Tuesday, May 22, 2007

Jangan Tengok Belakang

Ini rakaman kisah dua orang pemuda menaiki kereta pulang dari kota ke Selama di tengah malam, melalui hutan simpan Pondok Tanjung, Taiping, Perak.

“Mael, awak jangan pandu laju sangat. Takut ada binatang tidur tengah jalan nanti tidak sempat pula elak.” Kata Adi kepada Mael yang memandu kereta.

“Jangan risau Adi, insya’Allah, saya lebih berhati-hati apabila memandu malam-malam buta macam ini.” Jawab Mael, sambil meperlahankan sedikit keretanya.

Adi yang merenung jauh kehadapan tiba-tiba bersuara : “Mael, cuba lihat di hadapan itu. Nampak macam ada orang tua sedang menolak motor. Cuba perlahankan sedikit kereta ini, manalah tahu kalau-kalau ada orang perlukan pertolongan.”

“Awak biar betul Adi. Tengah-tengah hutan macam ini mana ada orang siuman berani sorang-sorang tolak motor? Saya berasa tidak sedap hati.” Walaupun keberatan Mael tetap memperlahankan motornya dan berhenti di tepi orang tua yang sedang sedikit termengah-mengah menolak motor buruknya.

“Assalamu’alaikum pakcik. Nak kemana malam-malam buta ini? Motor pakcik rosakkah?” Tegur Adi ramah setelah menurunkan tingkap kereta.

Pakcik itu kelihatan sedikit terperanjat. Sambil tersenyum dia menjawab: “Wa’alaikumussalam. Motor pakcik ini rantainya putus. Pakcik hendak balik rumah di pekan Pondok Tanjung sana.” Katanya sambil menunjuk kearah pekan kecil yang lebih kurang 10 kilometer dari situ dan lebih kurang 15 kilometer sebelum sampai ke pekan Selama.

“Kalau begitu, pakcik tinggal dulu motor di sini. Esok pagi boleh ambil. Kami pun memang lalu Pondok Tanjung, nanti boleh turunkan pakcik di sana.” Adi beriya-iya hendak menolong pakcik itu tanpa berunding dengan Mael terlebih dahulu. Hatinya tidak mempunyai sebarang prasangka.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, pacik tua itu segera menyandarkan motor buruknya di sebatang pokok dan kemudian masuk ke dalam kereta itu. Adi yang dari tadi tidak sedap hati hanya mendiamkan diri. Sambil itu hatinya mula membaca ayat-ayat Quran. Dia tidak lagi memandu selaju tadi.

Pakcik tua itu duduk bersandar di kerusi belakang. Sesekali apabila Mael menjeling ke cermin belakang, dalam samar-sama cahaya bulan mengambang, kelihatan pakcik itu hanya tersengih.

Adi cuba beramah mesra dengan pakcik tua: “Pakcik memang biasa jalan seorang diri malam-malam macam ini?”

“Tidak juga. Kebetulan malam ini ada kenduri di rumah kawan. Pakcik jadi penanggah, itu yang lewat sikit balik” Jawab pakcik itu panjang lebar. Memanglah dia seorang peramah.

“Pakcik tidak takutkah jalan seorang diri lalu hutan tebal ini” tanya Adi, sekadar bermesra, tanpa sebarang prasangka. Mendengar pertanyaan Adi itu, Mael terus menjeling ke cermin belakang. Pakcik tua itu tersenyum lebar. Hati Mael semakin tidak tenteram.

“Pakcik sudah biasa. Lagi pun apa yang hendak ditakuti.” Jawab pakcik itu ringkas.

Sebelum sempat Adi bertanya lagi, tiba-tiba pakcik tua memegang kerusi di bahagian bahu kanan Adi. Dia kelihatan seperti hendak membongkokkan sedikit badannya ke hadapan. Sambil itu dengan suara sedikit tertahan seperti ada batu di kerongkongnya, dia bertanya: “Anak berdua ini tidak takutkah jalan malam-malam dalam hutan tebal ini?”

Adi terdiam mendengar soalan itu. Mael cuba memandu sebaik munkin. Mulutnya semakin berkumat kami membaca ayat Quran. Sebelum sempat Adi menjawab, tiba-tiba mereka terhidu bau busuk dari arah belakang. Bau busuk itu semakin kuat hingga mencucuk hidung mereka. Adi yang tadi cukup perama menjadi kelu tidak terkata. Tangan kirinya memegang tombol pintu, bersedia untuk melompat keluar jika perlu. Mael cuba bertenang dan berusaha mengawal kenderaan dengan baik. Sambil mulutnya terkumat-kamit, dia cuba memberanikan diri menjeling ke cermin belakang.

Adi berbisik perlahan: "Mael, jangan tengok belakang!"

Mael tidak peduli kata-kata Adi. Dia terus menjeling ke cermin. Mael melihat pakcik itu masih ada di belakang. Tetapi kali ini senyumannya semakin lebar sehingga menampakkan giginya yang rongak dan tidak tersusun. Cukup meremangkan bulu roma dan menegangkan saraf tunjangnya.

Dalam ketika jantung kedua-dua anak muda itu berdegup kencang, tiba-tiba kedengaran suara dari arah belakang: “Pakcik minta maaf, terbuang angin! Pakcik banyak makan petai di rumah kenduri tadi.” ...


P/s: Saya pasti cerita seperti ini juga tidak berjaya melepasi penilaian editor kanan PTS Fortuna, cik Syikin yang sedang bergaya dengan cermin mata baru itu.

8 comments:

saridahamid said...

Nasib baik pak cik itu kawal kualiti angin, kalau dihambur dengan angin telur busuk campur bunyi perooooooooot memanjang, mahunya pengsan!

Lain kali, jangan pandang tepi!

madoka miyajima said...

Meauwwwwwwwwww....

uwaaaaaa.....tipah tertipu..penat jer meremang bulu roma dari tadi...huhuhuhu....

ann said...

Amboi... amboi...

Makin menjadi-jadi pula Baba Marwan ni.

Rislah said...

Kak Saridah,
Hahaha, bau petai tu pun dah boleh tahan tengiknya!

Madoka @ Karam Jid,
Tu la, lain kali baca bismillah dulu..

N,
Anak borek, Baba rintik...

Unknown said...

wahahha.

ini cerita lama ahh.

tapi still, kelaka..

Rislah said...

Cakcibo,

Cerita lama kalau remix, buat edisi baru pun boleh meletup jugak maa...

Mak Lang Aja said...

Seram bila baca bahagian orang tua tu tersenyum lebar. Terbayang wajah buruk perempuan yang terserempak dengan saya di bilik mandi awam di asrama saya dulu. Lepas saya hilang takut, saya tanya semua orang, tak ada siapa pun yang mak dia datang jumpa dia malam tu (perempuan tu beritahu saya dia nak jumpa anak dia).

Err... cerita ini juga tak lepas ya En. Faris?

Rislah said...

Cik Puan Siti,

Hahaha.. itu makcik cleaner yang terlupa pakai maskara kot?.. kena tanya cik Syikin kitalah boleh lepas atau tidak...