Saturday, February 9, 2008

Balik Kampung

Sekarang saya sedang berada di kampung isteri, di Selama, Perak. Menghabiskan cuti Tahun Baru Cina. Setiap cuti panjang, sekiranya ada kelapangan saya akan pulang ke Selama. Biasanya saya akan pulang ke Selama ini setiap dua atau tiga bulan sekali. Sekiranya tidak ada cuti panjang saya akan cuba untuk pulang pada cuti hujung minggu. Sekadar menziarahi dan menemani emak Dayah yang tinggal berseorangan (adik beradik Dayah berkerja dan belajar di luar Selama).

Di mana tempat menarik di Selama ini? Entahlah, sudah lebih enam tahun sejak saya mula menjejaki di bumi Selama ini, tetapi belum habis semua tempat, ceruk dan belukar saya teroka. Kecuali, pekan Selama yang kecil sedikit daripada pusat bandar Taman Melawati.

Daerah Selama ini jauh terperuk di hujung negeri Perak dan dibatasi oleh hutan rimba sebagai parameternya. Pusat bandar yang terdekat adalah Parit Buntar (Perak), Kulim (Kedah), Bagan Serai (Perak) dan Taiping (Perak). Semuanya mengambil masa lebih kurang 40 minit perjalanan dari Selama.

Namun, pekan Selama ini cukup segala kemudahan awam seperti sekolah rendah, sekolah menengah, masjid, hospital, balai polis, balai bomba, pusat kesihatan, pasaraya, kubur dan sebagainya. Cuma lapangan terbang sahaja yang tidak ada...

Di Selama kebanyakan warga muda berkerja di luar Selama, sama ada di bandar-bandar terdekat itu atau berhijrah ke bandar-bandar besar. Jadi kebanyakan warga Selama ini adalah warga veteran. Sekarang ini juga warga veteran sudah ramai yang berhijrah ke alam abadi... nun di 'batu dua' sana.

Arwah bapa mertua saya, Ustaz Haji Abdul Halim Mat, seorang guru agama yang disegani meninggal dunia setahun sebelum saya bernikah. Majlis pengkebumian dan solat jenazahnya di hadiri oleh hampir seluruh penduduk Selama dan luar, dari pelbagai latar belakang agama dan kaum.

Kira-kira dua tahun lepas rakan baik arwah iaitu Cikgu Mat Noh juga meninggal. Arwah cikgu Mat Noh ini banyak memperkenalkan dan mengajak saya bermasyarakat di sini. Tanpa kedua-dua mereka Masjid Selama semakin sunyi. Kebelakangan ini ramai lagi rakan-rakan saya yang veteran di Selama kembali kerahmatullah.

Kalau ditanya saya apa yang menarik di Selama, banyak juga yang saya hendak cerita. Selain daripada suasana yang lebih tenang, nyaman damai dan udara segar, yang pasti ialah kos kehidupan di sini jauh rendah berbanding di kampung tanah tumpah saya.... Kuala Lumpur.

Di sini saya masih boleh menikmati nasi lemak sebungkus atau roti canai dengan harga RM0.50, teh tarik RM0.50. Maggi goreng telur atau mee goreng mamak style RM2.00. Dan yang paling saya tidak lepaskan setiap kali pulang adalah saya dan anak-anak akan bergunting rambut. Kenapa? kerana harga atau upah gunting rambut ialah RM3.00 untuk dewasa, RM2.00 kanak-kanak manakala untuk gunting dan cukur ialah RM5.00. Diskaun hampir 70% daripada harga di KL.

Bezanya rasa hidup di kota dan di kampung. Saya dibesarkan di kota. Sebab itu sekali sekala pulang ke kampung saya akan manfaatkan sepenuhnya untuk berehat dan melupakan seketika urusan kerja. Udara segar dan ketenangan di kampung isteri dengan ditemani buku-buku, cukup untuk membuatkan saya sentiasa menanti masa lapang untuk pulang bercuti. Anak-anak?... mereka sudah tentu lebih teruja untuk berlari-lari bersama sepupunya di laman yang luas berbanding di Taman Permata yang sempit dan berpagar.

Memang jauh beza kedua-dua tempat tinggal ini. Namun setiap tempat ada kelebihan dan kekurangannya. Yang penting kita manfaatkan setiap kurniaan Tuhan, tidak lupa asal usul dan berpada-pada dengan cara hidup atau lifestyle kita. Bak kata jutawan Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari: "Lifestyle ini satu penyakit. Sekiranya tidak berhati-hati ia boleh merosakkan kita."

Wallahu'alam.

No comments: