Thursday, May 17, 2007

Mata Kucing

Satu masa dulu, dalam tahun 80an kami pernah tinggal di Arab Saudi selama beberapa tahun kerana mengikut ayah bertugas untuk program usahasama RTM dan Penyiaran Arab Saudi. Pada masa itu Malaysia tidak dikenali di mata dunia. Orang-orang Saudi lebih mengenali Korea, Pakistan yang banyak membantu membangunkan negara mereka. Oleh itu mereka lebih senang menggelarkan kami 'Kuri' atau 'Paki' yg bermaksud orang Korea atau Pakistan. Di sekolah (rendah) kami adik beradik sering digelar Kuri oleh anak-anak pak Arab sekiranya mereka tidak mengetahui nama kami.

Bagi memperkenalkan Malaysia, pejabat konsul Malaysia di Jeddah (kedutaan terletak di Riyadh, ibu negara) sering menganjurkan aktiviti-aktiviti terbuka untuk orang arab. Salah satunya adalah hari keluarga Malaysia merangkap hari terbuka kedutaan. Setiap keluarga rakyat Malaysia yang tidak sampai 50 keluarga itu diarahkan membuka gerai makanan dan sebagainya yang beridentiti Malaysiana.

Kami sekeluarga menjual mee kuning (mentah), laksa Johor, nasi impit, kuah kacang, agar-agar dan air mata kucing. Semuanya di sediakan oleh emak yang memang suka memasak. Sebagai anak kedua dan yang paling suka duduk depan makanan (ehem..ehem..) maka saya diberikan tugas untuk membantu emak digerai. Abang long pula di arahkan menjaga empat orang adik-adik yang kecil.. (fuh! leganya..) Ayah sibuk dengan urusan rasminya.

Pelanggan pertama saya pagi itu ialah dua orang wanita warga asing yang saya tidak pasti berasal dari planet mana. Wajah ala Sophea Lauren dan Diana Ross. Ketika mereka singgah di gerai, hanya ada saya seorang sahaja. Emak entah ke mana pula menghilang waktu itu. Saya yang sedikit panik, cuba memberanikan diri menegur pelanggan sulung saya dalam bahasa Inggeris taraf darjah empat.

Saya: Err..uhh..errr.. Good morning madam, can I help you (ayat ini ada dalam skrip yang disediakan oleh ayah saya)
Pelanggan 1: Ohh.. Selamat pagi. Tidak mengapa, awak chakap Melayu, saya boleh faham. Cuma kawan saya ini sahaja yang tidak faham. (kata auntie Sophea Lauren dalam loghat Melayu pelat orang putih)

Pelanggan 1: Apa awak jual ini? (Sambil menunjuk kearah makanan yang terhidang)
Saya : Macam-macam ada. Ini Laksa Johor, Mee Kuning, Nasi Impit dan jelly.

Pelanggan 2: What is this? (auntie Diana Ross menunding ke dalam bekas air)
Saya : Err.. that is water? (alahai, yang ini ayah saya tidak sediakan skrip)

Pelanggan 1: Water? Air?
Saya : Yes, ini air mata kucing.

Pelanggan 1: What? Air mata kucing? (matanya terbeliak, mulut sedikit ternganga yang mengelurkan bunyi seperti orang hendak muntah)
Saya: .... (hanya memandang makcik tersebut dengan muka sepuluh sen tanpa sebarang prasangka)

Pelanggan 1 segera beredar sambil menarik tangan rakannya yang sedikit terpinga-pinga dan berkata kepadanya dengan suara separuh berbisik (tetapi saya masih dapat dengar): “Oh God! that juice is made of cats’ eye..”

Saya hanya memerhatikan telatah mereka, masih tanpa sebarang prasangka. Apabila emak datang, saya dengan bangga menceritakan kepadanya karenah pelanggan pertama saya itu. Dengan suara gelak kecil dan seyum lebar, emak menerangkan situasi sebenarnya : “Mesti dia orang itu ingat Angah ini jual air yang dikorek dari mata kucing. Lain kali katakanlah air buah mata kucing atau senang sebut air longan sahaja.”

“Laa.. mana Angah tahu. Tidak ada dalam skrip pun?” jawab saya selamba.


p/s: Selepas lebih 25 tahun berlalu, saya masih tersenyum apabila mengenangkan peristiwa itu. Saya terfikir, agaknya kalaulah hari itu emak saya buat cucur badak, jala emas atau sup cendawan telinga monyet, pasti auntie berdua itu muntah sakan....!

5 comments:

Unknown said...

eheh. dlu org kecik2 ingat pokok mata kucing tu bile dieorg tanam kucing kat tanah dan dari mata dia kuar pokok.

hehehe. sampai skrang kalau balik kampung mesti diaorg perli sy.

Rislah said...

Cakcibo,

Hahaha, tu baru betul-betul Buah dari pokok Mata Kucing...

blackpurple @ jowopinter said...

Ooo..rupanya longan dengan mata kucing itu sama ekk. Tapi bukankah longan itu lebih besar..?

Rislah said...

BP,

Tak pasti le, orang kata macam tu, lebih kurang sama je... macam Myvi dgn Viva kot, chasis sama, cuma besaq kecik je..

Saya said...

Baba Donut, Myvi xsama dengan VIVA la...Myvi still the best. Jgn samakan my Love saya dgn viva....nanti Ikan Buntal akan mengembung bila marah....
MyVi still my Love for eva...