Saturday, November 15, 2008

Maaf Zahir Batin

Hari ini adalah hari terakhir saya di Taman Permata untuk tahun 2008.

Esok saya akan berada di Selama, Perak. Transit dan persiapan saat-saat akhir sebelum melapor diri di Kompleks Haji Bayan Lepas, Pulau Pinang pada lewat malam 18 November.

Esoknya, awal-awal pagi, insya'Allah saya, isteri, kakak ipar dan makcik akan berangkat ke tanah suci Mekah untuk menjadi tetamu Allah.

Kak Yong, Abang Chor dan Sameer, akan kami tinggalkan bersama Tok dan sepupu-sepupu mereka di Selama.

Kepada rakan-rakan, teman, tetamu dan pengunjung Taman Permata, terima kasih kerana melawat blog ini. Saya mohon ampun maaf zahir batin, sekiranya ada sebarang salah silap, terkasar bahasa, terlajak bicara, terguris rasa dan sebagainya sama ada yang disengajakan atau tidak sengaja.

Doakan kami sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah, dipermudahkan segalah urusan ibadah, diberikan keikhlasan dan kesabaran dalam menghadapi apa jua dugaan dan akhir sekali dikurniakan Haji mabrur.. yang balasannya syurga dari Allah.

Insya'Allah, saya akan pulang kembali ketanah air dalam awal bulan Januari.

Jazakumullahu khairan khatira. (semoga tuan-tuan semua dikurniakan sebaik-baik balasan dari Allah).

Wa'alaikumussalam.

Tuesday, November 11, 2008

Anak oh! anak

Prof Kamil menjadi tetamu Allah dengan meninggalkan anak yang kecil berusia 3 tahun. Tuan Ridzuan meninggalkan anak yang berusia 5 bulan. Ustaz Rashid (biras), meniggalkan anak yang berusia hampir 2 tahun.

Ketika arwah abah mertua pertama kali ke Mekah, adik Liyana berusia 7 bulan. Emak pula pergi Haji ketika adik bongsu (Faried) berusia hampir setahun (Ayah mengerjakan Haji ketika belajar dan tinggal di Mekah).

Kebanyakkan mereka meninggalkan anak kecil yang masih menyusu badan.

Semalam, seorang teman memberitahu, dua tahun lepas dia ke Mekah bersendirian. Isterinya tidak turut serta kerana tidak sanggup meninggalkan anak kecil yang berusia 10 bulan yang masih menyusu badan.

Seorang saudara dekat, juga tidak dapat menyertai jemaah kami tahun ini, kerana suaminya tidak benarkan. Si suami tidak sanggup menjaga dua anak kecil yang menyusu badan.

Beberapa rakan memberitahu, insya'Allah dia akan pergi Mekah apabila anak-anak sudah besar. Apabila sudah bersekolah dan berdikari.

Benarlah, anak itu satu dugaan, terutama untuk si Ibu. Semakin kami menghampiri hari keberangkatan, anak-anak semakin manja, terutama si Sameer yang genap 2 tahun usianya awal bulan Disember ini.

"Ya Allah, peliharalah anak-anak kami, jadikanlah mereka anak-anak yang baik, sihat dan cergas. Janganlah mereka berasa rindu kepada kami dan janganlah kami berasa rindu kepada mereka. Tetapkanlah hati kami agar sentiasa mengingati Mu sepanjang kami mengerjakan ibadah haji ini..."
Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga). (Ali-Imran: 14)
Wallahu'alam

Sunday, November 9, 2008

Hadiah Istimewa

Baru-baru ini kami mendapat surat dari taska Kak Yong dan Abang Chor.

Surat dari Guru Besar yang menjemput kami ke majlis penyampaian hadiah dan sijil akhir tahun, untuk seluruh cawangan Taska Amal.

Surat tersebut berbunyi lebih kurang;

"Tuan/puan dijemput untuk menghadiri Majlis Ihtifal Taska Amal di Dewan Aditorium Masjid Wilayah pada.... bagi anak Tuan/puan...
1) Haura' binti Faris,
2) Marwan bin Faris,
... yang akan menerima hadiah Pelajar Terbaik Perempuan (Tahap 2) dan Pelajar Lelaki Terbaik (Tahap 1)....".

Alhamdulillah. Surat yang cukup menggembirakan.

Walaupun hanya majlis 'konvokesyen' taska, namun saya dan Hidayah cukup gembira. Kami adalah ibu bapa muda. Ini adalah konvokesyen pertama kami. Permulaan untuk jalan yang jauh.

Segala puji bagi Allah.

Buat Kak Yong dan Abang Chor, ini adalah hadiah yang cukup istimewa untuk Mama dan Baba sebelum kami berangkat. Semoga menjadi anak-anak yang berjaya di dunia dan akhirat.

Friday, November 7, 2008

Doa untuk Mama dan Baba

Malam tadi selepas solat berjemaah sekeluarga, selepas habis berdoa sambil memangku Sameer, saya melihat Kak Yong masih lagi berdoa.

Hidayah bertanya: "Kak Yong doa minta apa daripada Allah?"

Sambil tersenyum malu, Kak Yong menjawab: "Kak Yong minta kepada Allah: 'Ya Allah, jagalah Mama dan Baba Kak Yong..."

Jawapan yang membuatkan kami yang mendengar terasa syahdu. Terima kasih Kak Yong. Doakanlah juga agar Mama, Baba, Kak Yong, Abang Chor dan Sameer juga sentiasa dipelihari Allah.

Thursday, November 6, 2008

Kira Hari

Saya sedang menghitung hari.

Tiket penerbangan baru diterima, lewat daripada orang lain. Jadual pergi dan balik.

Pemeriksaan kesihatan dan segala macam jenis vaksin sudah disuntik.

Pakaian sudah tersedia.

Pelbagai kitab, buku rujukan, nota, laman web, sudah dilayari... (entah melekat dalam kepala entah tidak..)

Kak Yong dan Abang Chor semakin seronok sebab tidak perlu ke sekolah tadika dan nursery.

Sameer... masih tidak mengerti. Tetapi, dia semakin manja dan semakin cepat merajuk. Ada firasat mungkin.

Mental dan fizikal saya... seram sejuk.

Rohani?.. ah.. semakin seram dan semakin sejuk..

Saya menghitung hari dalam seram, sejuk dan debaran.

Ya Allah permudahkanlah segalanya.

Tuesday, October 21, 2008

Ujian untuk yang ikhlas

Dua hari lepas Dato Abu Hassan Din al-Hafiz berceramah tentang dugaan yang dihadapi oleh tetamu Allah. Beliau bercerita tentang bagaimana Allah menguji kawan beliau yang suka bersedekah ketika di tanah air dan di Mekah. Beliau bercerita:
Ketika dalam perjalanan ke Masjidil Haram, si hamba Allah (kawan penceramah) ini didatangi oleh seorang lelaki yang meminta sedekah. Lelaki itu berbadan sihat, tidak kelihatan seperti seorang yang susah mahupun cacat anggota. Rupanya kelihatan seperti berbangsa Arab. Dia tidak berkata apa-apa kecuali hanya membuat isyarat hendak makan dengan tangannya.

Tanpa bersoal jawab, si hamba Allah mengeluarkan 10 Riyal dari poketnya dan menyerahkan kepada lelaki itu. Lelaki itu terus meninggalkan si hamba Allah. Dia tidak berkata sepatah walaupun isyarat terima kasih.

Selang beberapa jam kemudian, si hamba Allah terserempak lagi dengan lelaki yang sama itu. Lelaki itu datang dan meminta sedekah lagi. Si hamba Allah ini, tidak bersoal jawab, mengeluarkan duit 10 Riyal dan menyerahkan kepada lelaki peminta sedekah. Seperti tadi juga, sebaik mendapat duit, lelaki itu terus meninggalkan si hamba Allah, tanpa sebarang bicara ataupun isyarat ucapan terima kasih.

Si hamba Allah ini tidak berkecil hati. Dia langsung terlupa tentang lelaki itu. Beberapa ketika kemudian, dalam perjalan pulang ke hotel, si hamba Allah terserempak dengan lelaki yang sama, untuk kali ke tiga pada hari yang sama. Lelaki juga itu meminta sedekah lagi.

Si hamba Allah ini menyeluk poketnya, namun dia sudah kehabisan duit. Kata dia kepada lelaki itu dalam bahasa Melayu: "Saudara, minta maaf. Duit saya sudah habis. Mahukah saudara mengikut saya ke hotel? Saya hendak ambil duit dan berikan kepada saudara."

Dia tidak pasti sama ada lelaki itu faham atau tidak. Namun, lelaki itu mengikut si hamba Allah menuju ke hotel.

Apabila sampai di hotel, dia berkata lagi kepada lelaki itu: "Saudara, saya hendak naik ke bilik saya. Saudara tidak perlu ikut saya. Biar saya ambil duit. Nanti saya turun ke bawah berikan kepada saudara"

Lelaki itu memandang ke wajah si hamba Allah dan mengangguk. Dia seolah-olah faham dan percaya kepada si hamba Allah.

Si hamba Allah kemudian naik ke tingkat tiga untuk ke biliknya. Sebaik sampai ke pintu biliknya, alangkah terperanjat si hamba Allah, apabila melihat lelaki peminta sedekah itu tercegat di hadapan pintu bilik.

Si hamba Allah berasa hairan. Dia bertanya: "Bagaimanakah saudara boleh berada di hadapan bilik saya? Bukankah tadi saudara duduk di lobi hotel? Siapakah saudara ini?."

Belum sempat dia bertanya lanjut, lelaki itu berkata... (dalam bahasa Melayu yang fasih!) : "Saudara jangan takut. Saya bukan berkehendakan duit saudara. Saya sebenarnya hanya ingin menguji keikhlasan saudara. Saudara adalaha seorang yang suka bersedekah. Saya ingin menguji adakah sedekah saudara itu ikhlas atau bersyarat. Ambillah semula duit saudara ini semua. Saya pulangkan kembali."

Si hamba Allah terpaku, senyap tidak berkata apa-apa sebaik mendengar kata-kata lelaki itu. Seperti dipukau, si hamba Allah menyambut duit yang dihulurkan itu. Dan... lebih membuatkan si hamba Allah terperanjat, sebaik dia menyambut duit yang dihulurkan, lelaki itu tiba-tiba ghaib dari pandangan.
Kata Dato' Abu Hassan Din: "Tuan-tuan fikirlah siapakah lelaki itu. Di tanah suci Mekah, segala perkara pelik bukanlah suatu yang mustahil. Itu semua sebahagian daripada ujian Allah untuk hambanya. Adakah hambanya memang benar-benar seorang yang ikhlas ketika menderma ketika di tanah air atau sebaliknya. Kerana, di Mekah, kita akan tahu siapa diri kita yang sebenarnya... "

Meremang juga bulu roma saya mendengar cerita-cerita bagaimana Allah menguji hambanya ini. Kata Dato' Abu Hassan lagi: "Di Mekah, setiap perkara adalah ujian Allah untuk kita. Hatta ditipu oleh pak Arab juga adalah ujian. Kunci kejayaannya adalah: Sabar dan Ikhlas"

Aduh!... senang diucap, tetapi sukar dilaksanakan. Saya belum pernah diuji sedemikian, jadi saya tidak tahu dimanakah tahap kesabaran saya.

Saya juga tidak pasti sama ada saya cukup ikhlas, terutama apabila bersedekah, seperti yang termaktub dalam Quran ini:
“Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih." (Surah Al-Insaan, Ayat 9)

Ya Allah kurniakan diri ini sifat sabar dalam menghadapi segalau ujian mu. Berikanlah keikhlasan di hati ini dalam apa jua perkara yang dilakukan... Aminn.

Wallahu'alam

Thursday, October 16, 2008

Takziah

Takziah buat seorang sahabat atas pemergian ruh ayahandanya ke rahmatullah pagi semalam pada 10:45 pagi, 15 Oktober 2008 di Serdang, Selangor

Semoga saudara Azril Hj. Mohd Amin dan keluarga dikurniakan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi dugaan Allah.

Saya doakan agar ruh almarhum Hj Mohd Amin, yang sentiasa aktif dengan kerja-kerja dakwah khususnya di daerah Gombak, sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama ruh para ulama', shuyada' dan nabi-nabi kekasih Allah.

Saudara Azril adalah teman seangkatan ketika di UIA '99. Beliau merupakan seorang peguam, Naib Presiden Antarabangsa ABIM dan juga Pengerusi Islamic Outreach ABIM (badan dakwah saudara baru). Beliau juga aktif bersama Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dalam menangani isu-isu mempertahankan kesucian agama Islam seperti kes IFC, murtad dan sebagainya.

Gambar di bawah ini disalin di sini

Wednesday, October 15, 2008

Minyak dan air

Saya teringat kata-kata seorang teman baru-baru ini. Ketika bersembang kosong, bercerita tentang bisnes, politik dan sebagainya, beliau berfalsafah tentang aktiviti baik dan buruk:

"Minyak dengan air tidak akan bercampur dalam satu gelas. Walau secantik mana sekali pun gelas yang menakung itu, walau sebersih mana pun minyak dan air itu ia tetap tidak akan bercampur. Jika diberi minum kepada orang yang sedang dahaga amat, dengan niat yang cukup baik melegakan dahaganya, ia tetap tidak menjadi air sepenuhnya.. ia adalah minyak dan air. Sebab, minyak dan air tidak boleh bercampur, walau dengan niat yang baik."

Kata saya: "Seingat saya ketika belajar di sekolah dahulu, bukankah kita boleh mencampurkan air dengan minyak menggunakan bahan pengimulsi? Sebagai contoh kuning telur." hehehe.. terasa macam bincang soalan SRP pula.

"Betul kata awak Ris. Tetapi, awak perlu ingat, pengimulsi itu tugasnya adalah bagi menstabilkan antara muka di antara titisan-titisan kecil minyak atau air yang ada dalam ampaian. Minyak itu masih ada, tetapi dalam bentuk titisan yang lebih kecil. Ia tidak bersatu dengan air."

Huh.. entahlahh. Bab ini saya tidak ada hujah. Saya bukan orang sains. Sudah lebih 20 tahun saya meninggalkan mata pelajaran sains ini. Mata pelajaran yang sekadar mendapat kredit untuk mencantikkan lagi sijil peperiksaan sekolah.

Oleh itu saya lebih selesa mendiamkan diri, membiarkan dia terus berfalsafah panjang. Sesekali fikiran ini menerawang jauh, berfikir dan ter-mengelamun, sambil menghirup milo panas kurang manis yang masih bersisa.

Sememangnya saya memang malas berdebat atau yang sewaktu dengannya. Saya lebih suka mendiamkan diri, menyimpan butir-butir bicara sang rakan itu ke dalam kotak fikiran. Setuju atau tidak itu fasa lain, fasa penilaian. Tidak rugi menjadi pendengar.

Perbincangan kami berakhir dengan satu lagi konklusi beliau. Kata-kata yang mirip bicara seorang tokoh bisnes perbukuan dari Indonesia dalam satu wacana ilmiah di UIA lebih lima tahun dahulu.

Katanya : "Ramai orang bisnes dan politik sukar masuk syurga walaupun aktiviti mereka dalam parameter yang diharuskan oleh syariah. Antara sebabnya kerana mereka tidak buat apa yang mereka kata. Depan orang kata lain, belakang kata lain, buat perkara lain."

Seperti mana amaran Allah dalam Quran:
"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (Surah As-Saff, Ayat 2-3)

wallahu'alam

foto hiasan disalin di sini

Thursday, October 9, 2008

Doa

Antara doa agar dikurniakan hidayah yang biasa saya baca adalah doa selepas solat sunat Isyraq atau doa di pagi hari selepas tenggelamnya waktu subuh (syuruq):

"Ya Allah, kami memohon kepadamu agar dikurniakan kebaikan hari ini dan jauhikan kami dari kejahatan hari ini. Ya Allah, sinarilah hati-hati kami dengan cahaya hidayah mu, seperti mana engkau menyinari bumi ini dengan cahaya mentari mu" ... Amin.

Cuma, dahulunya, ketika zaman bujang, sebelum berkahwin.. sambil membaca doa ini, sambil saya terbayang Hidayah yang satu itu..

Kata emak, itu penyakit angau tahap parah!... hehehe.

Wednesday, October 8, 2008

Hidayah

Insya'Allah bulan hadapan saya akan bermusafir seketika. Sebelum itu, saya ingin berguru. Menambah ilmu dan menumpang barakah guru. Sedang saya tercari-cari, bertanya sana dan sini... tiba-tiba petang semalam saya mendapat panggilan dari seseorang yang sudi berkongsi ilmu dan pengalaman. Nun jauh dari ceruk negeri Johor. Alhamdulillah.

Seorang yang saya kenali, rapat tetapi jauh. Seorang guru dan cendiakawan. Seorang yang sudah terlebih dahulu berkelana dan bermusafir, melangkaui sempadan iman. Seorang yang merasai kurniaan nikmat cahaya petunjuk Allah dan tidak jemu berkongsi serta melebarkan jalur-jalur cahaya itu keseluruh pelusuk alam.

Saya khabarkan hasrat hati kepada beliau. Kata beliau, saya sudah ada ilmu, bertuah, sekurang-kurangnya ilmu asas. Itu satu kelebihan sebagai bekalan untuk bermusafir. Saya jawab, ilmu saya tidak diamalkan, sudah kusam dan berkeladak. Ilmu saya tersimpan kemas dalam timbunan buku-buku di rak.

Bak kata pepatah Arab :
"Ilmu yang tidak diamalkan ibarat pohon yang tidak berbuah"
Saya perlu berguru lagi. Kata saya kepada beliau, ilmu satu perkara, hidayah Allah satu perkara yang lain.

Ilmu boleh di pelajari, tetapi hidayah Allah adalah kurniaan Dia yang maha esa. Untuk hamba-hambanya yang benar-benar terpilih dan berusaha mencarinya. Kata Allah dalam Quran:

"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam." (An An'am: 125)
Saya nekad untuk bertemu beliau, berguru seketika. Menumpang sejalur cahaya dan barakah Hidayah Allah. Kalau berkesempatan berlari, meluncur ke 'pondoknya' di ceruk sana... saya cuba ikhtiarkan.

Memang sekarang ini saya sudah ada Hidayah, tetapi itu adalah puan Ruhana Hidayah binti Abdul Halim, kekasih hati saya.

"Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau gelincirkan hati-hati kami selepas Engkau memberi kami petunjuk dan kurniakan kami dari sisi-Mu rahmat. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi." (Ali Imran: 8)
Kemana saya akan bermusafir?... Nanti apabila sudah tiba sah masanya, saya akan bermusafir, saya akan bercerita.

Wallahu'alam

Tuesday, October 7, 2008

Resah

Seorang teman pernah bertanya: "Macam mana hendak tahu sesuatu perkara yang kita buat itu tidak baik atau berdosa. Terutama sesuatu perkara yang samar-samar dan kita tidak tahu hukumnya."

Entahlah.. saya bukan pakar agama. Cuma saya nukilkan kata-kata nasihat ini yang pernah diucapkan kepada saya suatu masa dulu (maaf, sehingga saat ini saya masih cuba mengingati siapa yang berkata ini) :
"Untuk mengetahui adakah sesuatu yang kita lakukan itu bertentangan dengan norma yang baik adalah apabila kita lakukan, hati berasa resah, tidak senang dan tenteram, atau malu apabila dilihat atau diketahui orang lain."

Juga, kata-kata Rasulullah ini yang dilaporkan oleh al-Nawwas bin Sam’aan:

"Kebaikan itu adalah pada akhlak yang elok. Manakala dosa kejahatan pula adalah apa yang mendatangkan perasaan resah pada dirimu dan engkau tidak suka manusia lain melihat atau mengetahuinya.” [Hadith direkodkan oleh Muslim]

Wallahu'alam

Friday, September 26, 2008

Salam Aidilfitri

Salam Aidilfitri buat semua teman, penulis, pelawat, rakan seperjuangan (dan yang pernah seperjuangan), guru-guru, classmates, skuad 1/1994 (RAW 502), sekampung, sepermainan, sekapal, serumah dan se-se yang lain. 

Ampun maaf, zahir batin, sekiranya ada sebarang tutur kata, gurau senda, nukilan maya dan sebagainya yang mungkin menyinggung perasaan.

Semoga aidilfitri kali ini lebih berbahagia, bergembira dan berbarakah. 

Buat teman-teman yang pulang ke kampung, semoga perjalan anda sentiasa dipermudahkan dan dilindungi Allah..

Saya akan pulang ke kampung isteri insya'Allah pada hari raya pertama. Selepas solat Zuhur. Aidilfitri kali ini sepatutnya giliran beraya di kampung isteri di Selama, namun kami adik beradik berpakat (dengan persetujuan 'spouse' masing-masing) untuk beraya bersama Ayah di KL yang masih kurang sihat. Sekadar menggembirakan ayahanda di pagi raya, sebelum semua berangkat ke kampung mertua masing-masing.

Jutaan terima kasih kepada isteri tersayang dan keluarga mertua yang amat memahami dan berkorban. Ampung maaf dan Jazakumullahu khairan kathira. Sebagai upah, saya akan beraya lama sedikit di Selama, sehingga raya ke lima. 

Wallahu'alam.

Salam Aidilfitri dari warga kerja PTS

Thursday, September 25, 2008

Dapat Bonus

Setiap tahun Ramadan sentiasa dinanti-nantikan.

Selain daripada seribu satu kemeriahan dan keberkatan bulan ini, yang paling dinanti-nantikan adalah bonus daripada majikan.

Minggu lepas staf PTS dapat bonus. Semalam kakitangan kerajaan pula mendapat bonus.

Segala pujian bagi Allah, dengan bonus ini dapat menampung sedikit perbelajaan yang sentiasa terlebih bagi menyambut hari lebaran. Belanja baju raya, bahan membuat (dan membeli) kuih, hiasan rumah, servis kereta, perbelajaan balik kampung dan juga duit raya untuk tetamu kecil yang bertandang.

Selain itu semua, bagi yang berjimat cermat, bonus juga adalah untuk tabungan masa hadapan, anak-anak dan untuk pergi menunaikan fardhu haji esok-esok nanti.

Secara purata, rata-rata majikan (termasuk kerajaan) memberikan bonus satu bulan gaji. Ada majikan yang memberikan separuh sebelum raya dan separuh lagi selepas raya. Ada juga yang memberikan sekaligus sebelum raya. Walau apa pun ia sudah cukup menyeronokkan. Apatah lagi sekiranya bonus itu dua atau tiga bulan gaji, pasti lebih meriah dan mewah hari lebarannya.

Sedangkan bonus setengah bulan, sebulan atau dua tiga bulan, sudah cukup menggembirakan, bayangkalah pula jika ada majikan yang menjanjikan bonus 1000 bulan. Ianya bersamaan 83 tahun bekerja. Satu tempoh kemewahan yang tidak terbayangkan. Namun, inilah ganjaran untuk staf yang berkerja keras dan bersungguh-sungguh menunaikan amanah majikan.

Bonus ini memberikan lebih daripada kemewahan yang mampu diimpikan oleh setiap staf. Bonus ini juga disertakan dengan polisi insurans hayat, yang melindungi dari sebarang bencana dan kecelakaan yang maha dahsyat yang menunggu setiap staf.

Bonus ini adalah bekalan untuk perjalanan pulang ke kampung. Perjalanan yang tidak akan kembali lagi. Perjalanan yang pasti menanti dan selalunya dilupakan.

Lebih menarik lagi, bonus ini disampaikan oleh wakil tertinggi majikan dan rombongannya. Wakil yang bernama Jibril ini hanya turun pada dua keadaan sahaja. Pertama (dan terakhir) adalah untuk menyampaikan amanat kepada kekasih majikan ini lebih 1400 tahun dahulu. Dan selepas itu, wakil ini hanya turun sekali pada malam Ramadan setiap tahun. Juga untuk menyampaikan bonus kepada staf terpilih.

Masih ada 5 malam lagi sebelum Ramadan melabuhkan tirainya. Masih ada 5 malam lagi untuk menunggu kedatangan tetamu istimewa ini. Masih ada 5 malam lagi untuk setiap staf mengaut seberapa banyak bonus dari majikan yang maha agung. Bekalan untuk perjalanan pulang ke kampung abadi yang entah bila kita akan bertolak. Cuma, apabila sampai masanya, ia tidak akan lewat atau awal walau sesaat.
Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya (ajal), tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan. (Surah Al-A’raaf, Ayat 34)
Wallahu'alam

Wednesday, September 24, 2008

Tanda Lailatul Qadar?

"Ris, aku rasa malam tadi Lailatul Qadar. Sebabnya, pagi ini langit nampak cerah tetapi sinaran matahari tidak terik. Malam tadi pun rasa tenang sahaja, tidak panas dan tidak sejuk." Kata seorang kawan.

Saya hanya tersenyum dan menjawab :"Wallahu'alam"... noktah.

Mungkin benar kata-kata dia itu. Sebabnya, dalam satu hadis yang dilaporkan oleh Ubai bin Kaab, Rasulullah (selawat dan salam) ada berkata tentang tanda Lailatul Qadar ini:

"Rasulullah (selawat dan salam) mengkhabarkan kepada kami : sesungguhnya malam lailatul qadar itu ialah satu malam yang paginya matahari terbit dengan tidak bersinar (teduh dan putih cerah)." - (Hadis direkodkan oleh Imam Tirmizi).

Para sarjana Islam juga ada yang menerangkan tentang tanda kedatangan lailatul qadar, malamnya sunyi sepi, penuh ketenangan dan bercahaya. Suasananya segar tidak panas dan tidak pula sejuk, tetapi sederhana. Keadaan ini berterusan sehingga terbit fajar.

Ketika zaman sekolah dulu, seorang senior saya pernah memberitahu, beliau ternampak pokok di belakang asrama seolah-olah sujud dan rebah ke bumi ketika hendak bangun untuk qiamulail.

Sehingga hari ini, apabila berjumpa, dia pasti bermati-matian mempertahankan ceritanya dan menafikan sebarang unsur hikayat dongeng atau imaginasi beliau.

Akibat dari cerita senior tersebut, sepanjang kehidupan di asrama, setiap malam Ramadan, saya dan kawan-kawan pasti akan jenguk pokok-pokok diluar, melihat sama ada terdapat pokok yang sujud atau tidak. Adakalanya, kami bangun tengah malam semata-mata untuk menjenguk di tingkap, melihat pokok, sebelum menyambung semula tidur!

Selain daripada cerita itu, ada juga senior yang menokok tambah dengan mengatakan, apabila datang lailatul qadar, air akan keras membeku. Arakian, ramailah juga 'kanak-kanak freshie' yang percaya dengan cerita abang-abang senior itu membiarkan air paip terbuka ditengah malam sebelum tidur. Manalah tahu kalau-kalau terjaga tengah malam nampak ia membeku.

Mungkin ada banyak lagi cerita dan tanda-tanda mereka yang pernah melalui malam lailatul qadar ini. Ada yang benar menemuinya dan ada yang tidak lebih daripada sebuah hikayat penyedap cerita.

Antara tanda-tanda lain yang dikatakan tanda lailatul qadar ini adalah:

- Ada yang melihat cahaya yang terang benderang di segenap tempat hingga di segala ceruk yang gelap gelita.

- Ada pula yang berkata ia mendengar ucapan salam dari Malaikat.

- Ada pula yang berkata doa permohonannya makbul.


Kita boleh percaya dengan tanda-tanda ini sekiranya kita mahu. Namun saya lebih tertarik dengan kata-kata Ustaz Zawawi Jusoh dalam siaran Ikim.fm, pagi kelmarin. Kata beliau:
"Kita jangan fokus sangat pada tanda-tanda ini. Kerana, khuatir, apabila kita merasakan atau melihat tanda-tanda menunjukkan lailatul qadar sudah berlalu, kita cenderung mengurangkan ibadah yang kita buat sebelum 'berjumpa' lailatul qadar ini. Teruskan ibadah seperti biasa sehingga ke akhir Ramadan."
Ini adalah nasihat yang terkena di batang hidung saya. Kadang-kala, kita terlupa, malam lailatul qadar ini adalah sebahagian daripada rahsia Allah.

Alllah merahsiakan kedatangan tetamu dari langit ini kerana mahu hambanya sentiasa bersungguh-sungguh dan jangan berputus asa mencari bonus ini. Ini adakah sebahagian dariapda kasih sayang Allah untuk hambanya. Dapat atau tidak, diakhirat nanti kita akan tahu.
>

Seorang sahabat Rasulullah, Jabir, melaporkan kata-kata Rasulullah (selawat dan salam):

"Apabila akhir malam Ramadan menjelang tiba, tujuh petala langit, tujuh petala bumi dan para malaikat menangis kerana apabila berlalunya Ramadhan maka berlalulah juga fadhilatnya. Ini merupakan musibah bagi umatku".

Sahabat-sahabat lain bertanya: "Apakah musibah itu, wahai Rasulullah?".

Jawab Rasulullah (selawat dan salam): "Dalam bulan itu segala doa dijawab Allah (mustajab), sedekah diterima (makbul), segala kebajikan digandakan pahalanya dan seksaan kubur terkecuali. Maka apakah musibah yang lebih besar apabila semuanya itu sudah berlalu?"


Wallahu'alam

Friday, September 19, 2008

Tetamu dari langit

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Lailatul-Qadar,

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul-Qadar itu?

Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Qur’an, Al-Qadr 97: 1-5)


Rasulullah (selawat dan salam kepadanya) berpesan:

"Carilah Lailatul Qadar pada (bilangan) ganjil dari sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan." (Direkodkan oleh al-Bukhari, Muslim dll)

Juga peringatan Allah dalam al-Quran:

"Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul" (Ad-Dukhan : 4-5)

Berkata seorang sahabat Rasulullah Ibn Abbas:

“Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki”

Pesan Rasulullah (salawat dan salam kepadanya) lagi:

“Sesiapa yang beribadat walau sesaat pada malam al-Qadar, kira-kira selama seorang penggembala memerah susu kambingnya, maka Allah lebih menyukainya daripada berpuasa setahun penuh. Demi Allah yang mengutus saya dengan hak menjadi nabi, sesungguhnya membaca satu ayat dari al-Quran pada malam Qadar adalah lebih disukai Allah daripada mengkhatamkannya pada malam-malam yang lain.

(Saya tidak pasti siapa yang merekod hadis yang ini... maaf)

---


Malam ini adalah malam 20 Ramadan. Bermulanya 10 malam terakhir Ramadan. Malam yang ditunggu-tunggu buat perindu tetamu dari langit ini. Malam yang dijanjikan Allah kehebatannya lebih baik daripada 1000 bulan.

Malam di mana tetamu dari langit ini turun ke bumi dan memberi salam, mengaminkan doa mereka yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir dan memohon ampun untuk mereka kecuali empat kelompok manusia iaitu : Peminum arak, individu yang menderhaka kepada ibu bapa, individu yang memutuskan siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.

"Selamat datang wahai malam yang penuh barakah. Selamat datang wahai tetamu-tetamu dari langit. Ya Allah, berikanlah keberkatan malam yang engkau janjikan ini kepada-ku... berikanlah aku kekuatan untuk menghidupkan malam al-Qadar ini..."

“... Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana” (Surah Al-Baqarah 2:32)

wallahu'alam

Wednesday, September 17, 2008

Pesan Tok Guru

Baru-baru ini, di surau, tetamu istimewa adalah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pesan Tok Guru, jangan kita sebut bulan puasa. Sekiranya kita sebut bulan puasa, maka tugas kita hanyalah puasa dan cukup dengan itu sahaja. Sedangkan sekiranya disebut bulan Ramadan, maka banyak tugas dan perkara yang perlu dibuat selain daripada puasa. 

Dalam bulan Ramadan, Rasulullah berpuasa, membaca Quran, berdoa, memohon ampun, solat sunat sunat dan macam-macam lagi ibadat yang lain. Semata-mata mengharapkan rahmat dan ampunan Allah. 

Sedangkan Rasulullah yang maksum tidak henti-henti memohon rahmat dan ampunan Allah, kenapa kita yang cetek dan nipis imannya ini kurang meminta ampun daripada Allah.

Bulan Ramadan adalah satu-satunya bulan daripada 12 bulan Islam yang Allah sebut dalam Quran. Rasulullah juga tidak menyambut bulan-bulan lain seperti mana beliau menyambut Ramadan. Menyambut kehadiran tetamu yang begitu istimewa.

Bulan Ramadan adalah hadiah Allah untuk hambanya supaya membersihkan diri jasmani dan rohani, sekaligus mengaut seberapa banyak rahmat dan kurniaanNya sebagai bekalan untuk kehidupan yang lebih kekal abadi.

Bulan Ramadan adalah pesta ibadah. Pesta mengaut seberapa banyak peluang menyimpan saham untuk negeri Akhirat. Juga pesta untuk memberi makanan rohani kepada ruh kita.

Kata Rasulullah:
"Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui kelebihan yang ada pada Ramadan, pasti umatku mengharapkan tahun seluruhnya menjadi Ramadan" (Direkodkan oleh Ibnu Khuzaimah)
Jika setiap malam di bulan-bulan lain Rasulullah bangun malam mengabdikan dirinya kepada Allah, maka sepanjang bulan Ramadan beliau melipat gandakan ibadah malamnya. Semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah.

Abu Hurairah melaporkan kata-kata Rasulullah: 
"Tuhan kami (Allah) Tabaraka wa Ta‘ala pada setiap malam turun ke langit dunia, yakni pada baki terakhir satu pertiga malam. Maka Allah berkata: 'Siapakah yang sedang berdoa kepada aku supaya dapat aku menjawabnya dan siapakah yang sedang meminta daripada aku supaya aku dapat mengabulkannya dan siapakah yang sedang meminta ampun daripada aku supaya dapat aku ampuni dia ?” (direkodkan oleh Bukhari)  

Wallahu'alam

Monday, September 15, 2008

Pertengahan Semester

Hari ini 15 Ramadan. Semester ke dua pengajian di Universiti Ramadan sesi 1429.

Semester pertama sudah berlalu. Tidak pasti sama ada semester pertama ini dapat dilalui dengan jayanya bagi mendapatkan sijil Rahmat daripada Canselor yang empunya Universiti.

Semester kedua masih ada berbaki lima hari. Hari-hari yang akan menentukan sama ada kita beroleh sijil Maghfirah pula.

Kemudian, semester terakhir yang ditunggu-tunggu. Semester bagi mendapatkan sijil Itqan Minan Naar.. atau Sijil Pembebasan daripada Neraka (SPN).

Semester yang ketiga ini lebih istimewa dengan sesi viva al-Qadr. Panelnya adalah para tetamu dari wilayah Arasy. Tetamu yang datang secara rahsia, dan pulang secara rahsia... Tetamu yang ditunggu-tunggu oleh setiap penuntut Universiti Ramadan sejak zaman berzaman.

Calon-calon yang berjaya menyertai viva ini beroleh nikmat ganjaran ibarat 1000 purnama. Namun hanya mereka yang berusaha dan bersungguh-sungguh sahaja akan berjaya menemui tetamu istimewa ini.

Beruntunglah sekiranya kita lulus ketiga-tiga semester pengajian Universiti Ramadan ini dan rugilah mereka yang mensia-siakan peluang atau melaluinya dengan lewa.

Keputusan dan sijil ini akan diperolehi di konvekesyen terbesar seantero alam.. iatu di dewan al-Mahshar. Disana calon-calonnya akan mendapat jawapan. Adakah dia beroleh kecemerlangan sepanjang pengajiannay atau hanya berroleh penat, lapar dan dahaga sahaja.

Universiti Ramadan datang dan pergi, itu pasti. Namun kita belum tentu terpilih menyertai sesi yang akan datang...

Ya Allah, terimalah ibadah kami, rahmati kami, ampuni dosa-dosa kami, peliharlah kami daripada api neraka dan berikanlah kami keberkatan malam lailatul qadar. Aminnn....


Wallahu'alam.

Friday, September 12, 2008

Dialog dengan orang asli

Saya mendapat kiriman dari seorang rakan dialog orang asli dengan polis, tidak pasti sama ada ini adalah dialog rekaan atau benar-benar berlaku:

orang asli: selamat pagi tuan
polis: selamat pagi

polis: apa hal
orang asli: saya nak buat repot tuan

polis: fasal apa tu
orang asli: kawan saya di baham harimau

polis: pukul berapa
orang asli: dia tak pukul, terkam

polis: habis?
orang asli: tak habis, tinggal kepala...

Friday, September 5, 2008

Novel PTS di Cetak Rompak

Beberapa hari yang lepas, heboh sedikit di pejabat apabila dimaklumkan ada satu laman web yang menjual buku-buku PTS yang di-e-book-kan sendiri tanpa izin PTS. Dalam bahasa yang lain, dicetak rompak.

Lanun ini adalah lanun yang berani (atau mungkin kurang bijak). Ini kerana si lanun ini menyiarkan maklumat dirinya untuk dihubungi.. beserta dengan nama penuh. Malah si lanun yang juga kemungkinan besar empunya blog ini (Novelmelayu.blogdrive.com) iaitu En Hazim bin Yahya dengan bangga menggelarkan dirinya sebagai peminat novel Melayu No 1.

Ada dua judul buku PTS dan beberapa dari penerbit lain. Kebetulan dua judul ini ditulis oleh rakan-rakan staf PTS. Buku-buku ini dijual dengan harga sekitar RM10.00-11.00.

Saya tidak pasti sama ada En Hazim yang menerbitkan e-book dan menjualnya ini faham tentang undang-undang harta intelek. Sekiranya beliau tidak faham, itu juga tidak boleh dijadikan alasan dalam mahkahmah nanti... kerana kejahilan 'terhadap undang-undang bukanlah satu alasan'.

Walaupun berita ini telah heboh di UNIKA, PTS dan rakan-rakan penerbit yang lain dan ada individu yang meninggalkan pesanan di 'chat box' En Hazim, beliau nampaknya masih tidak berbuat apa-apa.

Sehingga hari ini, blognya masih boleh dilayari. Mungkin beliau sedang melihat sejauh mana pihak penerbit PTS dan lain-lain akan bertindak. Tidak mengapa, beliau tidak perlu tunggu lama, kerana tim undang-undang PTS sedang bersiap untuk bertindak.

En Hazim bukan sahaja menjual harta intelek penulis tanpa izin, malah menduplikasi harta PTS tanpa izin dan membuat keuntungan atasnya. Jika hendak didakwa, banyak juga kesalahan yang boleh disabitkan seperti menciplak, menyimpan, menjual, menerbit dan sebagainya. Itu baru sabitan untuk undang-undang di dunia, sekiranya undang-undang akhirat... tidak tertanggung risikonya.

Apa pun justifikasi En Hazim, beliau perlu tahu, membuat keuntungan atas usaha orang lain tanpa hak, adalah salah di sisi undang-undang sivil dan Islam, i.e. HARAM. Orang yang membeli e-book ini juga dikira menyimpan barang curi atau menyimpan barang HARAM. Barang yang HARAM menghasilkan perkara-perkara yang HARAM yang lain. Hasil jualan barang-barang yang HARAM adalah HARAM. Seperti kata Rasulullah (doa dan salam atas beliau):

"Barangsiapa mengumpulkan wang dari jalan yang haram kemudian dia sedekahkan harta itu, dia sama sekali tidak beroleh pahala, malah dia akan mendapat dosa" (Direkodkan oleh Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Hakim)

"Seorang yang bekerja bagi mendapatkan kekayaan dengan jalan haram kemudian dia sedekahkan, maka sedekahnya itu tidak diterima; dan sekiranya dia sedekahkan juga, dia tidak mendapat barakah; dan tidak pula dia tinggalkan di belakang punggungnya (sesudah ia meninggal), melainkan ianya menjadi bekalan ke neraka. Sesungguhnya Allah tidak akan menghapuskan kejahatan dengan kejahatan, tetapi kejahatan dapat dihapus dengan kebaikan. Kejelekan tidak dapat menghapuskan kejelekan." (Direkodkan oleh Imam Ahmad dan lain-lain)

"Ada seorang laki-laki yang datanq dari tempat yang jauh, rambutnya tidak terurus, penuh dengan debu, dia mengangkat kedua tangannya ke langit sambil berdoa: Ya Rab, Ya Rab (wahai Tuhanku, wahai Tuhanku), padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan diberi makan dengan barang yang haram pula, maka bagaimana mungkin doanya itu dikabulkan?" (Direkodkan oleh Muslim dan Tarmizi)

Tindakan En Hazim ini seolah-olah sama seperti sesetengah penulis dan penerbit buku agama yang mengatakan 'nabi Muhammad sendiri tidak pernah letak tanda hakcipta dalam hadis-hadis beliau'.. atau dalam ertikata lain, menafikan peranan hakcipta dalam Islam. Bagi persoalan yang ini, boleh rujuk dalam blog PTS Islamika. Saya ada lampirkan jawapannya. (click).

Amaran Allah kepada orang yang mengambil harta orang lain tanpa hak:

"Orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah daripada ALLAH. (Ingatlah) ALLAH Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." – Surah al-Maaidah: 38

Akhir sekali, pesanan daripada Rasulullah (doa dan salam ke atas beliau) supaya mencari rezeki yang halal dan kesannya:

"Barangsiapa mencari rezeki yang halal dengan niat untuk menjaga diri supaya tidak minta-minta, dan berusaha untuk mencukupi keluarganya, serta supaya dapat ikut berbelas kasih (membantu tetangganya), maka kelak dia akan bertemu Allah (di akhirat) sedang wajahnya bagaikan bulan di malam purnama." (Direkodkan oleh  Thabarani)


Wallahu'alam.

----

Thursday, September 4, 2008

Adik Sharlinie

Keluarga Sharlinie cari ketenangan di Terengganu

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Mohd. Nashar Mat Hussein sekeluarga mengambil keputusan berpindah ke Dungun, Terengganu semalam selepas tidak sanggup lagi berada di rumah sewa mereka di Taman Medan, Petaling Jaya dekat sini, sejak anak bongsu mereka, Sharlinie, hilang lapan bulan lalu. Baca lagi...


Sempena bulan Ramadan yang penuh barakah ini kita sama-sama berdoa agar Allah menemukan adik Sharlinie. Sekiranya masih hidup, semoga Allah selamatkan, lindungi dan pertemukan adik Sharlinie dengan kelularganya. Sekiranya sudah meninggal, semoga Allah pertemukan jasadnya atau bukti jasadnya atau di mana kuburnya...

Semoga Allah meningkatkan iman dan memberkati keluarga Sharlinie serta mereka yang terlibat mencari adik Sharlinie..

Kes adik Sharline dan puluhan kes-kes lain lewat tahun-tahun kebelakangan ini menyedarkan rakyat Malaysia, khususnya rakyat lembah Kelang.. tentang bahayanya membiarkan anak-anak kita bermain tanpa pengawasan.

Sekiranya penjenayah perlu diawasi dan dipenjarakan, maka anak-anak yang tidak berdosa ini juga perlu diawasi dan mungkin juga perlu 'dipenjarakan'.. di rumah.

Lupakan zaman kebebasan ayah dan ibu mereka dahulu bebas bermain dan berkejaran ke mana sahaja. Di sebalik belukar, atas pokok, tepi longkang, padang permainan, kedai Ah Chong, rumah jiran dan sebagainya.

Emak dan Ayah hanya perlu risau anaknya terlalu leka bermain sehingga lupa untuk pulang ke rumah apabila tiba waktu Maghrib, atau lewat makan tengahari. Selebihnya... dunia kanak-kanak adalah saujana mata memandang.

Kanak-kanak zaman itu hanya takut dua perkara: libasan rotan ayah sekiranya pulang ke rumah lewat daripada waktu Maghrib dan apabila melihat Benggali - akibat momokan emak-emak : "Benggali hendak buat jambatan suka tangkap budak dan potong kepala mereka!". Atau pun, amaran: "Kalau main waktu Maghrib nanti disorok hantu kopek!"

Kadang-kadang saya berasa risau apabila membayangkan bagaimanakah anak-anak saya membesar nanti. Adakah saya perlu upah pembantu rumah yang kerjanya memerhatikan anak-anak saya bermain, pastikan apabila turun dari bas sekolah mereka terus masuk dalam rumah (itu pun sekiranya bukan saya yang menghantar pergi dan mengambil pulang dari sekolah).

Mungkin sekiranya saya sekaya Dato' K, saya akan mengupah pengawal peribadi, yang bercermin mata hitam, dan pandai berkung fu seperti Jet Li dalam 'Bodygaurad From Beijing', yang akan mengekori ke mana sahaja anak-anak saya pergi, seperti bayang-bayang... tetapi nanti siapa pula antara kawan-kawanya pula yang akan berani mendekati atau bermain bersama. Cikgunya sudah pasti tidak berani hatta menjentik hujung rambut mereka.. semakin naik tocang lah anak-anak saya.

Atau pun saya perlu memasang peranti GPS pada anak-anak saya supaya saya boleh mengetahui dimanakah mereka pergi.. atau mungkin setiap anak-anak saya akan dilengkapi, set walkie-talkie, penyembur lada dan mahir seni pertahanan diri dari karate, silat hinggalah ke silambam... Namun, takut pula anak saya akan menjadi paranoid dan hidup dalam ketakutan nantinya. Silap-silap melatah, ayahnya yang akan di-silambam-nya.

Walau apa pun, saya pasti, sehebat mana pun mengawal anak-anak, kita tidak boleh menolak qada' dan qadar. Lantas, saya perlu sentiasa berdoa, kerana doa adalah bodyguard yang paling perkasa untuk anak-anak saya.

Saya perlu mengajar mereka berdoa, kerana doa adalah senjata utuh mereka... dan doa juga mampu mengubah dan mengubah qadar atau menangguhkan qadak.. Doa adalah pelindung mereka daripada kejahatan, perisai orang mukmin.

Pesan Allah:

"Katakanlah (wahai Muhammad); 'Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk; Dari kejahatan makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya'." (Surah Al-Falaq, Ayat 1-5)


Juga pesan Rasulullah (selawat dan salam):
"Tiada yang boleh menolak takdir selain doa dan tiada yang boleh memanjangkan umur kecuali perbuatan yang baik" (Hadis direkodkan oleh Imam Tirmizi)

wallahu'alam

Saturday, August 30, 2008

Bajet 2009

Bajet 2009 sudah dibentangkan.

Kita boleh melihat bajet ini dari pelbagai sudut dan kacamata.

Dari kacamata kakitangan awam, bonus adalah antara perkara yang menarik.

Dari kacamata OKU, janji kerajaan untuk membela kebajikan mereka.

Dari kacamata nelayan, petani dan peternak, peruntukan lebih RM450juta tentu menggembirakan.

Dari kacamata pembantu guru di sekolah pendidikan khas, habuan bayaran insentif RM200 sebulan, juga bukan sedikit.

Ada banyak lagi kacamata yang boleh kita gunakan. Kacamata pro-kerajaan, kacamata pro-pembangkang dan sebagainya.

Saya bukan pakar ekonomi. Saya juga bukan ahli politik.

Saya boleh melihat bajet ini dari mana-mana kacamata.

Cuma saya ingin melihat dari kacamata kocek saya.. apakah yang dapat saya manfaatkan dalam bajet ini.

Bil elektrik rumah saya sebulan lebih RM20. Jadi tidak layak mendapat pengecualian bil.

Saya juga tidak layak untuk mendapat rebat cukai pendapatan sebanyak RM400.

Walaupun saya orang yang benar-benar asli, saya masih tidak layak untuk mendapat manfaat untuk masyarakat Orang Asli.

Saya bukan OKU, bukan petani, bukan penternak, bukan orang nelayan mahupun orang miskin tegar.

Saya juga tidak menggunakan tambak Johor atau bukit Kayu Hitam yang bakal mendapat pengurangan bayaran tol.

Saya tidak memandu melalui laluan Sentul Batu Caves atau menaiki LRT, Komuter dan mana-mana pengangkutan awam dalam urusan harian saya.

Saya juga bukan pembantu guru di sekolah pendidikan khas.

Iswara saya tidak menggunakan enjin diesel. Jadi, tidak layak mendapat pengecualian cukai jalan.

Oleh itu, saya tercari-cari, di mana habuan untuk saya dalam bajet 2009 ini. Mungkinkah saya belum habis mentelaah laporan bajet 2009?

Saya hendak cuba menggunakan kacamata peminat kereta:

Mungkinkah pengurangan cukai import untuk kereta berteknologi hybrid membolehkan saya teropong-teropong model tersebut di bilik pameran Honda?

Namun, sekiranya harganya diturunkan, ia masih lagi mahal bagi saya, walaupun di-'trade-in' dengan Iswara kesayangan saya itu.

Walau bagaimana pun, saya masih patut bersyukur. Saya boleh menumpang tuah orang. Tuah isteri saya yang mendapat bonus untuk kakitangan awam.

wallahu'alam

Tuesday, August 19, 2008

Semoga Ayahanda sihat

Minggu lepas adalah hari-hari yang mencemaskan dan penuh dengan kerisauan.

Selasa 12 Ogos, jam 11.00 malam, ayahanda dibawa ke jabatan kecemasan Hospital Selayang. Kami mensyaki beberapa tanda-tanda stroke ada pada ayah. Lebih 3 jam kemudian, selepas pemeriksaan Doktor, ayahanda dimasukkan ke wad kecemasan sementara menunggu ujian darah dan CT-Scan.

Pagi keesokannya diagnosis pertama doktor jabatan kecemasan tidak menemui sebarang kesan stroke. Beliau menyuruh kami membawa ayah pulang. Oleh kerana tidak berpuas hati dengan sikap sambil lewa doktor tersebut, kami membawa ayah menemui doktor di jabatan lain di hospital yang sama. Diagnosis kedua ini mengesahkan ayahanda mengidap 'mild stroke' dengan tekanan darah dan kandungan gula yang cukup tinggi. Ayahanda terus ditahan di hospital untuk pemerhatian dan rawatan lanjutan.

Hari-hari berikutnya adalah saat yang merisaukan dan mencemaskan. Doktor sentiasa berusaha menstabilkan stroke, tekanan darah dan paras gula ayahanda.

Hari pertama, kedua dan ketiga ayahanda menunjukkan beberapa kesan awal daripada stroke. Ayahanda berada dalam keadaan keliru, tidak ingat banyak perkara termasuk bagaimana beliau boleh berada di hospital, di mana hendak buang air, kesukaran bercakap, menelan makanan, lemah anggota kanan, kabur pandangan dan sebagainya.

Walaupun kesan-kesan ini tidak sampai ke peringkat kronik, namun ia sudah cukup merisaukan kami. Ini kerana, sekiranya stroke ayahanda tidak stabil, kesan-kesan ini boleh menjadi lebih serius dan sukar dipulihkan.

Saya dan abang bergilir, gilir tidur di hospital menjaga ayah sepanjang waktu malam. Siang hari adalah giliran adik-adik dan emak. Banyak program yang terpaksa kami batalkan, termasuk rancangan pulang ke kampung isteri dan sebagainya. Situasi ayah lebih utama.

Selama ini saya biasa mendengar dan melihat bagaimana orang menjaga pesakit stroke (termasuk arwah datuk). Kali ini tiba giliran kami pula.

Terasa hendak menitis air mata apabila melihat tangan ayah terketar-ketar membutangkan baju, cuba memegang cawan atau menyuap nasi. Tangan itulah yang cukup banyak berjasa kepada kami sejak kecil (termasuk merotan kami yang nakal-nakal ini).

Kata SifuPTS, inilah peluang untuk membalas jasa ayahanda. Alhamdulillah. Kondisi ayahanda tidak kronik. Kendati pun begitu, kami perlu sentiasa bersedia membantu menguruskan ayahanda.

Ayah lemah dan keliru. Ingatannya sedikit terganggu. Apatah lagi selepas beberapa insiden yang mencemaskan berlaku ketika kami menjaga ayah di waktu malam. Ayah perlu di pimpin apabila berjalan.

Apabila ke tandas botol 'drip'nya perlu ditutup dan dipegang. Untuk memakai baju dan seluar perlu dibantu, lebih-lebih lagi membutangkan baju atau mengikat cerut tali seluar. Pengalaman yang sama sekali tidak pernah kami lakukan sebelum ini.

Makan dan minum ayah perlu dibantu. Ketika kecil ayah akan memastikan lauk yang keras dalam pinggan nasi di hancurkan supaya kami mudah hadam. Kali ini giliran kami pula untuk buat untuk ayahanada.

Apabila tidur malam, kami yang tidur disisi katil ayahanda tidak boleh lena. Setiap kali katil 'berkriut', kami akan terjaga. Khuatir ayah akan cuba untuk bangun sendiri dan lakukan apa-apa urusannya tanpa bantuan.

Ayah masih lagi seperti sebelum ini. Tidak mahu menyusahkan orang lain, apatah lagi mengejutkan anak-anaknya ditengah malam hanya untuk minum air.

Kami bersyukur, Rahmat Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang. Segala urusan menguruskan ayahanda dan yang berkaitan dengannya teramat banyak dipermudahkan Allah.

Kebetulan pula kami adik-beradik, termasuk yang tinggal di Johor dan yang bertugas di Uzbekistan pulang bercuti, berkumpul di rumah ayahanda. Keadaan ini banyak menggembirakan ayahanda dan memberi semangat kepada bonda yang sentiasa berada disisinya.

Pagi, tengahari, petang malam dan tengah malam, munajat kami kepada Allah. Semoga ayahanda pulih semula, diberikan kesihatan jasmani dan rohani.

Juga semoga Allah mengurniakan kesabaran, kecekalan dan ketabahan rohani dan jasmani kami semua dalam menghadapi ujian Allah ini.

Terima kasih kepada rakan taulan, saudara mara, jiran tetangga yang datang melawat atau mendoakan ayahanda.

Jazakallahu khairan kathira

Wallahu'alam.

Monday, August 11, 2008

Untungnya Perokok

Untungnya menjadi perokok. Kenapa? Kerana mereka mendapat 3 kelebihan yang tidak diperolehi oleh orang yang tidak merokok, iaitu ...

1. Tidak tua
2. Ditakuti anjing
3. Rumah tidak dimasuki pencuri


Tafsiran:

1. Tidak tua:
- Tidak sempat tua. Keberangkalian untuk mati muda yang tinggi.

2. Ditakuti anjing:
- Asap adalah makanan jin. Anjing nampak jin mengelilingi orang yang merokok.

3. Rumah tidak dimasuki pencuri
- Pencuri menyangka penghuni rumah masih belum tidur, akibat sering batuk di tengah malam. Perokok mempunyai keberangkalian yang tinggi untuk mengidap batuk yang kronik (chronic bronchiolitis).

Sebenarnya ini adalah antara jenaka yang disampaikan oleh Dr Hj Salleh, dalam ceramah beliau baru-baru ini.



Wallahu'alam


Sunday, August 10, 2008

Tahniah Untuk Pengantin Baru

Jumaat, Sabtu, Ahad. Tiga hari berturut-turut saya menghadiri majlis nikah, kenduri pengantin (perempuan dan lelaki)... Cuma minggu hadapan, kenduri di kampung pengantin lelaki belum pasti boleh hadir atau tidak.

Teringin juga hendak hadir, al-maklumlah, lama juga menunggu yang empunya diri hendak naik pelamin.

Ketika majlis pihak lelaki, kami (saya dan beberapa orang rakan) seharian terpacak, menjadi penyambut tetamu.

Pengantin ini adalah En Arief Hakim. Boss PTS.

Dikalangan generasi terawal PTS, dia yang terkemudian mendirikan rumah tangga. Teman-teman dan kakitangan PTS (terutama generasi lama) yang lain sudah lama beranak pinak dan sedang sibuk menambah zuriat.

Selepas sekian lama mengharungi onak duri, cabaran dan sebagainya, akhirnya tibalah hari bahagia ini. Itu yang namanya apabila jodoh sudah sampai...

Walau bagaimana pun, sebagai rakan dan kakitangan, kami semua menumpang gembira. Di doakan agar kedua mempelai sentiasa berbahagia sehingga ke akhir hayat dan beroleh zuriat yang taat di sisi Allah.

Wallahu'alam

Friday, August 8, 2008

Hidup 150 tahun

Baru-baru ini dalam satu ceramah kesihatan, Dr Hj Salleh, Pakar Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan Malaysia, memberi petua 'awet muda'.

Menurut Dr Salleh, sel-sel badan manusia yang sihat sebenarnya boleh hidup sehingga 150 tahun dalam persekitaran yang sesuai.

Bagi memastikan sel badan kita sihat atau sekurang-kurangnya memastikan kita dapat 'berpencen' dalam keadaan sihat wal afiah, beliau memberikan petua awet muda ini.

Kata beliau, buatlah enam perkara, dan tinggalkan enam perkara, iaitu:

Lakukan:

1. Memastikan berat badan yang sentiasa unggul (BMI yang sepatutnya)
2. Bersenam (30 min x 3 hari seminggu)
3. Makan banyak makanan yang berunsur anti-oxidan, antaranya makanan yang banyak mengandungi fiber, beta-karoten, selenium, zink, vitmamin E, C dan sebagainya.
4. Banyak minum air kosong, sekurang-kurangnya 3 liter sehari. Ada pendapat yang mengatakan 4 liter sehari.
5. Banyakkan makan sayur dan buah-buahan segar (bukan yang diawet, peram, jeruk atau ditinkan)
6. Belajar untuk mengawal stres, sentiasa bertenang (relax) dan tarik nafas panjang-panjang (agar oksigen sampai ke sengenap penjuru otak dan jantung)

Jauhi:

1. Asap rokok
2. Terdedah kepada sinaran matahari yang berlebihan
3. Sinar - X (X-Ray) yang berlebihan
4. Makanan yang diproses oleh bahan kimia
5. Alkohol
6. Makanan yang mengandungi lemak, gula dan garam yang berlebihan.

Wallahu'alam

Wednesday, August 6, 2008

Alhamdulillah

Sekadar berkongsi kegembiraan yang masih menebal walaupun agak lewat. Dua minggu lepas saya mendapat panggilan telefon yang cukup menggembirakan.

Beberapa minggu lepas, panggilan dari tempat yang sama membawa berita yang amat mengecewakan dan menyedihkan. Rayuan ditolak.

Namun, atas rahmat Allah, kali ini panggilan dari tempat yang sama membawa berita yang cukup menggembirakan dan membuatkan saya mengalirkan air mata kesyukuran. Segala pujian untuk Allah yang menerima doa-doa kami sekeluarga.

Nantilah, saya akan cerita apakah apakah panggilan misteri dan berita yang cukup menggembirakan saya ini. Saya ingin membiarkan ia misteri seketika.

Saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah atas rahmat yang tidak pernah putus.

Banyaknya nikmat Allah, dan sedikitnya saya bersyukur dan bersabar selama ini... astaghfirullah.
" Apa sahaja yang kamu perolehi ada nikmat daripada Allah" (Surah al-Nisaa:79)

"Dan, jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, pasti kamu tidak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (al-Nahl:18)
Wallahu'alam

Saturday, August 2, 2008

Sedikit-sedikit

"Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. "

Pepatah ini selalu keudara ketika zaman sekolah rendah dahulu, awal 80an. Biasanya dalam iklan radio dan tv pendidikan yang menasihati pelajar supaya konsisten membuat kerja.

"Simpan duit sedikit setiap hari, lama-lama penuh satu tabung..." kata emak kepada kami adik beradik apabila membelikan tabung.

Kata ayah pula: "Sedikit demi sedikit lama-lama hilang bukit."

Ayah merujuk kepada dua perkara: pertamanya, bukit berdekatan rumah kami yang semakin hilang ditarah untuk projek pembangunan. Keduanya, merujuk tabung kami (saya dan abang), yang semakin surut akibat dikorek untuk membeli aiskrim hampir setiap petang!

Kini saya masih menggunakan pepatah tersebut untuk banyak perkara. Antaranya untuk menasihati anak-anak kecil saya agar menabung.

Sudah banyak kali tabung mereka penuh, dikeluarkan dan simpan dalam akaun Tabung Haji masing-masing.

Simpanan itu adalah hasil sumbangan dan sedekah daripada tetamu yang datang bertandang ke rumah, dikutip dari duit-duit yang mereka terjumpa 'bersepah' dalam rumah (wah! rezeki murah) atau selalunya dikorek dari dompet Mama dan Baba mereka.

Syukur, mereka tidak mewarisi pepatah kedua yang pernah Baba dan Pak Long mereka amalkan dahulu itu.

Saya juga menggunakan alasan pepatah ini untuk menghabiskan baca buku-buku yang dibeli... yang biasanya, lebih banyak buku dibeli daripada dibaca sampai habis.

Kebelakangan ini keghairahan membeli buku lebih tinggi dan pantas daripada menghabiskan hingga kekulit. Jumlah buku yang dibeli setiap bulan dan jumlah yang dibaca habis ke kulit tidak seimbang.

Bagi mengatasinya saya cuba membaca beberapa buku serentak, supaya kononnya untuk mempratikkan KJ Method Sifu PTS dalam pembacaan!

Kadang-kadang berjaya, kadang-kadang tewas.. terutama apabila tahap ketepuan otak setelah seharian diperah di pejabat, kuliah, kelas malam meninggi dan melampaui 'batas-batas kemanusiaan'.

Adakalanya sisa tenaga ini juga tenggelam dalam keasyikan dan kedamaian membelai pokok-pokok bunga dan sang cacing dilaman yang sekangkang kera, melayari cakrawala maya, melayan karenah permata hati dan sebagainya.

Biar sedikit dikongsi bersama, jangan ditinggal semuanya. Kalau tidak boleh buat semua, jangan ditinggal semuanya...

Prof Ungku Aziz cukup tidak gemar tabiat membaca seperti ini... kata beliau dalam satu temu bual: "Tidak fokus!"

Namun, saya cuba menggunakan alasan (oh! mudahnya memberi alasan), memetik kata-kata dalam tulisan John C Maxwell:

"Never let a day pass without looking at some perfect work of art, hearing some great peace of music or reading, in part some great book..."
Atau mungkin kata-kata Rasulullah (selawat dan salam keatas beliau):

"Amal yang paling disukai oleh Allah adalah yang berterusan walaupun sedikit."
dan...
"Hari ini mesti lebih baik daripada semalam, dan esok mesti lebih baik daripada hari ini. Barang siapa yang hari ini sama seperti semalam, dia termasuk golongan orang-orang yang rugi, dan barang siapa yang hari ini lebih buruk daripada semalam, maka dia termasuk orang-orang yang celaka."
Juga kata-kata sufi Hassan Al-Basri:
"Tidak ada suatu haripun yang bila terpandang sahaja fajar, melainkan MASA akan menyeru kepada kamu: 'Wahai anak Adam! Aku MASA yang baru. Hanya amalan kamu menjadi saksi. Maka ambillah daku sebagai bekalanmu. Apabila aku pergi, aku tidak kembali lagi hinggalah ke hari Qiamat nanti."

Kata beliau lagi:

“Dunia ini hanyalah 3 hari. Hari kemarin yang sudah berlalu, dan kita tidak mampu lagi untuk merubahnya. Hari esok, adalah misteri. Kita tidak tahu apakah kita akan memiliki kesempatan menemuinya. Hari ini, adalah kesempatan untuk kita beramal soleh. Maka, beramalah sebanyak-banyaknya."


Sebenarnya, saya cuba memujuk hati..

Wallahu'alam.

Monday, July 28, 2008

Jubah Baru Graduan UIA

Ini adalah contoh jubah konvokesyen graduan UIA yang terbaru. Sebelum ini, graduan UIA memakai songkok (lelaki) dan tudung (perempuan) yang bersulamkan logo UIA. Itu membuatkan graduan UIA kelihatan istimewa dan berbeda dengan graduan universiti yang lain.

Walaupun memakai songgok dan tudung belum tentu menggambarkan keislaman seseorang namun ia cukup sebagia simbol Islam, sesuai dengan nama universiti ini. Pelaja lelaki dan perempuan yang bukan Islam, tidaklah pula kelihatan dipaksa menjadi Muslim apabila memakainya, kerana ia adalah pakaian rasmi untuk konvokesyen graduan.

Namun, keistimewaan tersebut telah diubah kepada suatu yang biasa-biasa sahaja sama seperti universiti lain apabila fesyen jubah terbaru diperkenalkan dan diluluskan seperti di bawah ini.

Songkok dan tudung digantikan dengan mortar-board.

Kata Rektor UIA, Prof Syed Arabi: "... membolehkan semua graduan kelihata segak dan kemas.." Hemm.. nampaknya kata prof ini, sebelum ini graduan UIA apabila memakai songkok dan tudung kelihatan selekeh dan tidak kemas?... Mana punya kajian dan tinjauanlah yang dia buat ini?

Secara peribadi saya tidak setuju.

Saya masih terasa bangganya memakai jubah tersebut ketika hari konvokesyen lebih 10 tahun lepas. Kemas dan segak. Tetapi, siapalah saya... ish.ish..ish..

Wednesday, July 16, 2008

Kata Sifat

Kata sifat atau kata adjektif ialah perkataan yang menerangkan sifat atau keadaan sesuatu. Contohnya manis, hebat, cantik, baik dan sebagainya.

Kata sifat ini mudah dikenali apabila ia diletakkan kata penguat sebelumnya. Sebagai contoh: sangat manis, sungguh hebat, amat baik, paling cantik dan lain-lain lagi.

Dari sudut psikologi bahasa, semakin banyak kata sifat digunakan, maka semakin kurang daya persuasifnya.


Daya persuasif yang tinggi dibantu dengan hujah-hujah yang didasari oleh fakta. Apabila bercakap dengan orang pandai (berilmu), fakta memberikan impak persuasif. Lebih banyak fakta, lebih tinggi daya persuasifnya. Begitulah sebaliknya.

Oleh itu, semakin seseorang itu tidak ada fakta dan dalil dalam berhujah, semakin kerap dia menggunakan kata sifat. Semakin banyak kata sifat, semakin kuranglah daya persuasifnya dan semakin tinggilah kecenderungannya menggunakan emosi dalam berhujah.


Sebagai contoh dalam debat antara dua orang pemimpin semalam, penonton boleh melihat bagaimana apabila salah seorang daripada mereka sudah kekeringan fakta, beliau cenderung menggunakan banyak kata-kata sifat.

Contohnya: Malaysia adalah negara yang paling baik, BN amat cekap menguruskan Pentronas, Pemipin negara bijak menguruskan negara dan banyak lagi. Lebih parah apabila beliau cenderung untuk menyerang lawanya termasuk secara peribadi dan tidak menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya.


Di pihak lawannya, pemimpin yang satu itu bercakap berdasarkan fakta, statistik dan kajian. Dia tidak melatah dengan serangan bersifat peribadi, malah serius mempertahankan hujah dan memastikan debat tidak lari dari topik.

Debat semalam adalah sejarah. Pertama kali (dan mungkin terakhir) diadakan sebegitu rupa. Ia membuka mata rakyat untuk menilai hujah, personaliti, ilmu dan daya intelek kedua-dua pihak. Siapa yang buat 'kerja rumah' dan kajian sebelum berdebat dan sebaliknya.

Itulah kualiti mereka yang menjadi pemimpin rakyat Malaysia.... dulu, kini dan entah sampai bila?

Wallahu'alam

gambar disalin daripada http://www.mstar.com.my/

Sunday, July 13, 2008

Nikmat

"... Boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedangkan ianya adalah baik untuk kamu. Dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu sedangkan ia tidak baik untuk kamu. ALLAH maha mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” ( al-Baqarah, 216)
Permohonan saya ditolak. Tidak berjaya. Saya kecewa. Sedih pun ada.

Saya sangat berhajat dan memasang impian untuk menyertainya. Namun ia ternyata tidak menyebelahi saya walaupun rayuan telah dipanjangkan.

Saya terlepas peluang kali ini. Saya perlu menunggu semusim lagi, tahun depan atau tahun-tahun berikutnya jika mengikut perkiraan biasa.

Apabila tidak dapat apa yang dihajati, adakalanya (seringkali) diri manusia yang lemah ini lupa. Lupa kepada banyak lagi hajat dan keinginan yang dikurniakan Allah.
"Apa sahaja nikmat yang kamu perolehi adalah dari Allah" - al-Nisa : 79
Dalam sehelai kertas kajang yang putih bersih, jika ada setitik warna hitam kecil, kita pantas melihatnya. Pada waktu itu kita lupa keseluruhan kertas yang putih bersih, kerana seluruh pandangan dan fikiran hanya melihat kepada noktah kecil itu.

Begitu mudahnya diri ini melupakan dan tidak bersyukur atas limpahan nikmat Allah yang tidak terhitung hanya akibat satu nikmat yang Allah tangguhkan.
" Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia yang dilimpahkan atas manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." al-Mu'min: 61
Kerana itu Rasulullah sering berpesan (seperti yang dilaporkan oleh Anas bin Malik):
“Kesabaran (yang sempurna itu) adalah pada awal terjadinya musibah.” - Hadis direkodkan oleh Imam Muslim.
Tanpa sabar, Qabil & Habil saling berbunuhan. Manusia mudah lupa kepada qada dan qadar Allah. Walau setinggi mana pun ilmu, jika tanpa sabar, nafsu akan berada di hadapan akal. Iblis lebih mudah mendekati.
"Ya Tuhan kami, tuangkanlah kesabaran atas diri kami..." al-Baqarah: 250
Astaghfirullah.... Ya Allah, ampunilah hambamu yang lemah ini.

Friday, July 11, 2008

33 Tahun dahulu

33 Tahun dahulu. Hari Jumaat, jam 1.55pagi.

Itu kali pertama saya menghirup udara segar bumi Allah yang bercampur baur dengan bau ubat-ubatan dan masyam peluh kakak, makcik misi dan doktor wad bersalin, Hospital Besar Kuala Lumpur.

Saya lahir tidak cukup bulan.

Emak kata: "Tidak sabar sangat hendak keluar awal!"

Saiz badan saya kecil daripada bayi lain. Besar sedikit daripada tapak tangan. Kerana itu, saya dikurung dalam inkubator untuk beberapa minggu.

Apabila pulang ke rumah, saya menjadi mangsa 'terapi matahari'. Cara orang tua-tua merawat demam kuning.

Waktu zaman kanak-kanak ayah selalu kata: "Ngah dahulu kecil sahaja. Waktu pagi, emak jemur bawah matahari. Kalau hujan, emak usung masuk rumah semula. Betul-betul macam jemur ikan kering..!" (Waktu itu memang saya amat percaya dengan exaggeration dalam cerita ayah, dan saya dapat bayangkannya.)

Kepada mak dan ayah, terima kasih kerana memBESARkan anak yang cukup kecil dan nakal (aktif) ini dengan penuh kasih sayang dan sabar...

Semoga Allah merahmati dan membalas jasa ayah dan emak dengan sebesar-besar ganjaran.

“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”. (Surah An-Naml, Ayat 19)

Wallahu'alam.

Saturday, July 5, 2008

Buruk & Baik

Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.

(Surah Al-Maaidah, Ayat 100)

Wednesday, July 2, 2008

Starbucks lagi

Lebih 600 cawangan Starbucks di Amerika akan ditutup (klik) akibat ekonomi Amerika yang semakin suram.

Di Malaysia, sebagai tanda sokongan kepada negara yang menjadi rakan dagangan utama negara, kita akan membantu (moral dan 'fulus') lebih 12000 pekerja Stabucks yang akan menerima kesan itu. (Amerika Syarikat sepatutnya berterima kasih kepada Malaysia)

Sementara itu, menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang, kajian yang dijalankan oleh University of Florida College of Medicine mendapati 16 auns kopi di Starbucks mengandungi 259mg hingga 564mg kafein berbanding yang dibenarkan oleh Food and Drug Administrations (FDA) iaitu 300mg kafein atau kurang daripadanya bagi golongan dewasa.

Tidak pasti sama ada kandungan kafein yang teramat tinggi itu sesuai untuk kesihatan diri pelajar. Mungkin boleh jadi pemangkin supaya otak menjadi lebih aktif dan segar terutama ketika dalam kelas. Kendati pun begitu, harga secawan kopi Starbucks sebenarnya tidak cukup 'sihat' untuk poket sesetengah pelajar, apatah lagi untuk budaya hidup berjimat cermat yang dilaungkan oleh PM Malaysia baru-baru ini.

Wallahu'alam

Friday, June 27, 2008

Starbucks vs Buku

Adakah pelajar Malaysia lebih gemar bersantai di Kopitiam atau Starbucks berbanding di perpustakaan, sehinggakan perlu dibuka kedai kopi mewah itu di IPTA?

Mungkinkah tempat tersebut lebih selesa dan tenteram untuk menelaah pelajaran sambil melayari WiFi berbanding di perpustakaan yang tidak menyediakan sebarang kudapan kecuali yang dibawa sendiri sorok-sorok...

Mungkin juga sesetengah pelajar kita berpendapat, lebihan duit pinjaman PTPTN, biasiswa dan sebagainya itu harus dilaburkan di kedai-kedai kopi demi kecemerlangan masa depan mereka berbanding di kedai-kedai buku.

Jika benarlah demikian itu, maka tidak hairan statistik tabiat membeli bahan bacaan pelajar kita di IPTA secara purata sepanjang 6 semester pembelajaran adalah seperti berikut...

NEGARA - BUKU - JURNAL - MAJALAH - JUMLAH

Brunei - 26 - 9 - 11 - 46

Indonesia - 94 - 21 - 30 - 145

Thailand - 56 - 14 - 27 - 97

India - 13 - 23 - 41 - 196

Austria - 180 - 56 - 23 - 259

Estonia - 88 - 42 - 18 - 148

Latvia - 61 - 27 - 17 - 105

MALAYSIA - 12 - 3 - 3 - 18


(Statistik ini dipetik daripada nota Professor Emiritus Dr Abdullah Hassan dalam satu bengkel Bahasa Melayu Tinggi di Kuala Lumpur. Statistik berdasarkan kajian seorang pensyarah kanan, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya)

Wallahu'alam

P/S : mohon maaf kepada pembaca. Statistik di atas tidak keluar dalam bentuk jadual yang sepatutnya, walaupun sudah dicuba beberapa kali... dan masih lagi mencuba..

Thursday, June 26, 2008

Starbucks beroperasi di IPTA?

Satu lagi kemudahan untuk pelajar universiti. Klik sini

Starbucks di IPTA. Lupakan soal kaitan antara kedai kopi itu dengan gerakan Zionis. Lupakan juga harga secawan kopinya yang mampu membeli 6-7 cawan kopi Hang Tuah pekat atau Dark Moccha Frapucinonya yang jauh mahal daripada Ice Blended kapucino di pasar malam.. walaupun rasanya hampir sama (atau sama sahaja). Sandwich Tuna dengan salad yang segar dan mayonaise yang lazat? Sama sahaja yang dijual di kantin.

Lupakan itu semua, yang penting pelajar Malaysia semakin bergaya. Inilah cara hidup kosmopolitan. Jika ingi jadi maju seperti barat, lifestyle ini mesti diserapkan ke dalam budaya hidup pelajar barulah pelajar kita up to date (atau mudah dapat kerja??)

Minum di kedai mamak, kantin dan gerai tidak lagi sesuai untuk pelajar IPT.

Duit PTPTN adalah untuk memenuhi gaya hidup pelajar kontemporari.

Handphone canggih, minum di Starbuck, fesyen terkini, panggung wayang, kereta (sewa, pinjam, loan FAMA - Father Mother) itu adalah pakaian pelajar era globalisasi ini.

Lepas ini, mungkinkah panggung wayang dibenarkan dalam kampus, bagi mengurangkan stress pelajar?

Teringat zaman dulu (yang tidak terlalu lama pun!)...

Pelajar berebut-rebut menaiki bas, ada yang berpakaian lusuh, minum di gerai (cari yang paling murah), makan nasi bungkus tengahari dan disimpan sedikit untuk bekal waktu malam, bergayut di telefon awam untuk berkomunikasi jarak jauh (hatta untuk urusan dengan Menteri!) atau berutus surat mengeratkan hubungan (dan bercinta).

Susah, perit, tidak berfesyen... namun minda dan jiwa mereka tetap besar.

Pemimpin pelajar (MPP) dahulu sibuk memperjuangkan agenda nasional, ummah, antarabangsa, masyarakat marhaen...

Mereka tidak sibuk menjerit kenapa kuah roti canai di kantin basi, kenapa parkir kereta pelajar jauh daripada dewan kuliah, kenapa lorong kereta untuk pelajar di tutup, tuntut elaun atau kredit untuk pelajar yang membuat kerja kemasyarakatan dan macam-macam lagi yang titik bengit.

Kata orang, kesusahan mendewasakan kita. Pelajar yang dahulunya itu hidup dalam keadaan cukup makan pakai dan belajar, itulah yang mewarnai dunia pemimpin dan usahawan negara hari ini.

Ah! zaman itu sudah berlalu, tinggal sejarah untuk diceritakan kepada anak cucu sambil membaca e-book atau akhbar online di laman rumah melalui wifi...

Cuma... sudah tua sangatkah saya ini?

Wallahu'alam.

Monday, June 23, 2008

Selepas Harga Minyak Naik



Pejabat Editorial PTS terbahagi kepada 3 lot yang disewa.

Arahan daripada Direktor PTS, jimatkan pengunaan elektrik.

Tutup penghawa dingin pada waktu rehat dan selepas jam 5.45pm, kecuali jika ada keperluan tugas lebih masa.

Mana-mana peralatan yang tidak digunakan, tutup suisnya. Ruang yang tidak ada staf, lampunya juga ditutup.

Hadiahnya: mana-mana lot yang dapat menjimatkan elektrik akan mendapat baucer KFC, sumbangan peribadi Tuan Direktor. Jazakallahu khairan kathira.

Setiap lot sekarang ini berebut-rebut untuk mengurangkan penggunaan alat elektrik. Mereka rela berkipas dan bergelap ketika luar waktu pejabat, tanpa keluh kesah.

Apa sangatlah berpanas seketika, jika dibandingkan dengan hadiah belanja dari Tuan Direktor... itu pun sekiranya menang! hehehe.

Beberapa kilometer daripada pejabat editorial ini, pengendali Gimnasium Gemilang membuat tindakan drastik. Kalau ramai pengusaha dan peniaga berebut-rebut menaikkan harga barang supaya selari dengan kenaikan minyak, lain pula ceritanya dengan gym ini.

Yuran bagi sekali masuk untuk bergimnasium yang sebelum ini sebanyak RM5 seorang (yang sudah sedia murah), kini dikurangkan kepada RM3!!

Kata En Saiful, pemilik Gimnasium Gemilang: "Ini adalah strategi kami supaya orang ramai tidak berasa terbeban dengan kenaikan harga barang. Sekurang-kurangnya mengurangkan stres mereka di gym kami."

Terima kasih En Saiful.

Bagi sesiapa yang minat menyihatkan badan, mengeluarkan peluh, menguatkan jantung, membina stamina dan sekali gus mengempiskan perut, boleh mampir ke gym ini.

Ia terletak berhampiran jalan utama, AU3, Keramat, satu . (Antara pengunjung gym ini adalah MR Malaysia - En Sazli.)

Inilah yang dikatakan, dalam kelam ada kilat...

wallahu'alam.

Friday, June 20, 2008

Bersedekah sembunyi-sembunyi

Ada satu hadis yang direkodkan oleh Imam Tirmidzi dan Imam Ahmad yang menceritakan kisah seperti berikut :

Ketika Allah menciptakan bumi, maka bumipun bergetar. Lalu Allah ciptakan gunung di atas bumi dan menjadikannya kuat. Bumi kemudian berhenti bergetar.

Para malaikat berasa hairan melihat bagaimana gunung diciptakan. Kemudian mereka bertanya "Wahai Allah, adakah sesuatu dalam apa yang tuan ciptakan yang lebih kuat daripada gunung?"

Allah menjawab, "Ada, iaitu besi"

Para malaikat bertanya lagi " Wahai Allah, adakah sesuatu dalam apa yang tuan ciptakan yang lebih kuat daripada besi ?"

Allah menjawab, "Ada, iaitu api"

Para malaikat kembali bertanya "Ya Rabbi, Wahai Allah, adakah sesuatu dalam apa yang tuan ciptakan yang lebih kuat daripada api?"

Allah menjawab, "Ada, iaitu air"

Para malaikatpun bertanya kembali " Wahai Allah, adakah sesuatu dalam apa yang tuan ciptakan yang lebih kuat daripada air?"

Allah menjawab, "Ada, iaitu angin"

Akhirnya para malaikatpun bertanya lagi " Wahai Allah, adakah sesuatu dalam apa yang tuan ciptakan yang lebih kuat daripada itu semua ?"

Allah menjawab, "Ada, iaitu amal anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya tidak mengetahuinya".

(Hadis di atas saya tulis semula daripada artikel yang diemel kepada saya)

Pesan Allah dalam Quran supaya bersedekah sembunyi-sembunyi:

Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebagian kesalahan-kesalahanmu (dosa); dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (al-Baqarah:271)

Allah juga mengingatkan tentang orang yang ikhlas bersedekah tidak mengharapkan sebarang balasan:

"Sesungguhnya Kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keridaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.” (al-Insan: 9)


Wallahu'alam.