Tuesday, May 15, 2007

Konsep Diri

Baru-baru ini saya ke Carrefour Wangsa Maju. Sambil isteri saya menolak troli yang berisi Kak Yong dan Abang Chor ke mencari stok dapur, saya menyimpang ketempat lain. Sambil mendukung Sameer, saya menghala ke sudut pameran alat-alat kesihatan Osim yang hanya selang beberapa lorong dari situ. Hajat di hati ingin mencuba alat urut kaki I-Squeeze yang dipamerkan. Urut kaki percuma, khusus untuk orang yang suka mengurut macam saya. Kononnya letih kaki sebab mendukung Sameer yang beratnya 6 kilogram itu, ceh!

Sampai sahaja di kaunter Osim, saya disapa oleh seorang gadis cina, jurujual Osim: "Encik, mahu cuba alat baru kami ini?"

Saya yang lebih bersemangat hendak mencuba I-Squeeze itu hanya menjawab acuh tidak acuh sahaja: "Alat apa itu?"

"Alat ini namanya U-Zap. Tali pinggang untuk kesihatan perut. Hari ini ada promosi. Biasa harganya RM 798.00, tetapi hari ini hanya RM 698.00. Ada hadiah percuma lagi." Jawab gadis itu panjang lebar tanpa dipinta.

Saya pantas memotong kata-katanya: "Tidak mengapa, saya hendak cuba guna mesin urut kaki ini sahaja."

Kata-kata saya itu sebenarnya ibarat menghulurkan leher ke mulut buaya kerana gadis itu dengan senyum simpul semakin bersemangat memujuk saya: "Encik, boleh duduk guna mesin I-Squeeze ini. Sambil itu saya terangkan tentang U-Zap ini. Alat ini baik untuk kesihatan. Sekiranya digunakan bersama I-Squeeze, ia sangat sesuai untuk orang yang..."

Sebelum sempat gadis itu menyudahkan kata-katanya saya menyampuk lagi: "Err.. boleh percaya ke tali pinggang ini? Nanti buat geli perut sahaja."

Rasa seperti hendak beredar. Hilang minat hendak mencuba I-Sqeeze. Tidak larat saya mendengar pujuk rayu tanpa henti gadis kecil molek itu. Sameer tidak mengendahkan urusan bapanya. Dia lebih selesa tidur dalam pelukan ayahnya yang sungguh empuk itu.

Mendegar pertanyaan yang seolah-olah mempertikaikan produknya, gadis itu dengan pantas berkata: "Encik, dua minggu lepas saya ada jual satu alat ini pada satu orang. Badan dia lagi gemuk daripada encik. Lepas dua minggu berat dia sudah turun 5 kg. Kalau encik..." Sekali lagi gadis yang memakai tag nama Susan itu tidak sempat menyudahkan kata-katanya kerana saya lebih pantas bersuara:

"Apa? awak kata saya ini gemuk ke? Siapa kata saya gemuk?" Susan tergamam seketika sebaik mendengar suara saya yang dibuat-buat serius.

Susan cuba untuk berkata lagi: "Tidak encik, sebenarnya... err.. saya... errr.."

"Tidak mengapalah. Saya tidak perlu mesin awak ini. Sebab, saya tidak gemuk dan saya memang sentiasa sihat. Terima kasih." Saya tidak memberi peluang kepada Susan untuk menghabiskan kata-katanya.

Saya beredar meninggalkan Susan yang seperti baru pulih dari 'koma' itu. Susan hanya memandang arah saya sambil mengomel seorang diri dalam bahasa Mandarin yang saya tidak faham. Sameer masih lagi lena dibuai mimpi indah.

Sambil mencari-cari isteri yang pasti sedang sibuk memilih barang untuk disumbatkan ke dalam troli, saya bermonolog sendirian:

"Hemm... jurujual ini kena belajar teori konsep diri. Mana boleh dia dengan sedap mulut mengatakan bakal pelanggannya gemuk. Setiap orang ada konsep diri, iaitu bagaimana dia melihat dirinya sendiri baik dari sudut fizikal, emosi, sosial mahupun intelektual. Biasanya setiap orang menganggap dirinya lebih dari yang sebenarnya."

"Saya tidak gemuk walaupun di bahagian perut ini kelihatan sedikit lebar dari tempat lain. Ini sebenarnya otot saya yang terserlah apabila bersenam (di meja makan).. he..he.. Kalau pun saya gemuk (yang pasti tidak) saya tetap sihat."

"Patutnya gadis itu perlu katakan: 'Encik ini lebih kurus, ramping, sihat dan segak dari seorang lelaki yang pernah beli alat ini dua minggu lepas.' Barulah kena dengan konsep diri saya. Barulah saya lebih tertarik untuk mendengar penjelasan dia. Rasanya Susan kena baca buku-buku PTS."

Sedang saya asyik bermonolog bersendirian, tiba-tiba disapa dari belakang: "Baba! kemanalah hendak diusung si Sameer itu? Orang sibuk pilih barang dengan budak-budak yang tidak reti duduk diam ni, dia boleh jalan-jalan makan angin pula dalam supermarket. Nah, awak pula tolak troli ni, biar saya dukung Sameer."

Alahai... romantiknya suara isteri saya ini. Sambil mengomel, bibirnya tidak lupa menguntumkan senyum yang menawan itu.

6 comments:

Kassim Selamat said...

Tersenyum saya membaca ceritanya. Jika saya sudah tentu terpaksa mengeluarkan duit membelinya sebab tak reti nak menolak.

Sesekali elok juga kita tukar watak kita, biar nampak garang sikit...hehehe.

Rislah said...

Sdr KS,

Sebenarnya itu satu kisah saya berjaya lari. Lagi 99 kisah saya terperangkap juga... walaupun tak beli tapi tak berjaya dan berdaya nak lari..he..he.. (biasalah.. kesian kat jurujual tu..)

Unknown said...

err...

sy ada uZap tu. Bonda beli. Tapi agak2 nye dah bersawang kot..

hehe..

Yang bernama Siti said...

Ha, ha, ha.

En. Faris, sebenarnya budak tu tak pandai sangat cakap Melayu. Sebab tu jadi macam tu. Tak cukup perbendaharaan kata. Kesian dia.

Walaupun begitu, padan muka dia tak mahu belajar BM sampai fasih. Duduk Malaysia kenalah pandai cakap Melayu bukan?

Rislah said...

Cakcibo...

Sure sudah slim semua labah-labah di rumah tu?

Cik Puan Siti,

Kalau pandai BM tapi tak nak baca buku sifu, tak lengkap lagi tu... he he he

文章 said...

ssd固態硬碟 外接式硬碟 餐飲設備 製冰機 洗碗機 咖啡機 冷凍冷藏冰箱 蒸烤箱 External Storage Solid State Drives 關島機加酒 關島婚禮 關島蜜月 花蓮民宿 彈簧床 床墊 獨立筒床墊 乳膠床墊 床墊工廠 巴里島旅遊 巴里島spa推薦 巴里島機票 巴里島行程推薦 記憶體 情趣用品 情趣用品USB Flash Drives Memory Cards 產後護理之家 月子中心 坐月子中心 坐月子 月子餐 投資美國物業 美國租金報酬 美國房屋買賣 房地產投資說明會 美國房地產 美國置產須知 美國房屋物件 SD記憶卡 隨身碟 高雄當舖 高雄汽車借款 高雄機車借款 高雄房屋二胎貸款 高雄汽機車免留車 花蓮民宿