Thursday, May 31, 2007

Kembali

Alhamdulillah, baru sebentar tadi saya selamat kembali dari bermusafir, dari gua yang bertirai konkrit, dari dunia yang memisahkan diri ini dengan Taman Permata, dari perjalanan yang cukup meletihkan dan yang pasti : jauh dari keenakan Milo panas yang dicicah biskut low salt hi-fibre atau donut tanpa gula... Cuma badan masih belum cukup sihat untuk kembali ke medan tempur.

Walau pun penat, saya masih bersemangat untuk menziarahi laman teman-teman yang lain. Keasyikan menjawab timbunan email dan membaca celoteh mereka membuatkan diri ini terlupa untuk mengisi perut yang sedang berkeroncong. Cuma, apabila menziarahi web sutera yang penuh dengan hidangan enak Lusiana Catering, barulah terasa perut perlu diisi segera, sebelum angin gastrik dan konco-konconya kembali menyerang.

Memandangkan sejak bermusafir perut ini hanya bermenukan makanan yang tidak sesuai untuk orang yang cukup sihat macam saya, maka saya perlu melupakan sebentar tin biskut di dapur. Hendak telefon Lusiana Catering, saya tidak pasti sama ada tuan web menyediakan khidmat penghantaran. Hendak ziarah mamak Hj Tapah yang buka 24 jam itu, badan terasa cukup letih. Hendak minta tolong cik puan besar mama Kak Yong, dia sudah pun ke alam mimpi. Oleh itu terpaksalah saya menjadi D.O. (Dapur Officer) di tengah malam ini.

Kata orang kampung saya, "Alaa... campak-campak aje dalam periuk tu jadilah apa-apa." Berbekalkan kata-kata hikmah itu dengan ditemani dendangan lagu keroncong perut ini, maka siaplah sepinggan Kuew Teow Udang Taman Permata. Resepinya ? "Alaa.. campak-campak aje dalam kuali apa yang ada dalam peti ais itu!"

Walaupun rasanya mungkin tidak sesedap Kuew Teow Kerang Taman Bunga Raya (dekat TAR College) atau Kuew Teow Special Kampung Baru, tetapi saya pasti bakal menggugat Lusiana Catering (yang hanya dapat saya nikmati dalam laman web)! Hehehe.. Sekurang-kurangnya saya perasan sedap, cuma macam kurang garam sahaja dan sedikit pahit (akibat tekak yang banyak makan paracetamol dll).

Malam ini teman berbicara saya di Taman Permata ialah se'mug' Milo panas dan sepinggan Kuew Teow Udang terkurang garam... Kalau ada sesiapa yang berminat hendak rasa, silakan jamah:

3 comments:

Web Sutera said...

Alamak! Siap ambil gambar. Ermm nampak menarik. Saya pun pernah masak sendiri, hentam sajalah labu!

Yang bernama Siti said...

En. Faris,
Itulah cara orang dahulu masak. Campak-campak sahaja apa yang ada. Mungkin sebab itu saya lebih suka masak lauk daripada buat kek atau biskut. Yang itu tak boleh campak-campak, kena timbang.

Rislah said...

Tn Web, hentam sajalah labu, asal kenyang.

Pn Siti, kalau buat kek pun main campak-campak ada peluang kek tu nak kena campak...