Thursday, May 24, 2007

Sejarah

Suatu petang awal tahun 1979, ayah membawa balik sebuah benda ajaib. Sebuah benda yang mengeluarkan bunyi orang bercakap-cakap dan menyanyi. Rupanya agak besar sedikit daripada kotak kasut ayah, ada beberapa suis dan tombol pemutar. Di hadapannya juga ada jarum yang boleh bergerak macam jarum jam.

Kata ayah: “Alat ini namanya radio.”

Saya dan abang Long hanya melopong dan terkebil-kebil. Hebat juga benda bernama radio ini, boleh bercakap-cakap dan menyanyi-nyanyi dengan sendiri. Lebih hebat dari alat pemainan adik yang hanya boleh mengeluarkan suara budak menangis sahaja. Lebih hebat juga dari burung tiung apek Ah Cai, yang hanya pandai bersiul apabila diagah.

Hari itu bermulalah suasana baru di rumah saya. Walau pun ia tidaklah semeriah kehadiran adik baru dalam keluarga kami, tetapi suaranya jauh lebih merdu dari suara adik yang suka menangis dan membingitkan keharmonian jiwa saya itu...

Sejarah radio penyiaran di dunia bermula seawal tahun 1919 di Belanda, dari sebuah rumah seorang jurutera di bandar Netherland. Sejarah radio penyiaran di rumah saya pula bermula 60 tahun kemudian di sebuah rumah di bandar Selayang, beribu batu dari Netherland, tetapi dekat sedikit dengan Conpenhagen, kampung Ita PTS Pro.

Bermula hari itu juga aktiviti saya selain dari menyakat adik adalah mengadap radio yang ajaib itu. Bagi saya radio itu cukup mengagumkan. Saban hari otak saya berfikir bagaimana radio ini boleh bercakap, berbual dan menyanyi-nyanyi. Sementara menunggu abang Long balik dari tadika cina, saya akan leka duduk, makan dan tidur depan radio. Itulah kerja baru saya, jaga radio. Maklumlah, pemohonan untuk masuk tadika belum diluluskan oleh UPU.

Saya tidak pernah bertanya abang Long atau ayah atau emak macam mana radio ini boleh berbunyi. Agaknya kalau saya bertanya munkin ayah akan menjawab: “Alat ini menerima pancaran gelombang maya transmisi elektromagnatik melalui jaringan tanpa kabel dari stesen penyiaran yang memancarkan mesej dalam bentuk digital menggunakan pemancar Marconi...” Jawapan yang pasti akan melopongkan mulut saya, mengalahkan badak air yang kelemasan.

Kendati pun begitu, abang Long bermurah hanti memberikan penjelasan ringkas dan boleh diterima oleh akal saya (pada waktu itu). Kata abang Long: “Angah tahu tak? Dalam radio ini ada ramai orang kenit. Dia oranglah yang menyanyi dan bercakap.”

Alkisah, bertambah takjublah saya mendengar penjelasan abang Long yang bijaksana itu. Saban hari juga saya terfikir dan terbayang gelagat orang-orang kenit yang berada dalam radio. Saya bukan setakat mendengar radio, tetapi saya sudah boleh visualkan gelagat orang-orang kenit itu.

“Tentu meriah suasana dalam radio ini.” Bisik hati kecil saya yang kecil dan tembam itu.

Suatu hari, sedang saya bermain terdengar emak menjerit: “Angah! Mari sini!” Apabila melihat saya datang, emak berkata lagi dengan bercekak pinggang: “Kenapa radio ini basah? Air yang Angah minum tumpah ke?”

“Tidak.” Jawab saya ringkas, tanpa sebarang emosi.

Emak yang tidak berpuas hati bertanya lagi: “Habis itu, kenapa ada air kat sini?” sambil menundingkan jarinya ke arah radio.

“Ooo... air itu? Angah siram radio tu!” Jawapan yang cukup membuatkan mata emak terbeliak besar.

Astaghfirullahal 'azim! Bertuah punya budak! Apa pasal bijak sangat ini?” tanya emak yang segera mengelap radio itu dengan tuala kecil adik, sambil tangan sebelahnya mencubit lengan saya yang gebu itu.

“Along kata dalam radio itu ada orang kenit. Jadi Angah nak bagi dia mandi. Dia mana pernah mandi!” Saya cuba membela diri sambil melalak mengalahkan penyanyi Jeffrydin.

Hari itu juga pada pertengahan tahun 1979, di sebuah rumah di bandar yang beribu batu jauh dari Conpenhagen, tamatlah sejarah radio pertama di rumah saya.

2 comments:

Mak Lang Aja said...

Ha, ha, ha. Saya dulu pun sangka ada orang kenit dalam radio tu. Hingga saya bayangkan Sharifah Aini tu bila menyanyi pakai maxi merah menyala. Bila abah buka radio untuk dibaiki, lagi jelas bagi saya di mana orang kenit itu berdiri waktu menyanyi.

Rislah said...

Cik Pn Siti,

Visual orang kenit itu masih segar dalam kotak ingatan saya... menari terkinja-kinja... macam kumpulan Bonny-M