tetapi kemahiran (terutama kemahiran sosial) adalah dari pengalaman yang tidak ada dalam kelas. IQ penting, tetapi EQ lebih penting.

Wallahu'alam.

Monday, February 11, 2008

Gambar Ziarah

Ini beberapa keping gambar ketika lawatan PTS ke rumah almarhum saudara Zafran minggu lepas. Lewat dipostkan...

Bonda Zafran: "Makcik terasa sangat kehilangan dia..."


Penasihat PTS, Prof Emeritus Abdullah Hassan, mengetuai bacaan tahlil


Dari kir: Pn Ainon (Sifu), Cik Asyikin (editor PTS Fortuna), Pn Norhazizam (Pengurus Pemasaran)


Dari kiri: Kawan Zafran (tak ingat nama), En Mat Jan (Editor PTS Fortuna), En Nazrul@Abe (Pengurus PTS Pro)

En Vovin (Pengurus PTS One)... Khusyuk? atau shahdu?..

Prof dan bonda Zafran

Fail-fail yang tersusun kemas

Antara buku rujukan

Disini arwah berkarya. Hembusan angin diluar cukup mendamaikan. Bak kata Vovin: "Kalau macam ini punya nyaman, bukan sahaja idea mencurah-curah... tidur pun lena ni!"

Diari.. segala cerita almarhum ditaip dalam komputer...

Kemudian dicetak dan ditampal dalam buku. Kenangan buat yang hidup.

Laptop ini menjadi saksi kegigihan almarhum. Walaupun besar dan berat, ia tetap diusung kehulu kehilir sejak mula menjadi mentee. Dibeli dengan hasil jualan motor pusaka arwah ayah. RM800.

Kediaman yang cukup mendamaikan. Tempat singgah yang fana. Entah bila lagi kami akan ke sini.

Kediaman yang kekal abadi. Yang pasti kami pula akan menyusul. Damailah engkau disana, wahai saudaraku...


"Jangan kalian mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki." (Ali Imran: 169)

Sunday, February 10, 2008

Ikat Penulis

Baru-baru ini seorang sahabat saya yang rajin menulis didatangi wakil satu penerbit yang agak terkenal.

Wakil penerbit ini memujuk sahabat saya ini untuk menjadi penulis dibawah syarikat beliau. Ini bukan kali pertama beliau dipelawa oleh syarikat yang sedemikian. Namun, sebagai menghormati tetamu, beliau sekali lagi menolak dengan baik.

Kenapa beliau menolak walaupun sudah beberapa kali dipelawa? Kata sahabat saya ini, syarat-syarat yang menunggu apabila menyertai syarikat tersebut terlalu menyekat dan mengongkong beliau. Kata sahabat saya ini, sekiranya beliau menyertai syarikat tersebut, beliau tidak dibenarkan menulis dengan mana-mana syarikat penerbitan yang lain. Sama ada menulis buku, artikel dan sebagainya. Beliau perlu terlebih dahulu menandatangani perjanjian yang mengikat beliau selama lima tahun.

Dalam erti kata lain, beliau menjadi penulis tetap dan eksklusif untuk syarikat tersebut. Sahabat saya ini tidak bersetuju sama sekali dengan perjanjian tersebut. Katanya, perjanjian ini menyekat kebebasan beliau dan sekali gus menutup periuk nasi beliau dalam penulisan artikel.

Sahabat saya ini mempunyai lebih 7 buah karya yang ditulis bersendirian dan berkumpulan dengan PTS. Beliau juga kolumnis di beberapa majalah. Selain itu beliau turut menulis buku ilmiah untuk universiti tempat beliau mengajar.

Syarikat penerbitan yang tadi itu memberitahu bahawa strategi mereka yang menggunakan model syarikat rakaman itu ada kebaikannya berbanding dengan cara PTS. Iaitu, mereka hanya memberi fokus kepada beberapa orang penulis terpilih sahaja dan bukan kepada ramai penulis macam PTS. Dengan cara ini mereka boleh mencetak (print run) buku penulis mereka dengan banyak dan sekali gus menjadikan buku-buku penulis laku keras dipasaran, seperti seorang artis. Mereka juga sudah mendapat lesen dari KDN untuk menerbitkan majalah. Penulis mereka akan diberi peluang untuk menulis dalam majalah mereka yang belum pasti bila akan diterbitkan. i.e. Majalah itu nanti kolumnya eksklusif untuk penulis mereka sahaja.

Sahabat saya ini seorang yang rajin menulis dan membuat kajian. Antara kajian beliau ialah tentang harta intelek dalam Islam, yang menjadi disertasi Master beliau. Oleh yang demikian, beliau mempunyai kesedaran dan maklumat yang banyak tentang kepentingan harta intelek ini. Atas ilmu yang ada juga, beliau dapat meneliti baik buruk daripada perjanjian penerbitan yang perlu beliau tandatangani. Sekurang-kurangnya harta beliau terpelihara dan beliau tidak dikongkong, diikat dan jauh sekali dizalimi, insya'Allah. Yang penting juga, beliau bebas menulis dan berkarya dengan sesiapa sahaja yang beliau inginkan.

Beberapa rakan saya yang lain yang juga dari aliran agama yang tidak begitu bernasib baik seperti beliau. Kebanyakan mereka tidak mempunyai banyak maklumat tentang dunia penerbitan, tetapi minat menulis. Atas kejujuran, keikhlasan, kenaifan dan kurangnya maklumat tentang dunia penerbitan menyebabkan mereka terperangkap dan sering juga tertindas. Namun mereka manusia yang sungguh baik dan sentiasa berbaik sangka, jauh sekali ingin berkonfrantasi. Mungkin kerana itu juga ada yang mengambil kesempatan atas mereka.

Saya tidak ingin mengulas tentang syarikat penerbitan tersebut mahupun bercerita panjang lebar tentang kisah di atas. Cuma sebagai seorang yang terlibat dalam dunia penerbitan, walaupun baru setahun jagung, saya beri tip-tip ringkas teman-teman yang ingin menjadi penulis (tidak semestinya menulis dengan PTS):

1. Baca... baca... baca... dan fahami kandungan perjanjian penerbitan. (Setiap muamalah perlu ada hitam putih.)
2. Pastikan harta intelek (karya) penulis tidak terjual dan penulis masih ada hak mutlak atas harta intelek mereka. Jangan sesekali jual harta intelek.
3. Mintalah penerbit atau sesiapa yang berpengalaman untuk memahami sebarang implikasi untung rugi daripada perjanjian penerbitan itu. Sebaik-baiknya mereka yang dalam industri penerbitan, kalau ada.
4. Fahami hak-hak kedua-dua pihak. Sama ada hak eksklusif perlesenan hak cipta atau sub perlesenan.
5. Last sekali, solat istikharah. Mohon petunjuk dan dipermudahkan segala urusan jika ia baik untuk agama, diri dunia dan akhirat, dan dijauhkan sekiranya sebaliknya. Setelah selesai segala usaha, berserah kepada Allah.

Mungkin nampak macam remeh, tetapi perlu ingat... karya kita adalah harta kita yang akan diwarisi oleh anak cucu. Wallahu'alam

Saturday, February 9, 2008

Balik Kampung

Sekarang saya sedang berada di kampung isteri, di Selama, Perak. Menghabiskan cuti Tahun Baru Cina. Setiap cuti panjang, sekiranya ada kelapangan saya akan pulang ke Selama. Biasanya saya akan pulang ke Selama ini setiap dua atau tiga bulan sekali. Sekiranya tidak ada cuti panjang saya akan cuba untuk pulang pada cuti hujung minggu. Sekadar menziarahi dan menemani emak Dayah yang tinggal berseorangan (adik beradik Dayah berkerja dan belajar di luar Selama).

Di mana tempat menarik di Selama ini? Entahlah, sudah lebih enam tahun sejak saya mula menjejaki di bumi Selama ini, tetapi belum habis semua tempat, ceruk dan belukar saya teroka. Kecuali, pekan Selama yang kecil sedikit daripada pusat bandar Taman Melawati.

Daerah Selama ini jauh terperuk di hujung negeri Perak dan dibatasi oleh hutan rimba sebagai parameternya. Pusat bandar yang terdekat adalah Parit Buntar (Perak), Kulim (Kedah), Bagan Serai (Perak) dan Taiping (Perak). Semuanya mengambil masa lebih kurang 40 minit perjalanan dari Selama.

Namun, pekan Selama ini cukup segala kemudahan awam seperti sekolah rendah, sekolah menengah, masjid, hospital, balai polis, balai bomba, pusat kesihatan, pasaraya, kubur dan sebagainya. Cuma lapangan terbang sahaja yang tidak ada...

Di Selama kebanyakan warga muda berkerja di luar Selama, sama ada di bandar-bandar terdekat itu atau berhijrah ke bandar-bandar besar. Jadi kebanyakan warga Selama ini adalah warga veteran. Sekarang ini juga warga veteran sudah ramai yang berhijrah ke alam abadi... nun di 'batu dua' sana.

Arwah bapa mertua saya, Ustaz Haji Abdul Halim Mat, seorang guru agama yang disegani meninggal dunia setahun sebelum saya bernikah. Majlis pengkebumian dan solat jenazahnya di hadiri oleh hampir seluruh penduduk Selama dan luar, dari pelbagai latar belakang agama dan kaum.

Kira-kira dua tahun lepas rakan baik arwah iaitu Cikgu Mat Noh juga meninggal. Arwah cikgu Mat Noh ini banyak memperkenalkan dan mengajak saya bermasyarakat di sini. Tanpa kedua-dua mereka Masjid Selama semakin sunyi. Kebelakangan ini ramai lagi rakan-rakan saya yang veteran di Selama kembali kerahmatullah.

Kalau ditanya saya apa yang menarik di Selama, banyak juga yang saya hendak cerita. Selain daripada suasana yang lebih tenang, nyaman damai dan udara segar, yang pasti ialah kos kehidupan di sini jauh rendah berbanding di kampung tanah tumpah saya.... Kuala Lumpur.

Di sini saya masih boleh menikmati nasi lemak sebungkus atau roti canai dengan harga RM0.50, teh tarik RM0.50. Maggi goreng telur atau mee goreng mamak style RM2.00. Dan yang paling saya tidak lepaskan setiap kali pulang adalah saya dan anak-anak akan bergunting rambut. Kenapa? kerana harga atau upah gunting rambut ialah RM3.00 untuk dewasa, RM2.00 kanak-kanak manakala untuk gunting dan cukur ialah RM5.00. Diskaun hampir 70% daripada harga di KL.

Bezanya rasa hidup di kota dan di kampung. Saya dibesarkan di kota. Sebab itu sekali sekala pulang ke kampung saya akan manfaatkan sepenuhnya untuk berehat dan melupakan seketika urusan kerja. Udara segar dan ketenangan di kampung isteri dengan ditemani buku-buku, cukup untuk membuatkan saya sentiasa menanti masa lapang untuk pulang bercuti. Anak-anak?... mereka sudah tentu lebih teruja untuk berlari-lari bersama sepupunya di laman yang luas berbanding di Taman Permata yang sempit dan berpagar.

Memang jauh beza kedua-dua tempat tinggal ini. Namun setiap tempat ada kelebihan dan kekurangannya. Yang penting kita manfaatkan setiap kurniaan Tuhan, tidak lupa asal usul dan berpada-pada dengan cara hidup atau lifestyle kita. Bak kata jutawan Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari: "Lifestyle ini satu penyakit. Sekiranya tidak berhati-hati ia boleh merosakkan kita."

Wallahu'alam.

Thursday, February 7, 2008

Macam pernah ku lihat... tetapi dimana ya?

sekadar berkongsi cerita...

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Agama/20080206222811/Article


PERSONALITI: BERDAKWAH MENERUSI TERBITAN BUKU AGAMA
Faris Hasbullah guna pendekatan psikologi hasilkan bahan bacaan mesra pembaca

Oleh : Hasliza Hassan, Berita Harian (Rencana)






BUKAN semua orang boleh berdakwah atau menjadi pendakwah walaupun mempunyai ilmu dalam bidang itu. Hakikat itu diakui Pengurus Penerbitan di PTS Islamika, PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, Faris Hasbullah yang memiliki ijazah pengkhususan dalam bidang dakwah.

Graduan Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu akur dengan kekurangan diri yang tidak petah berbicara untuk menyampaikan ceramah terutama di depan khalayak.

Namun, dakwah bukan hanya menyampaikan ilmu agama kepada orang lain kerana cabang dakwah begitu luas dan ini memungkinkan beliau melaksanakan tanggungjawab menyampaikan ilmu, tetapi dengan cara menguruskan penerbitan buku aliran agama.

"Saya berpegang kepada kata-kata Imam al-Ghazali, jika kita tidak boleh buat semua, jangan tinggalkan semua. Saya memang tidak pandai nak bercakap depan orang ramai, tetapi saya bersyukur kerana walaupun kecil, tetapi peranan saya masih dalam ruang lingkup berdakwah.

"Tugas saya menguruskan penerbitan buku agama membolehkan saya menyumbang kepada penyebaran ilmu mengenai Islam secara tidak langsung. Saya berbangga kerana dapat berperanan walaupun hanya di belakang tabir," katanya pada pertemuan di pejabatnya di Wangsa Melawati.

Berasal dari Ulu Klang, bapa kepada tiga cahaya mata itu ternyata gembira dengan tugas dilakukan dan ini dapat dilihat daripada kesungguhan beliau bercerita mengenai tanggungjawab Pengurus Penerbitan di syarikat yang semakin aktif mengembangkan sayapnya.

Bermula daripada sejarah penubuhan sehingga kepada perkembangan terkini berkaitan PTS Islamika, semuanya dalam tangan beliau yang sudah bersama syarikat penerbitan itu sejak ditubuhkan pada 2002.

Faris berkata, bukan mudah bagi beliau membina kerjaya dalam bidang itu kerana beliau tidak memiliki asas atau kemahiran dalam bidang penerbitan apatah lagi menghasilkan buku aliran agama dengan tujuan untuk dipasarkan. Bagaimanapun, berkat usaha yang tidak pernah kenal jemu dan sokongan daripada pihak pengurusan serta rakan sekumpulan, membantu beliau membina keyakinan untuk bersama mencapai matlamat syarikat memudahkan ilmu kepada masyarakat.

Katanya, dalam perjalanan merealisasikan aspirasi itu pastinya ada cabaran serta dugaan yang ditempuh di mana kemampuan mengatasinya menjadi proses pembelajaran yang akhirnya mematangkannya untuk terus menguruskan bahagian penerbitan buku aliran Islam.

"Tugas saya merangkumi semua daripada menguruskan jabatan, membangunkan manuskrip, menyusun jadual penerbitan, latihan untuk kakitangan serta penulis selain membuat penentuan kos. Ada kala, saya juga membaca manuskrip untuk memberi pandangan. "Jika dilihat memang jauh larinya kerana belajar mengenai ilmu dakwah, tetapi tugas sekarang menerbitkan buku.

Cabaran juga banyak kerana perlu fikir bagaimana hendak mengajak penulis menghasilkan buku agama yang mesra pembaca serta masyarakat," katanya. Beliau berkata, dalam keadaan masyarakat tidak mahu membaca atau berminat kepada buku agama, menjadi tanggungjawab penerbit menghasilkan buku yang dapat menarik perhatian dan memenuhi keperluan mereka.

Justeru katanya, sebagai kumpulan yang inginkan buku hasil terbitan mereka diterima baik masyarakat, jabatan penerbitan PTS Islamika perlu memikirkan kaedah berkesan dua dalam satu, berdakwah dan pada masa sama memastikan buku laris di pasaran.

Bagi tujuan itu, buku yang diterbitkan perlu memiliki ciri yang dekat di hati pembaca iaitu selain muka depan menarik, isi kandungannya juga memenuhi cita rasa dengan memberi apa yang diinginkan melalui bahasa mudah difahami.

Faris berkata, pihaknya sentiasa melakukan penyelidikan serta percambahan idea termasuk mencadangkan kepada penulis tajuk yang wajar diketengahkan supaya apa diberi nanti ialah apa yang diinginkan pembaca.

Katanya, memang ada yang tidak bersetuju pendekatan dibuat, tetapi berdasarkan sambutan diterima daripada buku diterbitkan, beliau yakin usaha mendekatkan ilmu kepada pembaca berjaya mencapai matlamat.

Antara pendekatan diguna pakai ialah menghasilkan buku agama dikhususkan kepada kumpulan yang tidak pernah membaca buku agama atau ingin membaca mengenai ilmu agama, tetapi bukan bahan yang berat.

"Kebanyakan buku kita menggunakan bahasa yang mudah dan tidak berbau Arab kerana ada yang tidak mahu baca buku agama kerana mereka tidak tahu bahasa Arab. Kita juga hasilkan buku yang lari daripada konsep buku agama yang ada di pasaran.

"Contohnya, orang tidak pernah pergi mengerjakan haji, kita terbitkan buku mengenai haji, tetapi bukan yang jenis ilmiah. Buku Travelog Haji yang secara tidak langsung turut mengajar pembaca cara menunaikan ibadat haji adalah kejayaan kita memberi apa yang dimahukan pembaca di luar sana.

"Tajuk juga penting kerana kita ada terbitkan buku mengenai taubat dengan judul Mendekati Tuhan. Buku itu turut mendapat sambutan kerana mungkin ada antara kita ingin bertaubat, tetapi tidak mahu niat itu nampak ketara apabila mereka dilihat memegang buku dengan judul Taubat.

"Begitu juga apabila kita hasilkan Biografi Muhammad bin Abdullah, ada yang memberi maklum balas kerana menganggap kita tidak menghormati Nabi Muhammad, tetapi buku itu mendapat perhatian daripada bukan Islam. Maknanya cara kita berjaya mendekatkan buku kepada masyarakat," katanya.

Katanya, beliau turut membaca serta mengkaji buku dihasilkan penulis bukan Islam dan mempelajari bagaimana mereka mendekatkan ilmu agama seperti menghasilkan Bible yang dekat kepada penganut Kristian.

Berpandukan kepada kaedah psikologi yang digunakan penulis Barat serta Indonesia untuk mempromosikan amalan agama melalui penerbitan buku, beliau yakin ia boleh dilaksanakan oleh penerbitan Islam.

Faris berkata, pengalaman menerajui jabatan penerbitan buku aliran agama memberi perspektif luas kepada beliau selain dapat menimba ilmu baru setiap hari daripada manuskrip yang dihantar penulis dalam pelbagai bidang. Malah, kesempatan bertemu dan berbincang dengan penulis terutama muka baru yang memiliki idea lebih segar adalah pengalaman berharga baginya yang kini sudah mula berjinak-jinak untuk bergelar penulis.

Seperkara lagi penemuan yang dirasakan penting untuk diketengahkan katanya ialah tanggapan bahawa rakyat Malaysia tidak suka membaca berasaskan kepada kajian menunjukkan rakyat negara ini hanya membaca satu buku setahun.

Sedangkan katanya, dilihat daripada industri penerbitan buku yang kian berkembang, kesimpulan boleh dibuat ialah rakyat Malaysia suka membaca serta sentiasa mencari bahan baru untuk santapan jiwa dan minda mereka.

"Saya rasa, perlu diadakan kajian baru bagi melihat tabiat membaca rakyat Malaysia kerana kajian yang mengatakan kononnya orang Malaysia tidak suka membaca ini mungkin dibuat sudah lama. Ketika itu juga, tidak banyak buku di pasaran.

"Keadaan sekarang berlainan kerana banyak pilihan buku dan rakyat kita juga semakin sedar kepentingan menimba ilmu. Saya lihat kepada pasaran buku, andaian yang boleh kita buat, masyarakat kita semakin menyukai buku," katanya.

PROFIL
· Nama: Faris Hasbullah
· Tarikh lahir: 11 Julai 1975
· Tempat lahir: Kuala Lumpur
· Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (pengkhususan bidang dakwah), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
· Isteri: Ruhana Hidayah Abd Halim, 29
· Anak: Haura', 6 - Marwan, 5 - Sameer, 1

Wednesday, February 6, 2008

Tahun Baru Cina

Bagi teman-teman yang menyambut Tahun Baru Cina, saya ucapkan... Gong Xi Fa Cai.

Tahun ini tahun tikus mengikut kalendar Cina. Jiran saya yang mixed India, Bangladesh, Cina tetapi sekeluarga bertutur dalam bahasa Cina (tidak pasti dialek apa) memberitahu: tahun tikus adalah tahun hujan. Jadi tahun ini hujan turun lebih sedikit.


Hemmm... sudah lebih dua tiga hari cuaca panas terik sehingga kering pokok-pokok saya di halaman Taman Permata ini. Mungkin tahun ini giliran tikus padang pasir kot...?

Di kala, kaum Cina sedunia sedang makan besar petang tadi, saya di rumah juga makan besar. Bukan makan Yee Sang* atau rojak Cina, tetapi menjamu selera dengan roti arab yang disapu marjerin dan cicah sekaya. Saya tidak pasti ini resepi arab mana, tetapi, sambil asyik bersembang dengan Dayah, habis juga tiga keping. Bagi sesiapa yang tidak pernah lihat roti arab ini, ia setebal hampir seinci setengah dengan diameter sekitar 15cm. Roti ini tidaklah padat, tetapi cukup mengenyangkan terutama apabila 'dibedal' sebanyak tiga keping. Moralnya, sambil makan jangan bersembang...!


Cuti tiga empat hari ini saya habiskan di Selama, Perak. Kampung halaman mama Kak Yong; Hidayah. Di sana capaian internet tidak begitu memuaskan. Oleh itu, saya membawa bekalan beberapa buah buku sebagai teman bercuti. Sekadar memberatkan beg dan kereta... Harapnya pulang nanti 'ringan' sikit buku-buku itu, kerana, ilmunya saya 'sedut, kikis, perah dan simpan' dalam kepala. Kalau tidak, mungkin boleh bijak sikit daripada seekor unta yang membawa kargo buku-buku... (pepatah arab bagi orang yang tidak memanfaatkan ilmu yang dipikulnya).

Saya akan merindui Taman Permata dan teman-teman.

Bagi yang pulang bercuti (termasuk saya) selamat bercuti dan berhati-hati dijalan raya. Semoga kita semua selamat pergi dan kembali ke rumah. ma'as salamah... ilal liqo'...

---
* p/s: Yee bermaksud ikan, Sang bermaksud hidup. Yee Sang bermaksud lebih kurang: 'a growing prosperous life'... kata teman saya.

Saya masih tidak percaya

Saya masih tidak percaya. Zafran yang baru saya kenali sejak bengkel terawal UNIKA di Bukit Tinggi pada tahun 2005, sudah tiada. Lewat kebelakangan ini saya amat jarang berjumpa beliau. Sementelah beliau juga semakin kurang kerap hadir ke bengkel UNIKA dan PTS. Atau mungkin beliau hadir tetapi saya yang kurang kerap bertemu beliau.

Saya terasa seolah beliau masih ada. Cuma tidak muncul di PTS, atau saya yang tidak bertemu beliau. Walaupun semalam, saya bersama rombongan PTS ke rumah beliau, membaca Yasin, tahlil, mendengar ibunya bercerita dalam sendu, melawat biliknya, duduk dikerusi tempat beliau mencurah ilham, membaca coretan diari (dengan izin ibunya) dan yang terakhir bertafakur di pusaranya.

Saya masih terasa beliau akan datang ke PTS, seperti beberapa minggu lepas. Beliau hadir di sisi Alif. Rancak berbincang dengan Alif dan Mat Jan. Saya pula sedang bekejar untuk urusan diluar, dan hanya mampu bertergur sapa, bertanya khabar tanpa sempat berbual panjang atau mendengar celotohnya yang kaya dengan idea. Hanya senyuman beliau ketika itu mewarnai pertemuan singkat kami. Riak wajahnya ada mengambarkan beliau tidak sesihat selalu. Saya yakin akan bertemunya semula, seperti hari itu.

Saya masih terasa seolah beliau masih ada di alam fana ini. Walaupun ketika berada dalam bilik studinya, mengadap deretan fail-fail kerja, projek penulisan, bil internet, pembelian buku, royalti atau membelek buku-buku rujukan dan bacaan beliau. Kemudian, apabila diberi izin melihat fail-fail dalam PCnya, saya akui, beliau seorang yang banyak idea dan kemas kerjanya. Melihat diari yang turut mencatat butiran sms, membuatkan saya terfikir... adakah almarhum (pedihnya menyebut perkataan ini) memang hendak menjadikan ia tatapan kami? Aduh.. terlalu banyak yang hendak diceritakan.

Hubungan saya dan almarhum tidak rapat seperti beliau dengan Alif, Ice, Mat Jan, Kak Nor dan sebagainya. Namun, saya mempunyai kenangan tersendiri bersamanya... kenangan yang sejak dua tiga hari ini segar kembali, dan sentiasa bermain dikepala. Lelbih-lebih lagi apabila membaca catatan teman-temannya di internet.

Saudaraku, semoga damailah ruh mu disisi Tuhan, bersama jiwa-jiwa yang tenang. Kami akan menyusul... lambat atau cepat, pasti tiba masanya.

Sunday, February 3, 2008

Al-Fatihah


Seorang rakan, penulis dan hamba Allah yang mulia telah kembali ke rahmat dan pangkuan Allah. Saudara Ahmad Zafran adalah antara mentee Sifu PTS yang terawal. Dia adalah penuntut UNIKA sejak kuliah pertama yang bermula di pejabat kecil PTS di Bukit Tinggi, Bentong, beberapa tahun lepas.

Saya difahamkan beliau meninggal pagi tadi dalam tidur. Almarhum mengidap penyakit jantung yang sukar diubati, dan perlu memakan ubat sehingga ke akhir hayat. Kalau saya tidak silap beliau berumur dalam lingkungan 33 tahun pada tahun ini. Kata orang, orang yang baik-baik meninggal awal, ada benarnya.

Jenazah beliau dikebumikan selepas Asar petang tadi, di tempat tinggal dan kelahirannya - di Tampin, Negeri Sembilan. Insya'Allah saya akan bersama teman-teman lain akan menziarahi ibunya esok pagi.

Saya tidak begitu rapat dengan alhmarhum. Beliau adalah penulis di bawah PTS Fortuna dan PTS One. Oleh itu, hubungan beliau dengan saya hanya sebagai rakan di PTS, UNIKA... dan sama-sama mengeteh.

Seorang penulis dan pekomik yang tekun, optimis, berhati mulia dan menjaga waktu solatnya. Begitulah secara ringkas tengtang beliau yang saya kenali. Jasa beliau dengan PTS tidak terhitung. Cukuplah sekadar menyatakan beliau adalah antara individu yang banyak membela nama PTS dikalangan PEKOMIK, penulis... Beliau banyak memperkenalkan penulis dan artis kepada PTS yang ketika itu masih terkial-kial hendak membangunkan sektor remaja... antaranya Alif Firdaus yang kini adalah editor dan illustrtor (dan hantu silapmata) di PTS One.

Semoga Allah merahmati beliau... semoga kata-kata nasihat, buah fikiran, idea dan tulisan-tulisan beliau menjadi ilmu yang bermanfaat berterusan bagi menemaninya bertemua Allah.

Saudara Zafran, tuan telah menemui Allah. Kami akan menyusul kemudian. Al-Fatihah

Saturday, February 2, 2008

Pecah Rumah

Malam tadi rumah ayahanda yang terletak selang dua lorang dari rumah saya dimasuki pencuri. Yang menariknya kepakaran pencuri tersebut masuk tidak disedari oleh Ayah, Mak dan Nawal yang sedang lena dibuai mimpi. Malah, pencuri tersebut berjaya mengambil HP nawal yang terletak bersebelahan dengannya.

Apa yang hilang? Dari sudut RM tidaklah terlalu mahal, cuma Laptop dan HP nawal, HP mak dan sepasang kasut ayah. Namun dari sudut lain, kandungan dalam laptop dan nombor dalam kedua-dua HP itu malampaui nilai RM.

Laptop Nawal mengandungi nota-nota dan tugasan kuliahnya di UKM dan manuskrip-manuskrip yang telah diedit termasuk dua yang sedang disiapkan. Itu tidak termasuk pelbagai fail dan gambar kenangan.

HP Nawal dan Mak pula mengandungi puluhan dan ratusan nombor talipon yang sukar dicari semula.

Ayah?... Esok ayah ada alasan untuk beli kasut baru.

Hebat juga pencuri ini masuk. Namun saya perlu juga berterima kasih kepada sang pencuri kerana, dia hanya menyelongkar dompet dan mengambil duit sahaja. Dan yang paling penting dia tidak mengapa-apakan penghuni rumah. Alhamdulillah. Itu yang paling penting.

Hari ini juga pengalaman baru untuk saya, mak dan Nawal: menghabiskan masa berjam di balai polis. Dari Balai Taman Melawati kami dirujuk pula ke balai Hulu Kelang. Selepas selesai urusan, beberapa anggota penyiasat data ke rumah untuk melihat dan merakam tempat kejadian. Mereka turut ditemani oleh anggota CSI... Gaya mereka menyiasat tempat kejadian saling tidak tumpah macam anak buah Leftenan Horatio dari CSI Miami Dade. Bermula dari mengesan cap jari hinggalah menyuluh setiap penjuru tingkap dan parameter rumah. Saya tidak pasti sama ada mereka menemui sebarai bukti. Yang pasti mereka cukup bergaya... ala-ala CSI dalam TV.

Mereka turut mengambil sepasang kasut pencuri itu, yang ditinggalkan pencuri sebagai tukaran kepada kasut ayah. Hemm... bergaya juga pencuri ni.

Di balai juga, ada sepasa suami isteri membuat laporan: mereka diragut ketika sedang berjalan dihadapa Giant Supermarket, Taman Permata.

Kata pak sarjan balai, dia baru sahaja menangkap dua pelancong rakyat Colombia yang memecah rumah penduduk di Lembah Keramat. Kelmarin seorang gadis bertudung labuh dan berjubah ditangkap ketika mencuri barang kemas seorang nenek dengan menyamar sebagai jurujual. Masuk rumah nenek itu, menyamar dan merompak.

Pengajarannya, dunia kita semakin tidak selamat. Bagaimana pun usaha menjaga keselamatan, jangan sekali-kali lupa untuk berserah kepada Allah. Kita hanya mampu sekadar yang terdaya. Allah yang maha melindungi.