Thursday, May 31, 2007

Kembali

Alhamdulillah, baru sebentar tadi saya selamat kembali dari bermusafir, dari gua yang bertirai konkrit, dari dunia yang memisahkan diri ini dengan Taman Permata, dari perjalanan yang cukup meletihkan dan yang pasti : jauh dari keenakan Milo panas yang dicicah biskut low salt hi-fibre atau donut tanpa gula... Cuma badan masih belum cukup sihat untuk kembali ke medan tempur.

Walau pun penat, saya masih bersemangat untuk menziarahi laman teman-teman yang lain. Keasyikan menjawab timbunan email dan membaca celoteh mereka membuatkan diri ini terlupa untuk mengisi perut yang sedang berkeroncong. Cuma, apabila menziarahi web sutera yang penuh dengan hidangan enak Lusiana Catering, barulah terasa perut perlu diisi segera, sebelum angin gastrik dan konco-konconya kembali menyerang.

Memandangkan sejak bermusafir perut ini hanya bermenukan makanan yang tidak sesuai untuk orang yang cukup sihat macam saya, maka saya perlu melupakan sebentar tin biskut di dapur. Hendak telefon Lusiana Catering, saya tidak pasti sama ada tuan web menyediakan khidmat penghantaran. Hendak ziarah mamak Hj Tapah yang buka 24 jam itu, badan terasa cukup letih. Hendak minta tolong cik puan besar mama Kak Yong, dia sudah pun ke alam mimpi. Oleh itu terpaksalah saya menjadi D.O. (Dapur Officer) di tengah malam ini.

Kata orang kampung saya, "Alaa... campak-campak aje dalam periuk tu jadilah apa-apa." Berbekalkan kata-kata hikmah itu dengan ditemani dendangan lagu keroncong perut ini, maka siaplah sepinggan Kuew Teow Udang Taman Permata. Resepinya ? "Alaa.. campak-campak aje dalam kuali apa yang ada dalam peti ais itu!"

Walaupun rasanya mungkin tidak sesedap Kuew Teow Kerang Taman Bunga Raya (dekat TAR College) atau Kuew Teow Special Kampung Baru, tetapi saya pasti bakal menggugat Lusiana Catering (yang hanya dapat saya nikmati dalam laman web)! Hehehe.. Sekurang-kurangnya saya perasan sedap, cuma macam kurang garam sahaja dan sedikit pahit (akibat tekak yang banyak makan paracetamol dll).

Malam ini teman berbicara saya di Taman Permata ialah se'mug' Milo panas dan sepinggan Kuew Teow Udang terkurang garam... Kalau ada sesiapa yang berminat hendak rasa, silakan jamah:

Monday, May 28, 2007

Bermusafir

Assalamu'alakum wbth.

Teman-teman dan pengunjung Taman Permata, saya akan offline dalam 2-3 hari ini. Situasi yang tidak dapat dielakkan akan memisahkan saya dengan kemudahan ke alam siber ini. Sekiranya berkesempatan, saya akan cuba menyelinap, menyusup dan melarikan diri seketika, menjengah ke Taman Permata ini.

Buat teman-teman, doakan agar Tuhan memudahkan untuk saya segala urusan, selamat dan sihat wal-afiah. Insya'Allah saya akan kembali ke Taman Permata dalam sehari dua... sekiranya tidak kembali ke pangkuan Tuhan yang dirindui...

Sekian, ampun maaf.

Salamullahi Alaikum...

Atuk


Atuk adalah orang lama di daerah ini. Ayahnya adalah orang yang pugar hutan di sini. Orang kampung cukup hormat dan gerun dengan atuk. Atuk bukan tok penghulu, tetapi suara atuk ada pengaruhnya. Mungkin kerana ilmu agamanya, jasanya, kemahirannya, keturunnya dan cucunya yang hensem... eh! (ini tambahan editor)

Suatu petang di ladang nenas, sekitar penghujung 1980 an.

Kata atuk, dengan pelat Jerman (Jawa) yang pekat:

"40-50 tahun dulu, pekerja di ladang ini kebanyakannya pendatang dari tanah besar China."

Kata saya, yang langsung tidak ada pelat Jerman:

"Kenapa dari China? Bangla tidak adakah?"

Kata atuk:

"Agaknya waktu itu Bangla belum sampai seru untuk ke tanah Melayu ini."

Kata atuk lagi:

"Dulu pekerja di sini pernah hendak mogok besar-besaran. Hendak mengamuk dan buat demonstrasi jalanan."

Saya terlopong sedikit:

"Kenapa pula itu? Macam peristiwa 13 Mei kah?"

Jawab atuk sambil mengesat peluh, penat berkebun:

"Mereka ada sedikit perselisihan dengan penduduk."

Saya semakin berminat.

"Atuk, cerita sikit tok.."

Atuk tidak senyum. Tetapi memandang jauh ke ladang nenas itu.

"Satu petang, lepas asar, Wak Mat datang ke rumah termengah-mengah. Atuk baru balik surau. Wak Mat kata orang cina di ladang hendak mogok. Hendak mengamuk. Atuk terus pergi dapur, capai parang panjang atuk yang tidak ada sarung itu, selit celah basikal dan pergi ke kebun."

"Wak Mat ikut sekali ke tok?"

"Iya, dia bonceng basikal atuk."

"Lepas tu atuk sembelih dia orang ke?"

"Hish! kamu ini, nantilah atuk cerita dulu. Atuk sampai di kebun, nampak pekerja cina tu dah berkumpul. Bila nampak atuk datang, dia orang macam terperanjat."

"Pasal apa tok?"

"Munking sebab dia orang nampak tangan atuk ada parang panjang. Atuk tanya dia orang, siapa yang kata hendak mengamuk?"

"Dia orang jawab apa tok?

Atuk tersenyum, sambil jawab:

"Dia orang semua senyap bila nampak mata parang atuk yang berkilat itu. Kemudian seorang demi seorang bersurai. Tidak jadi hendak mogok dan mengamuk."

"Laa... tak suspen betul. Agaknya kalau dia orang hendak mogok jugak, atuk hendak sembelih dia orang yang ramai itu kah?"

Jawab atuk serius dan panjang lebar:

"Sekiranya dia orang mula dulu, dia oranglah yang terima padah. Datang bumi orang hendak buat kacau. Kampung ini datuk buka dengan titik peluh dan keringat. Atuk tidaklah sampai hendak sembelih dia orang. Tetapi kalau dia orang serang atuk, setakat 7-8 tengkuk hendak putus, sekali hayun parang atuk ini sahaja. Ngentek ke beras je."

Saya yang mendengar, tercekik air liur. Bukan sebab gerun dengar cerita atuk tetapi gerun dengan parang panjang itu. Sebab, sebelum itu dulu saya pernah cantas 10 batang pokok tebu atuk di belakang rumah dengan parang panjang itu. Kononnya hendak 'test power' tetapi, tidak sangka dengan sekali libas, putus semua pokok tebu atuk. Sampai hari ini atuk masih tidak perasan kehilangan pokok tebu belakang rumah itu. Sebelum atuk tahu, baik saya lari pulang ke KL. Nanti saya emel kepada atuk, minta maaf...!

Bendang Nenas

Ini pemandangan di kampung emak saya di Pontian, Johor. Ladang nenas yang saujana mata memandang. Kalau rakan-rakan yang dari Utara dan Pantai Timur boleh 'eksyen' dengan sawah bendangnya, saya juga boleh 'eksyen' dengan ladang nenas ini. Eksklusif di kampung emak saya ini sahaja. Bezanya dengan bendang di utara ada 2:

1. Di bendang anda boleh berlari-lari dan bergelumang dalam lumpur, tetapi di 'bendang' saya ini kalau rasa-rasa hendak koyak rabak kulit kaki itu kena siat dengan duri daun pokok nenas bolehlah cuba-cubalah redah...

2. Di ladang nenas ini, sekiranya anda terasa lapar bolehlah petik buah nenas (walaupun masih kecil) dan makan. Rasailah kemanisannya yang terasa hingga ke tulang sum-sum itu! (exaggeration) Tetapi, di bendang, kalau-kalau rasa lapaq anda pasti pulang ke rumah untuk makan nasi... heh! Sungguh tidak advencer.

Bagi mereka yang biasa bermain di bendang, semak samun, paya, kolam ikan dan sebagainya, disini anda tidak akan berjumpa dengan lintah atau pak-chat. Jadi tidak perlulah mencari kasut Phua Chu Kang atau beli Baygon atau sebarang ubat penghalau spesis-spesis tersebut.

Nenas-nenas yang ditanam di ladang ini adalah untuk tujuan eksport, amat sukar ditemui di pasaran tempatan. Jadi, kalau-kalau hendak rasa, mehlah bertandang ke kebun atuk saya ini... boleh petik dan rasai kehebatan nenas spesis jawa Pontian ini. Upahnya?... hanya bawakan saya air milo panas dengan sebiji donut crunchy choc... (dunkin donut) sebagai pengeras!

Friday, May 25, 2007

Selamat Hari Jadi

Hari ini 25 Mei 2007.

25 Mei, 5 tahun lepas bersamaan 12 Rabiul awal 1423H, jam 1.46pm, di bilik bersalin sebuah pusat perbuatan swasta...

"Uwekkk... uwekkk.." Seorang bayi perempuan lahir ke dunia ini.

"Assalamu'alaikum..." Itulah ucapan pertama bagi menjawab salam perkenalan puteri sulung saya. Dr Siti Junaidah yang menyambutnya segera menunjukkan kepada isteri yang keletihan.

"Puan, lihat anak puan ini, lelaki ke perempuan?" ujarnya.

"Perempuan..." Jawab isteri saya lemah.

Selepas itu si puteri dibawa ke bilik sebelah untuk dibersihkan.

Selepas mengazan dan membaca doa untuk si puteri, saya pergi ke surau. Mengadap Tuhan yang maha pencipta, bersyukur atas kurniaan nikmat yang tidak terucap hebatnya.

Hari itu bermulanya episod baru dalam hidup saya. Episod yang cukup menceriakan dan membahagiakan kami suami isteri.

Esoknya sebelum membawa pulang isteri dan si puteri, jururawat yang membuat pendaftaran dan merekod maklumat pesakit, bertanya:

"Siapa nama anak encik? Saya hendak masukkan dalam rekod."

"Haura' bt Hasbullah" Jawab saya ringkas sambil tersenyum bangga.

"Haura' bt... siapa?" Ulang jururawat itu seolah-olah inginkan kepastian.

"Haura' bt Hasbullah... eh! silap, silap cik... Hasbullah itu bapak saya! Nama anak saya Haura' bt Faris." Saya tersengih...

"Maaflah, anak sulung. Ini pertama kali sebut binti Faris.. selalunya saya sebut bin Habullah," sambung saya lagi sambil tersengih macam kerang busuk.

"Cantik dan ringkas. Apa makna nama itu encik?."

"Maknanya 'bidadari'."



p/s: Hari ini si bidadari yang banyak celoteh itu menyambut ulang tahun kelahirannya bersama-sama rakan-rakannya di tadika, sekali dengan sambutan Hari Guru. Sambutan kali kedua sebab, 12 Rabiul Awal tempoh hari dia sudah sambut hari jadi di rumah, sempena Maulidurrasul.

Syukur dan Sabar

Kata Professor Emeritus Abdul Hamid al-Ghazali dalam buku 'Ihya Ulumudin': Syukur dan sabar berhubung kait. Orang yang sabar adalah orang yang bersyukur dan orang yang bersyukur adalah orang yang sabar. Sebab, bersyukur terhadap segala cubaan dunia juga merupakan satu bentuk sifat sabar.

Sabar ada 4 bentuk:

1. Sabar dalam melaksanakan perintah Allah
2. Sabar menahan diri daripada melakukan maksiat
3. Sabar menahan diri daripada godaan dunia
4. Sabar menghadapi cubaan dan musibah

Menurut al-Ghazali lagi, seseorang yang dapat melaksanakan keempat-empat jenis sabar ini bermakna dia sudah benar-benar taat kepada Allah. Dia bakal beroleh pahala, terhindar dari pebuatan maksiat dan dijauhi daripada bahaya-bahaya dunia.

Kata Ali bin Abi Talib pula: "Jika kamu bersabar, takdir Allah akan berjalan di atasmu dan kamu beroleh pahala. Tetapi, jika kamu tidak bersabar takdir akan tetap berjalan atasmu, dan kamu berdosa."

Allah mengingatkan kita dalam sebuah hadis qudsi: "Siapa sahaja yang tidak rela dengan takdirku, dan tidak sabar terhadap ujian yang aku berikan dan tidak bersyukur terhadap ni'mat-ni'mat yang aku limpahkan, maka kamu carilah Tuhan yang lain dari aku."

Wallahu'alam.

Thursday, May 24, 2007

Kad Laporan


Minggu ini adalah minggu terakhir persekolahan sebelum cuti penggal pertama sebelum bercuti selama 2 minggu. Minggu ini juga adalah minggu penyerahan kad laporan kemajuan pelajar kepada ibu bapa. Bagi ibu bapa yang prihatin, ini adalah masa untuk bertemu cikgu dan bertanya tentang perkembangan anak mereka di sekolah.

Tadika Kak Yong pun ada sesi penyerahan kad laporan pelajar. Ibu bapa wajib datang untuk mengambilnya, sama ada prihatin atau tidak. Malam tadi isteri saya berpesan:

"Abang, esok pagi jangan buat-buat lupa. Abang kena sama-sama datang ambil kad laporan Kak Yong. "

"Ok, abang sudah catat dalam PDA." Jawapan orang yang kena paksa rela.

Bukan tidak mahu pergi, tetapi.. apa yang hendak ditanya pada cikgu esok nanti. Dulu, ketika emak ambil kad laporan pelajar, saya akan duduk membatu di sebelah emak. Takut, kerana sambil cikgu menerangkan prestasi saya yang turun naik macam ombak Laut Cina Selatan, dia akan menjeling-jeling saya. Bukan jelingan manja, tapi jelingan yang membawa pengertian :

"Anak makcik ini bijak juga tetapi nakalnya lebih. Suka mengusik kawan, suka melukis dalam buku latihan, suka menyanyi, suka makan.... opss!".

Tetapi, kali ini sambil cikgu menerangkan prestasi kak Yong, pasti giliran saya pula yang akan menjeling pada cikgu.. eh, tersilap! menjeling pada Kak Yong...

Pagi tadi, dalam kereta isteri saya berpesan lagi: "Nanti, abang yang bertanya banyak. Saya hendak dengar sahaja..."

"Abang hendak tanya apa nanti, yek?" Saya tergaru-garu kepala yang tidak gatal itu.

"La... tanyalah apa-apa. Bukankah Abang biasa temuduga orang? Biasa berceramah, biasa mengajar di U. Tak kan bertanya prestasi anak pun hendak diajar..."

Hemm.. padan muka saya, kena talk show di pagi hari. Kak Yong, duduk di belakang hanya tersenyum simpul.

Sesi pertemuan dengan cikgu kelas Kak Yong mengambil masa tidak lama. Saya berasa bangga kerana banyak sebab. Pertamanya saya adalah antara kumpulan kecil (2-3 orang) kaum bapa, selebihnya kaum ibu sahaja yang hadir. Keduanya, prestasi anak saya yang cukup memberangsangkan. Cuma, tulisan dia banyak terbalik macam tulisan ayahnya muda-muda dulu...

Satu lagi, saya berjaya buktikan yang saya juga mampu bertanya kepada cikgu:

"Cikgu, Kak Yong ini suka minum air tak?"

"Adalah juga, kenapa encik bertanya?" Tanya cikgu kembali seolah-olah pelik dengan soalan cepu emas itu.

"Buka apa-apa, kak Yong ini di rumah dia cepat dahaga. Saya takut dia segan hendak minta air dari cikgu..." terang saya ringkas.

Itulah satu-satunya soalan saya. Selebihnya isteri saya yang berbincang dengan cikgu. Kedua-dua mereka adalah cikgu, jadi biarlah mereka sahaja yang bersoal jawab. Saya lebih selesa mendengar dengan penuh khusyuk.

Ketika dalam perjalanan pulang isteri saya berkata: "Ceh, tidak boleh diharap. Ada ke pergi ambil kad laporan pelajar bertanya pasal anak minum air atau tidak? Penggal depan nanti saya hendak sediakan senarai soalan untuk abang bertanya."

Saya cuba membela diri: "Bukan abang tidak mahu bertanya, cuma senarai soalan dalam kepala abang ini sama macam dalam kepala awak. Jadi, lebih baik saya diam. Bukankah diam-diam ubi itu berisi? Mendengar itu lebih baik dari bercakap..."

"Hemm.. di sekolah saya, ketika sesi ambil kad laporan pelajar pun, yang banyak bercakap adalah ibu-ibu. Bapa-bapa yang datang semua tunjuk muka sahaja, cuma abang bagus sedikit, sebab, mereka sepatah pun tidak bertanya!"

Saya hanya tersengih seorang diri. Dalam kepala terfikir: "Inilah agaknya perasaan bapa-bapa yang ambil kad laporan pelajar. Diam itu tanda orang yang bijak dan banyak berfikir... atau mungkin mengelamun!"



P/S: Terima kasih buat guru-guru Kak Yong di Tadika Amal, A/U 5, Lembah Keramat. Terima kasih juga buat guru dan mama Kak Yong yang setia mengajar dan mengulangkaji di rumah setiap malam, walaupun keletihan... Selamat Hari Guru (sekali lagi) dan selamat bercuti..

Terima kasih Imad

Tadi, setengah jam yang lepas, penulis PTS Fortuna, Imad, datang singgah ke PTS. Berjumpa dengan editornya yang bercermin mata baru itu. Imad bawa ole-ole: sekotak Dunkin Donut.

Di PTS, penulis memberi hadiah kepada editor tidak digalakkan. Takut boleh dikira sebagai salah satu bentuk rasuah yang mungkin boleh mempengaruhi keputusan editor di masa hadapan. Tetapi, editor-editor PTS tahu dimana garisan demarkasinya.

Mereka tidak meminta, tetapi jika hendak beri juga, besar tapak tangan Dunkin Donut kami tadahkan. He..he..he.. Rezeki jangan ditolak. Hemm... pandai juga penulis-penulis PTS ini menjaga hati editor-editor mereka yang bertungkus lumus menjadikan impian suatu kenyataan.

Bak kata pakcik Abraham Maslow dalam teori Hirarki Kerperluan Manusia: "Keperluan utama manusia adalah memenuhi tuntutan fisiologi iaitu makanan, minuman, pakaian dan sebagainya." Jadi, walaupun makanan bukanlah keperluan utama kami, tetapi di saat waktu makan tengahari ini, memangnya makanan yang dicari.

Terima kasih saudara Imad, makan donut dengan air milo panas sudah cukup untuk mengisi perut tengahari ini. Boleh sambung buat kerja...

Sejarah

Suatu petang awal tahun 1979, ayah membawa balik sebuah benda ajaib. Sebuah benda yang mengeluarkan bunyi orang bercakap-cakap dan menyanyi. Rupanya agak besar sedikit daripada kotak kasut ayah, ada beberapa suis dan tombol pemutar. Di hadapannya juga ada jarum yang boleh bergerak macam jarum jam.

Kata ayah: “Alat ini namanya radio.”

Saya dan abang Long hanya melopong dan terkebil-kebil. Hebat juga benda bernama radio ini, boleh bercakap-cakap dan menyanyi-nyanyi dengan sendiri. Lebih hebat dari alat pemainan adik yang hanya boleh mengeluarkan suara budak menangis sahaja. Lebih hebat juga dari burung tiung apek Ah Cai, yang hanya pandai bersiul apabila diagah.

Hari itu bermulalah suasana baru di rumah saya. Walau pun ia tidaklah semeriah kehadiran adik baru dalam keluarga kami, tetapi suaranya jauh lebih merdu dari suara adik yang suka menangis dan membingitkan keharmonian jiwa saya itu...

Sejarah radio penyiaran di dunia bermula seawal tahun 1919 di Belanda, dari sebuah rumah seorang jurutera di bandar Netherland. Sejarah radio penyiaran di rumah saya pula bermula 60 tahun kemudian di sebuah rumah di bandar Selayang, beribu batu dari Netherland, tetapi dekat sedikit dengan Conpenhagen, kampung Ita PTS Pro.

Bermula hari itu juga aktiviti saya selain dari menyakat adik adalah mengadap radio yang ajaib itu. Bagi saya radio itu cukup mengagumkan. Saban hari otak saya berfikir bagaimana radio ini boleh bercakap, berbual dan menyanyi-nyanyi. Sementara menunggu abang Long balik dari tadika cina, saya akan leka duduk, makan dan tidur depan radio. Itulah kerja baru saya, jaga radio. Maklumlah, pemohonan untuk masuk tadika belum diluluskan oleh UPU.

Saya tidak pernah bertanya abang Long atau ayah atau emak macam mana radio ini boleh berbunyi. Agaknya kalau saya bertanya munkin ayah akan menjawab: “Alat ini menerima pancaran gelombang maya transmisi elektromagnatik melalui jaringan tanpa kabel dari stesen penyiaran yang memancarkan mesej dalam bentuk digital menggunakan pemancar Marconi...” Jawapan yang pasti akan melopongkan mulut saya, mengalahkan badak air yang kelemasan.

Kendati pun begitu, abang Long bermurah hanti memberikan penjelasan ringkas dan boleh diterima oleh akal saya (pada waktu itu). Kata abang Long: “Angah tahu tak? Dalam radio ini ada ramai orang kenit. Dia oranglah yang menyanyi dan bercakap.”

Alkisah, bertambah takjublah saya mendengar penjelasan abang Long yang bijaksana itu. Saban hari juga saya terfikir dan terbayang gelagat orang-orang kenit yang berada dalam radio. Saya bukan setakat mendengar radio, tetapi saya sudah boleh visualkan gelagat orang-orang kenit itu.

“Tentu meriah suasana dalam radio ini.” Bisik hati kecil saya yang kecil dan tembam itu.

Suatu hari, sedang saya bermain terdengar emak menjerit: “Angah! Mari sini!” Apabila melihat saya datang, emak berkata lagi dengan bercekak pinggang: “Kenapa radio ini basah? Air yang Angah minum tumpah ke?”

“Tidak.” Jawab saya ringkas, tanpa sebarang emosi.

Emak yang tidak berpuas hati bertanya lagi: “Habis itu, kenapa ada air kat sini?” sambil menundingkan jarinya ke arah radio.

“Ooo... air itu? Angah siram radio tu!” Jawapan yang cukup membuatkan mata emak terbeliak besar.

Astaghfirullahal 'azim! Bertuah punya budak! Apa pasal bijak sangat ini?” tanya emak yang segera mengelap radio itu dengan tuala kecil adik, sambil tangan sebelahnya mencubit lengan saya yang gebu itu.

“Along kata dalam radio itu ada orang kenit. Jadi Angah nak bagi dia mandi. Dia mana pernah mandi!” Saya cuba membela diri sambil melalak mengalahkan penyanyi Jeffrydin.

Hari itu juga pada pertengahan tahun 1979, di sebuah rumah di bandar yang beribu batu jauh dari Conpenhagen, tamatlah sejarah radio pertama di rumah saya.

Wednesday, May 23, 2007

Syukur

Kelmarin 1.2 juta kakitangan awam mendapat durian runtuh. Gaji naik antara 7.5 peratus hingga kepada 35 peratus. Ada yang memberi pelbagai respon, baik negatif atau positif. Ada yang kata ini antara tanda kerajaan prihatin, ekonomi bertambah baik, pilihanraya semakin dekat, harga barang akan melambung terutama selepas pilihanraya nanti dan sebagainya.

Walau apa pun tujuan kerajaan berbuat demikian, masing-masing punyai tafsiran dan ramalan tersendiri. Namun, yang paling penting ialah mengucapkan sebanyak-banyak pujian buat Allah yang memberikan rezeki melalui hamba-hambanya. Setinggi-tinggi syukur atas segala ni'mat dan rezeki yang Allah kurniakan kepada kita. Kata professor Abu Hamid al-Ghazali (450-505 AH/1058-1111 AD) , kita perlu bersyukur kerana 2 perkara:

1. Supaya ni'mat yang diperolehi itu berkekalan
2. Supaya ni'mat itu bertambah

Allah memberi peringatan dalam al-Quran: "Sekiranya kamu bersyukur, aku akan tambahkan nikmatku untuk kamu, dan sekiranya kamu kufur maka azab aku amat pedih"

Kata Imam Ghazali lagi, syukur kepada Allah itu ada 2 perkara:

1. Mengingati Allah (solat, zikir, melaksanakan suruhannya dsb)
2. Jauhi kemungkaran (ingkar kepada segala perintah Allah dsb)

Justeru apabila mendapat ni'mat, yang pertama dilaksanakan adalah bersyukur. Bersyukur tidak semestinya berterima kasih kepada orang yang memberi kerana jika orang yang memberi itu ikhlas, dia pasti akur dengan ayat Allah dalam surat al-Insan ini : "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah, kami tidak perlu sebarang balasan dari kamu walaupun ucapan terima kasih."

Walahu'alam (Allah lebih mengetahui).

Tuesday, May 22, 2007

Jangan Tengok Belakang

Ini rakaman kisah dua orang pemuda menaiki kereta pulang dari kota ke Selama di tengah malam, melalui hutan simpan Pondok Tanjung, Taiping, Perak.

“Mael, awak jangan pandu laju sangat. Takut ada binatang tidur tengah jalan nanti tidak sempat pula elak.” Kata Adi kepada Mael yang memandu kereta.

“Jangan risau Adi, insya’Allah, saya lebih berhati-hati apabila memandu malam-malam buta macam ini.” Jawab Mael, sambil meperlahankan sedikit keretanya.

Adi yang merenung jauh kehadapan tiba-tiba bersuara : “Mael, cuba lihat di hadapan itu. Nampak macam ada orang tua sedang menolak motor. Cuba perlahankan sedikit kereta ini, manalah tahu kalau-kalau ada orang perlukan pertolongan.”

“Awak biar betul Adi. Tengah-tengah hutan macam ini mana ada orang siuman berani sorang-sorang tolak motor? Saya berasa tidak sedap hati.” Walaupun keberatan Mael tetap memperlahankan motornya dan berhenti di tepi orang tua yang sedang sedikit termengah-mengah menolak motor buruknya.

“Assalamu’alaikum pakcik. Nak kemana malam-malam buta ini? Motor pakcik rosakkah?” Tegur Adi ramah setelah menurunkan tingkap kereta.

Pakcik itu kelihatan sedikit terperanjat. Sambil tersenyum dia menjawab: “Wa’alaikumussalam. Motor pakcik ini rantainya putus. Pakcik hendak balik rumah di pekan Pondok Tanjung sana.” Katanya sambil menunjuk kearah pekan kecil yang lebih kurang 10 kilometer dari situ dan lebih kurang 15 kilometer sebelum sampai ke pekan Selama.

“Kalau begitu, pakcik tinggal dulu motor di sini. Esok pagi boleh ambil. Kami pun memang lalu Pondok Tanjung, nanti boleh turunkan pakcik di sana.” Adi beriya-iya hendak menolong pakcik itu tanpa berunding dengan Mael terlebih dahulu. Hatinya tidak mempunyai sebarang prasangka.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, pacik tua itu segera menyandarkan motor buruknya di sebatang pokok dan kemudian masuk ke dalam kereta itu. Adi yang dari tadi tidak sedap hati hanya mendiamkan diri. Sambil itu hatinya mula membaca ayat-ayat Quran. Dia tidak lagi memandu selaju tadi.

Pakcik tua itu duduk bersandar di kerusi belakang. Sesekali apabila Mael menjeling ke cermin belakang, dalam samar-sama cahaya bulan mengambang, kelihatan pakcik itu hanya tersengih.

Adi cuba beramah mesra dengan pakcik tua: “Pakcik memang biasa jalan seorang diri malam-malam macam ini?”

“Tidak juga. Kebetulan malam ini ada kenduri di rumah kawan. Pakcik jadi penanggah, itu yang lewat sikit balik” Jawab pakcik itu panjang lebar. Memanglah dia seorang peramah.

“Pakcik tidak takutkah jalan seorang diri lalu hutan tebal ini” tanya Adi, sekadar bermesra, tanpa sebarang prasangka. Mendengar pertanyaan Adi itu, Mael terus menjeling ke cermin belakang. Pakcik tua itu tersenyum lebar. Hati Mael semakin tidak tenteram.

“Pakcik sudah biasa. Lagi pun apa yang hendak ditakuti.” Jawab pakcik itu ringkas.

Sebelum sempat Adi bertanya lagi, tiba-tiba pakcik tua memegang kerusi di bahagian bahu kanan Adi. Dia kelihatan seperti hendak membongkokkan sedikit badannya ke hadapan. Sambil itu dengan suara sedikit tertahan seperti ada batu di kerongkongnya, dia bertanya: “Anak berdua ini tidak takutkah jalan malam-malam dalam hutan tebal ini?”

Adi terdiam mendengar soalan itu. Mael cuba memandu sebaik munkin. Mulutnya semakin berkumat kami membaca ayat Quran. Sebelum sempat Adi menjawab, tiba-tiba mereka terhidu bau busuk dari arah belakang. Bau busuk itu semakin kuat hingga mencucuk hidung mereka. Adi yang tadi cukup perama menjadi kelu tidak terkata. Tangan kirinya memegang tombol pintu, bersedia untuk melompat keluar jika perlu. Mael cuba bertenang dan berusaha mengawal kenderaan dengan baik. Sambil mulutnya terkumat-kamit, dia cuba memberanikan diri menjeling ke cermin belakang.

Adi berbisik perlahan: "Mael, jangan tengok belakang!"

Mael tidak peduli kata-kata Adi. Dia terus menjeling ke cermin. Mael melihat pakcik itu masih ada di belakang. Tetapi kali ini senyumannya semakin lebar sehingga menampakkan giginya yang rongak dan tidak tersusun. Cukup meremangkan bulu roma dan menegangkan saraf tunjangnya.

Dalam ketika jantung kedua-dua anak muda itu berdegup kencang, tiba-tiba kedengaran suara dari arah belakang: “Pakcik minta maaf, terbuang angin! Pakcik banyak makan petai di rumah kenduri tadi.” ...


P/s: Saya pasti cerita seperti ini juga tidak berjaya melepasi penilaian editor kanan PTS Fortuna, cik Syikin yang sedang bergaya dengan cermin mata baru itu.

Sunday, May 20, 2007

Bengkel Cerita Fantasi

Kira-kira 14 jam yang lepas, di Sekolah al-Ikhlas, SifuPTS berkata dihadapan penuntut-penuntut UNIKA:

"PTS akan menerbitkan cerita-cerita hantu."

Sekalian penuntut hanya diam, sepi. Si Naganaga dan kuncu-kuncunya tersenyum sambil bebisik-bisik. Saya, meneguk air mineral, membasahi tekak yang belum bersarapan, walau secawan milo panas. Syikin terjenguk-jenguk dipintu kelas, sambil membetulkan cermin mata barunya.

SifuPTS berkata lagi: "Tetapi, buku cerita hantu PTS ini tidak akan menyebabkan pembaca takut kepada hantu. Sebaliknya, mereka akan menjadi bertambah berani dan yakin bahawa hantu atau jin itu amat takut kepada orang yang beriman. Sekaligus cerita ini mengajak pembaca mendekati Tuhan dan mengilangkan kepercayaan tahayul, khurafat serta menjauhi sebarang unsur syirik yang ada dalam jiwa sesetengah pembaca."

Sementara Sifu menerangkan dengan panjang lebar konsep buku cerita fantasi PTS, Si Naganaga sibuk mengusik teman-temannya. Syikin masih setia menjadi penjaga pintu. Saya, melayan fikiran yang mula menerawang jauh kebelakang. Selain terfikir tentang keenakan biskut kering yang dicicah dengan milo panas, saya mengeheret kenangan peristiwa lama.

Kira-kira 17 tahun lalu, di sebuah sekolah di pinggir kampung, di dewan makan asrama lelaki.

"Azri, bagus juga idea awak belajar di dewan makan malam-malam ini. Tidaklah bising sangat macam dekat kelas tu. Udara pun nyaman." Ujar saya kepada Azri, teman setia setiap kali mengulang kaji pelajaran di asrama.

"Itulah Ris, sudah lama saya ajak studi di sini, tetapi sombong, jual mahal. Awak lebih rela belajar dalam kelas yang panas dan bising itu." Jawab Azri sambil tersengih, seolah-olah memulangkan paku buah keras kepada saya.

Sedang kami asyik menyiapkan kerja sekolah masing-masing, saya terdengar suara sayup-sayup: "Tolong... tolong... tolong"

Saya cuba mengamati punca suara itu dan jelas ia datang dari arah padang di tepi dewan makan. Ini sudah cukup meremangkan bulu roma kerana, di tepi padang itu terletaknya tanah perkuburan dan tidak ada sebarang rumah orang di situ.

Sekali lagi kedengaran: "Tolong... tolong...tolong..." Kali ini suara seperti wanita tua itu semakin jelas dan mendayu-dayu.

Saya berpaling kepada Azri yang kelihatan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Melihat Azri yang tenang itu hati kecil saya berkata: "Agaknya ini semua perasaan saya sahaja. Bulan puasa mana ada hantu. Semua sudah kena ikat!" Saya cuba menenangkan hati dan menumpukan perhatian kepada latihan matematik yang cukup memeningkan kepala itu.

"Tolong... tolong.. tolong.." Kali ini suara itu semakin jelas seolah-olah yang empunya suara bergerak menghampiri kami pula.

"Ris, Awak tidak ada dengar apa-apakah?" Suara Azri yang perlahan itu sudah cukup menegangkan urat-urat nadi di tengkuk saya.

Saya masih membuat kerja sekolah. Sambil itu dengan suara yang dibuat-buat tenang saya berkata: "Ada juga dengar... Tetapi, bukankah sekarang ini bulan puasa? Mana ada..." Saya tidak sempat menghabiskan kata-kata apabila melihat Azri lari lintang pukang meninggalkan saya.

"Woittt! Azri, kalau ya pun, tunggu lah saya!" Saya tidak menunggu lama untuk menjejak langkah seribunya.



P/S: Cerita macam ini sah tidak boleh lepas lembaga penapis PTS Fortuna.. errr.. tidak begitu cik puan editor, Syikin?

Saturday, May 19, 2007

Berbuat Baik,

Pesan Nabi Muhammad kepada kita yang direkodkan oleh Imam Muslim, sarjana agung perekod hadis:

* Sesiapa yang mengajar sesuatu perkara yang baik, dia mendapat ganjaran kebaikan
* Setiap kali ada orang yang mengamalkan apa yang diajarnya, dia turut mendapat ganjaran tanpa sedikit pun mengurangkan ganjaran orang yang mengamalkannya.
* Sesiapa yang mengajarkan sesuatu perkara jahat adalah berdosa.
* Setiap kali ada orang mengamalkan ajarannya itu, dia juga turut menanggung dosa seperti orang itu tanpa sedikit pun mengurangkan dosanya yang sedia ada.

P/s: Apabila berbuat perkara yang baik, ajak, ajar dan sebar kepada orang lain walau sekecil mana pun... Tetapi, apabila terasa nak buat jahat atau apa-apa yang ditegah agama, buatlah seorang diri dan jangan bangga cerita kat orang lain. Sebab?.. nanti sambung episod seterusnya..

Friday, May 18, 2007

Teka Teki : The Revenge

Dalam perjalanan pulang mengambil anak-anak dari pusat jagaan, saya bertanya kepada Kak Yong yang sedang leka bermain patung spiderman dengan Abang Chor di tempat duduk belakang. Isteri saya di sebelah memangku Sameer yang tersengih sorang-sorang dan mengeces (ayaq liuq meleleh).

"Kak Yong, baba nak tanya. Apa dia benda yang bulat tetapi tengah dia tidak boleh dimakan?"

"Donut lah!" Jawab Kak Yong sambil tersenyum panjang. Munkin dia sangka saya ingin mengulangi teka tekinya tempoh hari.

"Salah! Cuba teka lagi." Giliran saya pula yang tersenyum panjang.

"Entah, Kak Yong tak tahu. Baba cakaplah!" Kak Yong lebih cepat mengalah dari saya.

"Jawapannya ialah... tayar!" Jawab saya sambil menjeling ke cermin belakang. Melihat Kak Yong berkerut dahinya seperti tidak faham dengan jawapan saya.

"Tayar itu kan tengah-tengah dia ada besi. Mana boleh makan besi itu" Saya menerangkan kepada Kak Yong sambil ketawa kecil. Kak Yong turut ketawa apabila mendengar penjelasan saya. Tidak tahulah sama ada dia faham atau tidak. Yang pasti kekalahan saya tempoh hari sudah tertebus!

"Baba! Habis itu yang
kat tepi tayar itu boleh dimakan ke?" Isteri saya yang tiba-tiba bertindak sebagai juri itu menyuarakan bantahannya.

Senyuman sumbang saya semakin meleret. Saya hanya berkata: "Minta maaf, keputusan pertandingan adalah muktamad, segala bantahan tidak dilayan!"

Pak-chat

Pak Chat atau Pacat atau nama saintifiknya Haemadipsa Javanica (bukan keturunan Jawa) ialah sejenis binatang penghisap darah yang amat digeruni oleh mereka yang hendak memasuki hutan. Tahap kegerunan seseorang terhadap binatang kecil molek ini adakalanya melebihi tahap kegerunan terhadap harimau, ular gajah atau pun badak sumbu. Kerana itulah setiap kali seseorang hendak memasuki hutan mereka akan bertanya: "Ada pak-chat tak?" Amat jarang sekali anda berjumpa dengan makhluk yang bertanya: "Ada harimau tak di sana?" Atau sekiranya anda bercerita tentang harimau, audien anda akan senyap sepi tetapi sekiranya anda bercerita tentang keenakan sate pacat... pasti anda mendapat jawapan berbunyi.. “eeeiiiiii... wek..wek..!” Oleh itu hati-hati apabila bercerita tentang pacat.

Apa yang membuatkan pacat ini sangat digeruni adalah mungkin kerana rupanya yang comel lote dan fitrahnya yang gemar menghisap darah.

Pacat mudah didapati di kawasan yang bersuhu rendah dan lembap. Biasanya pacat akan bergayut atau menunggu di dedaun, kayu, rerumput dan dimana sahaja kawasan yang menjadi laluan mangsanya. Apabila mangsa yang telah dikenal pasti itu melintas dihadapannya, akan segera berduyun-duyunlah gerombolan pacat berlari terhinjut-hinjut, melompat atau menyambar apa jua anggota dan pakaian mangsanya. Pacat menggunakan mulutnya yang ibarat penyedut hampagas itu untuk bergayut. Badan pacat ini terbahagi kepada beberapa abdomen yang mengandungi 34 anggota penyedut yang bersambung ke mulutnya.

Apabila menemui bahagian anggota yang sesuai, pacat akan mula menekapkan mulutnya yang bertaring halus itu kepada kulit badan dan mengoyakkannya. Sambil itu, air liurnya yang mengandungi sejenis cecair hirudin bertidak sebagai agen anticoagulant atau pencair darah. Air liurnya juga mengandungi ‘ubat bius’. Fungsi kedua-dua bahan ini adalah, apabila darah keluar, mangsa tidak akan menyedarinya. Darah juga mudah disedut dan tidak membeku yang mana boleh membantutkan selera pacat itu.

Walau pun pacat amat digeruni oleh sesetengah homosapien selain dari spesis adam, ia mempunyai permintaan yang tinggi dalam pasaran dunia. Pacat kini diternak secara besar-besaran terutama di negara China untuk tujuan perubatan.

Panjang lagi cerita tentang pacat ini. Tetapi, cukup sampai disitu sahaja. Buat mangsa-mangsa pacat atau bakal mangsa pacat, pastikan apabila keluar dari hutan, pakaian dan tubuh anda secara keseluruhannya diperiksa. Kerana anda tidak akan sedar di mana pacat itu berkenduri.

Apa bila menemui pacat di tubuh anda, petua pertama dan paling penting ialah tolong... jangan menjerit! Ini akan menyebabkan suasana sekeliling menjadi panik, tetapi bukan kepada pacat.

Jangan lekas menarik pacat atau menabur garam atau mencucuhnya dengan putung rokok. Cara ini boleh menyebabkan pendarahan yang lebih serius dan bakteria yang terdapat di dalam pacat akan keluar serta menyebabkan infeksi kepada luka anda. Cara yang paling baik adalah meletakkan salap panas atau sebarang heat rub. Pacat yang terasa bahang menthol akan jatuh ke tanah.

Atau pun cara yang lebih harmoni adalah menunggu pacat tersebut kenyang. Ini kerana berbeza dengan lintah, pacat yang kekenyangan akan menjadi gemuk (dan sangat gemuk) serta jatuh ke tanah.

Bagi mengelakkan menjadi mangsa pacat pula, anda boleh menggunakan teori dan teknik ini:

  1. Pastikan anda memakai kasut bersetokin yang menutupi keseluruhan anggota anda khususnya aurat wajib dan sunnah.

  2. Sapukan air tembakau keserata pakaian anda, atau

  3. Gunakan racun serangga berjenama Baygon untuk membunuh lipas etc, (bukan untuk nyamuk) yang berwarna hijau. Semburkan keseluruh anggota yang disyaki berpotensi menjadi tempat pacat hinggap dan bergayut. Awas, jangan sembur di kulit anda khususnya di bahagian muka dan anak mata.

  4. Sekiranya anda bergerak dalam barisan secara berkumpulan, pastikan anda berada di bahagian belakang. Ini kerana mangsa-mangsa di hadapan biasanya menyapu bersih pacat-pacat yang menanti, kecualilah jika pasukan bantuan pacat itu sempat tiba apabila anda lalu.

Petua diatas adalah antara petua yang pernah digunakan hampir 10 tahun dahulu dan tidak dikemas kini. Oleh yang demikian, penulis melepaskan diri dari sebarang tanggungjawab sekiranya petua tersebut tidak menjadi. Kegagalan petua ini mungkin boleh disebabkan pacat era siber kini sudah semakin bijak dan perpelajaran tinggi.

Walau bagaimana pun bagi anda yang terlalu alergi dengan pak-chat ini, petua yang paling berkesan ialah, tidak payah masuk ke dalam kawasan habitat pacat seperti: hutan, lembah, kawasan lembap, dsb. Lebih baik duduk dirumah dan baca buku PTS. Wallahu’alam.

Thursday, May 17, 2007

Mata Kucing

Satu masa dulu, dalam tahun 80an kami pernah tinggal di Arab Saudi selama beberapa tahun kerana mengikut ayah bertugas untuk program usahasama RTM dan Penyiaran Arab Saudi. Pada masa itu Malaysia tidak dikenali di mata dunia. Orang-orang Saudi lebih mengenali Korea, Pakistan yang banyak membantu membangunkan negara mereka. Oleh itu mereka lebih senang menggelarkan kami 'Kuri' atau 'Paki' yg bermaksud orang Korea atau Pakistan. Di sekolah (rendah) kami adik beradik sering digelar Kuri oleh anak-anak pak Arab sekiranya mereka tidak mengetahui nama kami.

Bagi memperkenalkan Malaysia, pejabat konsul Malaysia di Jeddah (kedutaan terletak di Riyadh, ibu negara) sering menganjurkan aktiviti-aktiviti terbuka untuk orang arab. Salah satunya adalah hari keluarga Malaysia merangkap hari terbuka kedutaan. Setiap keluarga rakyat Malaysia yang tidak sampai 50 keluarga itu diarahkan membuka gerai makanan dan sebagainya yang beridentiti Malaysiana.

Kami sekeluarga menjual mee kuning (mentah), laksa Johor, nasi impit, kuah kacang, agar-agar dan air mata kucing. Semuanya di sediakan oleh emak yang memang suka memasak. Sebagai anak kedua dan yang paling suka duduk depan makanan (ehem..ehem..) maka saya diberikan tugas untuk membantu emak digerai. Abang long pula di arahkan menjaga empat orang adik-adik yang kecil.. (fuh! leganya..) Ayah sibuk dengan urusan rasminya.

Pelanggan pertama saya pagi itu ialah dua orang wanita warga asing yang saya tidak pasti berasal dari planet mana. Wajah ala Sophea Lauren dan Diana Ross. Ketika mereka singgah di gerai, hanya ada saya seorang sahaja. Emak entah ke mana pula menghilang waktu itu. Saya yang sedikit panik, cuba memberanikan diri menegur pelanggan sulung saya dalam bahasa Inggeris taraf darjah empat.

Saya: Err..uhh..errr.. Good morning madam, can I help you (ayat ini ada dalam skrip yang disediakan oleh ayah saya)
Pelanggan 1: Ohh.. Selamat pagi. Tidak mengapa, awak chakap Melayu, saya boleh faham. Cuma kawan saya ini sahaja yang tidak faham. (kata auntie Sophea Lauren dalam loghat Melayu pelat orang putih)

Pelanggan 1: Apa awak jual ini? (Sambil menunjuk kearah makanan yang terhidang)
Saya : Macam-macam ada. Ini Laksa Johor, Mee Kuning, Nasi Impit dan jelly.

Pelanggan 2: What is this? (auntie Diana Ross menunding ke dalam bekas air)
Saya : Err.. that is water? (alahai, yang ini ayah saya tidak sediakan skrip)

Pelanggan 1: Water? Air?
Saya : Yes, ini air mata kucing.

Pelanggan 1: What? Air mata kucing? (matanya terbeliak, mulut sedikit ternganga yang mengelurkan bunyi seperti orang hendak muntah)
Saya: .... (hanya memandang makcik tersebut dengan muka sepuluh sen tanpa sebarang prasangka)

Pelanggan 1 segera beredar sambil menarik tangan rakannya yang sedikit terpinga-pinga dan berkata kepadanya dengan suara separuh berbisik (tetapi saya masih dapat dengar): “Oh God! that juice is made of cats’ eye..”

Saya hanya memerhatikan telatah mereka, masih tanpa sebarang prasangka. Apabila emak datang, saya dengan bangga menceritakan kepadanya karenah pelanggan pertama saya itu. Dengan suara gelak kecil dan seyum lebar, emak menerangkan situasi sebenarnya : “Mesti dia orang itu ingat Angah ini jual air yang dikorek dari mata kucing. Lain kali katakanlah air buah mata kucing atau senang sebut air longan sahaja.”

“Laa.. mana Angah tahu. Tidak ada dalam skrip pun?” jawab saya selamba.


p/s: Selepas lebih 25 tahun berlalu, saya masih tersenyum apabila mengenangkan peristiwa itu. Saya terfikir, agaknya kalaulah hari itu emak saya buat cucur badak, jala emas atau sup cendawan telinga monyet, pasti auntie berdua itu muntah sakan....!

Wednesday, May 16, 2007

Selamat Hari Guru

Setiap kali menjelang hari guru, saya adalah antara spesis-spesis eksotik yang teruja hendak mengucapkan selamat hari guru ini.

Manakan tidak, saya banyak sangat terhutang budi, ilmu dan duit buku kerja (opss!) kepada guru-guru saya terutama ketika di sekolah menengah. Satu peristiwa yang sangat signifikan bagi saya adalah impak ramalan dan kata-kata guru ketika di tingkatan empat. Ketika itu saya baru bertukar daripada sekolah berasrama ala-ala kampung yang kecil kepada sekolah yang lebih besar, sempurna, cantik dan kantin yang lebih banyak pilihan makanan (minta maaf ya, saya tetap slim walaupun digoda oleh makanan-makanan di kantin).

Apabila tamat peperiksaan penggal, seperti biasa setiap pelajar akan menerima buku rekod prestasi. Walaupun tidak lah se-ngeri di padang Mahsyar, tetapi ia sudah cukup mengerikan bagi sesetengah makhluk... macam saya, pelajar yang baru itu. Bagi mereka yang menerima catatan prestasinya dari hadapan dan tangan kanan, dengan senyum simpul cikgu, maka berbahagialah dia. Manakala, bagi sesiapa yang menerima buku catatan prestasinya yang juga dari hadapan dan tangan kanan tetapi tanpa senyum simpul cikgu, maka nantilah leteran yang bakal menyusul.

Ibarat OKT yang sedang menunggu hukuman, saya menerima buku rekod saya dengan senyum cikgu yang sukar hendak ditafsirkan. Hemm.. macam singa di zoo. Mereka senyum bukan sebab suka, tapi tunggu masa hendak ngapp! Walau macam mana pun, jantung saya ibarat hendak luruh apabila membaca komen guru itu. Dengan gred yang warnanya macam bendera malaysia dan agregate yang hujung 20an, saya diberikan komen yang berbunyi :“Keputusan yang boleh dibanggakan, teruskan usaha anda agar semakin cemerlang”.

Nasib lah saya tidak koma disitu. Manakan tidak, itulah komentar paling indah dan puitis yang pernah saya terima sejak dari pertama kali saya menjejakkan kaki ke sekolah. Maklumlah saya ini sering terkenal di sekolah lama sebagai pelajar ‘top 5’ dalam kelas... tetapi kira dari belakang. Dan komentar guru, faham-fahamlah macam mana. Cuma hari itu, pertama kali dalam sejarah sekolah menengah, saya mendapat kedudukan ke 16, dari depan. Terlalu hebat bagi saya.

Saya pulang ke asrama pada hari itu dengan senyum yang meleret-leret macam badut sarkis. Saya perasan: “Huh, kira pandai juga saya ini rupanya.” Bermula dari hari itu, dan dengan perasaan yang perasan hebat itulah saya meniti satu-pesatu anak tangga kejaayan dan mengutip kembali estim saya yang telah lama tercicir. Tangga yang akhir sekali membawa saya menaiki pentas dan menerima anugerah sebagai salah seorang pelajar terbaik SPM 1992, SMKA Maahad Hamidiah. Impian lama yang tiga empat tahun dulu saya sangka tidak mampu dicapai. Kini, saya boleh berbangga kerana mampu juga berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan saya yang bergelar, Doktor, Assoc Prof, Engineer dsb walaupun poket ini belum setebal poket mereka...

Jutaan terima kasih tidak terhingga buat guru saya itu, Ustazah Saniah Md Isa walau di mana ustazah berada. Semoga Allah membalas jasa ustazah dengan sebesar-besar ganjaran di dunia dan di akhirat kelak. Juga buat guru-guru lain yang ibarat ibu, khususnya Cikgu Abidah Koncong, Ustazah Kamariah Isa, Ustaz Abdullah Awang dan guru-guru lain yang tidak tersebut namanya. Jazakumullahu khairan kathira juga untuk kalian semua.

Selamat hari guru buat semua guru-guru yang berdedikasi dan sentiasa memberikan ramalan positif kepada pelajar-pelajar mereka...


P/s; Paling saya tidak lupakan.. Selamat Hari Guru buat Ustazah Ruhanah Hidayah Bt Haji Abdul Halim, ustazah di SK Tmn Sri Rampai, guru dan ibu yang penyayang kepada Haura', Marwan dan Sameer.... Dan isteri tercinta kepada ehemm..ehem... saya ler..

Jual Karya

Malam ni kepala saya berdenyut lagi. Lepas solat maghrib tadi dan selepas menonton berita jam 8 saya terus terlena, di tonton TV pula. Tersedar jam 2 pagi apabila dikejutkan oleh suara merdu sang cengkerik, yang masih belum tidur. Hanya kami berdua yang masih segar di pagi-pagi buta ini. Cuma bezanya, saya sedang minum milo panas yang dicicah biskut, tetapi sang cenkerik itu hanya minum embun bujang sahaja...

Siang tadi, seharian suntuk staf editorial PTS berkampung di al-Ikhlas untuk mengikuti kelas (crash-course) undang-undang hakcipta. Disampaikan oleh Pn Nisah Haron dari Ujana Ilmu, Seremban.

Banyak maklumat bernilai yang saya dapat yang esok-esok nanti boleh dikongsi bersama rakan-rakan penulis. Ada antara maklumat itu saya sudah biasa dengar tetapi tidak selengkap yang Pn Nisah terangkan tadi. Ini kira macam buku ulang cetak tetapi, edisi kemas kini dengan tambahan isi dan cover baru. Sebagai contoh ialah tentang isu jual hakcipta.

Menurut Pn Nisah: “Setiap hakcipta dimiliki oleh penulis seumur hayatnya dan ditambah 50 tahun selepas meninggal. Penulis dan keluarganya berhak mendapat royalti sepanjang tempoh ini. Selepas tempoh perlindungan itu, karya penulis menjadi harta awam (public domain)."

"Walau bagaimana pun, sekiranya karya itu dijual (diserah hakmilik) kepada sesebuah syarikat penerbitan sebagai contoh, harta tersebut tidak akan menjadi public domain, sebaliknya menjadi hak pihak tersebut sehingga ke liang lahat. Penulis yang menjual karyanya hanya mampu melopong sehingga kiamat (ini ayat saya)” Saya yang terkebil-kebil mendengar pun turut melopong mengenangkan nasib majoriti penulis buku agama di Malaysia ini...

Saya teringat kisah lama seorang rakan yang jahil tentang dunia penerbitan ini ketika menyerahkan karyanya kepada satu penerbit buku agama (maaf, bukan PTS Islamika).

Ustaz: Tuan penerbit, saya hendak menerbitkan karya saya ini dengan tuan.
Penerbit: Ustaz, sekarang ini, buku agama orang tidak mahu baca. Tapi saya mahu kasi tolong sama ustaz juga... (muka nampak sedih dan simpati)

U: Apa macam tuan mahu buat?
P: Macam-macam ada. Beginilah ustaz, saya ambik (beli) ini manuskrip dan terbit. Saya beri ustaz sedikit duit saguhati dari saya. (sambil menulis cek dan jumlah wang yang hanya beberapa ratus RM sahaja)

U: Alhamdulillah. Terima kasih banyak-banyak tuan. Semoga karya saya ini dapat memberi manfaat kepada ramai orang.
P: Insya’Allah, saya pun cukup senangggggg hati dapat menolong ustaz. (tersenyum melihat ustaz itu beredar, dan tersenyum juga melihat satu lagi ‘telur emas’ yang menjadi miliknya)


Banyak lagi kisah yang lebih syahdu dan hiba yang pernah diceritakan kepada saya. Kisah yang turut memalitkan lumpur di muka penerbit lain yang tidak bermain lumpur. Bukan senang juga hendak membersihkan lumpur yang terpalit di muka kami-kami yang hensem ini.

Sambil menghabiskan sisa-sisa milo dan serdak biskut low-salt hi-fibre ini, saya masih terbayang betapa besarnya lopongan mulut rakan saya tadi apabila saya menceritakan tentang isu hakcipta dan jual karya ini.... nasiblah tidak masuk cengkerik!

Tuesday, May 15, 2007

Konsep Diri

Baru-baru ini saya ke Carrefour Wangsa Maju. Sambil isteri saya menolak troli yang berisi Kak Yong dan Abang Chor ke mencari stok dapur, saya menyimpang ketempat lain. Sambil mendukung Sameer, saya menghala ke sudut pameran alat-alat kesihatan Osim yang hanya selang beberapa lorong dari situ. Hajat di hati ingin mencuba alat urut kaki I-Squeeze yang dipamerkan. Urut kaki percuma, khusus untuk orang yang suka mengurut macam saya. Kononnya letih kaki sebab mendukung Sameer yang beratnya 6 kilogram itu, ceh!

Sampai sahaja di kaunter Osim, saya disapa oleh seorang gadis cina, jurujual Osim: "Encik, mahu cuba alat baru kami ini?"

Saya yang lebih bersemangat hendak mencuba I-Squeeze itu hanya menjawab acuh tidak acuh sahaja: "Alat apa itu?"

"Alat ini namanya U-Zap. Tali pinggang untuk kesihatan perut. Hari ini ada promosi. Biasa harganya RM 798.00, tetapi hari ini hanya RM 698.00. Ada hadiah percuma lagi." Jawab gadis itu panjang lebar tanpa dipinta.

Saya pantas memotong kata-katanya: "Tidak mengapa, saya hendak cuba guna mesin urut kaki ini sahaja."

Kata-kata saya itu sebenarnya ibarat menghulurkan leher ke mulut buaya kerana gadis itu dengan senyum simpul semakin bersemangat memujuk saya: "Encik, boleh duduk guna mesin I-Squeeze ini. Sambil itu saya terangkan tentang U-Zap ini. Alat ini baik untuk kesihatan. Sekiranya digunakan bersama I-Squeeze, ia sangat sesuai untuk orang yang..."

Sebelum sempat gadis itu menyudahkan kata-katanya saya menyampuk lagi: "Err.. boleh percaya ke tali pinggang ini? Nanti buat geli perut sahaja."

Rasa seperti hendak beredar. Hilang minat hendak mencuba I-Sqeeze. Tidak larat saya mendengar pujuk rayu tanpa henti gadis kecil molek itu. Sameer tidak mengendahkan urusan bapanya. Dia lebih selesa tidur dalam pelukan ayahnya yang sungguh empuk itu.

Mendegar pertanyaan yang seolah-olah mempertikaikan produknya, gadis itu dengan pantas berkata: "Encik, dua minggu lepas saya ada jual satu alat ini pada satu orang. Badan dia lagi gemuk daripada encik. Lepas dua minggu berat dia sudah turun 5 kg. Kalau encik..." Sekali lagi gadis yang memakai tag nama Susan itu tidak sempat menyudahkan kata-katanya kerana saya lebih pantas bersuara:

"Apa? awak kata saya ini gemuk ke? Siapa kata saya gemuk?" Susan tergamam seketika sebaik mendengar suara saya yang dibuat-buat serius.

Susan cuba untuk berkata lagi: "Tidak encik, sebenarnya... err.. saya... errr.."

"Tidak mengapalah. Saya tidak perlu mesin awak ini. Sebab, saya tidak gemuk dan saya memang sentiasa sihat. Terima kasih." Saya tidak memberi peluang kepada Susan untuk menghabiskan kata-katanya.

Saya beredar meninggalkan Susan yang seperti baru pulih dari 'koma' itu. Susan hanya memandang arah saya sambil mengomel seorang diri dalam bahasa Mandarin yang saya tidak faham. Sameer masih lagi lena dibuai mimpi indah.

Sambil mencari-cari isteri yang pasti sedang sibuk memilih barang untuk disumbatkan ke dalam troli, saya bermonolog sendirian:

"Hemm... jurujual ini kena belajar teori konsep diri. Mana boleh dia dengan sedap mulut mengatakan bakal pelanggannya gemuk. Setiap orang ada konsep diri, iaitu bagaimana dia melihat dirinya sendiri baik dari sudut fizikal, emosi, sosial mahupun intelektual. Biasanya setiap orang menganggap dirinya lebih dari yang sebenarnya."

"Saya tidak gemuk walaupun di bahagian perut ini kelihatan sedikit lebar dari tempat lain. Ini sebenarnya otot saya yang terserlah apabila bersenam (di meja makan).. he..he.. Kalau pun saya gemuk (yang pasti tidak) saya tetap sihat."

"Patutnya gadis itu perlu katakan: 'Encik ini lebih kurus, ramping, sihat dan segak dari seorang lelaki yang pernah beli alat ini dua minggu lepas.' Barulah kena dengan konsep diri saya. Barulah saya lebih tertarik untuk mendengar penjelasan dia. Rasanya Susan kena baca buku-buku PTS."

Sedang saya asyik bermonolog bersendirian, tiba-tiba disapa dari belakang: "Baba! kemanalah hendak diusung si Sameer itu? Orang sibuk pilih barang dengan budak-budak yang tidak reti duduk diam ni, dia boleh jalan-jalan makan angin pula dalam supermarket. Nah, awak pula tolak troli ni, biar saya dukung Sameer."

Alahai... romantiknya suara isteri saya ini. Sambil mengomel, bibirnya tidak lupa menguntumkan senyum yang menawan itu.

Monday, May 14, 2007

Teka Teki

Semalam, tengahari, saya ke Anjung Rahmat, Gombak, menjenguk bengkel penulisan untuk orang buta yang dikendalikan oleh Sifu PTS, anjuran ABIM. Saya membawa bersama dua orang permata hati saya yang merengek hendak ikut.

Ketika dalam perjalanan yang panas terik itu, Kak Yong yang suka berceloteh bertanya saya dengan manja: "Baba, tahu tak, apa benda yang bulat tetapi di tengah dia tidak boleh makan?"

Kak Yong memandang saya dengan tersengih. Abang Chor di sebelah leka memerhatikan kereta di tepi dan belakang. Cuaca berbahang dan penghawa dingin yang tidak mampu menyamankan udara dalam kereta itu ternyata tidak menggugat keseronokan kedua-dua mereka.

Saya yang sedang memandu dengan mata yang cuba melawan silau dan bahang matahari itu tersentak sebentar. Supaya tidak mengecewakannya, saya menjawab ringkas: "Bola."

"Salah." Balas Kak Yong.

"Tayar" Saya mencuba.

"Salah" Jawab Kak Yong.

"Cawan." Saya mencuba nasib lagi.

"Salah. Baba ni tidak tahukah?" Jawab Kak Yong lagi. Seakan tidak sabar dengan saya yang tidak mampu menjawab soalan semudah itu barangkali.

"Baba tidak tahu jawapannya. Apa dia Kak Yong?" Saya menyerah kalah. Sambil mata menumpukan kearah jalan dihadapan, menacari-cari Anjung Rahmat.

"Alahai, Baba ini. Itu pun tidak tahu. Jawabnya ialah Donut! Sebab, donut di tengah-tengah dia tidak ada apa-apa. Jadi, mana boleh makan!!" Senyum Kak Yong semakin lebar. Dia cukup seronok agaknya kerana dapat mengenakan Baba dia dalam panas terik ini.

"Eh, Dunkin Donut tengahnya ada isi. Boleh dimakan apa?..." Bantahan tidak puas hati itu hanya tersimpan dalam hati sahaja. Sebaliknya saya hanya menjawab : "Pandailah Kak Yong kenakan Baba tengahari terik ini..." Senyum Kak Yong semakin meleret. Abang Chor yang tidak tahu hujung pangkal itu pun turut tersenyum manis.

Sunday, May 13, 2007

Cacing Tanah

Tadi pagi saya mengorek-ngorek tanah di hadapan rumah yang sekangkang kera itu dengan cangkul. Hasrat di hati hendak mencari cacing tanah. Bukan untuk dijadikan umpan memancing tetapi, untuk dipindahkan ke dalam pasu-pasu bunga di taman mini saya.

Cacing tanah atau nama saintifiknya Lumbricus rubellus ini banyak manfaatnya kepada tanam-tanaman. Ia berfungsi menjaga kesuburan tanah dengan cara memindahkan bahan organik di atas permukaan tanah ke lapisan bawah dan tanah di lapisan bawah ke permukaan. Lagaknya seperti mesin bajak. Cacing tanah mengorek masuk ke dalam tanah dengan cara mememakan tanah dan kemudian mengeluarkanya semula melalui duburnya. Badan cacing tanah ini ibarat straw minuman.

Apabila cacing memakan tanah, ia turut memakan bahan organik yang ada di permukaan tanah. Bahan organik ini kemudiannya dipindahkannya ke lapisan bawah tanah apabila ia turun dan bergerak merayau di dalam tanah. Ketika berpindah randah di dalam tanah, cacing tanah juga membuat membuat pori-pori yang dapat memperbaiki aerasi tanah. Selain itu tanah yang dibuang melalui duburnya juga mengandungi hormon-hormon tertentu yang baik untuk tanah dan bertindak sebagai baja semulajadi.

Banyak lagi manfaat cacing tanah ini. Itu tidak termasuk ada yang menjadikannya ubat dan juga bahan untuk melambatkan santan rosak terutama apabila membuat santan cendol. Di kalangan petani ada yang memanggilnya dengan nama Pak Tani Jr. Orang kampung saya memanggilnya Ecosystem Engineers!!

Sebut cacing tanah ini, saya teringat satu cerita yang berlaku kira-kira 6 tahun dulu. Beberapa minggu selepas saya bergelar suami. Suatu hari ketika di pejabat, saya mendapat panggilan telefon dari isteri saya yang ketika itu masih menuntut di tahun akhir UIA.

"Abang, saya dalam kelas ni. Saya hendak tanya sedikit. Apa makna tasarufat?"

Saya terkedu sekejap. Dalam keadaan saya sibuk di pejabat di tambah pula sudah lama meninggalkan bahasa Arab, dengan selamba dan penuh keyakinan (dan senyum simpul) saya menjawab "Cacing tanah..." Entah kenapa perkataan itu yang terkeluar dari mulut. Tetapi, sebelum sempat saya berkata lagi isteri saya sudah menjawab:

"Ok, terima kasih abang. Saya nak cepat ni..." Dia terus meletakkan ganggang. Perbualan tersebut tamat di situ sahaja. Saya pun meneruskan kerja-kerja di pejabat.

Sementara itu, berpuluh-puluh kilometer dari pejabat, suatu perbualan antara isteri saya dan rakan baiknya di dalam kuliah:

"Yus, abang F kata tasarufat maknanya cacing tanah. Betulkah?" Tanya isteri saya kepada rakan baiknya. Sekadar mendapatkan kepastian.

Jawab Yus yang tidak begitu yakin : "Setahu Yus, tasarufat itu maknanya perbelanjaan. Tetapi, munkin juga betul kata abang awak itu. Sebab bahasa Arab ini dalam satu perkataan ada banyak makna.." Kata-kata Yus itu menambahkan keyakinan isteri saya.

Selang beberapa minggu, isu di atas timbul semula. Suatu petang ketika saya sedang berehat membaca suratkhabar sambil menghirup secawan milo panas, isteri saya berkata: "Kuat juga ingatan abang, sudah lama habis belajar masih pandai bahasa Arab.." Senyumannya yang setiasa tidak lekang di bibir kelihatan bertambah manis apabila memuji saya.

"Huh, apa dia?" tanya saya yang agak pelik tiba-tiba di puji sedemikian. Hampir juga tersedak.

Belum sempat hidung saya kembang dipuji, isteri saya berkata lagi. Kali ini kata-katanya membuatkan jantung saya pula hampir tersedak: "Iyalah, macam mana boleh pandai bahasa Arab? sampaikan cacing tanah dalam bahasa Arab pun abang tahu. Sedangkan di tanah Arab sana mana ada cacing tanah. Waktu abang tinggal di Jeddah dulu tentu tidak pernah jumpa cacing tanah." Tidak pasti sama ada itu satu pujian, perli atau permulaan seisi interogasi.. Bertambahlah rasa hendak tersedak air milo yang dihirup.

Dengan penuh rasa serba salah dan tersengih-sengih saya berkata sambil memandangnya dengan gaya OKT (orang kena tuduh) yang meminta simpati pendakwaraya: " Errr.. sebenarnya abang melawak sahaja hari itu. Tak sangka pula sayang percaya. Abang belum habis cakap sayang sudah letak telefon..." Saya tidak sempat menghabiskan kata-kata apabila melihat muka isteri berubah menjadi merah seperti lampu merah isyarat di jalan raya. Bibir yang menguntumkan senyuman manis sebentar tadi segera bertukar menjadi seperti muncung jet pejuang MIG29N TUDM yang menjadi kebanggaan negara.

Dengan sepantas pecutan jet pejuang TUDM, dia bingkas bangkit, pergi ke bilik. Saya mula dihantui rasa bersalah dan tertanya-tanya dalam hati "Besar sangat ke salah saya? Perang dunia hendak meletus ke ini?" Belum pun sempat saya berkata-kata lagi dalam hati, isteri saya datang dengan pantas dan menghulurkan telefon bimbitnya. Dia berkata : "Cepat telefon Yus, minta maaf pada dia dan kawan-kawan saya yang lain. Katakan abang yang menyebarkan ajaran sesat ini!"

Petang itu, terpaksalah saya menghabiskan masa dengan menelefon Yus. Minta maaf pada dia dan minta tolong sampaikan kepada rakan-rakan yang lain. Saya juga terpaksa membawa isteri saya jalan-jalan makan angin di luar. Makan angin sejuk supaya angin monsun timur laut yang panas cepat keluar. Cuba memujuk dia agar kembali memancarkan senyum manisnya. Sekejap sahaja. Biasalah, sekeras-keras mee maggi, kena air sejuk pun lembut juga... He..he..

Moral cerita ini: Cacing tanah sungguh bermanfaat untuk tanaman kita, tetapi jika tersalah guna boleh menjadi mudarat.

Majulah pertanian untuk negara!!

Saturday, May 12, 2007

Bahaya jika tidak faham atau jika salah faham?

Pagi tadi, seharian berbengkel - teknik bahasa moden. Disampaikan oleh SifuPTS, ibu Ainon. Ini bengkel khusus untuk menulis semula kitab klasik ke bahasa moden, supaya orang yang baca kitab klasik dapat merasai seolah-olah penulisnya masih hidup di zaman moden ini. Juga supaya pembaca tidak salah faham dengan mesej yang hendak disampaikan oleh penulis.

Kata sifu, sekiranya pembaca tidak faham, tidak berbahaya kerana dia tidak akan bertindak apa-apa. Tetapi sekiranya salah faham, itulah yang berbahaya, kerana dia akan bertindak berdasarkan apa yang dia faham. Kefahaman pembaca adalah bergantung kepada 'real world'nya, iaitu apa maklumat yang ada dalam kepalanya.

Sebagai contoh, jika dalam kitab lama (jawi) pembaca yang tidak mahir akan membacanya seperti berikut: "Hendaklah sekalian mengingati Allah apabila berjalan di atas bom yang luas"... bunyinya macam suruh pembaca jadi pengebom berani mati munkin. Sedangkan maksud sebenarnya pada ayat diatas adalah "Kita perlu mengingati Allah apabila berjalan di atas bumi yang luas"...

Dalam bengkel tadi, peserta diberi latihan menulis semula potongan dari kitab Ihya' Ulumudin, karya 'Professor Emeritus' Abu Hamid Al-Ghazali (Imam al-Ghazali), ada potongan ayat yang berbunyi "... Sesungguhnya ahli pasar itu tidak bersembahyang" Hemm... mungkin ada orang yang bekerja di pasar terasa dengan ayat ini? seolah-olah semua pekerja pasar tidak sembahyang, atau pun janganlah bekerja di pasar. Saya tidak pasti apa makna ahli pasar di sini. Konsultan kami, Ustaz Dr Arief, juga tidak pasti. Kami perlu rujuk semula dengan kitab asal dalam bahasa Arab bagi memastikan apakah makna sebenar.

Jika tidak faham tidak mengapa. Tetapi, jika salah faham... bahaya juga, boleh jadi fitnah dan konflik... munkin ini antara sebab ada golongan yang menentang kitab besar ini dan penulisnya. Wallahu'alam (Allah lebih mengetahui)

Friday, May 11, 2007

Sakit Kepala

Hari ini saya bekerja dari rumah sahaja. Pagi tadi datang sekejap ke pejabat untuk mengambil beberapa bahan bagi menyiapkan tugasan yang tertangguh dek berkampung di PWTC.

Sakit kepala sejak lepas pesta buku semakin menjadi-jadi. Kalau sebelum ini sakit kepala ini boleh reda dengan minum air 100plus atau tidur sebentar, tetapi kali ni saya perlu makan panadol aktifast. Setiap biji Panadol itu mengadungi 500mg paracetamol. 2 x ganda banyaknya dari panadol yang biasa. Ikut arahannya saya perlu makan 2 biji, tetapi saya hanya berani makan satu biji sahaja. Takut juga badan ini nanti jadi kebal dengan ubat. Macam-macma cerita yang saya dengar tentang kesan sampingan Panadol.

Ketika sedang sakit kepala ni saya akan teringat pada petua emak. Biasanya apabila kami adik beradik sakit kepala atau demam, emak tidak cepat bawa berjumpa doktor. Sebaliknya dia akan gunakan petua tradisional turun temurun. Emak akan lumurkan kepala kami dengan minyak masak yang dicampur dengan hirisan bawang merah dan dibaca sepotong ayat al-Qur'an : ayat 69 surah al-Anbiya'. Alhamdulillah petua emak biasanya menjadi. Jadi, kami jarang jumpa doktor kecuali jika sakit yang melarat atau jika emak tidak ada petuanya.

Terima kasih atas 1001 petua emak. Kini saya banyak amalkannya apabila permata-permata hati saya sakit kepala atau demam... selain dari makan ubat doktor. Cuma untuk sakit kepala yang kali ini, sudah hampir seminggu masih tidak hilang. Kulit kepala ni sudah semakin tebal agaknya!!

Selamat Hari Ibu

Selamat hari ibu sedunia.

Khusus buat bonda Hjh Sa'diah, yang melahirkan diri ini 31 tahun, 10 bulan yang lalu.. Yang dengan penuh sabar dan kasih sayang membesarkan diri ini yang dari sebesar 2-3 jengkal (tak cukup bulan) hinggalah sebesar... berjengkal-jengkal ni.. Hemm.. bukan senang nak besarkan anak emak yang satu ni.. cukup memeningkan kepala.. biasalah, budak baik.

Juga buat isteri tersayang, Hidayah, yang menjadi ibu kepada 3 orang permata hati yang comel lote dan cukup... baik. Hemm... sekarang ini giliran diri ini pula merasakan bagaimana peningnya kepala emak dulu hendak melayan karenah kami 6 beradik, terutama 3 orang 'sang wira waja'. Kini, apabila melalui pengalaman membesarkan anak-anak, membuatkan saya lebih menghargai jerih peritnya emak membesarkan kami dulu. Patutlah, nabi Muhammad apabila ditanya siapakah yang perlu dibuat baik, beliau menjawab 'ibu' sebanyak 3 kali sebelum menyebut bapa.

Bapa disebut kemudian agaknya sebab, biasanya tangisan anak di tengah malam adalah ibarat dodoian indah yang semakin melenakan tidur, tapi buat ibu ia ibarat jam loceng yang menyetak mimpi-mimpi indah (err.. kalau sempat bemimpi). Mungkin tidak semua bapa sedemikian, tetapi ini respon dari isteri saya setiap kali kami dapat baby...he..he..

Buat semua ibu di dunia ini, selamat hari ibu. Semoga Allah membalas jasa, budi dan kesabaran kalian dengan ni'mat iman dan sebesar-besar ganjaran di akhirat kelak.

Rindu Ibu
(A. Samad Said)


Menjejak album kasih
terkelip kenang jernih
terimbas mata bening
cerdik tidak tersaing

Rengek seorang bayi
di tengah dini sepi
senyumnya dalam mimpi
sungguh menyentuh hati

Rindu seorang ibu
akan bayi lenanya
menyebabkan diriku
turut terharu sama

Wednesday, May 9, 2007

Apa itu Qana'ah?

Qana'ah ialah menerima dengan cukup.

Menurut Prof. Dr. Hamka dalam bukunya; Tasauf Moden, Qanaa'ah ialah kekayaan yang sebenarnya bagi seorang insan. Ada 5 elemen yang terkandung dalam Qana'ah ini, iaitu:-

1. Menerima dengan rela apa yang ada
2. Memohon kepada Tuhan dan berusaha
3. Sabar atas segala ketentuan Tuhan
4. Bertawakal kepada Tuhan
5. Tidak mudah tertarik dengan tipu daya dunia

Nabi Muhammad ada menyebut tentang beberapa perkara yang berkaitan dengan Qana'ah ini:

"Kekayaan itu bukan kerana banyak harta, tetapi, kekayaan itu adalah kekayaan jiwa"

"Qana'ah itu ialah harta yang tidak akan hilang dan harta yang tidak akan lenyap"

"Sekiranya kamu reda dengan apa yang Tuhan berikan kepada kamu, maka kamu menjadi orang yang paling kaya"

Tuesday, May 8, 2007

Mission Accomplished

Semalam (6 Mei) tamatlah sudah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di PWTC kira-kira 10 hari. Sehingga semalam jualan syarikat jauh melebih sasaran. Segala pujian buat Allah. Berkat usaha tanpa jemu semua warga PTS sejak 6 tahun dulu, sokongan dan doa dari penulis-penulis serta mereka yang terlibat dengan kami secara langsung atau tidak, PTS semakin berkembang dengan pantas.

Pesta buku kali ini juga menyaksikan jumlah pengunjung yang semakin ramai. Dianggarkan sehingga semalam PBAKL 07 sudah menerima lebih 1 juta pengunjung. Di antara jutaan pengunjung itulah yang menyesakkan gerai PTS! Antara gerai yang tidak sempat lenggang khususnya bahagian buku/novel remaja & kanak-kanak. Hemm.. siapa kata rakyat Malaysia tidak minat membaca? Kalau rakyat Malaysia tidak minat membaca, pasti kami tidak boleh cari makan. Pasti staf PTS yang tidak sampai 10 orang enam tahun dulu ketika saya mula menyertai PTS tidak bertambah hingga 50 orang seperti hari ini.

Ketika pesta buku lima tahun dulu, seorang eksekutif jualan PTS pernah mengadu kepada saya. Katanya seorang kontraktor buku yang terkenal bertandang ke gerai PTS dan dengan nada sinis berkata kepada beliau: "Bolehkah jual buku-buku Melayu ini? Adakah orang hendak beli?"

Jawab Eksekutif jualan tersebut kepada kontraktor itu: "Insya'Allah industri buku bahasa Melayu ini sedang berkembang dan apabila ada orang tahu PTS ada buku-buku yang berkualiti, dan menarik, pasti mereka akan serbu!"

Ketika itu gerai PTS hanya sebuah, dan terselit di antara puluhan gerai-gerai gergasi penerbit antarabangsa. Selepas 5 tahun gerai PTS pula yang menjadi antara gergasi PBAKL!

Tahniah buat semua warga PTS (termasuk saya kot? he..he..). Sekalung budi buat semua penulis-penulis PTS khususnya mereka yang menemani petugas-petugas PTS dari mula pesta buku. Nama-nama seperti Pn Saridah (yang demam juga akhirnya), Pn Engku Zee (yang ditemani suami yang demam), Pak Latip, En Sham Abd Kadir, Solehuddin, Kang Razi (ngentek ke beras), Faizal Dzastrik, Fadzli Yusof, Umi Kauthar dan ramai lagi (yang tidak tersebut nama di sini) adalah antara mereka yang rela mengorbankan masa dan keselesaan berada di rumah untuk turut memeriahkan gerai PTS yang sentiasa meriah.

Buat semua petugas dan warga kerja PTS khususnya yang lebih seronok (dan terpaksa) berada di gerai daripada berada di rumah, semoga Allah jua membalas setiap titik peluh saudara-saudara semua dengan sebesar-besar ganjaran di akhirat kelak. Tahniah dan terima kasih kerana menjadikan gerai PTS sentiasa meriah. Tahniah juga kerana keramahan, keceriaan, senyuman kalian yang tidak pernah lekang di bibir seharian suntuk walaupun keletihan, demam, sakit pinggang, sakit lutut, sakit kepala, sakit tekak dan nasib tak ada yang kena gastrik, sentiasa mewarnai gerai PTS. Tidak lupa, juga orang kuat yang tanpa kalian 'supply' buku ke gerai pasti tergendala iaitu : Sdr Azari & Sdr Hakimi dari bahagian jualan yang sentiasa menerangkan gudang PTS sehingga lewat malam, menyelesaikan tugasan dibalik tabir. Terima kasih kerana saudara-saudara semua masih bersemangat bersama perjuangan PTS (ada yang sudah mula kerja hari Isnin walaupun dapat cuti ehsan).

Buat pengunjung semua, terima kasih daun keladi, tahun depan beli buku di gerai PTS lagi...

Ini pautan ke album foto suasana gerai PTS. Ehsan beberapa orang teman...

www.darikawan.com
http://picasaweb.google.com/hishamsalmin/PestaBuku2007

Lensa Shaza (HRD PTS)
http://picasaweb.google.com/c4kcib0/KLIBf2007PartUn
http://picasaweb.google.com/c4kcib0/KLIBfPartDeux

Lensa Pn Saridah (penulis)
http://www.slide.com/r/JCr9r1h44T9h4ziXvADUyYmhxXKrwPuP?view=large


Lensa Kang (penulis)..
http://armansur.com/viewtopic.php?forum=1&topic=152

Saturday, May 5, 2007

Unta Menangis

Nabi-nabi dikurniakan Allah dengan kemampuan melakukan perkara ajaib bagi membuktikan mereka adalah utusan Allah. Keajaiban ini dinamakan mukjizat. Salah satu keajaiban nabi-nabi adalah boleh berkomunikasi dengan binatang. Nabi Sulaiman cukup terkenal dengan mukjizat ini. Selain beliau, nabi Muhammad juga boleh berkomunikasi dengan binatang.

Seorang sahabat nabi Muhamad iaitu Abdullah bin Jaafar melaporkan, nabi Muhammad pernah bercerita kepadanya tentang bagaimana seekor unta yang mengadu dizalimi tuannya. Peristiwa tersebut berlaku ketika nabi Muhammad sedang berehat di kebun kurma. Nabi Muhammad memberitahu Abdullah, beliau suka pergi ke tempat yang tenagn seperti di kebun kurma apabila hendak merehatkan fikiran.

Menurut nabi Muhammad, suatu hari beliau pergi ke kebun milik seorang penduduk Madinah. Ketika berada dalam kebun tersebut, beliau melihat ada seekor unta sedang ditambat. Unta tersebut kelihatan sedang resah dan tidak selesa. Beliau datang menghampiri unta tersebut. Sebaik menyedari kehadiran nabi Muhammad, unta tersebut mula menangis teresak-esak dengan air mata yang bercucuran.

Beliau cuba memujuk dan menenangkan unta itu. Diusapnya telinga unta itu perlahan-lahan. Unta itu senyap seketika dan tenang apabila diusap lembut. Ia kemudian memandang nabi Muhammad dan berbisik sesuatu kepada kepada beliau.

Ketika itu, seorang lelaki datang menghampiri mereka. Nabi Muhammad menyedari kehadiran lelaki itu dan dia terlebih dahulu menegurnya:

“Saudara, siapakah pemilik unta ini?”

Lelaki itu menjawab dengan penuh hormat: “Unta itu adalah kepunyaan saya wahai nabi Allah.”

Mendegar jawapan lelaki itu, nabi Muhammad berkata: “Saudara, tidakkah saudara takut kepada Allah yang memberikan unta ini sebagai harta suadara?”

Kata-kata nabi Muhammad yang tegas membuatkan lelaki itu tesentak. Dia berasa takut kalau-kalau dia telah melakukan kesalahan tanpa disedarinya. Walaupun nada suara Muhammad tidak kedengaran seperti orang yang sedang marah, tetapi nada yang tegas itu sudah cukup buat dia rasa gentar. Dia bertanya kepada nabi Muhammad:

“Wahai nabi Allah, adakah saya sudah melakukan kesalahan?”

Jawab nabi Muhammad: “Unta ini mengadu kepada saya tentang saudara. Dia mengadu saudara tidak memberinya makan yang cukup. Saudara juga memaksanya berkerja sehingga dia terlalu penat.” Nabi Muhammad memandang tepat kewajah lelaki itu. Air mukanya seolah-olah berasa kesal dengan apa yang telah lelaki itu lakukan kepada untanya.

Mendengar kata-kata nabi Muhammad, lelaki itu berasa takut. Dia tidak sangka unta itu boleh mengadu kepada nabi Muhammad. Dengan segera lelaki itu meminta ampun kepada Allah. Dengan pantas dia mengambil rumput-rumput kering dan diberinya unta itu makan hingga kenyang. Unta itu juga diberinya rehat yang mencukupi.


Wednesday, May 2, 2007

Terima Kasih

Malam ini saya agak kepenatan tetapi gembira.

Penat
kerana hari ini sudah masuk hari ke 7 terlibat dengan pesta buku KL.. termasuk hari persiapan dan punggah memunggah barang.. jadi hari ini sudah mula rasa keletihan. Ada lagi empat hari yang perlu saya lalui di pesta buku ini.. Rasa-rasa kalau dalam cerita kartun Ultraman lampu amarannya sudah beberapa kali berkelip ni.

Gembira kerana hari ini saya sekeluarga menjamu seorang sahabat baik yang sudah beberapa kali tertangguh untuk datang ke rumah. Kali ini beliau sudi singgah makan tengahari di rumah bersama keluarganya, sebelum berangkat pulang ke kampung. Ini kira persinggahan terakhirnya sebelum dengan rasmi meninggalkan ibu kota kosmopolitan ini untuk memulakan hidup baru. Jamu nasi putih lauk masak lemak lala, sambal tumis udang, ikan goreng, telur dadar dan sambal belacan + tempoyak + ulam. Semuanya sentuhan isteri tercinta yang bertungkus lumus sejak dari awal pagi. Pagi tadi saya tidak berapa sihat, cuma sempat tolong buat air lemon yang saya perah sendiri, sampai patah ler pemerah lemon tu.. (heh, tangan terlebih power)..

Terima kasih buat isteri tercinta. Walaupun tengah kelam kabut buat persiapan untuk interview pengesahan jawatan SPP di Putrajaya esok pagi, masih bersemangat menjamu tetamu. Maaflah, suamimu ini hanya pandai bancuh air lemon.. Kelincahan adinda di dapur sudah cukup buatkan suamimu ini terlopong dan 'terberehat' di ruang tamu. Semoga Allah mempermudahkan urusan adinda esok pagi, barakah menjamu tetamu... dan senyuman manis yang tak pernah lekang di bibir.

Terima kasih kepada sahabat yang sudi bertandang ke teratak buruk kami dengan seisi keluarga. Maaf atas jamuan yang kurang sempurna, persediaan singkat. Jangan serik datang untuk datang lagi. Wishing you the very best of new life to go through dan... Jazakumullahu khairan kathira (semoga Allah memberi sebanyak-sebanyak balasan kebaikan kepada kalian).

Wallahu'alam

Ahlan Wasahlan

Assalamu'alaikum

Ini percubaan pertama untuk kembali menulis blog. Last posting rasanya tahun 2005. Dalam blog lain. Tapi bila sudah lama sangat tak menulis, lantaran hilang momentum dan kekangan-kekangan lain, blog itu saya tutup. Hari ini saya setup blog baru.. setelah berasa cemburu dan dicabar oleh rakan-rakan yang lain, saya kembali bersemangat untuk menyertai bloggers. Jadi pada malam ini bermulalah bicara pertama saya, mutiara-mutiara permata dari kediaman saya di Taman Permata... ahlan wa sahlan (selamat datang).