Sunday, February 10, 2008

Ikat Penulis

Baru-baru ini seorang sahabat saya yang rajin menulis didatangi wakil satu penerbit yang agak terkenal.

Wakil penerbit ini memujuk sahabat saya ini untuk menjadi penulis dibawah syarikat beliau. Ini bukan kali pertama beliau dipelawa oleh syarikat yang sedemikian. Namun, sebagai menghormati tetamu, beliau sekali lagi menolak dengan baik.

Kenapa beliau menolak walaupun sudah beberapa kali dipelawa? Kata sahabat saya ini, syarat-syarat yang menunggu apabila menyertai syarikat tersebut terlalu menyekat dan mengongkong beliau. Kata sahabat saya ini, sekiranya beliau menyertai syarikat tersebut, beliau tidak dibenarkan menulis dengan mana-mana syarikat penerbitan yang lain. Sama ada menulis buku, artikel dan sebagainya. Beliau perlu terlebih dahulu menandatangani perjanjian yang mengikat beliau selama lima tahun.

Dalam erti kata lain, beliau menjadi penulis tetap dan eksklusif untuk syarikat tersebut. Sahabat saya ini tidak bersetuju sama sekali dengan perjanjian tersebut. Katanya, perjanjian ini menyekat kebebasan beliau dan sekali gus menutup periuk nasi beliau dalam penulisan artikel.

Sahabat saya ini mempunyai lebih 7 buah karya yang ditulis bersendirian dan berkumpulan dengan PTS. Beliau juga kolumnis di beberapa majalah. Selain itu beliau turut menulis buku ilmiah untuk universiti tempat beliau mengajar.

Syarikat penerbitan yang tadi itu memberitahu bahawa strategi mereka yang menggunakan model syarikat rakaman itu ada kebaikannya berbanding dengan cara PTS. Iaitu, mereka hanya memberi fokus kepada beberapa orang penulis terpilih sahaja dan bukan kepada ramai penulis macam PTS. Dengan cara ini mereka boleh mencetak (print run) buku penulis mereka dengan banyak dan sekali gus menjadikan buku-buku penulis laku keras dipasaran, seperti seorang artis. Mereka juga sudah mendapat lesen dari KDN untuk menerbitkan majalah. Penulis mereka akan diberi peluang untuk menulis dalam majalah mereka yang belum pasti bila akan diterbitkan. i.e. Majalah itu nanti kolumnya eksklusif untuk penulis mereka sahaja.

Sahabat saya ini seorang yang rajin menulis dan membuat kajian. Antara kajian beliau ialah tentang harta intelek dalam Islam, yang menjadi disertasi Master beliau. Oleh yang demikian, beliau mempunyai kesedaran dan maklumat yang banyak tentang kepentingan harta intelek ini. Atas ilmu yang ada juga, beliau dapat meneliti baik buruk daripada perjanjian penerbitan yang perlu beliau tandatangani. Sekurang-kurangnya harta beliau terpelihara dan beliau tidak dikongkong, diikat dan jauh sekali dizalimi, insya'Allah. Yang penting juga, beliau bebas menulis dan berkarya dengan sesiapa sahaja yang beliau inginkan.

Beberapa rakan saya yang lain yang juga dari aliran agama yang tidak begitu bernasib baik seperti beliau. Kebanyakan mereka tidak mempunyai banyak maklumat tentang dunia penerbitan, tetapi minat menulis. Atas kejujuran, keikhlasan, kenaifan dan kurangnya maklumat tentang dunia penerbitan menyebabkan mereka terperangkap dan sering juga tertindas. Namun mereka manusia yang sungguh baik dan sentiasa berbaik sangka, jauh sekali ingin berkonfrantasi. Mungkin kerana itu juga ada yang mengambil kesempatan atas mereka.

Saya tidak ingin mengulas tentang syarikat penerbitan tersebut mahupun bercerita panjang lebar tentang kisah di atas. Cuma sebagai seorang yang terlibat dalam dunia penerbitan, walaupun baru setahun jagung, saya beri tip-tip ringkas teman-teman yang ingin menjadi penulis (tidak semestinya menulis dengan PTS):

1. Baca... baca... baca... dan fahami kandungan perjanjian penerbitan. (Setiap muamalah perlu ada hitam putih.)
2. Pastikan harta intelek (karya) penulis tidak terjual dan penulis masih ada hak mutlak atas harta intelek mereka. Jangan sesekali jual harta intelek.
3. Mintalah penerbit atau sesiapa yang berpengalaman untuk memahami sebarang implikasi untung rugi daripada perjanjian penerbitan itu. Sebaik-baiknya mereka yang dalam industri penerbitan, kalau ada.
4. Fahami hak-hak kedua-dua pihak. Sama ada hak eksklusif perlesenan hak cipta atau sub perlesenan.
5. Last sekali, solat istikharah. Mohon petunjuk dan dipermudahkan segala urusan jika ia baik untuk agama, diri dunia dan akhirat, dan dijauhkan sekiranya sebaliknya. Setelah selesai segala usaha, berserah kepada Allah.

Mungkin nampak macam remeh, tetapi perlu ingat... karya kita adalah harta kita yang akan diwarisi oleh anak cucu. Wallahu'alam

No comments: