Thursday, February 7, 2008

Macam pernah ku lihat... tetapi dimana ya?

sekadar berkongsi cerita...

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Agama/20080206222811/Article


PERSONALITI: BERDAKWAH MENERUSI TERBITAN BUKU AGAMA
Faris Hasbullah guna pendekatan psikologi hasilkan bahan bacaan mesra pembaca

Oleh : Hasliza Hassan, Berita Harian (Rencana)






BUKAN semua orang boleh berdakwah atau menjadi pendakwah walaupun mempunyai ilmu dalam bidang itu. Hakikat itu diakui Pengurus Penerbitan di PTS Islamika, PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, Faris Hasbullah yang memiliki ijazah pengkhususan dalam bidang dakwah.

Graduan Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu akur dengan kekurangan diri yang tidak petah berbicara untuk menyampaikan ceramah terutama di depan khalayak.

Namun, dakwah bukan hanya menyampaikan ilmu agama kepada orang lain kerana cabang dakwah begitu luas dan ini memungkinkan beliau melaksanakan tanggungjawab menyampaikan ilmu, tetapi dengan cara menguruskan penerbitan buku aliran agama.

"Saya berpegang kepada kata-kata Imam al-Ghazali, jika kita tidak boleh buat semua, jangan tinggalkan semua. Saya memang tidak pandai nak bercakap depan orang ramai, tetapi saya bersyukur kerana walaupun kecil, tetapi peranan saya masih dalam ruang lingkup berdakwah.

"Tugas saya menguruskan penerbitan buku agama membolehkan saya menyumbang kepada penyebaran ilmu mengenai Islam secara tidak langsung. Saya berbangga kerana dapat berperanan walaupun hanya di belakang tabir," katanya pada pertemuan di pejabatnya di Wangsa Melawati.

Berasal dari Ulu Klang, bapa kepada tiga cahaya mata itu ternyata gembira dengan tugas dilakukan dan ini dapat dilihat daripada kesungguhan beliau bercerita mengenai tanggungjawab Pengurus Penerbitan di syarikat yang semakin aktif mengembangkan sayapnya.

Bermula daripada sejarah penubuhan sehingga kepada perkembangan terkini berkaitan PTS Islamika, semuanya dalam tangan beliau yang sudah bersama syarikat penerbitan itu sejak ditubuhkan pada 2002.

Faris berkata, bukan mudah bagi beliau membina kerjaya dalam bidang itu kerana beliau tidak memiliki asas atau kemahiran dalam bidang penerbitan apatah lagi menghasilkan buku aliran agama dengan tujuan untuk dipasarkan. Bagaimanapun, berkat usaha yang tidak pernah kenal jemu dan sokongan daripada pihak pengurusan serta rakan sekumpulan, membantu beliau membina keyakinan untuk bersama mencapai matlamat syarikat memudahkan ilmu kepada masyarakat.

Katanya, dalam perjalanan merealisasikan aspirasi itu pastinya ada cabaran serta dugaan yang ditempuh di mana kemampuan mengatasinya menjadi proses pembelajaran yang akhirnya mematangkannya untuk terus menguruskan bahagian penerbitan buku aliran Islam.

"Tugas saya merangkumi semua daripada menguruskan jabatan, membangunkan manuskrip, menyusun jadual penerbitan, latihan untuk kakitangan serta penulis selain membuat penentuan kos. Ada kala, saya juga membaca manuskrip untuk memberi pandangan. "Jika dilihat memang jauh larinya kerana belajar mengenai ilmu dakwah, tetapi tugas sekarang menerbitkan buku.

Cabaran juga banyak kerana perlu fikir bagaimana hendak mengajak penulis menghasilkan buku agama yang mesra pembaca serta masyarakat," katanya. Beliau berkata, dalam keadaan masyarakat tidak mahu membaca atau berminat kepada buku agama, menjadi tanggungjawab penerbit menghasilkan buku yang dapat menarik perhatian dan memenuhi keperluan mereka.

Justeru katanya, sebagai kumpulan yang inginkan buku hasil terbitan mereka diterima baik masyarakat, jabatan penerbitan PTS Islamika perlu memikirkan kaedah berkesan dua dalam satu, berdakwah dan pada masa sama memastikan buku laris di pasaran.

Bagi tujuan itu, buku yang diterbitkan perlu memiliki ciri yang dekat di hati pembaca iaitu selain muka depan menarik, isi kandungannya juga memenuhi cita rasa dengan memberi apa yang diinginkan melalui bahasa mudah difahami.

Faris berkata, pihaknya sentiasa melakukan penyelidikan serta percambahan idea termasuk mencadangkan kepada penulis tajuk yang wajar diketengahkan supaya apa diberi nanti ialah apa yang diinginkan pembaca.

Katanya, memang ada yang tidak bersetuju pendekatan dibuat, tetapi berdasarkan sambutan diterima daripada buku diterbitkan, beliau yakin usaha mendekatkan ilmu kepada pembaca berjaya mencapai matlamat.

Antara pendekatan diguna pakai ialah menghasilkan buku agama dikhususkan kepada kumpulan yang tidak pernah membaca buku agama atau ingin membaca mengenai ilmu agama, tetapi bukan bahan yang berat.

"Kebanyakan buku kita menggunakan bahasa yang mudah dan tidak berbau Arab kerana ada yang tidak mahu baca buku agama kerana mereka tidak tahu bahasa Arab. Kita juga hasilkan buku yang lari daripada konsep buku agama yang ada di pasaran.

"Contohnya, orang tidak pernah pergi mengerjakan haji, kita terbitkan buku mengenai haji, tetapi bukan yang jenis ilmiah. Buku Travelog Haji yang secara tidak langsung turut mengajar pembaca cara menunaikan ibadat haji adalah kejayaan kita memberi apa yang dimahukan pembaca di luar sana.

"Tajuk juga penting kerana kita ada terbitkan buku mengenai taubat dengan judul Mendekati Tuhan. Buku itu turut mendapat sambutan kerana mungkin ada antara kita ingin bertaubat, tetapi tidak mahu niat itu nampak ketara apabila mereka dilihat memegang buku dengan judul Taubat.

"Begitu juga apabila kita hasilkan Biografi Muhammad bin Abdullah, ada yang memberi maklum balas kerana menganggap kita tidak menghormati Nabi Muhammad, tetapi buku itu mendapat perhatian daripada bukan Islam. Maknanya cara kita berjaya mendekatkan buku kepada masyarakat," katanya.

Katanya, beliau turut membaca serta mengkaji buku dihasilkan penulis bukan Islam dan mempelajari bagaimana mereka mendekatkan ilmu agama seperti menghasilkan Bible yang dekat kepada penganut Kristian.

Berpandukan kepada kaedah psikologi yang digunakan penulis Barat serta Indonesia untuk mempromosikan amalan agama melalui penerbitan buku, beliau yakin ia boleh dilaksanakan oleh penerbitan Islam.

Faris berkata, pengalaman menerajui jabatan penerbitan buku aliran agama memberi perspektif luas kepada beliau selain dapat menimba ilmu baru setiap hari daripada manuskrip yang dihantar penulis dalam pelbagai bidang. Malah, kesempatan bertemu dan berbincang dengan penulis terutama muka baru yang memiliki idea lebih segar adalah pengalaman berharga baginya yang kini sudah mula berjinak-jinak untuk bergelar penulis.

Seperkara lagi penemuan yang dirasakan penting untuk diketengahkan katanya ialah tanggapan bahawa rakyat Malaysia tidak suka membaca berasaskan kepada kajian menunjukkan rakyat negara ini hanya membaca satu buku setahun.

Sedangkan katanya, dilihat daripada industri penerbitan buku yang kian berkembang, kesimpulan boleh dibuat ialah rakyat Malaysia suka membaca serta sentiasa mencari bahan baru untuk santapan jiwa dan minda mereka.

"Saya rasa, perlu diadakan kajian baru bagi melihat tabiat membaca rakyat Malaysia kerana kajian yang mengatakan kononnya orang Malaysia tidak suka membaca ini mungkin dibuat sudah lama. Ketika itu juga, tidak banyak buku di pasaran.

"Keadaan sekarang berlainan kerana banyak pilihan buku dan rakyat kita juga semakin sedar kepentingan menimba ilmu. Saya lihat kepada pasaran buku, andaian yang boleh kita buat, masyarakat kita semakin menyukai buku," katanya.

PROFIL
· Nama: Faris Hasbullah
· Tarikh lahir: 11 Julai 1975
· Tempat lahir: Kuala Lumpur
· Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (pengkhususan bidang dakwah), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
· Isteri: Ruhana Hidayah Abd Halim, 29
· Anak: Haura', 6 - Marwan, 5 - Sameer, 1

6 comments:

Anonymous said...

fuiyoooo.

glamer gituk!

jangan lupe potong dan tampal dalam buku archives kite yek!

tahniah!

(psst, abg faris tuko le link blog saya tu ek)

Zamri Mohamad said...

Hehehheeh hehehe.. Lepas 10 tahun PTS boleh bukukkan semua achievement ala-ala buku The Oracel Edge...

Rislah said...

Caza, saya pun dah lupa mana pergi keratan akhbar tu... malu lak keluar besar sangat.

Tuan Zamri, idea yang menarik. Boleh buat album achievement PTS keseluruhan.

Norlela Zubir said...

Assalamualaikum,
Beberapa kali bertemu di bengkel tetapi jarang dapat bercakap dengan tuan. Melalui akhbar 7 Feb lalu barulah saya berpeluang mengenali tuan. InsyaAllah saya akan selalu ke blog ini. Salam.

Anonymous said...

Assalamualaikum Tuan Faris,

Saya mencari-cari untuk membeli surat khabar berkenaan selepas mendapat maklumat di UNIKA tetapi tidak berjaya.

Terkejut juga apabila membaca kata-kata Tuan di dalam akhbar itu, iaitu "Jika tidak boleh buat semua, jangan ditinggalkan semua" saya juga mengaplikasikan dalam hidup selepas belajar dari buku Iman Ghazali itu.

Kata-kata tuan dalam akhbar itu adalah pendedahan utama dalam berdakwah.

Zamri Mohamad said...

Tuan Farish kita boleh mulakan dengan menjadikan PTS.com.my sebagai tempat arkib. Scan semua berita hahahaha! dan pautkan semua blog pekerjanya... Hahahahah